Saya Buntu

Hai semua. Saya nak minta pendapat dari pembaca yang budiman.

Saya ibu bekerja dan mempunyai 2 orang anak. Seorang anak sudah bersekolah manakala seorang anak lagi baru berusia 2 tahun.

Sebelum ini, anak-anak saya dijaga oleh pengasuh yang sangat baik. Tetapi pengasuh anak saya sudah berhenti pada awal tahun ini kerana mengikut suaminya berpindah.

Untuk pengetahuan semua, kawasan kediaman saya tidak mempunyai taska.

Oleh sebab itu, saya memerlukan perkhidmatan pengasuh yang boleh datang ke rumah untuk menjaga anak-anak saya.

Alhamdulillah selepas pengasuh sebelum ini berhenti, adik saya yang sedang menganggur menawarkan diri untuk menjaga anak-anak saya.

Saya memberikan bayaran yang sama dengan pengasuh lama kepada adik saya.

Saya amat gembira namun terdapat beberapa masalah yang membuatkan saya amat tertekan setelah adik saya sendiri menjaga anak-anak saya.

Antara masalah yang membelenggu saya sekarang adalah sikap adik saya sendiri. Adik saya sukar memberikan komitmen yang baik semasa menjaga anak-anak saya.

Sebagai contoh, saya sudah berpesan kepadanya supaya tidak memberikan makanan ringan kepada anak-anak saya, namun arahan saya ini tidak diendahkan.

Saya dapati bahawa adik saya tetap memberikan makanan ringan kepada anak-anak saya.

Seterusnya, saya juga sudah berpesan kepadanya supaya menghadkan screen time atau menonton televisyen sewaktu menjaga anak-anak saya namun arahan ini juga tidak diendahkan.

Arahan ini hanya bertahan sehari. Keesokan hari dan hari seterusnya dia tetap membiarkan anak-anak saya menonton tv sehingga berjam-jam,

Manakala adik saya ligat bermain permainan game menggunakan telefon bimbitnya.

Selain itu, saya juga menegaskan kepada adik saya supaya memantau anak saya yang berusia 2 tahun semasa makan makanan sendiri.

Namun, adik saya tidak memantau ketika anak saya makan sendiri.

Dia duduk membelakangi anak saya yang makan sambil menonton tv dan adik saya pula sibuk menggunakan telefon bimbitnya.

Saya tahu perkara ini kerana saya memerhatikan mereka semua melalui cctv.

Kadang kala adik saya juga tertidur sewaktu menjaga anak saya. Adik saya sering tidur lewat kerana bermain game pada waktu malam.

Bercakap tentang teguran, saya sudah menegur beberapa kali tentang perkara ini kepada adik saya. Namun teguran saya ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Saya tidak berniat untuk memburukkan adik saya sendiri namun sikapnya membuatkan saya sering marah kerana perkara yang saya elakkan dan sangat saya jaga terutamanya bahagian jagaan makanan dan menonton tv dilanggar begitu sahaja.

Oleh yang demikian, pendapat dari para pembaca amat saya perlukan sekarang. Adakah saya patut mencari pengasuh anak baru ataupun tetap bersabar dengan sikap adik saya sendiri?

Setiap kali ternampak adik saya melanggar arahan saya ini perasaan untuk mencari pengasuh baru membuak-buak.

Untuk pengetahuan semua, adik saya seorang yang penyayang dan tidak akan membantah sekiranya saya meminta apa-apa bantuan.

Namun sikapnya yang tidak mengambil serius arahan tentang jagaan anak saya membuatkan saya amat tertekan.

Bantu saya pembaca sekalian. Terima kasih.

– Siti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *