Assalamualaikum. Terima kasih admin andai sudi menyiarkan perkongsian saya kali ini. Nama saya Faris (bukan nama sebenar). Saya ingin berkongsi kisah hidup saya dengan harapan sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada para pembaca.
Sedikit pengenalan diri. Saya berumur 26 tahun dan bekerjaya sebagai seorang dentist di selatan tanah air. Sebelum ini, saya mempunyai seorang teman baik semenjak saya dari sekolah tadika. Seorang teman wanita. Nama wanita ni Safirah.
Kami bersahabat dari kecil sehingga masing-masing melangkah ke alam pekerjaan. Sebenarnya dari pihak saya, saya meminati dia semenjak seorang lelaki mula memahami tentang rasa yang dinamakan cinta. Takdir kami, saya tidak pernah berkesempatan untuk berada berhampiran dengan dia semenjak kami masuk ke sekolah menengah.
Ayah saya ditukar ke sekolah yang terletak di bandar dan takdir menentukan saya dapat panggilan ke sekolah berasrama penuh. Namun kami masih terus berhubung untuk bertanya kabar, berkongsi cerita tentang pengalaman masing-masing.
Kekangan waktu mula membataskan perhubungan kami semenjak saya berpindah ke sekolah di jasin melaka dan safirah dapat panggilan ke sebuah sekolah berasrama penuh di muar. Masing-masing mula sibuk dengan tuntutan pelajaran memandangkan kami akan mengambil SPM dalam jangka waktu terdekat.
Namun waktu cuti semester 2 di tingkatan 4, saya mula memberanikan diri menyatakan hasrat saya kepada dia. Saya sedar waktu ini bukanlah waktu terbaik untuk menyatakan isi hati namun tujuan saya menyampaikan pada dia supaya dia jelas dengan matlamat kehidupan saya, dan saya benar-benar meletakkan harapan pada dia.
Safirah tidak memberikan jawapan pada waktu tu tapi dia ada sampaikan pada saya, dia rasa sangat berterima kasih kerana ada seseorang yang menyukainya dan menjadi sahabat baiknya semenjak kecil. Namun jawapannya cuma setakat itu dan saya tidak dapat mengagak apa yang dia rasakan pada diri ini.
Apa dia juga menyimpan rasa yang sama atau cuma saya yang menyimpan rasa? Saya tidak berhasrat memaksa dia lalu saya cuma biarkan persoalan tanpa mendapatkan jawapan. Sepanjang tingkatan 5 kami masih berhubung namun fokus kami lebih terarah kepada pelajaran.
Akhirnya selesai SPM, Safirah menyatakan jawapan atas persoalan yang saya tinggalkan setahun yang lalu untuk menjadikan dirinya pasangan dalam kehidupan saya dan atas izin Allah mudah-mudahan menjadi ketua bidadari saya di syurga. Dia memberikan persetujuan dan alangkah gembira rasa hati cuma Allah yang mengetahui. Saya terus sampaikan jawapan pada mak.
Kegembiraan saya tidak lama, mak saya menunjukkan rasa tidak setuju atas pilihan saya. Malahan kakak saya juga menyatakan pandangan yang sama. Kami berdua memliki perwatakan yang berbeza. Saya seorang yang pendiam dengan teman yang berlainan jantina dan Safirah lebih terbuka pergaulannya dengan rakan lelaki. Mak merasakan dia bukan pasangan yang sesuai buat saya.
Saya mula memberontak dalam hati. Masih saya letakkan keyakinan bahawa perbezaan itu yang akan saling melengkapkan perhubungan kami. Saya sampaikan jawapan mak dan kakak pada Safirah dan sepanjang malam dia cuma menangis dalam perbualan kami di telefon. Saya berusaha memujuk bahawa apa-apa pun dialah pilihan saya dan saya minta dia berikan masa untuk saya pujuk mak untuk menerimanya.
Keputusan SPM keluar dan takdir sekali lagi menduga kami. Dia berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang sedang saya gagal mendapat straight A. Saya mula rasa rendah diri dan waktu ini giliran dia pula memujuk hati. Saya masih punya peluang di asasi untuk merealisasikan impian saya.
Dia memilih untuk mengambil diploma dengan biasiswa walaupun dia punya peluang besar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Selesai asasi, saya dapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Ireland namun saya menolak kerana ditawarkan bidang yang tidak saya minati.
Dia memulakan kerjaya saat saya masih berhempas pulas menamatkan pengajian saya. Dia dapat tawaran bekerja di Kuala Lumpur dan inilah pertama kali saya duduk berhampiran dengannya. Namun, segala perancangan dan harapan yang saya simpan berkecai dalam satu detik pertemuan.
Satu hari saya minta untuk dia menemani saya namun dia menolak kerana katanya ada urusan dengan rakan serumahnya. Saya keluar seorang diri mencari keperluan. Detik itulah saya bertemu dengannya bersama seorang lelaki dalam keadaan bertepuk tampar. Namun dia tidak menyedari kehadiran saya. Luluh hati waktu tu cuma Allah yang tahu. Insan yang selama ini meniti namanya di bibir dalam doa-doa istikharah cinta, membohongi diri yang selama ini setia menyimpan rasa.
Seharian saya tutup telefon demi memujuk hati. Saya menghabiskan waktu mendengar kuliah di masjid. Bahkan saya peruntukkan masa untuk solat hajat selesai solat maghrib. Lama berteleku dalam sujud terakhir, saya luahkan segalanya pada Dia yang maha mendengar. Tanpa sedar air jernih itu jatuh jua dari kelopak mata.
Di mana silapnya saya dalam menjaga perhubungan kami. Ketenangan itu hadir jua selesai sujud saya. Kitab suci itu saya buka mencari ayat-ayat yang memotivasikan jiwa. Saya membuka helaian surah Yusuf. Sambil mengulang hafalan, saya baca tafsiran dan benarlah Allah itu sentiasa dekat pada hambanya. Dia takdirkan saya membaca tafsiran dari ayat 87 surah Yusuf. Ayat yang benar-benar mendamaikan jiwa.
Bahawa selama ini saya terleka dengan mengejar cinta manusia saya terkadang lupa meletakkan Dia pada hierarki paling tinggi darjat cinta. Keesokan harinya, saya menghubungi Safirah. Menyatakan segala yang jelas di penglihatan, saya meminta penjelasan. Akhirnya dia mengaku, sudah lama dia berteman dengan lelaki itu. Juga seorang pegawai di bank sepertinya, dia mula mengenali lelaki tersebut setahun yang lalu.
Saya mengumpul kekuatan melafazkan kalimah perpisahan. Dia terima beserta permohonan maaf yang diminta. Saya luahkan segala rasa yang masih tersisa dan meminta diri dari persahabatan kami. Salah satu sebab dia tidak berterus terang dengan saya kerana dia terlalu sayangkan persahabatan kami.
Dia takut kehilangan seorang rakan yang selama ini baik layanan terhadap dirinya. Namun hatinya tak mampu untuk terima kehadiran saya lebih dari seorang teman. Allah pinjamkan pada hati saya kekuatan memaafkan perbuatan Safirah. Bahagia itu untuk dia tapi bukan dengan saya.
3 tahun berlalu, saya ambil keputusan untuk putuskan segala bentuk perhubungan dengan Safirah. Namun sukar untuk saya tipu diri, rasa cinta itu masih bersisa dalam hati. Akhirnya saya temukan satu ungkapan dalam sebuah buku yang saya baca.
Cinta itu masuk dalam hati manusia bukan dalam keadaan terpaksa. Sebagaimana ia hadir tanpa dipaksa, kita takkan mampu untuk paksa insan jatuh cinta pada kita. Ungkapan ini memberi kesedaran yang begitu besar pada diri saya untuk meneruskan kehidupan tanpa dia.
Sebulan lalu saya terima private message di facebook. Jemputan perkahwinan Safirah dengan lelaki pilihannya. Beserta ucapan harapan untuk saya hadir ke undangan perkahwinan. Dia harap supaya rakan baiknya dapat hadir meraikan hari bahagianya. Benar saya katakan waktu perpisahan bahawa saya tidak simpan apa-apa dendam terhadap dirinya. Namun untuk menghadirkan diri ke hari bahagianya, maaf diri ini masih belum mampu.
Saya sampaikan ucapan tahniah dan berjanji untuk mengirim hadiah melalui mak dan ayah di hari perkahwinannya. Serta ucapan maaf kerana tidak mungkin dapat hadir ke hari bahagianya. Namun doa saya akan terus saya kirimkan, semoga bahagia itu akan sentiasa mengiringi setiap langkah perjalanan kehidupannya.
Bagi saya, saya temukan jalan bahagia saya sendiri. Mencari bahagia dengan semakin mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Saya mulakan semula menghafal ayat-ayat suci. Saya temukan ketenangan hati dengan lebih banyak menghadiri kuliah-kuliah agama. Cinta yang pernah dulu saya utamakan pada manusia, saya alihkan pada Dia. Saya benar-benar merasakan perubahan dalam kehidupan.
Saya temukan kebahagiaan dalam ibadah yang dikerja. Terkadang mengalir air mata saat mendengarkan bacaan ayat dalam solat yang telah saya usahakan untuk memahaminya. Dan benarlah bilamana Allah semakin sayang pada hambanya, Dia uji dengan ujian yang lebih berat. Saya di diagnos dengan kanser usus tahap 2.
Kecewakah hati dengan ujian yang diberi? Sedikit pun rasa kecewa itu tidak singgah pada hati. Malah semakin besar rasa syukur itu atas ujian diberi. Mungkin ini adalah untuk sucikan diri atas dosa-dosa yang pernah melingkari? Atau salah satu cara Allah ingin mengangkat darjat diri? Saya cuma mampu bersaik sangka dan berharap agar tidak pernah saya meletakkan harapan selain daripada Dia.
Beberapa perkara yang berlaku dalam kehidupan saya yang mampu saya kongsikan buat kalian para pembaca:
1. Allah ciptakan rasa cinta itu adalah fitrah bagi manusia. Namun sebelum mengutamakan cinta pada manusia, letakkanlah rasa cinta terhadap Allah itu mengatasi segalanya. Kerana akan sampai waktunya cinta yang ada di hati manusia semakin pudar ditelan usia, sedang cinta Allah pada hamba yang berterusan mengabdi diri kepadanya akan kekal selamanya. Allah tidak akan sekali-kali meninggalkan kalian dengan hati yang terisi kekecewaan.
2. Saat meminta pada Tuhanmu janganlah lupa meminta kedamaian pada hati andai permintaan yang diminta tidak seperti apa yang dikurnia. Setidaknya kita akan sentiasa bersyukur dan bersabar atas segala perjalanan takdir yang telah ditentukan oleh Dia.
3. Utamakan pandangan mak ayah dalam persoalan-persoalan kehidupan kita. Mungkin Allah ingin menurunkan hikmah jawapan melalui diri mereka.
Terima kasih kerana sudi membaca perkongsian saya sehingga ke akhirnya. Doakan semoga saya akan terus diberi kekuatan untuk melupakan Safirah dari kehidupan saya. Dan mohon juga doa kalian semoga saya terus diberi kekuatan atas ujian kesihatan. Assalamualaikum.
– Faris (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Â https://iiumc.com/submit