Sambal Tumis Telur Hancur

Raya tahun ni kami pakat2 plan nak balik kampung ramai2. Kami 6 beradik. 

Almaklumlah, masing2 dah berkeluarga, susah nak kumpul raya sama2. Setiap kali raya mesti tak cukup korum. Dah la duduk lain2 negeri. Tu belum lagi kisah balik rumah mertua. 

Tapi kali ni plan kasi jadi. Setahun awal rancang. Sebenarnya kampung ni abang sulung kami ja ada. 

Ayah kami dah lama kahwin lain tak peduli kami sejak adik bongsu aku lahir. Sekarang dia masih hidup atau tak pun tak tahu. 

Mak kami dah meninggal masa aku umur 8 tahun. Masa tu abang sulung aku umur 16 tahun. 

Mak aku ada lelah. Kami hidup serba kekurangan jugak la. Mak kerja ambil upah kopek ikan bilis dan buat karipap hantar kat warung. 

Abang sulung aku la yang banyak bantu jaga mak dan rumah. Kami 4 lelaki 2 perempuan. Aku no 5. 

Abang sulung paling rapat dengan mak. Sebab dia banyak dengan mak. Ye la kami kan kecik2 lagi sibuk main ja. Tau lapar mintak makan, tau ngantuk tidur. 

Masa mak meninggal, ada jugak sedara mara offer nak ambil kami. Tapi bukan semua. 

Macam adik bongsu aku masa tu umur 6 tahun. Sorang nak ambik dia, orang lain nak ambik aku. Kira pisah2 la. 

Kami masa tu memang takut la nak pergi rumah orang tak kenal. Kami bukan biasa duduk rumah orang. 

Tapi masa tu abang sulung lantang bersuara, dia cakap tak pe. Dia boleh jaga adik2. Jangan pisahkan kami dia kata. Dia kata dia dah besar. 

Lega la kami masa tu walaupun ada jugak argument tapi abang sulung tetap dengan keputusan dia. 

Walaupun kami tak rapat dengan abang sulung, tapi kami rasa selamat dengan dia. 

Dan kami 5 orang memang rapat kecuali dengan abang sulung tu. Haha.

Abang sulung agak baran orangnya dan kurang bercakap. Tak macam kami jenis bising. Tapi dia sangat bertanggungjawab. 

Masa tu dia jugak masih sekolah. Memang masa mak masih ada pun, habis sekolah dia pergi kerja dekat satu kedai tu. Malam dalam pukul 8 dia balik. 

Dia masih buat rutin yang sama lepas mak meninggal. Dia habiskan form 5 jugak. Lepas tu dia pergi kerja dekat kilang kayu. 

Memang rata2 orang kampung kerja situ.. Sebab mudah nak balik untuk urus keluarga. 

Kat rumah abang sulung yang masak. Setiap hari menu makanan kami sambal tumis telur pecah. Mungkin dia tau masak tu ja kot. 

Dia akan potong bawang, panaskan minyak, masuk cili boh tu, masuk bawang tumis2 sikit. 

Lepas tu dia akan pecahkan telur dalam kuali tu jugak. Kacau2, letak garam sikit, kicap pekat sikit, gula sikit. Tambah air supaya ada kuah. Kacau2 sikit dah siap. 

Walaupun nampak simple, tapi memang rasa sedap. Pagi2 nak pergi sekolah dia suruh kami makan tu. 

Dengan teh o satu jug mesti ada atas meja. Lepas tu dia bungkus lagi nasi tu untuk kami. 

Adik bongsu aku masa tu dah pergi tadika dah. Dia cakap dia tak nak.. Sebab makanan kat tadika sedap. 

Tapi abang sulung akan kata, tak pa makan sini juga. Ada la budak tu makan sesuap dua. Nak membantah mana berani. 

Kadang2 telur ayam ambik yang ayam bertelur depan rumah. Kadang2 dia beli. Masalahnya hari2 kami makan tu ja. 

Sesekali dapat jugak makan ayam time ada kenduri kat kampung. Kadang2 ehsan jiran2 ada jugak hantar kuih hantar makanan. Terutamanya time puasa. 

Kami kalau nak mintak apa2 kat dia memang tak berani. Tapi kadang2 kami suruh adik bongsu pi cakap. Sebab dengan adik bongsu dia macam ok sikit. Sebab fikir masih kecik. 

Ada sekali kami suruh adik bongsu cakap dah jemu la makan tu ja.. Nak makan ayam pulak. 

Abang sulung jawab, ayam mahal kita tak de duit nak beli. Nanti belajar kerja elok2 baru boleh makan ayam. 

Masa tu kami terdiam la. Baru sedar kami ni miskin. Tapi lepas tu kadang2 ada jugak dia buat nasi goreng. 

Tapi pun mesti dalam nasi goreng tu ada sambal tumis tu jugak. Last2 kami semua dah immune dengan lauk tu. 

Abang tak bagi kami buat kerja rumah. Dia hanya suruh kami belajar ja. Sebab ada sekali kakak nak basuh baju. 

Abang marah. Dia kata hal rumah biar dia fikir.. Dia suruh kami belajar ja.. 

Dia ambik berat pasal pelajaran kami. Hari2 balik rumah soalan pertama dia akan tanya kerja sekolah dah siap?

Setiap kali buku rekod tu, dia akan pergi sekolah jumpa cikgu. Seorang pun dia tak akan miss. 

Dia akan tanya adik dia ada masalah apa2 tak.. Nakal tak. Kalau ada keputusan lemah, dia akan pergi jumpa cikgu subject tu pulak. Dia nak adik2 dia cemerlang. 

Oleh kerana tu kami memang tak berani nak buat hal kat sekolah. Kadang kan cikgu complain perangai kami. Dia akan warning. 

Kalau kami sakit pun, dia akan tanya mampu berdiri tak. Kalau mampu berdiri kena pergi sekolah.. Kalau rasa tak mampu baru tak payah pergi. 

Tapi dia akan bawak la kami pergi hospital kerajaan ambik ubat.. Masa tu dia bawak naik bas tekan2 tu. 

Kat rumah ada honda cup 70 tu.. Sampai sekarang dia pakai motor tu. Motor tu pakcik kami bagi kat dia. 

Abang selalu alert time kami pergi sekolah dan balik sekolah. Kalau pukul 1.30 dah habis sekolah. Pukul 1.40 mesti ada kat rumah dah.. 

Lewat seminit pun dia akan tanya pergi mana. Kami sentiasa ikut rutin.. Dia risau kami melilau merata.. 

Dekat cikgu2 sekolah dia selalu pesan suruh tengok2 kami. Apa tak kena bagitau dia.. 

Abang kami tak pernah pukul kami.. Tapi aura bengis dia buatkan kami takut nak cari pasal. 

Kalau kami adik beradik bergaduh, kalau dengar tapak kaki dia terus kami senyap. 

Ada sekali tu, dekat sekolah kakak aku ada cikgu pratikal perempuan. Nama cikgu ayuni. (sekarang kak ipar aku) hehe

Oh ya abang aku ni sangat handsome orangnya. Tinggi kulit cerah badan tough. Ramai perempuan kampung suka dia. Melamar dia pun ramai. 

Tapi dia fikir adik2 ja. Dia memang jenis tak layan perempuan. Dia sangat bertanggungjawab. Otak dia fikir kerja, dan adik2 ja. 

Dia kahwin dengan kak ipar aku ni pun banyak drama jugak la. Dan dia yang paling last kahwin. 

Balik pada cerita tadi, biasa la kita kadang2 rapat dengan cikgu praktikal tambah2 kalau perempuan. 

Kan cikgu2 praktikal muda. So kakak aku ada la tolong cikgu tu buat kerja. Kira dekat pukul 2 tak balik lagi.. 

Abang aku terus pergi cari kat sekolah.. Tapi masa tu kakak aku dah jalan balik dah.. 

Terus abang aku tanya pergi mana. Dia jawab la dia dengan cikgu tu.. Terus abang aku tanya cikgu mana ajar apa. Kakak aku bagitau la.. 

Esok pagi2 dia ikut kakak aku pergi sekolah suruh tunjuk cikgu mana. Kakak aku dah takut2 la. Tapi kan memang betul dia dengan cikgu tu. 

Dia tunjuk la cikgu tu.. Terus abang aku pergi tanya cikgu tu. Betulkah adik saya dengan cikgu semalam sampai pukul 2.. 

Cikgu tu dengan takut2 jawab ye. Dia tanya ada masalah ke.. Abang aku kata kalau dengan cikgu tak pe la.. Takut dia merayau tempat lain. 

Lepas tu abang aku tanya hari ni balik lambat lagi ke. Dia nak tahu sampai pukul berapa kakak aku dengan cikgu tu. Cikgu tu pun kata kat kakak aku, garangnya abang kamu. 

Tapi sebab sikap abang kami macam ni, kami tak berani nak menipu. Kalau ada kelas tambahan kami akan inform pukul berapa habis. 

Tapi dia akan tanya cikgu betul ke tak. Sebab dia risau kami pergi buat benda bukan2. 

Abang aku dengan abang ngah kami beza umur 2 tahun ja. Ada sekali abang ngah duduk sembang dengan kawan2 dia. Tapi kawan2 dia merokok. 

Abang sulung kami ternampak, balik rumah tu abang sulung aku cakap, lepas ni aku nampak kau dengan geng2 tu, aku pecah muka kau eh. 

Terus abang ngah tak lepak situ dah.. Even adik beradik kami tak de yang merokok. Sebab abang aku tak bagi kawan dengan orang macam tu. 

Dia tak suka melepak tak tentu hala. Dia suruh kami duduk rumah belajar. Kalau kami main dengan kawan2 kampung pun, mesti depan rumah kami. 

Orang tak berani kacau kami sebab abang kami jaga kami baik2. 

Dulu pernah orang buli aku.. Abang aku pergi sekolah dia cakap lagi sekali kau buli adik aku, aku pecah muka kau kat sini jugak. Memang tu tag line abang aku. 

Tapi lepas tu tak de orang berani cari pasal dengan kami. Aura dia satu kampung kenal. Kami pun takut nak buat apa2 takut orang kampung report dekat abang aku. 

Ada sekali tu, kakak aku datang haid. Kan abang aku basuh baju2 kami. Dia kenal setiap pakaian tu sapa punya. Cuma lepas kakak aku dah dewasa, dia basuh sendiri baju dia sebab malu dengan abang aku. 

Yang aku masih ingat, abang tanya kakak kenapa seluar ada darah. Kakak cuma diam ja. 

Lepas tu dia bawak akak jiran sebelah rumah tu. Suruh pergi check kakak aku. 

Masa tu aku ingat lagi kakak tu cakap adik kau dah jadi anak dara dah.. Lepas tu ada la abang bagi duit dekat kakak tu. Agaknya suruh uruskan dia kot. 

Tapi makin strik la dia jaga kakak aku lepas tu. Dia tak bagi main tak tentu hala dengan adik beradik lelaki. Tak boleh kawan dengan budak2 laki. Macam2 la. 

Dia sikit2 suruh kakak jiran tanya kakak aku ok ke tak.. Ada la kadang2 nampak kakak aku keluar dengan kakak jiran tu.. Abang aku bagi duit suruh bawak kakak aku beli barang. 

Kami kalau ada kelas petang ke apa, dia mesti datang sekolah hantar bekal sambal tumis tu la. Tapi dia bagi jugak duit belanja sekolah. Tapi tetap dengan pakej sambal tumis tu. 

Ada sekali dia bungkus untuk kawan aku jugak. Sebab kawan aku cakap kat dia sedap sambal tu.. Sebab aku bagi kawan aku rasa. Aku tak berani nak cakap, kawan aku berani2 ayam tapi cakap jugak la. 

Abang aku jenis ambil tahu siapa kawan2 kami.. Kalau kami keluar dengan kawan, mesti kena bagitau kawan yang mana. 

Abang aku walaupun masak telur ja. Tapi hal pelajaran kami dia perfect.. Yuran sekolah ke apa ke. Semua cukup. 

Tak pernah due. Kalau kami kata cikgu mintak duit. Dia tanya berapa, paling lewat 3 hari mesti dia bagi duit kat kami. 

Setiap tahun baju sekolah baju raya mesti seorang dapat sepasang. Baju raya 2 pasang. Dia akan bawak beli kat pekan naik bas. 

Masa mak ada pun tak pernah kami dapat 2 pasang.. Tak tahu la macam mana dia urus duit. 

Yang lelaki baju melayu, dengan set t shirt jeans. Yang perempuan baju kurung dengan baju gaun atau t shirt yang kita berkenan. Tapi untuk diri dia, dia tak beli apa2. 

Dia memang kerja keras tak kira masa. Semua kerja dia buat. Time raya kami meriah jugak. Dia akan order lemang serunding, kuah kacang . Kiranya serba lengkap jugak la. 

Kuih raya mesti ada bahulu, kuih bakar. Kuih2 tradisional. Semua order kat orang. Tak pun beli kat pekan. 

Cuma bila kakak aku dah besar2, kakak aku ada la buat2 kuih. Tengok resepi dalam paper. Kan zaman tu selalu keluar resepi dalam paper. 

Beli bahan mintak duit kat abang aku. Walaupun dia ada duit atau tak tapi dia sentiasa cuba bagi. 

Kadang dia tanya nak beli bahan apa. Tulis dalam kertas bagi dekat dia.. Lepas tu pergi bakar rumah jiran.. Sebab kami kan tak de oven. 

Ada sekali abang sorang tu lemah dalam pelajaran. Abang carikan tuisyen untuk dia. Siapa lemah pelajaran mesti akan pergi tuisyen. 

Abang selalu pesan kena cemerlang.. Sebab takde pendidikan takde kehidupan pesan dia. Kami pun guna nasihat tu untuk anak2 kami. 

Abang ngah lepas spm masuk tentera. Walaupun abang sulung nak dia sambung belajar, tapi abang ngah kata dia minat askar. 

Akhirnya abang sulung akur jugak la. Tapi dia happy jugak la.. At least kerja jamin masa depan.. Abang ngah pun ada sambung belajar dekat kem tentera dan naik pangkat dah. 

Kira kami adik beradik semua ada degree dan kerjaya bagus macam yang abang nak. Kecuali dia. Dia kan lilin yang membakar diri. 

Cita2 abang aku hanya satu ja, semua adik2 dia masuk menara gading dan ada kerja bagus. Kakak dapat results spm cemerlang. 

Oh ya, cemerlang macam mana pun keputusan. Abang sulung tak bagi adik2 dia duduk asrama.. Dia mesti nak adik2 depan mata. Sebab dulu lepas pmr ada ja yang dapat asrama, tapi abang tak bagi.. 

Bila kakak nak masuk u, abang nampak happy la. Dia uruskan kereta. Driver dalam kampung ni jugak. 

Kami ramai2 hantar kakak dekat u. Siap jiran2 pun ikut. Best gila masa tu. 

Lepas tu segala perbelanjaan abang aku uruskan.. Abang aku pesan jangan buat kerja2 partime. Nak duit mintak kat dia. 

Kakak aku doktor sekarang ni. Membanggakan dia dan orang kampung. Kalau balik cuti dia mesti tak sabar2 nak rasa sambal tumis tu.. Sebab dok jauh2 rindu masakan tu. Walaupun ada makanan lain, memang teringat sambal tumis tu. 

Lepas kakak masuk u, abang ngah nak kahwin. Abang ngah ada jugak la bantu2 kami. 

Cuma ada abang ngah senang nak luah perasaan. Nak kenalkan pasangan ke apa. Sebab nak cakap dengan sulung rasa kekok. 

Kalau yang perempuan ada bf, macam2 abang sulung soal siasat lelaki tu. Dia tak nak adik2 dia kahwin dengan orang yang salah. 

Masa berganti masa, seorang demi seorang ahli dalam rumah tu berkurangan. Semua dah pakat sambung belajar. Kerja, kahwin. 

Tapi abang aku masih macam tu jugak. Masih buat kerja yang sama.. Masih kirim duit kat kami walaupun kami masing2 dah kerja elok. 

Tapi kalau kami bagi duit dia tak akan ambik.. Kami ajak pergi mana2 pun dia tak akan ikut.. Dia tak pernah sekali pun keluar dari rumah tu. 

Walaupun masing2 dah ada kehidupan, tapi kadang2 rindu jugak sambal tumis dia tu.. Buat sendiri tak sama rasa macam abang buat. 

Dan dia, masih masak tu jugak. Kak ipar aku pun suka makan sambal tu.. Ye la orang tu jatuh hati pun sebab sambal tu. Hehe

Kadang2 kakak ipar malas masak, dia suruh abang aku buat sambal tu.. Kak ipar suka cicah dengan roti gardenia tu. 

Raya kedua hari tu kami request nak sambal tumis telur pecah versi abang aku. Satu periuk besar abang aku masak. 

Letak sepapan telur. Puas semua orang makan. Budak2 yang malas makan nasi pun makan dengan selera. 

Cara masakan yang masih sama, dengan rasa yang masih sama. Tak de yang berubah. 

Masa kami balik, nampak la sayunya muka abang aku.. Ye la nak kumpul semua sekali macam ni tah bila pulak kan. 

Tapi tu la putaran kehidupan yang semua orang akan lalui kan.. 

Semoga abang aku sihat selalu. Tu ja doa aku pada dia.. 

– Lad (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

19 Comments

  1. Allah… baiknye abang2 awak. Saya doakan agar dia dimurahkan rezki, sihat selalu dan dimudahkan segala urusan, Amiinn…

    • Abang awak adalah satu dalam sejuta. Saya sebagai anak sulong pun tak terbuat apa yg dia buat. Smg abg awak mndpt gnjran syurga

  2. Best baca cerita ni. Macam dalam movie, orang baik baik tu wujud ye. Semoga abang awak sihat selalu, dilancarkan rezeki dan bahagia sampai bila bila dengan isteri dengan keluarga dia.

  3. Seronoknya baca kisah kehidupan awak bersama abang dan beradik yg lain.Walaupun kehilangan ibu tercinta dan kasih sayang ayah tapi kalian adik beradik dilimpahi nikmat kasih sayang yg jujur dan ikhlas.. alhamdulillah.Semoga keluarga kalian terus dilimpahi rahmat dari Allah.

    • Terharu bila membacanya. Semoga kekal bahagia till jannah abang long dan isterinya… Kita berdoa kita pun dapat aura yang sama macam abang long.

  4. Lancar kisah penceritaan seolah mcm kisah dongeng yg indah. Tp hakikatnya wujud seorg abg yg masih muda tp sgt2 bertggjwb ketika itu mnjaga adik2 bkn 1 tp 5. Smga abang ini sntiasa dlm rahmat Allah swt

  5. Sebak baca story ni, diorang sekeluarga hidup aman damai, panjang umur dan murah rezeki.

    • Aku baca dgn penuh penghayatan yee citer ni.. kagum sgt kt abang sulung tu. Setiap perenggan yg d baca mst terselit doa utk dia. Moga syurga untuknya. InshaaAllah

  6. alahai. menitis air mata baca kisah ni. betul2 sama perangai abang sy. tp bkn abg sulung, abg ngah yg garang mcm tu. kakak sulung sy sempoi je. saya ada anak 2 yg masih kecil pun doa hubungan adik beradik anak2 saya baik mcm ni. kan. sy rasa doa dn pesanan arwah mak awak ni yg jd penguat abg awak jaga adik2 dia sebaik mgkin. semoga keluarga awak, keluarga saya dn semua keluarga di luar sana dilimpahi sakinah mawaddah wa rahmah. amiin

  7. Ya Allah sedih, terharu, bangga dgn ank spt abang Long..akk doakn moga abg Long diberi keberkatan dlm rezeki dipnjgkn usia sihat walafiat diberi rezeki baroqah tidak putus spt air zamzam..moga rahmat Allah SWT slalu bersamanya di duniakhirat aamiin3 yaa Robb

    • Alhamdulillah, yg di langit dan di bumi, semua sayang pada Abang Long… tak terbalas jasanya. Jaga hati dan perasaannya, hormatinya hingga ke syurga firdaus. Aamiin

  8. saya baca cerita ni time rehat office hour. tak pasal menangis saya sorang-sorang depan komputer. bukan mudah dia nak galas tanggujawab itu, tapi dia buat juga agar adik-adik nya tidak merasa kurang. Semoga abang awak & keluarga sentiasa diberikan rezeki yang berterusan, sentiasa bahagia. semoga segala jasa baik abg awak menjadi asbab syurga buat dia. inshaAllah.

  9. Alhamdulillah, yg di langit dan di bumi, semua sayang pada Abang Long… tak terbalas jasanya. Jaga hati dan perasaannya, hormatinya hingga ke syurga firdaus. Aamiin

  10. Btl… Kusyuk dan asyik sy membaca.. Baiknya abg dia.. Stg bertanggungjawab.. Hampir mengalir air mata sy membaca citer.. Moga adik2nyamenjaga dia hingga akhir hayatnya

  11. Allah berikan kamu seorang saudara kandung yang dimuliakan, baik akhlak dan pekerti yang hebat. Anak sulung yang tahu peranan dan dan mengorbankan masa muda beliau demi mengangkat darjat dan maruah keluarga. Dia tahu kegigihan lah yang akan membuktikan kepada orang sekeliling bahawa tindakan dia tidak membenarkan orang lain ambil adik-adiknya akibat kehilangan orang tua itu, adalah betul dan dia benar2 melaksanakan tanggungjawab itu. Selalulah ziarahi dan bertanya khabar beliau kerana itulah yang mengubat kerinduan beliau terhadap kamu dan adik-beradik kamu yang lain. Tahniah, kisah hebat.

  12. Alhamdulillah. Kisah hidup yg memberi inspirasi. Hebat jalan ceritanya, saya seperti jatuh sayang juga kpd abg long yg dah menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa sejak usia yg masih muda remaja. Hebat; kerana bukan semua org yg diuji mahu dan mampu berbuat begitu. Abg long adalah insan pilihan tuhan yg sanggup menjadi lilin, terus memberi walau dalam serba kesederhanaan. Boleh jadi itu berkat hasil didikan ibu sejak abg long masih kecil serta doa ibu bapa dan doa dari jiran sekampung. Moga Allah mewahkan abg long di syurga yg paling tinggi di akhirat nanti.

    Saya fikir, selayaknyalah abg long disantuni oleh adik-adiknya seperti anak-anak menyantuni ibu dan bapa kerana sesungguhnya abg long telah pun melaksanakan kedua-dua peranan seperti ibu dan bapa sehingga adik-adiknya kini telah dewasa dan berjaya. Moga pahala amalan kalian menjadi hadiah indah kepada kedua ibu bapa.

    Bapa; janganlah dilupa sosok itu dlm doa kalian. Walau bapa tidak memainkan peranannya sejak awal cerita, boleh jadi pada suatu saat nanti Allah akan jentik hatinya untuk insaf dan menyesal dgn segala khilaf dirinya. Sebagai anak-anak, kita diperintahkan Allah supaya terus berbuat baik kepada kedua ibu bapa, doakan mereka yg baik-baik, murnikan jiwa utk memaafkan bapa kalian, walaupun bapa kalian mungkin tidak cemerlang dalam melunasi tanggungjawabnya. At least kalian masih bertuah kerana Allah gantikan sosok si bapa dgn abg long yg awesome!

  13. Allah Allah..menderu2 air mata baca kisah sambal tumis abg Long ni. Bestnya ada abg mcm ni. Saya doakan abg Long sekeluarga terus sihat dan bahagia sampai akhir hayat, murah rezekinya, dan mudah segala urusannya. Korang adik2 dia please la selalu balik jenguk dia, happykan dia walaupun dia x minta. Abg Long tak terima duit wp diberi, apa kata adik2 semua taja abg Long dan isteri ke Mekah, mesti dia happy sangat2.

  14. Syurgalah bagimu wahai jiwa dan kudrat seorg abang yg berkorban. Semoga dimuliakan Allah SWT dan seluruh isi alam.

  15. Sedari tajuk dah saya agak betapa sedapnya sambal itu.
    Teringin mahu rasa.

    Sudahlah membaca di lunch hour.
    Dkt food court.
    Menitis air mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *