Jam 1.37 pagi. Mata aku masih terkebil-kebil belum menunjukkan tanda nak tidur. Aku sudah lama teringin nak berkongsi kisah aku di sini, bersama kalian semua. Kerana di dunia nyata, aku tiada tempat untuk mengadu domba. Seperti orang lain, Aku punya sebuah keluarga yang lengkap. Ibu seorang suri rumah, ayah bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang sederhana. Kehidupan kami tidaklah senang sejak mula. Hanya semakin menginjak ke usia tua, ayah semakin mampu memberi lebih.
Kisah ini sangat panjang. Bermula dari seorang anak yang dahagakan kasih sayang seorang lelaki bergelar ayah, yang tidak pandai memberi kasih sayang kepada anak-anaknya. Hubungan ayah dan anak antara kami seakan-akan hanya sebuah perjanjian kontrak di mana ayah menyaraku dan aku disaranya. Tidak pernah ada perbualan mesra antara kami. Tidak pernah bertanya khabar meski kini aku sudah tahun akhir di universiti. Ya, ayah sangat lain. Tidak seperti ayah yang lain. Tidak pernah aku merasa kasih sayang seorang ayah. Namun ayah tidak pernah gagal untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Wang belanja di universiti sentiasa di beri saban bulan. Bukan sedikit jumlahnya. Barang keperluan rumah setiap bulan dibeli. Nafkah untuk ibu tak pernah lokek.
Tetapi, itu tidak dapat mengganti sebuah kasih sayang berbentuk komunikasi. Di bangku sekolah, aku seorang yang sangat baik, lurus, dan sedikit pun tidak terdedah dengan perkara tak elok. Solat dan Al-quran sentiasa menjadi peneman. Sehingga aku tamat SPM. Kisah hitam aku bermula apabila aku masuk politeknik di utara. Aku, seorang yang sangat janggal dengan lelaki. Tidak pernah berteman rapat dengan lelaki. Menjadi suatu kejutan budaya apabila aku mula berkawan rapat dengan seorang lelaki yang berasal dari negeri selatan. Aku namakan dia A.
Seperti magnet, aku mudah didekati olehnya dan sangat menyenangi dia. Aku juga hairan. Kenapa aku begitu. Bagi aku, itu pertama kalinya aku merasakan kasih sayang seorang lelaki. Saban hari, kami semakin rapat dan mula bercinta. Aku sudah pandai berdating dengannya di library. Satu hari, Kami keluar berdua dan dia sudah berani memegang tangan aku. Aku sangat marah dan enggan berjumpa dengannya lagi. Namun apakan daya, sayangku pada dia melebihi marahku itu.
Lama kelamaan dia semakin berani dan dipendekkan cerita satu hari kami terlanjur. Aku seperti sudah tidak kenal diri sendiri lagi. Perkara itu berlanjutan sehingga aku tamat belajar. Aku mendesak dia untuk bernikah. Tapi dia masih tak mampu. Kerja pun tiada. 3 tahun selepas itu, hubungan kami putus kerana orang ketiga. Pada mulanya aku seperti orang gila dan tak boleh terima perkara ni. Namun lama kelamaan aku okay.
Aku cuba untuk bangkit. Aku mencari diri sendiri yang suatu masa dulu sangat cintakan Al-Quran. Yang tidak tinggal solat. Aku cuba namun aku tersungkur apabila aku berkenalan pula dengan lelaki lain ( B ) yang perangai nya tidak kurang syaitan. Aku kembali hanyut. Dengan ujian nafsu. Aku tidak bertahan lama dengan B. Juga kerana dia ada orang lain. Tidak lama selepas itu, aku berjumpa pula dengan C, yang sekarang masih lagi teman lelaki aku dan C memang berniat untuk berkahwin denganku walaupun sudah tahu kisah silamku.
Perkenalanku dengan C bukanlah bermula dengan elok. C juga sudah beberapa kali mengambil kesempatan ke atas aku dek kerana tewas dengan nafsu. Hubungan dengan C tidak sentiasa baik. Sering bertengkar kerana hal remeh-temeh. Tetapi C memang menunjukkan dia serius sayangkan aku. Namun pergaduhan demi pergaduhan buat aku semakin tawar hati dan berfikir semula adakah dia jodohku.
Aku penat. Aku sangat penat. Aku sangat mahu keluar dari kancah dosa zina ini. Mungkin kalian akan melabel aku perempuan jahat, anak tak kenang budi dan sebagainya. Aku terima kerana memang itu kenyataannya. Aku sedar aku tidak layak untuk mendapat seorang lelaki baik. Aku terima segala kekurangan C memandangkan aku juga bukan orang baik. Namun aku penat hendak melakukan dosa zina lagi dan lagi. C belum mahu berubah. Solat juga tunggang langgang. Aku tak kuat. Aku tak kuat nak berubah ke jalan Allah sendirian.
Tapi apa pilihan yang aku ada? Hendak berkahwin belum cukup pitisnya lagi. Kadang-kadang fikiran jahatku mengapa aku diberikan ujian nafsu sebegini. Aku tidak pergi mencari lelaki-lelaki itu. Mereka muncul sendiri. Tapi kenapa semuanya jahat? Adakah lelaki baik hanya wujud di dalam novel? Aku tak pernah bermimpi untuk menjadi perempuan sekotor ini sekarang. Tidak pernah. Tapi inilah takdir aku. Takdir yang aku sendiri telah tentukan.
Aku masih cuba untuk kembali kepada Tuhan. Aku akan sentiasa cuba. Cumanya aku tidak kuat. Mudah cair dengan hasutan syaitan. Jiwa aku kosong. Meronta-ronta minta disiram dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Juga kasih sayang seorang insan bergelar ayah. Yang seharusnya melindungi jiwaku dari pujuk rayu lelaki asing. Aku tidak pernah menyalahkan ayah. Hanya saja aku tidak bernasib baik dalam hal itu. Hanya saja aku bodoh dalam menafsirkan kasih sayang palsu yang lahir dari nafsu.
Aku minta sedikit doa dari kalian, semoga aku mampu kembali kepada Tuhan dan istiqamah. Aku rindu kasih sayangNya. Aku juga minta sedikit doa supaya aku diberikan kesempatan untuk merasakan sedikit kasih sayang ayah, bergurau senda dengannya dan menjaganya. Sekian.
– Insan yang masih mengharapkan kasih sayangNya
– Tembikai
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit