Sampai Ku Menutup Mata

Assalamualaikum. Dah lama aku teringin nak tulis pasal ni sebenarnya. Tentang kisah kami. Kami berkenalan dalam satu program outdoor university, dua university berbeza yang jarak keduanya agak jauh.

Pertama kali aku tengok dia memang aku tak berkenan langsung sebab tengok dia pakai seluar pendek atas lutut dan waktu tu aku nampak rambut dia perang2 macam colour rambut.

Waktu program nak mula sesi baca doa, laju je dia ni lead baca doa, tak senang betul hati aku tgk dia ni, dengan seluar pendek tak tutup aurat tu. Tapi bacaan doa dia ni bukan biasa2, sebutan dia, doa dia, terkesima juga aku sekejap,

Sepanjang program tiga hari dalam hutan ni, dia ni peramah sangat, sembahyang pun dia jadi imam sentiasa, dengar suara dia baca surah cukup sempurna bacaannya.

Memasak pun dia yang jadi tukang masak, dan memang sangat sedap. cuma aku memang masalah dia duk pakai legging pendek dia atas lutut tu. Kalaulah dia pakai tutup aurat, aku rasa lama dah aku ngorat dia dulu.. haha.

Habis program, aku pun kembali ke desasiswa aku. Dua hari lepas tu dia hubungi aku atas urusan macam macam lah. Pandai la pulak dia cari macam macam alasan nak bagi boleh berjumpa.. Tapi kebanyakan alasan pasal program outdoor.

Dah jodoh, kejap je kenalnya terus kahwin.. Zaman belajar lagi dah kahwin, muda belia lagi. Tahun 2020 ni genap 12 tahun kami bersama. Masa yang sangat lama.

Subhanallah perkahwinan usia muda dan jarak jauh bukanlah sesuatu yang mudah. Terlalu banyak ujiannya. Kalau di ingat. Masalah kewangan yang paling utama, ye lah bila dua2 belum bekerja. Macam2 kami usaha bersama mencari rezeki.

Alhamdulillah kami berjaya menghabiskan pengajian kami dalam masa yang ditetapkan dan Alhamdulillah  kami berdua  bekerja di bidang profesional dengan pendapatan yang agak stabil.

Kami siap buat rumah kami bersama, semua kami beli bersama perabot2 dalam rumah, bilik kami siap aku pilih warna kegemaran aku, warna biru, corak syiling lantai semua kami pilih bersama, 2015 anak kami dah 3 orang. Cukup sempurna hidup kami.

Suami ku juga antara orang yang disegani didalam komuniti masyarakat kami, dia sentiasa jadi imam di surau kampung kami, raya kadang2 dia yang baca khutbah. Terlalu sempurna suamiku ini  di mata orang.

Ciri dia yang ni juga yang buat aku jatuh hati kat dia sebenarnya.. Kadang2 aku mengaji sorang2  dia duduk dengar sambil main telefon pun dia boleh tegur lagi tajwid bacaan aku..

Oh ya, suami aku dah tak pernah pakai seluar pendek atas lutut lagi, itulah kali terakhir dia pakai seluar macam tu. aku ada tanya juga kenapa pakai seluar pendek atas lutut waktu mula jumpa hari tu, dia kata dia tersalah bawa seluar..

Habis ujian kewangan, ujian lain pulak Allah bagi. Suami aku ni memang masalah dia dari awal kahwin lagi suka betul mengorat perempuan. Tak silap aku dalam 7 orang perempuan yang berjaya aku tamatkan skandal mereka. Berapa banyak telefon dia yang aku dah hancurkan.

Jangan tanya berapa kali cerai yang aku dah minta, tapi dia ni, tak pernah sekalipun lafaz. Sampailah perempuan yang ke lapan ni, aku tak dapat nak halang dah, sebab aku tahu setelah mereka dah kahwin. Masa aku tau ni, aku punya gile, MasyaAllah.

Memang habis aku pukul suami aku ni. Aku pergi rumah perempuan tu, jumpa mak ayah dia. Aku masa tu punya lah sakit hati, aku keluar terus dari rumah kami, Sewa bilik kosong.

Aku terperap dalam bilik tu macam orang takde hala tuju, kerja pun aku tak pergi. Dua minggu aku duk dalam bilik tu. Adalah juga sekali sekala kawan yang baik datang bawa makanan. Suami ada juga datang pujuk ajak balik. Tapi aku memang keras hati. Dua minggu tu, 10kg berat aku turun.

Sejak aku keluar dari rumah tu, sampai ke hari ini, aku tak pernah tidur lagi @ duduk rumah tu lagi. Maduku dah ambik alik bilik aku tu. Memang aku yang tak nak balik.

Beberapa mingu selepas aku tahu suami aku berkahwin lain ni, keluarga belah perempuan buat majlis kahwin diorang. Jangan tanya batapa sakitya hati melihat suami sendiri naik pelamin dengan perempuan lain, di saat pulak hati ni tengah remuk lagi.

Gile aku tak dapat kawal perasaan, aku pergi majlis mereka, aku sampai tengah berpeluk nak ambil gambar atas pelamin. Agak dasyat drama yang berlaku ketika itu. MasyaAllah. Belum ditambah lagi sakit hati tengok isteri dia up masuk gambar kahwin mereka di FB.

Aku pindah bawa anak2 jauh dari suami. Aku nekad nak bercerai, setahun turun naik mahkamah urusan cerai kami. Tak pernah sekalipun suami aku setuju nak ceraikan. Dia tetap datang melawat anak tiap bulan, bagi duit belanja.

Aku memang keras hati, dia datang aku memang tak keluar, tak tengok pun muka dia. Memang aku benci dia sangat. Kuasa Allah, tengok usaha dia, kesungguhan dia. Aku jadi lembut hati. Selepas hampir dua tahun kami baik semula.

Selepas itu hampir dua tahun dia ulang alik melawat anak anak. Jarak dia ulang alik adalah 350km, pergi balik 700km juga. Kadang dia memandu, kadang dia tak larat dia naik bus.

PJJ ni ujian ni siksa juga, tapi suami usaha juga untuk sentiasa datang, paling lama dua minggu dia Akan datang. kesian juga kadang tengok dia letih ulang alik tu.

Allah permudahkan urusan aku, aku boleh tukar semula ke tempat asal aku bersama suami dulu. Tapi aku tak duduklah dirumah asal aku, sebab dah ada isteri baru dia. Aku sewalah rumah lain.

Tibalah part yang lagi tak best. Poligami. Madu pulak duk dekat je dengan rumah aku ni. Dalam 5 minit je. Rumah yang aku duduk dulu lah, Rumah yang sampai sekarang aku masih lagi bayar ansurannya.

Tapi sebenarnya, suamiku sudah berubah  360 darjah. Jadi suami yang sangat baik. Tersangat baik. Aku sebenarnya takut nak bercerita pasal ni, sebab bila hidup poligami ni, penuh dengan cemburu ni, menda macam ni pun perkara sensitif.

Ye lah kita manusia kan selalu tengok orang lain, sedangkan bahagian kita yang melimpah ruah kita tak nampak.

Aku cakap ni umum, kepada semua, kepada diri aku juga. Sebab aku pun selalu je gaduh dengan suami tak puas hati macam2, cemburu bagai. sana lebih lah apa lah. Takde menda nak cari gaduh pun aku cari jugak.

Suami aku ni, aku buatlah nak buat apapun, dia tak pernah bising. Aku pergi lah nak pergi manapun, dia tak pernah halang, aku nak belilah apapun, dia takkan halang.

Kadang dia bagi lagi duit. Aku nak tido dua hari tak bangun pun dia tak marah. Aku tak nak masak sebulan pun dia tak marah. Aku bungkus lauk kat kedai tiap hari pun takpe, dia tetap akan makan tanpa komen apa2. Aku masaklah tak sedap macam manapun dia tak pernah komen, dia makan je.

Kadang aku tak mampu habiskan sebab teruk sangat rasanya, elok je dia habiskan sepinggan. Sampai kadang aku terfikir, suamiaku ni dah kena mandrem dengan aku ke, hahaha. Dan yang memang dari dulu, dia pandai masak, dia akan selalu masak apa yang aku minta dia masak.

Aku ni je yang setiap hari kerja buat dia sakit hati, ade je menda yang aku nak ungkit, ade je menda yang aku nak cari gaduh.

Kadang mai angin aku, aku maki hamun dia tak ingat dunia dah. Dia diam je, sabar dia tahan marah, sampai merah merah telinga, paling teruk dia keluar rumah naik kereta. Lama sikit dia balik semula.

Tak pernah tak adil giliran bermalam dia. Dah bertahun tahun sejak dari aku kerja jauh tu lagi, tak pernah dia lupa setiap malam mesej i love u dan telefon sebelum dia tido kalau kami tak tido sekali.

Walaupun kadang mai angin aku, berhari hari aku tak balas pun mesej dia. Dan dia tak pernah marah pun. Sentiasa dia mesej minta maaf salah silap dia. Tak pernah dia jemu mesej aku.

Aku boleh kata, dia kenal aku sangat2. Takde orang lain yang kenal aku sebaik dia, dia tau semua aku suka makan, dan dia tak pernah lupa untuk beli special part yang aku punya kalu dia keluar beli makanan, selera kami berdua jauh berbeza..

Dia tau gane nak handle kalau aku mai gila aku. Dia memang tahu mamacana nak beli jiwa aku time aku stress pasal kerja.

Buat suamiku, terima kasih kerana sentiasa sabar denganku, sentiasa redha, sentiasa memaafkan, sentiasa ada setiap saat aku perlukan mu. Sentiasa memenuhi permintaan aku.

Terima kasih, sampai ke hari ini masih menjadi sahabat aku. Sentiasa menjadi imam solatku, menjadi guru dalam setiap keputusan ku, terima kasih atas nasihatmu.

Memang aku sentiasa seperti budak kecik bersamamu walau dunia luar melihat aku seorang insan hebat dan kuat. Hanya kamu yang tahu betapa tidak sempurnanya diri ini.

Minggu lepas ibu mertuaku meninggal dunia. Melihat suamiku meguruskan segala urusan arwah, dari mengesahkan kematian, laporan polis untuk dapatkan sijil, urusan memandikan dan  mengkafankan, solat jenazah sampailah memasukkan arwah ke liang lahad, dan menanam arwah, semua dia uruskan.

Aku yang melihat dari jauh di tanah perkuburan ketika kamu di dalam liang lahad. Hanya satu doaku, semoga jodoh kita ini sampai ku menutup mata, dan kamulah yang menghantarku ke tanah perkuburan dan memasukkanku ke dalam liang lahadku. InsyaAllah.

Aku minta maaf banyak, aku memang isteri yang tidak sempurna buatmu. Terima kasih atas segala kebaikanmu .Hanya Allah yang mampu membalasnya.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *