Sangsi Yang Nyata

Hai, kalian. Pertama sekali, terima kasih sebab sudi menyiarkan kisah aku.

Cerita aku mungkin pendek. Cuma aku perlukan nasihat mungkin.

Aku melangsungkan perkahwinan dalam 2 tahun lepas, di ambang COVID sedang galak menyerang negara kita.

Aku dengan suami aku bercinta 5 tahun sebelum bernikah. Sejak zaman universiti lagi.

Suami aku dalam 4-5 tahun lagi tua dari aku. Kami tak macam pasangan-pasangan bercinta yang lain,

Disebabkan aku terlalu academic-oriented, jadi jadual aku memang sibuk dengan study groups, night revisions, tests, extra assignments dan sebagainya.

Nak berdating berdua tu, bila aku ada masa lapang dalam jadual je baru aku atau dia ajak keluar. Itupun kalau ada duit. Maklumlah, masih student.

Dan selang beberapa tahun, dia mula bekerja, dan aku mula menjejak ke tahun akhir pengajian. Makin sibuk, makin tak ada masa untuk bercinta.

Tapi, dia memahami. Aku bersyukur. Walaupun berjauhan, ada juga la aku menghantar bunga, hadiah dan sebagainya.

Aku simpan duit sikit-sikit untuk belikan dia hadiah & untuk ingatkan dia sentiasa yang walaupun aku sibuk, dia masih aku utamakan.

Usai habis pengajian, aku terus disapa oleh satu syarikat MNC. Dan aku mulakan kerjaya aku sebagai process engineer. Aku sememangnya workaholic (kerja lebih masa walaupun pada hujung minggu), dan aku sangat career-oriented.

Aku tak kisah berjaga malam untuk belajar lebih lagi dalam bidang aku, sebab aku suka apa yang aku buat. Dengan lockdown, dan kesibukan masing-masing, jarang sekali berjumpa. Dalam 3-4 bulan sekali? Itupun kalau tak ada lockdown.

Malahan, orang tua aku tidak berapa setuju untuk kami berdua terlalu kerap berdating, tidak manis. Aku akur.

Jadi bila keluar bersama-sama, selalunya ditemani seseorang (kawan/ ahli keluarga). Daripada tengok wayang, makan, dan sebagainya.

Bunga dan hadiah agak makin kerap aku hantar, untuk menunjukkan yang aku hargai apa yang dia buat untuk aku. Dan dia pun buat perkara yang sama.

Dipendekkan cerita, aku dirisik oleh mak mentuaku. Dan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyatukan aku dan suami. Dan kami berkahwin. Paling bahagia, tak ada lagi halangan ruang dan masa.

Kami berdua bekerja keras untuk memulakan hidup berdua. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Disebabkan kami berdua bekerjaya, duit tidak pernah jadi masalah untuk aku ataupun dia. Kami berdua berkongsi bajet barang rumah untuk hidup kami.

Menjelang beberapa bulan usai berkahwin, kami dikejutkan dengan ayah mentuaku sakit. Hubungan suamiku dengan ayah mentuaku agak renggang, disebabkan suamiku dibesarkan oleh ibunya.

Jadi aku ambil kesempatan ini untuk menyatukan kembali hubungan yang renggang, aku sentiasa mengajak suami aku menjaga ayahnya di hospital.

Pada masa yang sama, aku ditawarkan untuk bekerja di luar negara. Tapi aku tolak atas dasar aku ingin fokus pada bapa mentuaku dulu.

Pada aku, tak mengapa, rezeki tidak pernah salah alamat. Kalau ada, datanglah rezeki itu kembali.

Tak berapa lama kemudian, bapa mentuaku pulang menuju Ilahi. Suami dirundung kesedihan, walaupun tidak menunjuk di depan sesiapa walaupun aku. Tapi aku tahu hatinya. Aku cuba ubatkan, jadi sandaran padanya.

Setahun kemudian, aku di duga. Tanpa sengaja, aku menggunakan komputer milik dia untuk hal personal (beli barang dari Instagram tak silap).

Usai aku membuat bayaran, aku nak hantar copy resit transaction kepada diri aku sendiri sebagai bukti pembelian. Jadi aku gunakan Whatsapp web milik suamiku, dan mencari namaku.

Kemudian, terpampang namaku seringkali disebut dalam conversation lain dengan sahabatnya. Sangsi, jadi aku buka conversation lama itu, bertarikh setahun sebelum kami berkahwin.

Berbaur dari situ, konteks perbualan dia dengan kawannya berbunyi seperti suamiku tertarik dengan seorang gadis di tempat kerjanya waktu itu, dan antara sebab suamiku tertarik, disebabkan jarak ruang dan waktu antara dia dengan aku.

Luluh. Itu sahaja yang aku rasa. Cuba untuk berbincang, berdepan dengan dia, tapi menyangkal sebetulnya sangsian aku. Cuba bertanya kawannya, juga disangkal keras.

Kemudian aku tutup sangkaan aku, dengan menidakkan. Sedangkan aku tahu, sangsi aku nyata.

Setelah dari itu, hingga kini, apabila dia menolak ajakan aku untuk bermesra, aku seringkali terfikir, dan membandingkan diri aku dengan gadis itu.

Apakah dia memikirkan soal gadis itu? Apakah dia menyesal?

Aku cuba berbincang untuk membawa dia berjumpa dengan kaunselor rumah tangga, tapi disangkal lagi. Katanya tidak perlu, tiada apa yang perlu diragui.

Aku buntu. Aku ke yang salah?

– Leyra (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *