Assalamualaikum dan selamat petang semua. Nama aku Laili, awal 40’an, seorang wahm dan ibu kepada 6 cahayamata, alhamdulillah.
Suamiku bekerja di sektor swasta, sepenuh masa, dan menjadi seorang tukang rencam, separuh masa.
Aku menulis, kerana aku nak berkongsi cerita tentang emak. Aku ada seorang emak yang baik, alhamdulillah. Dia cantik, rajin dan serba serbi pandai di dalam menguruskan rumahtangga.
Namun ujian Tuhan, hampir 10 tahun emak diserang strok. Jadi, emak lebih banyak berehat berbanding dulu sewaktu sihatnya.
Aku sangat sayang emak. Sewaktu dia sihat, sejak dia sakit, kasih aku sama je. Dulu, masa dia sihat, aku selalu mandikan dia. Cuci rambut dia.
Aku tahu dia letih dengan urusan rumahtangga. Sejak dia sakit ni pun, sama. Ada masa terluang, bila pulang ke kampung, aku kemas bilik emak. Mandikan dia. Cuci rambut, sikat, siapkan dia.
Kadang aku picit kaki dia, kadang aku belikan buah yang dia suka dan suap dia, atau bawa dia berjalan ke rumah adik beradik dia.
Seingat aku, sejak kecil, aku ikut semua yang emak suruh. Aku buat semua yang dia nak. Aku cuba gembirakan dia, semampu aku.
Aku sayang sangat dengan emak. Tapi aku tak pasti, emak sayang ke tak dengan aku.
Kadang, aku rasa aku macam melukut di tepi gantang.
Pernah berlaku, emak beritahu aku dia nak ikut aku balik ke rumah aku. Lalu aku bawa dia. Tapi, selang 2,3 hari dia balik dari rumah aku, mesti aku dengar cerita.
“Laili, emak kata dia habis duit banyak kat rumah kau. Pergi makan malam, dia kena bayar. Pergi minum petang, dia kena keluar duit. Anak kau pergi sekolah, dia kena bagi duit jajan… bla… bla.. bla..”.
Sedangkan, waktu emak di rumah aku, dia yang beriya nak ajak makan luar.
Di kedai makan, dia yang beri duit pada suami aku suruh bayar, dia yang hulur duit pada anak – anak sebelum mereka ke sekolah walhal aku sudah sediakan bekal dan duit belanja. Bila masa aku suruh emak bayar semua tu?
Pernah juga aku dituduh mencuri. Ceritanya, dua tahun lepas, waktu aku WhatsApp adik aku untuk berbual, tiba – tiba keluar soalan dari adik aku, betul ke aku curi kuali emak?
Aku dengar, ramai adik beradik, ipar yang tahu cerita tu, sedang aku, orang kena tuduh, blur tak tahu apa.
Waktu dapat tahu tu, aku menangis. Aku mungkin tak kaya, tapi aku bukan pencuri.
Baru – baru ni, giliran abang tolong menjaga emak. Dan selepas itu, sepatutnya emak ke rumah aku, tapi tak jadi.
Rupa – rupanya, emak bercerita kepada besan dia, dia tak nak ke rumah aku. Emak kata aku miskin, mana mungkin aku boleh menjaga dia dengan baik.
Astagfirullahalazim. Sekali lagi, air mata aku jatuh semahunya. Sebab perkataan itu bukan dari mulut orang lain, tapi emak kandung aku sendiri.
Dalam esak tangis, aku peluk suami aku. Aku beritahu suami aku, aku cuma ada dia, untuk mengadu dan bercerita.
Aku minta dia doakan aku jadi emak yang baik buat anak – anak kami. Emak yang akan ikhlas jaga semua anak, tanpa membeza – bezakan kasih sayang.
Hati aku pedih. Hingga buat aku tertanya, berdosa ke aku, jika aku berkecil hati, dengan ibu kandung sendiri?
Emak, memang seorang yang bercitarasa tinggi. Dia suka cantik, suka makan lauk sedap.
Dia pernah membebel kat kakak aku, tentang baju kurung dia yang aku bawakan tak matching dengan tudung (waktu itu emak sakit masuk wad, aku ambil giliran menjaga dia).
Aku cuma bersangka baik, aku ni seorang yang minimal, lauk sederhana pun aku tak kisah.
Boleh jadi kerana itu, emak tak nak ke rumah aku, sementelah anak aku ramai, emak memang tak suka dengar budak bergaduh atau menangis.
Kadang aku rasa berjauh hati, kadang aku rasa aku taknak ambil tahu hal emak di kampung, tapi sebagai anak, aku masih tahu dosa pahala, aku tahu apa hukumnya menyakiti hati emak, semua benda yang tak elok aku telan.
Biarlah aku sedih, asal emak tak terasa hati. Hidup bukannya lama, entah emak, entah aku yang pergi dulu.
Aku teringin, disayangi emak seikhlasnya, seperti mana aku sayangkan emak, tak berpenghujung.
Malu rasanya, bila diri aku yang bukan siapa – siapa ni, dituduh begitu begini, sedangkan, kalau aku boleh beri nyawa aku untuk emak, aku akan berikan.
Aku tak pernah marah. Aku tak pernah berdendam. Dan tolonglah, doakan aku jadi ibu yang baik. Ibu yang boleh membantu jika anak kesusahan, dan boleh jadi rakan baik saat gembira bersama – sama.
“Harta benda dan anak – anak kamu adalah ujian, dan di sisi Allah ada pahala yang besar” At Taghabun 64:15
– Laili (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit