Sayang Suami, Susahkan Kawan

Kisah ni tentang kawan kepada kawan aku sebenarnya. Tapi kerana aku rasa ia sangat pelik, maka aku rasa terpanggil untuk berkongsi kisah ini dengan pembaca.

Aku teruskan pada kisah ini. Kawan aku bekerja di sebuah pejabat kecil di sebuah daerah di pantai timur. Di pejabat tersebut ada 20 orang pekerja dan hanya ada 5 orang pekerja wanita yang masing-masing sudah berkeluarga.

Biar aku namakan 5 orang wanita ini dulu, Ida, Ati, Ila, As dan Yaya. Antara 5 sekawan ni hanya Ida yang tidak boleh memandu walau ada lesen. Dulu pernah memandu masa awal-awal dapat lesen tapi lepas menikah suami dia larang memandu.

Setelah berbelas tahun kawin akhirnya skill bawa kereta tu luput dari ingatan walau lesen diperbaharui setiap tahun. Kelakar kan?

Jadinya si Ida ni kalau nak kemana-mana dia akan minta kawan-kawan dia bawakan. Yang balance 4 orang lagi tu semuanya pemandu kompeten.

Ida ni dia akan usaha untuk tidak susahkan suami dia untuk kemana-mana. Sampaikan untuk berkursus pun dia akan minta kawan-kawan hantarkan.

Kemuncaknya bila si Ida yang dah ttc selama berbelas tahun dikurniakan zuriat. Semua kawan-kawan tumpang gembira tanpa sedar beban yang bakal mereka tanggung bila si Ida dah ada anak kecil.

Selepas 3 bulan cuti bersalin, hari pertama masuk kerja pastilah anak kecil dihantar ke rumah pengasuh. Sampai waktu balik, tanpa sebarang perbincangan Ida pergi jumpa Ati dan minta tolong jadi pemandu untuk dia ambil anak di rumah pengasuh.

Terpinga-pinga si Ati bila dalam kereta Ida bagi tau untuk hari seterusnya memang dia akan minta Ati jadi pemandu dia ambilkan anak di rumah pengasuh. Tanpa sebarang bayaran yea sebab rumah pengasuh dekat je dengan pejabat. Lebih kurang satu kilometer lebih je.

Peliknya kenapa dia tak nak tunggu suami balik kerja untuk ambil anak mereka sama-sama. Tak pelik pun sebenarnya sebab dia memang tak suka susahkan suami dia.

Maka bermulalah rutin Ati menjadi pemandu ambil si anak Ida setiap kali lepas waktu bekerja.

Waktu pagi Ida akan hantar anaknya dengan suami dia. Suami dia bekerja di daerah yang sama juga. Cuma dia balik pukul 5. Manakala, pejabat mereka berlima balik pukul 3. Ida ni duduk di rumah kuarters dalam kawasan pejabat mereka.

Bila Ati ada urusan lain, maka yang jadi mangsa adalah baki lagi 3 orang tu. Antara 3 orang tu hanya Yaya je yang masih ada anak kecil yang juga duduk dengan pengasuh.

Jadinya Yaya akan gunakan alasan untuk ambil anak sendiri bagi mengelak menjadi mangsa jadi pemandu tak bergaji. Ila dan As la selalu jadi mangsa seterusnya.

Yang lagi kelakar, ada masa suami Ida ni ada je balik awal tapi Ida akan tetap suruh kawan-kawan jadi pemandu dia. Alasannya taknak susahkan suami. Sangat jarang suami dia ambilkan anak mereka.

Ida ni dia ada tabiat suka berborak. Jadi masa pergi ambil anak tu dia agak berlama juga berborak dengan pengasuh sebelum masuk kereta dengan anak dia. Jadi tunggul la kawan yang jadi pemandu tu tunggu dia dalam kereta.

Ada masa kereta buat hal aircond rosak berpeluh-peluh si driver duduk terpacak dalam kereta tunggu si Ida yang takda rasa bersalah berborak dengan si pengasuh.

Dah masuk kereta, kena tunggu pula adegan babai pengasuh sampai kereta bergerak. Hantar pula sampai depan rumah dia betul. Ibarat kata anak tu tak boleh langsung kena mentari.

Sekarang ni anak Ida dah masuk 2 tahun. Ati dah mula rasa letih jadi pemandu tak bergaji. Ati ni berusia 50-an. Adakala dia sendiri pun kurang sihat.

Dah banyak kali kawan-kawan nasihatkan Ida agar belajar memandu semula tapi banyak alasan dia bagi. Agaknya dah selesa menyusahkan kawan-kawan. Kawan-kawan pula jenis nak jaga hati Ida taknak berterus terang dengan kaedah idzhar terang, jelas dan nyata tanpa dengung.

Banyak kali juga Ati, Ila, As dan Yaya berbincang untuk berterus terang cara ‘keras sikit’ dengan Ida yang mereka dah taknak jadi pemandu Ida tapi akhirnya tersekat di kerongkong.

Mereka ada cadangkan pada Ida beli basikal elektrik untuk dia pergi ambil anak tapi Ida kata cuaca panas, lepas tu bimbang anak tak duduk diam atas basikal.

Diorang cadang juga suruh pengasuh je la hantar anak dia balik. Tapi Ida kata suami dia tak bagi anak naik motor. Macam-macam alasan yang buat kawan-kawan buntu.

Pada aku, sebenarnya Ida tu dah rasa selesa sangat dah sebab ada kawan-kawan yang boleh diminta tolong.

Dia sebenarnya bukan tak faham tapi saja buat-buat tak faham dengan situasi kawan-kawan. Sebab ada masa dia tak maklumkan pun pada Ati kalau ada hari dia tak perlu ambil anak dengan Ati.

Ati pula yang terhengeh-hengeh tanya dia hari ni tak ambil anak ke? Dia boleh jawab dengan rileks je tanpa rasa bersalah.

Ada masa dia boleh pula suruh tunggu dia buat kerja dulu, mandi dulu sebelum pergi ambil anak. Tercatuk la kawan menunggu dia.

Gitu la kisah Ida yang tak ada common sense. Pelik tapi memang nyata ada wujud spesies ni di muka bumi.

Aku bukan minta pembaca bagi cadangan apa-apa. Sekadar berkongsi cerita dan harap si Ida tu baca cerita ni dan sedar diri yang dia dah banyak susahkan kawan-kawan demi taknak susahkan suami kesayangan dia.

Sekian, terima kasih semua sebab sudi baca sampai akhir.

– Kuinin (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. mak saya dulu pun jadi grab tak berbayar kawan dia. alasannya sebab menuju tempat kerja yang sama. kawan tu ada lesen memandu tapi macam Ida lah. mak saya stress sebab kena ikut jadual kawan dia. mak saya jenis pergi kerja awal pagi. mak saya tahan sebulan je huhuhu pastu macam-macam alasan mak saya bagi, akhirnya kawan tu faham sendiri. jadi, memang hebat lah kawan kawan Ida bertahan sampai anak 2 tahun dah. cuba sehari tu, 4 orang tu bagi alasan terus menerus. sampai Ida dan suaminya tu sedar diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *