Saya Ok Saja!

Hi, saya Hanna. Berumur pertengahan 30. Berkahwin. Nak cerita pengalaman hidup yang taklah seberapa. Rindu menulis sebenarnya.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Ada 12 orang adik beradik. Tinggal nun jauh di pedalaman. Jauh dari dunia moden.

Bapak seorang pesara cleaner di pejabat kerajaan, mak seorang petani merangkap suri rumah sekaligus.

Hidup sangat susah, tapi syukur tanah bendang warisan bapak sangat luas. Kami usahakan untuk makan sendiri saja, bukan untuk komersil.

Tiada bantuan mesin. Dari menanam benih padi, sehinggalah menuai hasil, hanya berbekalkan tulang 4 kerat semata.

Kami beradik, seawal umur 5 tahun sudah diajar bekerja di sawah. Dari kerja ringan memungut siput gondang, sehingga mengangkat guni penuh berisi padi. Semua pernah dibuat.

Seingat saya gaji bapak sebagai cleaner hanya RM900 (tahun 2006), tak logik untuk menampung 14 kepala. Dengan 3 beradik teratas masing-masing sedang menuntut di universiti.

Tapi kami survive sebab beras tak pernah kurang. Lauk pula hanya lauk kampung. Ikan sungai, ayam itik peliharaan dan sayur liar.

Tahun 2000, ketika semua rumah di kampung dah disambung dengan air paip bersih, kami masih mengangkat air untuk kegunaan harian dari perigi kecil di pinggir kampung.

Perlu melalui padang ragut, susur laluan kecil antara semak samun untuk sampai. Mandi, cuci kain, cuci pinggan mangkuk, semua di sungai dan perigi itu saja.

Pernah sekali terdengar di telinga, orang kampung kata kami minum air mayat, sebab ada tanah (agak jauh dari perigi) dijadikan tempat perkuburan persendirian. Air mayat mengalir ke mata air yang kami guna, katanya. Hmm

Pernah satu masa tu, beranda rumah runtuh sebab dah reput. Sampai berbulan-bulan terbiar sebab bapak tiada masa dan tiada dana untuk baiki. Jiran dengan sinis bagitahu, orang yang lalu lalang ingat rumah kami tak berpenghuni. (Sebab nampak sangat buruk).

Pernah juga kakak saya mengajak kawannya bermalam di rumah, habis dijaja cerita keluarga kami miskin, sebab makan tak berlauk. Cuma berlauk ikan kering dan sayur kampung. Padahal masa tu saya ingat lagi, lauk tu antara yang paling mewah mak sediakan untuk meraih tetamu.

Walaupun tamu tu baru 10 tahun, mak tetap menyantuni dia. Tapi bila diingat, memang jarang sekali kami makan berlauk. Ada la sekali dua selepas bapak dapat gaji, selebihnya kadang ada, kadang lepas pulang dari sekolah, yang penuh hanya periuk nasi. Lauk, pandai-pandai la cari.

Selalunya balik dari sekolah, saya akan petik cili di tepi rumah, perah dengan air limau, gaul dengan nasi. Tak pun nasi kicap. Tu pun kicap jarang sangat nak ada.

Paling senang bancuh nasi dengan air kosong, tabur dengan garam.makan. Mak seawal pagi dah turun ke sawah bendang. Tak sempat memikir lauk apa untuk dimasak. Peti ais kosong.

Persiapan ke sekolah? 100% berdikari sejak umur 7 tahun. No breakfast, no money, tiada bekal makanan. Mungkin dalam sebulan, adalah dua tiga kali berduit RM0.20 sen, paling mewah RM1.

Kalau tiada duit, waktu rehat saya main di bawah kulong kelas sampailah waktu masuk. Selalu berharap terjumpa duit 10 sen atau 20sen, tapi tak pernah jumpa pun. Hahaha

Zaman lewat 90-an, belum ada RMT. Pandai-pandailah hidup kalau tiada duit poket. Pernah sekali terkena serangan hypo, badan menggeletar teruk, peluh sejuk macam namateyyy. Saya tak faham pun yang saya sebenarnya jadi begitu sebab tak makan.

Bila tengok saya, cikgu terus belikan 2 bungkus mee. Suruh makan di luar kelas. Terketar-ketar tangan saya menyuap makanan ke mulut sambil duduk di lantai beranda kelas.

Masa tu, saya kagum sangat cikgu saya tu boleh tahu saya tak makan seharian. Macam magic sangat. Ya la, umur baru 7 tahun. Naif. Sampai sekarang saya ingat nama penuh cikgu saya tu. Terima kasih cikgu.

Memori masa rehat ni banyak sangat, sebab selain bermain, saya suka memerhati murid lain yang tengah makan. Saya ingat lagi anak kembar guru besar sekolah saya.

Setiap kali rehat, makanan ringan penuh diisi dalam plastik mee kuning cap udang. Saya dok tengok dari tepi sambil main gelongsor di tepi parit. Sambil-sambil tu adalah menelan air liur sikit. Sebab plastik tu transparent, nampak sedap snek-snek dalam tu. Haha

Saya murid yang diam pemalu. Tak suka menjawab bila cikgu tanya soalan.duk diaam setempat.Tapi tiap kali peperiksaan, tak pernah tak dapat nombor 1. Hujung tahun dapatlah naik pentas, bapak datang bagi hadiah atas pentas.

Tapi sebenarnya hadiah tu saya yang pilih sendiri. Balut, ambil atas pentas, pastu acah2 macam dapat hadiah surprise. Haha. One of my best memories.

Tiap kali dapat nombor 1 tu, Bapak mesti janji nak belikan basikal kalau next exam dapat lagi nombor 1. Sampai sekarang umur dah 30an, tak nampak lagi bayang basikal tu.

UPSR saya berjaya dapat top 1.Biarpun ulangkaji guna buku aktiviti yang saya korek dari almari usang dalam kelas. Foc. Tak tahu zaman bila punya. Sukatan dah tak sama, tapi isi kandungan masih boleh pakai untuk mengukuhkan vocabulary. Bau buku lama tu masih segar dalam ingatan.

Gigih saya ulangkaji biar tiada siapa yang suruh. Ingat lagi, saya pernah ulangkaji di bawah pokok tarap. (Yang tau tu, tau la)Tiba-tiba sebiji buah tarap jatuh menghempap belakang saya yang tengah sedap meniarap atas tikar di bawah pokok.

Lama saya baring kakuh menikmati kesakitan. Lepastu saya makan sikit buah tarap yang terburai jatuh atas buku. Taklah rugi sangat kan.

Zaman sekolah menengah pula, dah tiada memory kelaparan. Sebab saya dah licik sikit. Saya tahu bapak mampu, jadi setiap kali dia gaji, saya mintak siap rm50 sebelum dia dok belanja ke tempat kurang penting.

Rm50 tu saya dah assign belanja seringgit sehari. Siap tolak cuti sekolah dan kira ada berapa duit extra sampai bapak gaji next. kalau ada, dapatlah merasa ice cream cornetto selepas balik sekolah.

Kiranya seawal tingkatan 1, saya dah ada monthly budget yang strict. Tingkatan 3, bapak pencen. Tapi perancangan Tuhan sangat cantik, sebaik bapak pencen, saya lulus dapat biasiswa.

Biasiswa tu saya bahagi 2 dengan kakak. Sebab permohonan dia tak berjaya. Dengan duit tu saya habiskan hari-hari persekolahan sampailah hari last SPM tanpa berlapar. Hihi.

Sekolah menengah, saya selalu dapat 1st place dalam seluruh tingkatan. Mak? Tak pernah ucap tahniah. Siap pesan jangan riak, jangan suka menunjuk. Tapi mak bukan jahat tau, saya fikir itu la mak.

Itulah bahasa kasihnya. Saya terima. Jadi saya dah terbiasa, dapat top 1 dari beratus pelajar pun, saya balik dan simpan slip keputusan tu baik-baik dalam laci. Even adik-beradik pun tak tahu achievement tu.

Balik rumah bawa slip SPM terbaik dalam daerah pun, saya buat macam hari biasa. Terus simpan dalam file dan go on dengan hidup. Tiada majlis kesyukuran atau ucapan tahniah. Tapi saya ok saja. Tak sedih, tak ingin diraih. Serius.

Lepas SPM, umur 18 tahun dapat tajaan penuh program ijazah. Saya ni budak kampung saja. Ke ibu kota pun boleh kira dengan jari sebelah tangan, tiba-tiba kena terbang menyeberang laut cina selatan. Ada orang hantar? Tak ada.

Sebab tak mampu. Tiket untuk seorang ni pun sudah habis diusahakan. Saya berserah saja naik teksi ke airport dari rumah. Sebelum naik teksi tu, mak cuma cakap sebaris saja. “Kuatkan semangat” sambil mengusap lembut belakang saya.

Mesti dia risau, nak sangat hantar saya, tapi tak mampu kan. Rindu mak. Bapak?ada kerja di bendang masa tu. Selamba saja kan, tiada adegan bersalaman berpelukan.

Tapi saya okay saja. Serius tak terasa hati pun. Sampai sekarang kalau saya dah nak kembali ke tempat kerja, dia hilang. Mungkin itu cara dia. Saya tak ambil hati.

Masa tu, flight saya pukul 9 malam sebab flight tu saja harga paling murah. Seawal jam 4 petang saya dah terpacak di airport, sebab teksi terakhir dari kampung bertolak jam 2 petang. Sedih sangat masa duduk sendiri berjam-jam dekat airport tu.

Tiada orang nak dibawa berbual, tiada tempat bergantung, melainkan kepada Tuhan semata. Puas saya tengok gelagat manusia selama hampir 5 jam. Homesick sangat masa tu. Rindu katil buruk dekat rumahh. Rasa nak nanges tapi air mata tak keluar. Tak suka menangis orang nampak.

Dua kali transit flight, bermalam sendirian di airport. Syukur, ada saja insan yang diutus Tuhan memudahkan urusan. Dengan naifnya saya ketika itu, saya berjaya sampai ke universiti sendirian.

Mampu tengok saja kawan-kawan yang lain dihantar siap pakej satu family ikut. Siap sampai ke bilik ditolong bersihkan sawang-sawang.

Saya?gadis kecik berat 38kg, tinggi 150cm masa tu gigih usung bagasi usang berwarna hitam naik tangga kolej kediaman 3 tingkat. Berat sungguh. Mujur ada pacik sorang ni, tolong angkatkan bagasi sebab kesian sangat tengok saya sendiri berpeluh-peluh di situ.

Terima kasih pacik. Malam tu saya tengok roomate saya nanges dekat katil sebelah. Rindu bermalam dekat rumah kot. Takpe, hujung minggu kan boleh balik, kataku.

Saya memang tak nanges. Tapi sebenarnya saya tak kuat pon. Bayangkan sejak lahir sampai umur 18 tahun, paling lama tak balik rumah 3 hari 2 malam. Tu pun sebab ikut program perkhemahan sekolah. Tetiber kena kejutan budaya boleh balik setahun sekali dua saja.

Bayangkan susahnya saya recover. Lama jugak saya anxiety, homesick. First 6 months, berat turun tinggal 36kg. Jantung selalu tiba-tiba berdebar, tangan berpeluh. Kena pula selalu present assigment depan orang ramai. Saya belajar di sekolah kampung, baru tengok dunia luar.

Tula tak biasa. Masa ni baru jumpa ramai orang yang jauhh lagi bijak dari saya. Rendah diri sangat. Dari budak paling bijak dalam kelas selama bertahun-tahun, tiba2 jadi sedang-sedang saja. hehe.

Tapi saya slowly fit in. Tahun ke 2 saya dah ok, boleh bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Chewah.

Tahun ke 3, ekonomi keluarga dah makin ok. Sebab adik beradik atas saya dah start stabil dengan kerja masing2. Jadi tiada dah cerita sedih2.

Akhirnya saya berjaya grad dengan jayanya. Hidup sekarang, syukur. Berganda baik dari dulu. Saja nak cerita, sebab bapak call tadi. Nak minta basikal katanya.

Nak guna ke kedai beli kopi kalau bekalan habis. Saya pula tak sampai hati nak ungkit janjinya yang dah berpuluh tahun terkubur tu.

Akhir sekali, tahniah untuk orang yang baca sampai habis. Hehe. Goodnite semua!

– Hanna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *