Saya Picky Eater Ke?

Assalamualaikum. Saya Cik Ti berumur 28 tahun dan mempunyai 2 orang anak.

Nak dijadikan cerita, saya banyak baca tentang perihal anak-anak picky eater sebab anak sulung saya ni memilih makanan, tak sama dengan yang nombor 2.

Jadi lepas baca, saya akan follow cadangan ibu bapa lain. Antaranya, jangan layan kerenah anak. Paksa saja anak terima makanan apa yang ada agar mereka bersyukur.

Saya pernah cuba apply ni pada anak, tapi anak jadi makin teruk dari sebelumnya.

Bila saya tanya emak saya, emak cakap saya pun sama je macam anak sulung saya masa saya kecil.

Bila emak cakap macam tu, baru saya teringat, kenapa saya memilih makanan waktu kecil? Sebab tak bersyukur ke? Bukan. Bukan sebab saya demanding.

Tetapi, setiap kali emak masak lauk berkaitan seafood seperti ikan, udang, sotong, ketam, lala, kerang, saya tak akan makan. Lebih rela lapar, lebih rela makan roti atau biskut dari sentuh semua tu.

Pada waktu tu saya masih kecil, saya tak tahu apa itu alahan/alergik. Lepas saya makan benda itu semua, saya akan sakit dada.

Sakit dada ke jantung atau bahagian ulu hati tu, pedih sangat-sangat. Rasa macam dada ketat. Tapi saya masih boleh bernafas seperti biasa, cuma rasa sakit dan ketat pada bahagian dada.

Saya pernah cakap sekali pada emak yang saya sakit lepas makan semua tu, emak cakap saya mengada-mengada pilih makanan.

Emak cakap saya ketagih biskut roti. Tapi emak tak faham apa saya rasa. Jadi saya biar je.

Kedua, saya pernah sesak nafas sehingga masuk icu selepas makan kacang peanut pada waktu kecil. Saya sangat trauma dengan makanan. Makanan buat saya sakit.

Ketiga, sejak saya kecil, ayah akan paksa saya habiskan makanan atas pinggan. Kalau saya tak habis, saya akan di rotan.

Ayah cakap orang kat tempat perang tak dapat makanan, jadi saya kena bersyukur apa saya ada. Masalahnya bila, yang tentukan saiz makanan tu bukan saya.

Tetapi emak ayah.

Emak akan letakkan nasi dan lauk siap-siap dalam pinggan saya mengikut portion yang emak rasa patut untuk umur saya.

Disebabkan saya takut di rotan, saya paksa diri saya untuk makan melebihi kapasiti perut saya. Dan bila saya paksa diri buat macam tu, saya akan muntah.

Bila muntah, saya lagi trauma nak makan. Sudahlah muntah tu sakit dibahagian tekak, dirotan pula sebab kotorkan lantai. Menyusahkan emak ayah nak kena bersihkan lantai. Macam tu lah keadaan saya masa kecil.

Disebabkan trauma dengan benda-benda diatas, saya sangat-sangat memilih makanan.

Bila saya berumur 11 tahun, saya beritahu emak, masak saja ayam goreng dengan sayur air setiap hari. Saya akan makan, saya tak akan pernah jemu.

Sekarang ni bila saya baca orang kata anak picky eater ni menyusahkan, saya rasa sedih. Sebab anak seperti kami ni tak mintak banyak.

Masak benda favourite kami benda sama setiap hari pun tak apa. Bila saya tanya suami, saya ni menyusahkan dia ke?

Suami cakap saya ni paling senang nak belikan makanan. Sebab beli benda sama pun tak ada complain.

Semenjak tu, saya dah tak paksa anak sulung saya habiskan makanan. Saya akan masak benda favourite dia setiap hari. Dan bila dia rasa dia dah kenyang, saya tak akan paksa dia habiskan.

Saya yakin dia lebih kenal tentang badan dia lebih dari saya.

Kalau dia cakap dia kenyang, then tak apa untuk berhenti. Sebab tu saya akan hidangkan size sikit untuk dia tetapi bagi kerap. Sikit tapi kerap, macam orang pregnant..

Sebenarnya betul ke budak picky eater menyusahkan? Saya rasa lebih senang bila kita tahu dia suka makan apa.

Sebagaimana saya mahu emak respect preferences dan allergies saya, macam tu juga saya akan cuba respect preferences anak saya.

Ada ke ibu bapa yang dapat handle anak picky eater tanpa memaksa mereka, mungkin boleh kongsikan tips..

– Cik Ti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *