Saya Minta Maaf

Saya kira, disinilah tempat yang paling tepat untuk diluah. Semoga Allah lorongkan hati admin untuk share secebis pengalaman ini.

Saya seorang wanita, kini sudah berumahtangga. Sebelum berkahwin, pada awal umur 21 tahun saya diserang sakit dipression yang teruk.

Kisahnya, dari kecil lagi saya membesar dengan selalu dimarahi. Berbanding pula dengan adik saya. Dia muda setahun. Berbeza dengan saya, adik saya ini pandai orangnya. Selalu dapat nombor satu dalam kelas dari sekolah rendah hingga sekolah menengah. Selepas PMR, dia berjaya masuk MRSM.

Tak macam saya, saya hanya aktif bersukan. Sungguh pun saya selalu dapat nombor akhir dalam kelas, saya sentiasa berada di kelas hadapan sebenarnya. Mungkin saya tidak sebijak kawan-kawan sekelas sebab itu saya sentiasa berada di tempat akhir.

Masuk sekolah menengah, saya perform sukan dengan baik hingga ke peringkat negeri. Sepanjang itu juga, saya sentiasa berada di kelas hadapan. Tapi saya kira, itu bukan ukuran pada mata mak saya.

Adik saya lelaki dan saya perempuan. Saya lebih banyak dikerah buat kerja rumah. Bila saya bangun lambat, mak dah menjerit marah-marah. Bila saya salah potong bawah, kena marah. Bila saya salah sidai baju, pun kena marah. Banyak perkara saya dimarahi. Saya tak faham kenapa saya kena marah sebab tidak ditunjuk mana kesilapannya, jadi saya terus bingung. Dan episod marah-marah saya hadap dari hari ke hari.

Isu keluarga timbul tak lama lepas nenek sakit. Adik-beradik mak berbelas ramainya, hanya dua orang saja sedia menjaga nenek tapi nenek selesa lagi tinggal dengan kami. Jadi, bermula pula episod lain. Mak ayah tak habis bertengkar atas sebab ayah tak puas hati dengan adik-beradik mak yang lain. Dah tentu mak stress, dengan penat menjaga orang tua lagi. Sayalah yang perlu bantu kalau nenek tercicir najis kalau tercirit (walaupun masih memakai lampin), sayalah yang mandikan nenek, sayalah yang akan sediakan makanan dalam dulang untuk dibawa kepada nenek.

Saya, walaupun cucu kesayangan nenek, masih juga perlu menghadap amarah mak yang tak pernah habis. Sampaikan cikgu sendiri perasan perubahan sikap saya di dalam kelas, jadi saya luahkan apa yang terbuku. Hari report card menjelang tiba, bila ayah tiba dan cikgu ceritakan semuanya, balik saya kena marah lagi. Umpama saya ini cerita perkara tak baik tentang keluarga, sedangkan saya juga sangat stress. Penat sekolah, penat jaga nenek, penat kena marah, penat berjaga malam sebab tak boleh tidur tunggu nenek. Yang saya dapat hanya marah-marah-marah.

Sejak itu, saya nekad berdiam diri. Saya mohon sekolah asrama diam-diam masa nak PMR. Saya nak keluar rumah sebab tak tahan suasana macam ni. Bila dapat keputusan saya diterima masuk asrama, sepanjang persiapan saya ke sana, mak langsung tak pernah jengah ke bilik. Saya buat sendiri semuanya. Sampai hari nak masuk asrama, hanya ayah yang hantar ke dewan pendaftaran. Mak? Pandang saya pun tak ingin masa saya nak salam keluar rumah. Saya tengok kiri kanan, katil kawan-kawan penuh dengan keluarga. Saya kemas sendiri. Sunyi.

Masuk poli, saya mula bebas. Saya cari perhatian dan kasih sayang yang saya mahu. Saya berjumpa dengan seorang lelaki. Soft spoken, muka hensem macam korea, tinggi lampai dan romantik buatkan jiwa saya goyang. Kami bercinta setahun lamanya hinggalah masuk tahun seterusnya, dia mula dera saya secara mental dan fizikal. Nak diadu pada mak ayah, sudah tentulah saya akan dipersalahkan kembali. Yalah.. Sejak kecil pun, saya asyik kena marah, tentulah nanti saya kena marah lagi.

Saya pendam. Nak diluah mati mak, ditelan mati bapak. Genap dua tahun, selepas peristiwa saya dipukul hingga pengsan, saya ambil keputusan untuk angkat kaki dari relationship ni. Tolong jangan kecam, cerita saya panjang lagi.

Masa ini, saya dah habis belajar. Saya dah pun berkerja dalam sektos swasta. Saya kerja sangat kuat selama dua bulan, atas asbab kecil saya ditengking bos dengan teruk, saya tak tahan menanggung bebanan hati. Disebabkan dari kecil, asyik dimarahi dan kemudian jumpa relationship yang teruk. Barulah sakit saya menjadi trigger, iaitu Major Dipressive Disorder atau dengan kata lain, saya dipression sangat teruk.

Sakit saya develop lebih teruk selepas saya menolak untuk tidak ambil ubat semasa rawatan. Saya teruskan hidup macam biasa (dengan rasa dipression tenggelam timbul). Saya sambung belajar, dan masa inilah anxiety dan OCD saya mula develop. Bayangkan saya tak tahu nak bercakap pada siapa, saya sering jumpa kaunselor hampir setiap minggu hingga saya dicop sebagai pelajar bermasalah oleh lecturer. Saya sedih, saya tak tahu nak buat apa sebenarnya. Dalam keadaan tersebut, saya masih tak tahu itu adalah masalah mental dan saya masih lagi memandang enteng hal-hal ini.

Dengan izin Allah, saya berkahwin tak lama kemudian. Sebelum berkahwin, saya dah explain pada suami keadaan saya yang sangat teruk pada masa itu, suami menerima saya dengan baik sekali. Saya berhenti belajar tak lama kemudian dek tak tahan menanggung anxiety yang sangat teruk.

Keadaan tak berubah pun. Selepas melahirkan anak pertama, saya kena angin royan. Saya benci baby sejak dalam pantang lagi. Suami saya, walaupun banyak membantu, saya masih tak punya support system yang cukup. Berpantang di rumah mak, buatkan saya lagi tertekan. Mak, masih begitu. Masih sikap marah-marah. Hati saya yang retak seribu menunggu pecah, memang tak daya menahan kata-kata mak.

Lahir anak nombor dua, suami support habis. Kami nekad berpantang sendiri. Suami sanggup ambil cuti sebulan tanpa gaji untuk jaga kami. Duit tak cukup, kami tawakal. Ada tetamu datang ziarah baby, bagi duit RM300. Saya dan suami menangis. Duit itulah serba sedikit bantu kami pada masa itu.

Sepanjang tempoh sebelum dapatkan rawatan, ada beberapa kali percubaan saya cuba untuk bunuh diri atas sebab mendengar bisikan-bisikan. Perasaan mahu bunuh diri itu, bukanlah sebab saya tidak menyayangi suami dan anak-anak, ini kerana saya sangat penat dengan keadaan diri yang sentiasa tenggelam dalam perasaan negatif. Sangat susah untuk saya bergerak ke depan. Umpama saya sentiasa dirantai dengan bebanan yang makin lama makin besar.

Kini, saya sudah hampir 2 tahun dapatkan rawatan secara serius atas sebab Major Dipressive Disorder dan Anxiety Disorder tahan psikosis (sudah mula mendengar bisikan-bisikan halus). Saya sudah mula ada angan-angan untuk berjaya. Sebelum ini saya kaku duduk dirumah membesarkan anak-anak sebagai surirumah sepenuh masa, sekarang saya sudah punya pendapatan sendiri sebanyak dua ribu sebulan dengan hanya berbisnes dari rumah. Saya sudah mula mahu belajar memasak, menjahit dan lain-lain.

Sehinggalah baru-baru ini, sakit saya triggered dek kata-kata oleh ahli keluarga saya sendiri. Sebab tak mampu nak berdepan, jadi saya luahkan semua dalam wasap. Saya jelaskan kenapa saya sakit begini, apa yang saya dah hadap sejak dulu hingga sekarang dan betapa susahnya saya nak keluar dari kegelapan sakit mental ini.

Saya penat bila dikatakan saya ini tak cekal, saya tak suka bila orang bandingkan ujian hidup saya dengan orang lain. Saya tak gemar bila orang kata saya ini tidak kuat iman sedangkan Allah sajalah yang tahu betapa strugglenya saya memanjat doa dalam keadaan saya paling sakit menghadap hidup.

Saya tahu, bila saya luahkan perasaan dalam wasap, pastilah hati mak dan ayah terluka kerana saya ungkit semuanya sejak saya kecil. Saya tahu susah nak besarkan anak-anak kerana saya sekarang ini sedang berusaha besarkan anak-anak saya. Tapi dalam keadaan begini, saya berharap yang pada akhirnya, mak dan ayah tolonglah faham saya. Bukan saya pinta mahu sakit begini. Bukan saya suka orang cop saya sebab saya sakit mental.

Tahukah anda, betapa susahnya orang sakit mental menjerit meminta bantuan namun mulut berkunci?

Akhirnya, saya maafkan mak dan ayah saya. Saya percaya, saya ini pun belum tentu jadi ibu yang sempurna buat anak saya. Namun dalam keadaan begini, biarlah saya bawa hati saya dahulu. Bukan sebab membenci, cuma mencari kekuatan untuk hidup kembali.

Saya minta maaf.

– Anak yang tidak sempurna.

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *