Saya seorang wanita bujang, mempunyai pekerjaan yang stabil dan kewangan yang agak selesa.
Saya rasa hidup saya dah lengkap dengan semua yang saya perlukan. Saya fikir tak kahwin pun tak mengapa. Kerana apa? Kerana saya lebih rela hidup bujang daripada hidup seperti ibu saya.
Ibu saya, seperti mana kisah hidup isteri isteri lain yang mempunyai gaji lebih tinggi dari suaminya, menanggung hampir 70% perbelanjaan rumah dan kereta. Bapa saya, walau pun perit dan sedih untuk saya akui, bukanlah seorang suami yang baik dan memahami.
Duit kereta, perbelanjaan rumah, perbelanjaan sekolah/universiti kebanyakannya ditanggung oleh ibu saya dan bapa saya cukup berkira dengan ibu saya.
Dari kecil sehinggalah saya besar dan faham dengan aturan dunia ini, bapa saya sering tidak cukup wang sehingga saya tertanya-tanya ke mana wangnya pergi.
Dek kerana ibu saya sering dilayan begitu, dia mempunyai harapan yang tinggi dengan abang saya. Namun malangnya, bapa borek, anak rintik. Sudahlah sering berkelakuan kurang ajar, malah kadang-kadang saya lihat abang saya pula membuli ibu saya.
Namun ibu saya merelakan perbuatan abang saya dan tidak kisah mengeluarkan duit belanja untuk dipinjam kepadanya sekiranya abang saya kesempitan wang, walaupun abang saya sudah bekerja tetap.
Duit yang dipinjamkan pula, perlu dirayu, diungkit barulah ibu saya akan mendapat kembali duit itu. Itupun kurang daripada jumlah sebenar. Dan apabila keadaan ini berlaku, telinga sayalah yang akan mendengar rungutan dan luahan perasaan ibu saya.
Walaupun sudah berulang kali saya katakan jangan beri duit ibu, tetapi mungkin disebabkan mulut manis abang saya,
Dan perangai abang saya yang kadang-kadang akan memberikan sejumlah wang secara tiba-tiba kepada ibu saya, membuatkan ibu saya gembira dan yakin dengan anak lelakinya itu.
Walhal duit yang diberi itu langsung tidak setimpal dengan perbelanjaan abang saya yang ibu saya tanggung.
Bayangkan, sudah besar panjang, tetapi masih ditanggung oleh ibu saya malah tidak segan silu untuk meminta duit untuk dipinjam. Abang saya juga membuatkan saya tertanya-tanya ke mana duitnya dibelanjakan.
Jadi, mengapa saya perlu berdiri atas kaki sendiri dan bekerja keras untuk diri sendiri?
Sebab saya tidak mahu bergantung harap kepada orang lain, seperti mana ibu perlu bergantung dengan bapa saya. Ada banyak perkara yang ibu saya perlukan ayah saya dan saya tidak mahu perincikan di sini.
Cukuplah kalian tahu, acap kali ibu saya perlu menjeruk rasa sekiranya dia memerlukan bantuan ayah saya.
Jika mereka bergaduh, sayalah yang akan menjadi orang tengah. Segala kemarahan dan ketidak puasan hati ibu saya, akan diberitahu kepada saya. Dan bermulalah episod, saya menjadi posmen kepada mereka suami isteri.
Oh, saya benci sangat apabila ini terjadi. Kalaulah mereka boleh berbicara dan berkomunikasi seperti pasangan lain.
Kalaulah mereka boleh fikirkan perasaan anak-anak yang terheret sama dengan konflik mereka. Dan kalaulah saya mempunyai kuasa untuk membatalkan perkahwinan mereka, itulah perkara pertama yang akan saya buat.
Saya tahu setelah sekian lama hidup begini, ibu saya mengalami tekanan perasaan. Saya juga, ibu. Saya rasa terbeban sangat. Ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Saya benci dengan perbuatan bapa saya tapi apa lagi yang saya boleh buat? Saya hormat dengan kedua ibu bapa saya yang membesarkan saya tetapi apabila ini berlaku, siapa yang perlu saya menangkan?
Saya cuba untuk menangkan ibu dan berpihak pada ibu sebab saya kasihan dengan ibu, tetapi kadang kadang saya fikir ibu sendiri yang merelakan semua ini berlaku. Ibu sendiri yang membiarkan mereka untuk melayan ibu sebegitu rupa.
Kalaulah ibu tegas, kalaulah ibu tidak mudah terpengaruh dengan pujuk rayu, kata-kata manis mereka, pasti hidup ibu lebih tenang dan aman.
Jadi, saya membuat keputusan untuk saya sayangi diri saya sendiri, walaupun ini bermakna saya perlu pentingkan diri sendiri dan tidak lagi menyebelahi ibu.
Saya tak malu untuk mengatakan kadang-kadang saya berlepas tangan dengan masalah ibu dan bapa saya. Saya pura-pura mereka tiada masalah atau saya keringkan saja hati saya apabila ibu mengadu. Saya layan acuh tidak acuh sahaja.
Saya sedih dengan ibu dan bapa, saya sedih dengan respons saya tapi saya rasa ini perkara yang betul untuk saya buat jika tidak mahu tekanan perasaan saya berpanjangan.
Saya perlu lindungi hati saya sebab saya tahu tiada orang yang akan menjaga perasaan saya. Saya perlu gembira dan kuat untuk diri saya sendiri sebab saya tahu, kalau saya jatuh, mungkin tiada siapa yang akan berada di sisi saya.
Jadi, dari luaran saya senyum gembira, dalaman hanya tuhan yang tahu bila saya menangis dalam diam pada waktu malam.
Saya cuma mahu tahu, adakah saya anak derhaka? Adakah saya berdosa kerana membiarkan ibu bapa saya tidak seteru dan saya sendiri sebagai anak tidak cuba untuk menyelesaikan masalah mereka? Adakah saya seorang anak yang tidak bertanggungjawab?
Saya tahu ibu cuba mencari kasih dari seorang lelaki, baik dari ayah atau abang saya, tetapi malangnya kasih itu tidak kesampaian.
Alangkah baiknya jika ibu juga menyayangi diri sendiri dan tidak perlu bergantung kasih dengan yang tidak sudi, mungkin kita semua boleh keluar dari kekusutan ini.
Jika ada yang sekasut dengan saya, ketahuilah semua ini memang menyakitkan dan apa yang dirasai kita, bukanlah satu dusta.
Sekian. Wassalam.
– Zaraa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit