Saya tergerak hati untuk menulis kerana artikel bertajuk Cikgu, Mendidiklah Dengan Benar, (https://iiumc.com/cikgu-mendidiklah-dengan-benar/).
Setelah dibaca dan diteliti, saya juga pernah mengalami spesis cikgu sebegini semasa di sekolah rendah.
Saya kini telah didapati mengalami masalah mental yang lebih dikenali sebagai DID (Dissociative Identity Disorder) yang sebelum ni kebanyakan orang anggap hanyalah halusinasi dan bayangan kerana kurangnya didikan agama.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa ibubapa saya tak ada kurang langsung dalam mendidik kerana mereka berdua adalah cikgu.
Namun mungkin kerana kesibukan di tempat kerja menyebabkan mereka tak mampu berikan perhatian kepada anak-anak di rumah.
Bahkan, ketika saya berusia 8 tahun, saya ditinggalkan dengan arwah pakcik yang hampir seusia dengan atuk saya, kononnya untuk menolong hantar saya ke sekolah dan mengaji ketika ibu dan bapa bekerja.
Peristiwa yang sehingga kini menghantui saya. Sehingga kini saya trauma menaiki motosikal kerana selalunya pakcik saya akan berbuat perkara tak senonoh kepada saya ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Ketika di rumahnya pula, layanannya terhadap saya seolah-olah saya ni kekasih dia.
Saya masih belum faham semua ini ketika di usia itu, jadi kisah ini tak diceritakan kepada sesiapa. Saya pendamkan saja sebab takut dirotan oleh ibu dan bapa kerana sengaja berbuat cerita tanpa bukti.
Dalam keluarga saya, sayalah yang paling menjaga adab dalam agama kerana pentingnya buat saya untuk ibu dan bapa berbangga dan amatlah takut ketika itu buat saya untuk menjatuhkan maruah mereka dengan cerita sebegitu.
Namun ianya berlanjutan sehingga saya menduduki UPSR dan selepas itu saya berasa lega kerana tidak perlu lagi mengharapkan pakcik untuk menghantar saya ke mana-mana kerana saya tak lagi bersekolah di situ.
Saya juga pernah ingin menceritakan kepada cikgu, namun seperti yang saya sebutkan di permulaan artikel ini, cikgu-cikgu saya jenis suka berseloroh dan anggap perkara seperti ini main-main atau fantasi.
Bahkan cikgu Matematik saya sendiri bergurau dengan mengusap lengan saya seperti mahu lakonkan kembali apa yang pakcik saya buat, hinggakan saya rasa dia hanya mahu ambil kesempatan.
Ketika saya menduduki PMR itulah kemuncak masalah mental yang saya alami hinggakan ibu dan bapa tak faham apa yang saya nak sebenarnya.
Saya sentiasa dihantui dengan wajah pakcik, hinggakan suara lelaki pun buat saya trauma.
Pernah saya nak mengadu kepada ibu, tapi tiba-tiba pakcik tu meninggal pula, terus saya tak jadi dan biarkan ianya kekal sebagai rahsia.
Sebagai contoh, kadang-kadang saya ingat saya belum siapkan kerja sekolah dan takut kena marah dengan cikgu, tapi rupanya saya dah lama siapkan.
Jadi saya semakin bercelaru dan keliru sebab takkanlah semudah itu saya lupa apa yang terjadi terutamanya benda yang penting.
Ibu cuma menyuruh saya mengamalkan habbatus sauda dan kismis minda untuk kuatkan ingatan.
Tujuan saya di sini bukanlah untuk menyalahkan sesiapa dalam hidup saya.
Saya cuma ingin menyampaikan yang sekiranya ada anak-anak kita yang berperangai agak pelik, tolonglah ambil tindakan dan pastikan anak itu cerita perkara yang sebenar.
Jangan selalu anggap anak-anak itu mengada nakkan perhatian hinggakan anak tu jadi tak berani dan takut untuk berkongsi masalah. Takut dikecam.
Kini saya hidup dengan lima personaliti berbeza yang sentiasa berubah-ubah ikut keadaan. Semua saya tanggung sendiri seolah-olah ada ‘kawan’ lain yang akan tolong.
Perasaan, sikap, dan cara berpakaian sentiasa berbeza sehingga mengelirukan orang sekeliling, terutamanya orang yang baru kenal.
Ini juga mengganggu saya di tempat kerja sehingga saya sentiasa amalkan tinggalkan nota di peti ais buat personaliti yang lain untuk uruskan perkara penting supaya tidak terlupa.
Sekadar berkongsi. Dan terima kasih jika kisah ini disiarkan.
– Mawar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit