Assalamualaikum semua. Coretan aku pada kali ini aku ingin tujukan kepada suami isteri di luar sana yang sedang menanti zuriat.
Aku terdetik untuk menulis pada hari ini kerana baru-baru ni, telah tamatnya usaha kami berusaha berjumpa doktor berbulan-bulan untuk memeriksa jika apa masalah yang menyukarkan kami untuk menimang anak setelah beberapa tahun mendirikan rumah tangga.
Kepada yang sedang berusaha seperti kami mesti faham betapa peritnya nak melalui semua proses tu.
Macam-macam kami lalui, berkorban masa, tenaga dan wang untuk memastikan apa-apa masalah yang kami alami dapat diatasi.
Keputusannya in the end, doktor mendapati semuanya normal, tapi masih tidak berjaya walaupun dibantu oleh pelbagai cara dari sudut perubatan.
Terduduk kami seketika mengenangkan segala usaha kami selama ni. Siapa tak sedih bila segala usaha penat lelah tak mendatangkan hasil.
Tapi akhirnya, kami berdua mengambil keputusan untuk akur dengan takdir Allah. Bukan bermaksud kami mahu give up, tidak. Tetapi mungkin kami mahu usaha kami selepas ini lebih tenang tanpa sebarang stress.
Mungkin tiba masanya kami rehatkan minda sekejap, tanpa stress terkejar-kejar mahukan zuriat mengikut timeline kami. Siapalah kita untuk kecewa dengan takdir yang Allah telah tetapkan untuk kita?
Allah pencipta seluruh alam, segalanya terjadi dengan kekuasaan Allah. Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Sekiranya Allah menetapkan takdir zuriat kita adalah 10 tahun akan datang, adakah kita mampu sabar?
Jika langsung tiada, adakah kita mampu redha? Semuanya bergantung kepada iman di hati kita. Adakah kita mahu membiarkan dugaan yang kita hadapi membuatkan keimanan kita berkurang?
Kehidupan kami sekarang?
Alhamdulillah bahagia, lebih dari cukup. Terlalu banyak nikmat lain dalam hidup kami yang Allah beri. Ahli keluarga yang baik-baik kedua-dua belah keluarga, cukup makan minum, tempat tinggal selesa, kesihatan yang baik untuk beribadat. Alhamdulillah.
Masa lapang kami pula dipenuhi dengan macam-macam aktiviti bersama lagi-lagi waktu pkp ni. Workout, deco rumah, menjahit, memasak.
Macam-macam projek masakan yang kami buat bersama. Walaupun ada masakan yang tak berapa menjadi, masa bersama yang diluangkan buatkan semua jadi sedap haha
Kepada suami isteri di luar sana yang masih berusaha, bertabahlah menghadapi dugaan ini. Para suami perlu mainkan peranan bagi memastikan isteri tidak tertekan apabila melalui proses berjumpa doktor.
Fahami keperitan isteri yang lalui pelbagai test dengan doktor. Pegang tangan isteri sebelum berjumpa doktor, sebab pada masa itula isteri paling nervous.
Suami juga kena sama-sama semangat macam isteri kalau isteri ajak berusaha. Tunjukkan minat untuk turut serta ambil tahu tentang topik kesuburan ni, baru isteri rasa teamwork dengan anda.
Tetapi jika usaha masih tidak berhasil, jangan sesekali membiarkan dugaan ini menjejaskan kebahagiaan rumah tangga kita semua. Rezeki Allah datang dalam pelbagai bentuk. Jangan sesekali lupa segala nikmat yang ada dalam hidup kita.
Kepada yang masih belum berusaha dari sudut perubatan moden, boleh cuba mendapatkan khidmat doktor-doktor pakar di luar sana, kerajaan mahupun swasta mengikut kemampuan masing-masing.
Bukan isteri saja, tapi suami pun perlu diperiksa. Banyak saja kes yang isteri normal, suami tidak. Secara purata, peratusannya sama.
Tidak perlu malu sebab kita mahu periksa diri kalau ada masalah dari sudut perubatan yang menyukarkan dapat zuriat. Yang penting kita usaha untuk mengubat diri kita kalau ada masalah.
Kepada isteriku yang tersayang, abang bangga dengan awak kerana telah tabah menghadapi semua proses tersebut.
Macam-macam suntikan, ambil darah, scan dalaman, ubat-ubatan yang terpaksa awak ambil. Abang lihat semuanya dan abang rasa kesakitan di hati bila lihat isteri abang sakit.
Maafkan abang hanya mampu teman dan pegang tangan awak. Tak apa jika kita masih belum berjaya. Masih belum ada zuriat bukan bermaksud akan kurang kasih sayang abang kepada awak. Tak pernah berkurang walaupun sikit pun.
Moga cinta kita berkekalan hingga ke syurga :)
– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit