Assalamualaikum. Terdetik di hati saya untuk menulis sesuatu di sini — bukan sekadar mengadu, tapi sebagai ruang untuk meluah… dan mungkin juga sebagai doa yang ditulis dalam bentuk kata.
Saya perkenalkan diri sebagai Khadijah Zara (bukan nama sebenar). Berumur 33 tahun, sudah berkahwin hampir 8 tahun… dan masih belum dikurniakan zuriat.
Saya dikurniakan seorang suami yang sangat baik, penuh kasih, dan cukup sempurna di mata saya.
Rezeki kami pun, alhamdulillah… melimpah ruah dalam banyak bentuk — kesihatan, ketenangan, kestabilan hidup. Saya sangat bersyukur.
Kami berdua pernah menjalani rawatan kesuburan dan keputusannya, tiada apa-apa masalah besar. Semua normal. Doktor diagnos saya sebagai unexplained infertility. Paling tepat — belum rezeki.
Saya pernah menjalani IUI sebanyak 5 kali, dan semuanya tidak berjaya.
Buat masa ini, saya tidak terfikir pun untuk jalani IVF.
Bukan semata-mata sebab kosnya yang tinggi dan belum tentu berjaya… tapi lebih kepada naluri saya sendiri.
Saya rasa saya mahu terus berusaha sendiri, berdoa sendiri, bergantung penuh pada Allah.
Tapi orang sekeliling pula sering bertanya dan mendesak —
“Kenapa tak buat IVF?”
“Dah cuba ke?”
“Bila nak buat rawatan besar sikit?”
Kadang-kadang… saya penat.
Saya okay sebenarnya.
Saya bahagia dengan hidup saya. Saya redha. Saya bersyukur.
Tapi bila orang tengok saya macam kesian sangat, gosok belakang saya sambil cakap “sabar ya…” depan orang lain — saya jadi nak menangis.
Saya okay. Tapi bila awak buat macam saya tak okay, saya jadi terluka.
Saya tahu… niat mereka mungkin baik. Tapi pernah tak terfikir — teruk sangat ke seorang wanita yang belum ada anak?
Adakah saya tak layak ke syurga hanya kerana saya belum menjadi seorang ibu?
Adakah saya perlu rasa cacat, kurang, malang… hanya kerana rahim saya belum diisi?
Kadang-kadang saya hanya mahu dunia ini diam sekejap.
Saya hanya mahu peluk diri sendiri dan bisik:
“Khadijah Zara… Allah tak pernah lupa awak. Allah pilih awak untuk ujian ini, sebab Dia tahu awak kuat.”
Kita semua tahu dunia ni sementara.
Kita tahu anak bukan syarat utama ke syurga.
Tapi kenapa kadang-kadang… manusia sekeliling buat saya rasa sebaliknya?
Seolah-olah saya ini wanita yang paling malang, paling tak lengkap.
Saya tak pernah rasa kesian pun tengok orang yang kahwin lambat.
Saya tak pernah pandang rendah pada orang yang belum bertemu jodoh.
Kalau lihat mereka diuji, saya bisik dalam hati: “Ya Allah, hamba-Mu ini pasti istimewa kerana Kau uji dengan ujian seberat itu.”
Dan saya juga… saya rasa saya istimewa kerana diberi ujian ini.
Saya mampu.
Kerana di sebalik ujian tiada zuriat, Allah kurniakan saya seorang suami yang terlalu sempurna di mata saya.
Pekerjaan, kesihatan, wang ringgit, masa, jodoh, pasangan yang baik, zuriat — semua itu adalah rezeki daripada Allah.
Tapi kenapa kalau seseorang itu belum ada anak, terus dianggap kurang?
Cuba bayangkan — Seseorang tak mampu beli kereta… tiba-tiba kita tanya,“Eh, bila nak beli kereta?”
Atau seseorang tiada pekerjaan… kita tanya, “Sampai bila nak menganggur?”
Apa perasaan dia?
Sama seperti orang TTC.
Bila ditanya begitu… rasa sedih. Rasa malu. Rasa kecil.
Jadi… tolonglah. Tak perlu tanya dan tak perlu tunjuk simpati yang keterlaluan.
Saya ingin hargai rezeki depan mata yang Allah bagi pada saya.
Saya tak mahu terlalu kejar satu perkara sampai saya lupa nikmat yang sedia ada.
Kalau saya sibuk fikir tentang anak, tiba-tiba Allah tarik rezeki suami saya, keluarga saya… saya tak sanggup. Saya juga tak sanggup sekiranya Allah tarik nikmat kesihatan, nikamat rezeki pacaindera.
Saya nak syukuri dan hargai apa yang saya ada hari ini.
Saya usaha.
Kalau cerita pasal usaha… hmm. Tak perlu ceritalah.
Jadi… tolong jangan tanya perkara yang menyedihkan.
Soalan “bila nak ada anak?” dah jadi perkara biasa — Tapi ia buat saya takut nak jumpa orang. Sebab saya tak sanggup tengok muka simpati tu.
Ujian paling besar bagi orang TTC seperti saya bukan semata-mata kerana belum hamil — tapi kerana terpaksa menghadap manusia.
Sebab nak pujuk hati sendiri tu masih mampu…
Tapi bila terpaksa hadap kata-kata & reaksi orang sekeliling… memang rasa nak menangis, nak menjerit.
Namun cuba kita fikir balik… Apa sebenarnya tujuan kita hidup di dunia ni?
Kita hidup untuk beribadat kepada Allah. Kita semua sedang bermimpi sekarang — ada mimpi indah, ada mimpi ngeri. Kita hanya akan terjaga bila kita mati nanti.
Dan saya percaya, Allah sedang simpan sesuatu yang lebih besar daripada yang mampu saya bayangkan.
Terima kasih kerana sudi baca sampai habis.
Moga awak yang membaca ini pun, Allah hadiahkan sesuatu yang paling awak doakan dalam diam.
Dari hati,
– Khadijah Zara (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Betul, kadang kadang orang sekeliling yang buat kita sesak dan rimas. Takpe adik teruskan hidup dan bergembira dan carik lar ayat yang sesuai untuk stop kan orang untuk sibuk bertanya itu dan ini, contohnya saya ok je no problem, awak tak payah risau untuk saya.
Makcik ni anak sorang, dulu masa kawan2 rancak tambah anak makcik trigger gak, sama lar mcm apa yang awak lalui, tapi now makcik dah dekat 50 tahun, makcik mmg tak kisah dan lama redho dah, anak pun dah besar dan makcik sangat bahagia.
Percaya lah semua yang berlaku ada hikmahnya. No worries.
Ada orang beritahu saya kalau ada kerisauan atau mentaliti ada rezeki anak, rezeki lain ditarik, jangan expect rezeki anak. Belum ready.
Sebab at the end of the day apa pun terjadi dalam kehidupan seorang ibu, anak akan tetap mencari mereka. Anak tak minta dilahirkan tapi ibu yang inginkan anak maka jangan salahkan anak kalau selepas ada anak rezeki semakin melimpah ruah dan jadi semakin sibuk, atau priority kena ubah, tidak aktif cari rezeki atau tidak dahulukan cita-cita kerana anak atau hal dengan orang sekeliling tak kisah siapa pun.
Cara berfikir suka perfect dan hard on self jangan expect rezeki anak lelaki.
Kadangkala bila kita tidak kisahkan hal terlalu hard on self, kita dapat rezeki semua anak lelaki sebab cara begini anak lelaki akan rasa paling disayangi sebab itu strength kita. Contohnya anak lelaki paling bahagia kalau hal yang penting seperti kerjaya mereka disokong. Caranya lain sedikit dengan anak perempuan.
Cara berfikir sedikit judgmental dan kurang flexible untuk understand behaviour jangan expect rezeki anak perempuan.
Nampak kan selalu kalau dalam keluarga ramai anak perempuan, penuh dengan pelbagai sikap kalau seorang ditegur hal apa pun, semakin menangis, semakin dihukum, anak tidak akan membesar menjadi orang yang rasa disayangi. Contohnya anak perempuan ni dalam rumah memang seorang tu menyorok dalam bilik, yang ni pula menangis dan memang ibunya kena bagi banyak kasih-sayang. Caranya lain sedikit dengan anak lelaki.
Cara berfikir ada favouritism jangan expect rezeki keluarga besar.
Sebab nak beri kasih sayang kepada semua orang serentak memang memerlukan banyak effort. Notis kan kalau keluarga besar anak tu semua akan rasa paling disayangi dengan cara semua pun rasa.
Kita akan dapat apa yang sesuai dengan kemampuan kita dari segi mental, emosi, fizikal.
Dan juga pada masa yang sesuai, InsyaAllah.
Kita jangan fikir macam-macam, atau risau terlalu sebab kita bukan tuhan.
Saya perempuan bujang menghampiri mid 30s. Saya nak cerita daripada perspektif saya- Saya mahu sebenarnya orang tanya2, busybody dan tolong saya pasal urusan jodoh saya ni. Sebab mana tahu ada yang membantu saya ke arah jodoh saya. Masalah kita sekarang ni kita terlalu buat hal sendiri, nak tanya soalan basic utk basi2 bersosial pun kena ambil kira takut org sentap la terasa hati la… Jadi, dalam hidup ni, banyakkan bersyukur- syukur ada orang concern dengan kita, sangka baik yang ada orang nak yang terbaik untuk kita bukan dia pndang rendah dengan kita sbb kita takda anak, insya allah fikiran kita akan lagi tenang…