Assalamualaikum dan salam kenal pembaca IIUM Confession. Terima kasih admin kalau sudi siarkan. Seringkasnya tentang saya, saya Wahida, 23. Sesuai nama Wahida bermakna satu, saya lah ‘satu-satu’nya anak. Anak tunggal.
Ada satu sisi diri saya yang takda siapa pun tahu dan kenal. Disebalik seorang yang suka menghiburkan, selalu ketawa seolah tiada apa-apa, saya yakin orang tak pernah sangka saya membalut luka disebalik tawa.
Saya membesar sebagai ‘kawan’ kepada Ibu saya. Saya selalu menadah telinga kalau Ibu bercerita tentang Baba.
Sejujurnya, Baba sangat culas bab tangunggjawab. Kalau di ikutkan Baba masih ada kudrat untuk bekerja tapi entahlah, disebabkan Ibu memang ada gaji tetap, saya menjadi saksi ibu menanggung segala perbelanjaan rumah.
Pernah sekali saya bidas saja perihal nafkah di depan Baba mudah saja jawapannya “.. kita masih ada beras untuk makan kan? kita masih tak berlapar pun kan?..”.
Saya tahu Ibu bertahan sebab Ibu tiada siapa-siapa. Ibu anak yatim piatu dan saya yakin salah satu sebab lagi Ibu bersabar sebab Ibu tak nak saya membesar dalam keluarga yang berpecah dan tidak mendapat kasih seorang ayah.
Wahida yang satu, sisi cerita tentang Baba ni saya simpan kemas-kemas sebab bagi saya ia adalah aib keluarga saya.
Saya bertangunggjawab menjaganya sebaiknya meskipun pernah saya terkeluar di depan nenek (Mak Baba) yang Baba ni dah lama tak kerja (sebab sebelumni Baba kerja sendiri) dan tidak memberikan nafkah.
Kalau ada Baba hulurkan pun RM50, entah berapa bulan lepas. Itupun duit dari bantuan kerajaan contohnya bantuan sara hidup bukan dari hasil kerja dia.. entahla nenek pun membela Baba, hahaha.
Wahida yang satu tak pernah bercerita perihal ini kepada sesiapa meskipun kepada rakan baiknya. Saya akui, saya anak yang patuh pada ibu bapa saya kerana saya berpegang pada reda Allah terletak pada reda ibu dan bapanya.
Tapi seminggu dua ni sesak dada dan fikiran saya memikirkan perihal masa depan. Saya sudah tamat pengajian peringkat degree saya, dan sekarang sedang mencari tempat kerja.
Kalau ikutkan bidang yang saya belajarni luas skop kerjanya hari ini dan saya yakin dengan diri saya (in Sha Allah). Cuma sebagai satu-satunya anak dalam keluarga, banyak hadangan daripada Ibu dan Baba untuk lepaskan saya pergi jauh.
Saya minta izin untuk keluar dari kampung saya sebab di sini peluang kerja yang bagus untuk bidang saya memang tiada. Bukan hanya di kampung ini tapi di negeri ini pun sangat terhad.
Oh lupa Ibu saya memang menjawat jawatan di dalam sektor kerajaan, dan dia memang mengharapkan saya untuk bekerja di sektor kerajaan.
Sebagai anak saya cuba berusaha memahamkan mereka, tapi baru saya paham sukar untuk kita merubah pemikiran seseorang. Ibu saya mematahkan setiap hujah saya, Baba pun sama sehingga mereka gunakan ayat,
“Ibu Baba ni dah tua, kalau pergi jauh siapa nak jagakan bila sakit. Ida satu-satunya. Kalau jauh, Ibu Baba meninggal sekalipun tak sempat nak balik kang. Sampai-sampai balik tengok tanah kubur jela eh..”.
Koyak saya, saya ni tak pernah sekalipun belakangkan Ibu dan Baba dalam apa jua urusan hidup saya. Kalau ikutkan tawaran degree saya 4 tahun lepas, saya boleh ‘fly’ jauh dengan tawaran dari kecemerlangan sejak SPM saya dulu lagi.
Tapi saya utamakan belajar di negeri sama, sebab Ibu Baba tak izinkan pergi jauh sangat. Saya akur dan patuh, bagi saya mana-mana pun belajar matlamatnya tetap sama, untuk ilmu dan yang penting Ibu Baba, OK.
Cuma berkaitan kerjaya saya kalini, saya nampak ‘potential’ saya di luar sana tapi entahla sayap saya ditahan seketika untuk terbang lebih tinggi. Ibu dan Baba perlekehkan apa yang saya terangkan tentang jawatan/career path saya.
Pemikiran Ibu dan Baba masih di tampuk yang lama. Bagi mereka kejayaan/pencapaian hebat adalah apabila habis belajar, grad, masuk kerja sektor kerajaan. Hahaha entahla. Saya tahu mereka mengharapkan yang terbaik dari saya sebab saya adalah satu-satunya anak.
Jadi dimana Wahida ini bersandar melepaskan lelah selain dari tangisan di tikar sejadah dan air mata basah dibawah pancuran paip mandi di saat kesunyian malam.
Memang sepatah pun saya tak pernah bercerita beban fikiran saya bawa ini kepada sesiapa. Saya tak pernah percaya sesiapa walaupun rakan baik saya.
Peneman hidup? 23 tahun hidup saya tak pernah terfikir untuk bercinta meski macam-macam ‘proposal’ bercinta saya terima, haha.
Satu sebab larangan agama. Kedua dan sebab kukuh adalah bila saya letak Ibu dan Baba dihadapan, saya tahu mesti hadangan yang besar juga bakal saya hadapi bab pasangan hidup (tapi bab ni takpelah, bukan dalam keutamaan hidup sekarang).
Wallahi ini kali pertama Wahida bercerita tentang hidupnya dengan bebas tanpa perlu memikirkan kritikan orang sebab tiada siapa tahu siapa sosok di sebalik tulisan ini.
Saat saya rasa sangat berat ketika ini, saya hanya mampu ambik masa bertenang, menulis melepaskan keluhan. Tulisan saya ni pun terumbang ambing dengan gabungan macam-macam cerita dek emosi saya masih bercampur baur.
Tapi saya memilih untuk menulis di sini sebab saya yakin di sini ramai orang-orang positif sebab saya selalu baca confession dan komen orang-orang disini.
Terima kasih ya semua kalau sudah baca sampai ke tulisan ini, saya hargai dan mohon doakan saya kuat serta Allah permudahkan segala urusan hidup saya.
Saya baru sahaja selesai membaca Al-Quraan dan sempat baca terjemahan, seolah ayat memujuk saya terima dari kalam Dia (Surah Al Ghafir, 44).
In sha Allah saya OK, cuma saya perlu menzahirkan perasaan dan luahan saya melalui tulisan seketika je. Pada akhirnya saya akan berpegang pada bisik hati saya,
“.. Perihal yang hari-hari aku doa dan rayu adalah Syurga Dia, tapi amal ibadah seolah tidak melayakkanku ke sana. Maka Allah hadirkan ujian sebagai asbab penghapus segala dosa dan semoga darinya termakbullah doaku untuk mendapat SyurgaNya.”
– Wahida (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit