Sampai Ku Menutup Mata II

Untuk part I, (https://iiumc.com/sampai-ku-menutup-mata/).

Assalamualaikum.. Bismillahirrahmanirrahim.. Kiriman pos yang pertama telah mengundang banyak kecaman dan hinaan baik kepadaku mahupun suami, sehingga aku memilih untuk menutup mata dan tidak lagi meneruskan pembacaan.

Benarlah kata orang-orang terdahulu, berpoligami ini, perlulah ilmu yang tinggi untuk menghadapinya, jika memandang enteng, harusnya tergelincir ke landas yang tak bertujuan dan hanya mengundang lebih banyak fitnah dari kebaikan

Boleh jadi kerana telah ramai isteri yang teraniaya disebabkan tingkah laku suami yang memilih untuk berpoligami namun tidak mengikut syariat Islam yang sebenar menjadikan isu poligami isu yang sangat sensasi dan bukanlah perkara biasa untuk dibincangkan secara umum.

Walaupun pada olahan sesetengah wanita, lantang bersuara, tidak menentang poligami, jauh disudut hati, hanyalah bibir yang berbicara.

Dari amatan, sepanjang-panjang baris nukilanku, hanya satu perkara yang menganggu tumpuan kalian, hanya satu perkara yang menjadi persoalan buat kalian iaitu “RUMAH”. Baiklah, akan ku ceritakan perihal yang menjadi kecelaruan itu, silap ku lah yang tidak berterus terang dari awalnya.

Sebelum perkahwinanku dengan suami, suami telah pun menetapkan syarat, jika berjodohan aku dengannya, dia meminta tidak lain, hanya untuk tinggal dirumah pusaka milik keluarga sesudah berumahtangga.

Ini kerana dia masih mempunyai tanggungjawab keatas 5 orang adik beradiknya. Ibu dan ayahnya juga sudah uzur, 3 adik beradik lainya mengalami palsy. Menjadi tanggungjawabnya sebagai anak lelaki bekerjaya untuk menjaga amanah-amanah dari kedua ibu bapanya.

Aku menerima baik permintaan suami, aku memahami tanggunjawabnya, sedikit pun tidak menjadi isu dalam rumah tangga kami berdua.

Rumah keluarga suami didalam kawasan bendang, dengan sistem saluran air yang tidak sempurna, perparitan yang selalu menjadi masalah bila tiba musim bah, rumah akan ditenggelami air, rumah ini yang pertama dilanda bah, juga yang terakhir surutnya air.

Belum cerita mengenai pendawaian elektrik dalam rumah, silap haribulan, boleh berlakunya litar pintas. Kawasan dapur yang rendah, seringkali air parit membasahi lantai dapur. Membawa air limbahan parit.

Tidak sedikit pun ku menghina atau memandang rendah akan kedaifan rumah suami dan keluarganya menetap sejak dari kecil, aku cuma merasa kasihankan ibu dan ayah mertuaku yang sudah pun uzur menongkat bumi, bersusah payah pula untuk menjaga 3 orang anak yang oku, yang tiada keupayaan bergerak dengan sendiri tanpa bantuan.

Anak-anak yang dewasa hanya dapat membantu ketika malam hari, sesudah pulang dari kerja, begitu juga aku dan suami, hanya dapat meringankan beban ibu ayah usai pulang kerja. Aku jarang dapat membantu, kerana tuntutan kerja yang terlalu padat sehingga suami banyak mengambil alih urusan rumah tangga sedikit semi sedikit.

Oleh kerana rasa tanggungjawab dan kasih kepada keluarga suami ku, aku menawarkan untuk membuat pinjaman peribadi untuk mengubahsuai rumah pusaka itu kepada rumah yang boleh diduduki dengan selesa buat semua ahli keluarga.

Memandangkan aku dan suami telah pun menetapkan nekad akan menghabiskan masa usia ku disini kelak. Pinjaman lulus sebanyak RM150k, dan bayaran ansuran ditolak dari bayaran gajiku.

Ketika pinjaman dibuat, suami masih lagi bergelut dengan kerjaya, walaupun bidangnya professional, namun dia masih baru dalam kerjaya yang diceburinya.

Rumah itu dibina dengan sempurna, mengikut keselesaan yang ditelah dibincangkan mengikut pandangan ibu dan ayah.

Tanah ditambak lebih tinggi untuk mengelakkan air parit melimpah, semuanya seperti membuat rumah yang baru, yang lebih selesa, dengan kemudahan bilik air yang mencukupi buat semua ahli keluarga, tidak perlu lagi berebutkan bilik mandi ketika waktu pagi.

Bilik-bilik yang selesa juga buat adik-beradik oku nya. Rumah itu dilengkapkan dengan kesemua perabut baru, dari ruang tamu, ruang setiap bilik sehinggakan dapur juga diubahsuai sepenuhnya.

Sememangnya cantik kerana mengikut citarasa yang ku suka. Rumah yang kuceritakan itu, bukan lah rumah milik ku sepenuhnya, juga hanya menumpang disitu, bila merasa tiada keperluan berada disitu, kaki ku langkah pergi juga.

Rezeki ku dan suami Alhamdulillah, bertambah baik dari semasa semenjak kelahiran anak yang pertama dengan kerjayaku, gajiku mencapai belasan ribu untuk sebulan, namun suamiku lebih lagi, boleh jadi rezekinya bertambah-tambah kerana khidmat berbaktinya kepada keluarga.

Walaupun, ansuran rumah itu ditolak dari gaji ku, suami ku tanpa gagal membayarnya kembali sedari dulu sehingga kini. Sebab itulah tidak pernah menjadi isu, tentang pembayaran ansuran rumah. Isu nya cuma simadu yang menetap disitu, bukan diriku.

Seperti yang sedia maklum, dari urusan bayaran sewa rumah yang ku menetap kini, bil elektrik, bil air, astro, penapis air cuckoo, belanja makan dan minum, semua suami yang bayarkan. Kemudahan telefon bulanan juga suami yang membayarnya sejak dari awal perkahwinan sehingga ke anak 3.

Boleh dikatakan, keseluruhan gajiku kini, hanya digunakan untuk keperluanku shopping, travel, outdoor aktiviti dan juga bantuan pebelanjaan untuk kedua ibu bapa kandungku sejak aku mula berpindah ke sini. Soal duit, tidak pernah menjadi permasalahan kepada kami berdua.

Cuma dahulu, semasa berjauhan, ketika waktu pergaduhan, aku mengabaikan dia sepenuhnya, langsung tidak meminta wang kepadanya, duit yang diberi kepadaku, ku guna tapi tidak meminta lebih, mungkin kerana aku mampu, dan dia juga ada tanggungjawab yang baru.

Rumah yang ku sewa kini, jauh lebih cantik berbanding rumah pusaka itu, rumah 2 tingkat yang lebih selesa, walaupun rumah sewa, aku senang disini. Dan si madu itu juga nampaknya tidak senang duduk dirumah pusaka itu.

Dahulu sebelum kamu beriya nak berkahwin dengan suami ku, tak pernah kamu lihat kah keluarganya, membuta tuli menyondol suami orang.

Nampak indah ya, orang lelaki hebat berkereta mewah, mempunyai firma sendiri, tokoh masyarakat pula, disegani komuniti, tak kira dah suami orang beranak 3 sekalipun, asalkan dapat merasa manisnya kesenangan. Tapi dia tidak tahu, bermulanya kami suami isteri dengan “nothing”.

Kami berkahwin semasa masing-masing masih belajar, perkahwinan kami juga ala kadar, hanya dilengkap dengan mas kahwin dan kenduri kecil sudah memadai. Tanpa wang hantaran disediakan, aku tidak meminta lebih, kerana suami ku juga bukan lah mampu ketika itu.

Pengajian aku tamat lebih awal berbanding suami. Semasa ketiadaan suami, aku lah yang bergalang ganti menguruskan rumah pusaka itu dengan oncall berterusan selama 36 jam, sedikit pun tidak aku keluh kesahkan. Ikhlas sepenuh hati menjaga mereka seperti ahli keluarga sendiri.

Bila suami berkahwin dengan maduku, aku mengambil langkah yang lebih panjang, meninggalkan segala yang pernah aku abadikan, tidak salah aku tinggalkan semuanya, kerana hati ketika itu telah pun lukanya terlalu dalam. Biarlah maduku pula yang menjadi teraju dirumah itu.

Madu ku itu tidak bekerja, bolehlah dia membantu sepenuhnya, melengkapkan segala keperluan dirumah itu. Aku tenang-tenang sahaja berteman kan anak-anak disini. Masa berpenat lelahku sudah habis, kini biarlah dia pula yang berbakti.

Namun dari penceritaan mereka yang masih tinggal dirumah itu, madu ku tidak mempedulikan mereka yang lain, makanan dan minuman juga disorokkan dipeti ais didalam bilik, bilik tidurnya pula dilengkapi dengan siaran Astro, tv diruang tamu hanya dilengkapi siaran percuma.

Suami ku yang memasak dan menyediakan masakan untuk mereka didalam rumah itu. Adik-beradik yang OKU langsung tidak pernah dibantu untuk diurus. Suami lah yang terpaksa menguruskan semuanya. Tidak aku bergembira pun bila mendengar perihal isteri baru suamiku itu, aku cuma kasihankan suamiku.

Aku tahu, alasan utama mengapa dia memilih untuk berkahwin kali kedua adalah kerana tuntutan kerjaya ku yang tidak menentu, terlalu sibuk sehinggakan tiada ruang untuk aku temani dia sepanjang malam. tiada sempat memasak makanan untuknya, persiapkan baju nya, dia perlukan seorang isteri yang boleh menemaninya sentiasa.

Disebabkan itu, dia berkahwin untuk kali kedua, berangan-angan akan ditemani sesudah perkahwinan yang baru. Malangnya, jauh panggang dari api, setiap hari ada sahaja yang digaduhkan, sehinggakan rumah ku inilah menjadi tempat rehat buat suamiku.

Tiada apa yang kuminta dari suami namun dia terlebih dahulu telah pun membeli sebidang tanah untuk dibina sebuah rumah buat keluarga kecilku, proses pembinaan kini terpaksa dihentikan kerana arahan PKP oleh kerajaan.

Seawal perkahwinan lagi, sememangnya impian kami untuk mempunyai rumah berhalamankan sawah padi. Suami sedaya upaya cuba untuk memenuhinya, dan aku percaya, dengan simaduku juga dia telah berbuat janji, cuma aku tidak akan pernah bertanya. Berkongsi suami, tidak pula berkongsi cerita.

Kebahagian yang semakin hari aku kecapi, tidak aku merasa datangnya kerana kehadiran rumah yang cantik, dengan adanya wang yang banyak tersimpan mahupun seorang suami yang tidak dikongsi.

Kebahagiaan bagi ku itu sekadar aku merasa kecukupan dan syukur dengan yang telah Allah swt kurniakan pada ku tanpa ku pinta. Nikmat Aku manakah yang kau dustai.

Berkenaan dengan anak-anak, ada yang berpesan, jaga lah anak dengan elok-elok, kasihan pada anak-anak. Tidak salahkan kalian, kerana kalian tidak mengenaliku, disini biarlah ku bercerita sedikit sebanyak perihal anak-anakku, tidaklah membangga diri, hanya bersyukur, Allah permudahkan segala urusan dalam membesarkan anak-anak.

Anak-anakku dikurniakan dengan sahsiah akhlak yang baik, malah cerdas otaknya, perilaku yang sempurna baik dari segi akademik juga agama. Anak lelaki sulungku ini, saling tidak tumpah mengikut keperibadian ayahnya, diusia yang muda, sudah mampu menghafal Surah-surah dalam Al-Quran.

Diamanahkan sebagai pengawas dan juga ketua murid disekolah. Menyertai sukan balapan dan mewakili sekolah bagi peringkat daerah. Malah menunjukkan minat yang cenderung dalam pertandingan syarahan. Persis ayahnya yang gemar bersyarah. Menjadi imam kepada adik-adiknya ketika ketiadaan ayah dirumah.

Manakala anak perempuan yang kedua, menjadi pelajar terbaik peringkat negeri ketika di pra-persekolahan (cawangan pra-swasta) dinegeri semasa ku PJJ. Kini berada disekolah kebangsaan setelah berpindah kesini, masih juga mengekalkan kedudukan nya didalam kelas mahupun darjah. Selalu menjadi yang terbaik diantara yang terbaik.

Boleh jadi, aku diuji dengan karenah suami berpoligami, tetapi Allah swt juga mudahkan laluan ku mendidik anak, memberiku rezeki dengan soal pekerjaan, menghadirkan ku teman-teman yang rapat, yang sentiasa ada memberi nasihat jika memerlukan.

Ahli keluarga yang tidak pernah membelakangkan ku, adik beradik yang saling berhubungan dan saling mengingati satu sama yang lain. Jika lah aku menerus melayani ujian poligami yang Allah berikan kepada ku, maka terlupalah aku tentang terlalu banyak lagi perkara yang harus aku syukuri.

Ketenangan itu hadir berserta dengan redha pada ketentuan yang Allah suratkan.

Ramai juga yang menyuruhku agar mencarikan madu yang ketiga, bukan tidak pernah ku suarakan, berulang kali sudah ku pinta, mempelawanya beberapa wanita yang kami kenali, sahabat-sahabat ku yang ibu tunggal juga ku persembahkan, namun seorang demi seorang ditolaknya.

Aku bercadang ingin mengetuai rombongan meminang khas sekiranya suami ku bersetuju. Namun, berulang kali jugalah dia menyatakan dia telah serik untuk berpoligami.

Haaa… baru dia sedar, ingat mudah untuk mengendalikan 2 orang wanita, 2 orang bentuk perangai. Bertabahlah wahai suami. Ini ujian buatmu. Hadaplah bertapa siksanya untuk melayani kedua isteri mu ini dengan adil.

Hubungan ku dengan madu, sememangnya tidak baik, almaklumlah, masih baru, mungkin kerana perasaan benci itu masih tersisa, mendengar namanya pun aku tidak mahu. Aku tidak mengambil tahu walau sepatah perkara pun tentang dia, jika ada yang bercerita kepadaku tentang dia, lebih dulu aku ingatkan aku tidak berminat, adanya lebih baik aku melupakan terus.

Terkadang datang juga emosi tak keruan, berdoa yang bukan-bukan, minta Allah swt pisahkan dia dengan suami ku, tapi ku tahu, hanyalah sekadar ucapan, dihati, aku juga tidak mahu dia berpisah, perkahwinan mereka juga dikurniakan anak, membayang anak sendiri tidak berbapa, runtun hati.

Biarlah berkongsi, boleh jadi perkongsian ini baik buatku, manalah kita tahu kan. Perjalanan masa jauh lagi. Entahkan esok sudah berbaik dengan madu pun tak tentu lagi. Berdoalah yang baik-baik.

Sakit hati, benci, marah itu normal, siapa yang tidak sakit hatikan, suami yang disayangi, dikebas orang, Perangai apa lah rembat suami orang ni, muka tak lawa tidak mengapa, belajar tak pandai tak salah, badan gemuk bulat jalan pun berlaga peha juga tidak menjadi isu.

Yang salahnya, lepas kau rembat suami orang, kau berharap kau nak hidup selesa macam bini yang pertama? Sedangkan usaha kau membantu suami, sekelumit pun tidak.

Nak rampas suami orang, jaga lah adab dalam berumah tangga, barulah tidak menjadi umpatan orang. Ini tidak, mengadu nasib meluah difacebook kata diabai suami, dijadikan orang gaji dirumah, suami yang dikenali ramai akhirnya menanggung malu kerana ramai yang tahu hal rumah tangga.

Jika kamu membaca nukilan ku ini, berhentilah meroyan, meracau di media sosial, aku bersenang-senang dengan duit gajiku sendiri, yang ku beli, yang kupakai, ku cari sendiri, tidak mahu suami menanggung azab ketiakadilan.

Jangan kamu risau, apa yang diberi suami kepada ku, samalah apa yang diberi kepadamu. Dia suami yang baik. Dia tidak juga melebihkan sesiapa diantara kedua. Jadi berhentilah meracau-racau dimedia sosial.

Usia mu masih muda, jangan nanti malu melihat diri sendiri dimasa lalu. Jika kakak yang kau anggap aku, maka kakak yang kau dapat, tetapi jika musuh yang kau fikirkan aku ini, maka musuh lah yang sedang kau hadapi.

Muhasabah diri hendaknya.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *