Saya Tak Pandai Bercakap

Assalamualaikum, terima kasih admin siar confession. Saya Anisa, umur 20an. Tujuan saya meluah di sini adalah untuk mendapatkan nasihat dan penyelesaian kepada masalah yang saya hadapi.

Kepada pembaca yang bakal memberi saya semangat dan nasihat yang berguna, saya dahulukan dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga.

Seperti yang dinyatakan dalam tajuk, saya tak reti bercakap. Susah untuk saya terangkan tak reti bercakap itu macam mana, bila ingat kembali, banyak perkara yang memalukan berlaku sepanjang zaman belajar disebabkan oleh kelemahan saya ini.

Saya lahir dalam keadaan sihat tiada cacat, mulut tak sumbing, tiada pelat, malah suara saya boleh dikatakan baik, selalu dilantik menjadi pengacara majlis yang berskrip seperti majlis rasmi,

Orang kata saya ada rupa ala Natasha Hudson (sikit jelah) dan saya selalu mendapat kedudukan pertama dalam peperiksaan. Jadi, tiada sebab untuk saya tidak yakin diri ketika bercakap dan melontarkan idea.

Tapi, masalah saya sekarang adalah saya seorang yang lambat berfikir kalau bertutur secara spontan. Saya tak boleh berfikir sambil bercakap. Otak saya lambat memproses perkataan untuk membina ayat yang lengkap.

Kadangkala apa yang saya ceritakan akan terlompat-lompat isinya. Kadangkala sedang saya bercerita dan berborak secara bersahaja, saya boleh lupa ayat yang saya nak sampaikan, sampai buat kawan menunggu ayat seterusnya.

Akhirnya saya cancel bercerita tentang perkara itu dan suasana berubah menjadi krik krik. Kadangkala perkataan yang saya fikir tak sama dengan apa yang saya sebut.

Contohnya saya nak cakap “ayam tu tak basuh lagi”. Saya sebut ” ayam tu tak taik lagi”. Dan bermulalah moment of silent antara saya dan kawan beberapa saat.

Saya gelak tapi sebenarnya saya malu, benda ni kerap terjadi. Berbeza sangat maksud yang saya nak sampaikan tu. Kalau saya sebut ayam tu tak bersihkan lagi, atau belum potong lagi, itu takpa lah kan. Huhu.

Zaman belajar adalah zaman yang menggerunkan untuk saya meskipun saya cemerlang di atas kertas, tapi saya pasti nampak bodoh kerana tidak pandai bercakap secara spontan dan bijak.

Lagi pula, zaman belajar lebih-lebih lagi di universiti, terlalu banyak presentation, tutorial dan soal jawab dari pensyarah.

Benda ini lah yang mengusutkan fikiran saya. Setiap kali kelas, saya akan berdebar, kaki sejuk, berdoa dalam hati supaya nama saya tidak disebut untuk menjawab soalan atau perlu beri pendapat secara spontan.

Setiap kali pensyarah sebut “Sila duduk dalam kumpulan dan harini awak akan bentang tajuk….”. Secara automatik jantung saya akan berhenti sekejap dan otak rasa sejuk beku, kaki sejuk, tangan sejuk macam nak demam.

Selagi belum sampai turn bentang, selagi tu badan sejuk dan mulut saya terasa sedikit kejang. Tapi tak pernah ada kawan perasan pun gelabah tahap gaban saya ni.

Saya pandai berlakon cool dan rileks, tapi dalam hati Allah yang tahu. Tapi, satu tindakan refleks yang saya lakukan bila gementar adalah gegar dan goyang kaki.

Kalau orang yang perasan dan tahu psikologi, mungkin dia tahu saya sedang gementar. Tapi rasa tak ada yang perasan kut, sebab saya buat muka selamba saja.

Meskipun dalam pembentangan kumpulan itu, masing- masing dibahagikan isi untuk bercakap dan kadangkala 1 isi sahaja untuk setiap seorang, saya tetap berdebar kencang dan sepanjang tunggu turn untuk bentang, saya tak fikir apa dah,

Saya tak dengar langsung apa yang kawan bentangkan di depan, sebab saya sedang susun ayat satu persatu dalam kepala dan ulang banyak kali dalam kepala, macam rehearsel.

Boleh kata 10 kali ulang dalam kepala ayat yang sama. Kadang-kadang saya kira pakai jari perkataan yang saya akan cakap di depan. Sebab takut lupa atau tertinggal perkataan penting. Bayangkan betapa teruknya skil komunikasi saya.

Berbeza sungguh dengan kawan-kawan saya yang lain. Semua pandai mengolah ayat, menggoreng jawapan bila ditanya, memberi idea yang bernas, dan tak nampak gugup walau sedikit pun.

Tetapi bila sampai masa saya bentang, pasti ada ayat yang terbelit atau tersasul, jawab soalan pun macam ayat tak bijak.

Bila habis bentang beberapa ayat tu, barulah suhu badan kembali menjadi normal. Kalau lancar, rasa happy tu sampai rasa nak celebrate walaupun hanya berjaya cakap beberapa ayat je.

Kadangkala memang saya celebrate beli air keladi sejuk di cafe dan waffle coklat sebagai self reward lancar bentang beberapa ayat dalam kelas.

Haha, kelakar kan. Kadang saya tak faham bila orang kata, “goreng je, cakap je apa apa” saya tak boleh brain ayat tu. Nak fikir perkataan pun saya susah, inikan pulak nak menggoreng. Idea pun takda. Ibarat macam orang suruh masak nasi goreng tapi nasi pun takda. Begitulah.

‌Kadangkala, pensyarah akan beri tugasan tutorial seawal 2 atau 3 hari sebelum. Saya rasa happy macam nak peluk je pensyarah yang beri tugasan awal sebab seronok dapat prepare dan berlatih lebih awal.

Malangnya, ahli kumpulan saya kadangkala melewat-lewatkan perbincangan tutorial, walaupun kami duduk sebilik.

Saya tahu mereka pandai bercakap dan bagi idea spontan, tapi janganlah sampai tahap beberapa jam sebelum kelas baru nak bincang dan buat slide presentation, sedangkan pensyarah dah bagi tempoh berhari-hari.

Saya dah nasihat mereka supaya awalkan perbincangan dan bahagi bahagikan isi tapi mereka sangatlah rileks dan tenang.

Keadaan ni menyeksa emosi saya. Pernah kadangkala slide presentation itu dibuat dalam laptop kawan, selepas siap saja slide, dia terus tutup laptop dan tidur sebelum start kelas.

Saya kata pada dia, “boleh tak kalau saya nak tengok sekejap isi tadi, nak snap gambar isi tu sebab takut lupa.” Dia jawab, “ala senang saja isi tu, goreng jelah nanti bukan susah pun.”

Saya minta izin lagi, tapi dia kata nantilah kat kelas nanti tengok slide. Lepas dia cakap macam tu saya rasa nak nangis dalam hati, mati lah aku. Tapi macam biasa, muka saya kekal tenang sebab taknak nampak lemah sangat dan tak pandai membentang.

Dia taktahu selama ni, kalau lecturer bagi tugasan pembentangan yang ada tempoh masa panjang sikit, saya akan tulis skrip lengkap dan saya hafal isi dan ayat yang saya tulis, walaupun tutorial biasa.

Kalau esok nak bentang, malam tu mesti saya tidak akan dapat tidur lena, sebab otak saya ligat menghafal dan mengingat skrip yang saya tulis di note handphone.

Saya geram juga kadang bila saya cakap pada kawan, boleh tak saya nak cop isi ni, kawan kata, nantilah esok sebelum bentang kita buat cabut undi. Saya kecewa juga sebab dah pujuk pun dia tak layan.

Bagi menyelamatkan diri saya dari nampak bodoh taktau nak cakap apa bila bentang nanti, saya cari huraian untuk kesemua isi, saya buat skrip untuk setiap satu isi malam tu jugak. Kalau lima isi, lima lah skrip saya tulis dalam note handphone dan saya hafal.

Gigih dan macam tak bijak kan saya ni. Tak sampai hati nak gaduh dengan kawan disebabkan kelemahan saya sendiri.

‌Keadaan yang paling teruk pernah saya alami adalah apabila saya dipilih untuk menyertai pertandingan syarahan agama dan saya tidak boleh tolak kerana pensyarah telah tetapkan nama-nama peserta secara random.

Saya tidak kisah sekiranya saya perlu menghafal skrip syarahan tersebut dalam tempoh yang agak panjang, tiga hari pun inshaAllah okay lagi.

Tetapi masalahnya, saya baru dimaklumkan tentang pertandingan itu sehari sebelum. Dan lebih teruk lagi, hari pertandingan itu adalah sama dengan hari final exam.

Bayangkan, esok nak exam dan belum habis study, last minute nama kena masuk pertandingan syarahan, skrip belum ada dan kau tahu kelemahan kau tak reti bercakap.

Pertandingan itu berlangsung di sebelah petang, exam sebelah pagi. Cuba bayangkan betapa kalut dan gelabahnya saya bila jadi macam ni. Saya menangis dalam toilet sebab rasa tak mampu lakukan.

Dan percaya atau tidak, saya utamakan menulis skrip syarahan itu dan tak study langsung malam sebelum exam keesokannnya itu.

Mujurlah ada study juga sikit beberapa hari sebelum. Malam tu saya rasa lemah tak dapat tidur sebab kepala fikir macam-macam, overthinking. Saya dah sampai tahap redha apa nak jadi dengan result exam saya, dan apa akan jadi dalam pertandingan tu nanti.

Malam tu saya dah sampai pertikai, kenapa tuhan jadikan saya tak pandai bercakap spontan seperti orang lain, kenapa mesti ada skrip baru saya boleh cakap depan orang?

Bukan saya tak berlatih, cakap depan cermin, baca teks sorang- sorang dan follow motivasi pasal komunikasi, semua saya dah buat, tapi tetap macam ni.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, benda yang saya risaukan memang berlaku. Saya tersasul sasul teruk dan banyak salah cakap dalam pertandingan syarahan agama.

Saya malu dan tak nak ingat lagi kejadian tu. Siap dengan pakej kena komen dengan juri, kenapa awk gagap dan nampak tak konfiden langsung?

Lagilah saya down, ada ke patut juri komen macam tu di depan khalayak? Saya dah cuba yang terbaik, sampai korbankan waktu study malam tu, tapi benda nak jadi.

Saya mula menyalahkan diri dan pensyarah yang lantik saya masuk pertandingan itu. Kenapa tak pilih orang lain yang lebih pandai bercakap, kenapa saya?

Semua orang tahu saya cakap kat depan selalu tersasul. Saya mula marah dengan semua orang, marah dengan diri sendiri, dan habis basah bantal saya malam tu sebab menangis malu.

Tapi bila fikir balik, tak baik saya salahkan pensyarah, salah saya yang tak perform dan hebat bercakap.

Tentang exam tu, alhamdulillah saya dapat A- sebab Allah tolong. Seluruhnya Allah yang tolong, kalau ikutkan apa yang saya jawab dalam exam tu memang tak padan dapat B pun rasanya.

Jadi sekadar itu saja lah yang saya nak luahkan disini, sebenarnya banyak sangat insiden memalukan tapi saya tak sanggup nak ingat.

Jadi, saya mohon nasihat dan kata semangat dari pembaca untuk saya selesaikan masalah saya ini atau sekurangnya doakan sahaja pun saya hargai sangat.

Saya bimbang, kalau masalah tersasul, karang skrip, kaki sejuk, berdebar debar dan demam ni terbawa-bawa sampai ke alam bekerja, padahal skill komunikasi itu sangat penting walau apa pun kerjaya kita. Sekian dari saya, assalamualaikum

– Anisa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *