Sayang Adik Beradik Kandung

Assalamualaikum pembaca semua. Sedikit coretanku tentang insan ini yang ku gelarkan sebagai K.A.K.A.K.

Satu-satunya kakak yang aku ada. Aku selalu bergaduh dengan kakak tapi jauh di sudut hati, aku sangat sayangkan kakak.

Biasalah bila dekat bercakaran, bila jauh rindu. Kadang-kadang aku menangis sendiri bila terkenang kisah hidup kakak.

Kakak daripada kecil, sekolah, universiti, kahwin sampailah sekarang, dia banyak berdikari sendiri.

Dulu semasa sekolah menengah, dia pergi sekolah sendiri. Tak mahu susahkan ibu ayah katanya. Sedangkan pelajar yang lain kebanyakannya dihantar oleh waris mereka.

Ketika itu hidup kami sekeluarga susah, adik beradik ramai. Ayah akan hantar adik-adik ke sekolah rendah.

Ibu pula masih mengasuh anak kecil di rumah. Sekolah kakak pula bertentangan arah. Jadi, dia gagahkan diri berulang alik ke sekolah dengan menunggang motorsikal sendirian setiap hari.

Pernah semasa dalam perjalanan ke sekolah, kakak eksiden berlanggar dengan sebuah kereta. Berdarah-darah dia pulang ke rumah.

Zaman universiti pula, kakak menetap jauh di negeri orang. Dia buat kerja part-time untuk kumpul duit poket dan sara hidup dia di sana.

Bermacam-macam jenis kerja dia pernah buat. Hasil gajinya, kakak akan hulurkan sedikit wang untuk belanja dapur di kampung. Pernah juga dihulurkan wang saku untuk adik-adik yang masih bersekolah.

Dia jarang meminta wang daripada ayah. Sebab dia tahu, ayah perlu menyara adik-adik yang lain. Di sana, sakit demam kakak, makan pakai, tempat tinggal, pelajaran, semuanya kakak uruskan sendiri. Tak pernah dia merungut.

Selepas habis belajar, kakak terus kerja untuk bantu keluarga. Kakak akan pastikan setiap bulan, belanja dapur mencukupi.

Kakak utamakan dahulu keperluan keluarga berbanding dirinya. Kerja kakak pula biasa-biasa sahaja dan bukan dalam bidang yang dia belajar.

Tapi kakak tak pernah memilih. Pernah dia bekerja kilang. Pernah juga dia berhujan panas berniaga di tepi jalan. Kakak masih lagi kakak, tak pernah berputus asa mencari rezeki. Biarpun penat dan lelah.

Karakter aku dan kakak sangat berlainan. Itu penyebab kami selalu bertikam lidah.

Kakak seorang yang cekap bekerja, pantas, garang, mulut pun boleh tahan pedas. Kadangkala berkecil hati dengan tindakan kakak, tapi aku tak pernah simpan dendam terhadap kakak.

Kakak segala-galanya dalam hidup kami. Dia sudah banyak berkorban untuk kami sekeluarga.

Sering aku bermonolog “aku hanya ada seorang kakak di dunia ini, takkan dapat ditukar ganti dan aku sayang kakak selama-lamanya”

Semakin aku dewasa, semakin banyak aku berfikir keadaan hidup kakak. Bila dikhabarkan kesihatan kakak kurang baik, aku menjadi hiba.

Tapi tak pernah aku tunjukkan kesedihan ini di depan kakak. Bila jauh dan teringatkan kakak, aku akan titipkan doa untuk dia. Kalau boleh diundurkan masa, aku menyesal bergaduh dengan kakak.

Kakakku sayang,

Yang aku harap dan doakan untuk kakak, semoga kakak semakin sembuh, dikurniakan zuriat yang soleh solehah, punyai keluarga Sakinah, Mawaddah wa Rahmah.

Dikelilingi orang yang baik-baik. Dilimpahkan rezeki yang berkat. Dipermudahkan segala urusan. Semoga syurga buat kakak.

Aku tak punya harta untuk kuserahkan padamu kakak, hanya doa sebagai peneman menerangi jalan hidupmu.

– Anggerik Desa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *