Terima kasih Allah kerana masih memberikan aku peluang untuk teruskan perjuangan hidup ini. Terima kasih juga pada pembaca yang memberi nasihat, kata-kata semangat dan doa yang baik-baik untuk saya. Sebelum saya teruskan artikel ini, mungkin ada yang pernah terbaca artikel dengan tajuk yang lebih kurang sama. Untuk kali ini, aku ingin berkongsi kehidupan aku sebelum aku menangis depan ATM.
Dulu selepas grad, aku bekerja di syarikat swasta yang besar dan mendapat gaji yang berbaloi. Kerjaku pun agak mudah dan dapat balik rumah on time. Dulu syarikat tempat aku bekerja sentiasa memberi bonus besar setiap tahun. Client pula sering belanja makan tengah hari. Aku sering makan luar di tempat makan yang selesa bersama kawan-kawan. Shopping baju, kasut adalah sukanku. Sekali sekala pergi melancong dalam atau luar negara. Aku ada simpanan dan ada duit lebih untuk melabur emas. Hidup memang sangat indah pada zaman kesenangan itu.
Akan tetapi kita takkan selama hidup selesa. Sekarang, Allah mengujiku bermula dengan kehilangan pekerjaanku. Aku yang sudah berbelas tahun setia bekerja hanya diberi notis beberapa minggu untuk menerima pampasan yang kecil. Dengan rasa pilu, aku terpaksa akur dengan tawaran pampasan itu kerana jika aku menolaknya, aku mungkin akan ditekan sehingga betul-betul tertekan (Hanya orang yang pernah alami situasi ini sahaja yang faham maksud saya). Pada awalnya, aku ingat aku akan mudah mendapat pekerjaan baru tetapi semakin hari dan bulan silih berganti, aku masih gagal dapat kerja baru. Maka bermula episod mencatu kewangan keluarga demi ‘survival mode’. Memang aku ada cuba macam-macam cara lain untuk cari duit dan pergi macam-macam jenis kursus tetapi semuanya kurang berhasil malah duit makin terbang. Allah, berat ujianmu terhadapku tapi aku redha dengan ketentuanMu dan cuba untuk bangkit semula. Jatuh memang sangat sakit tapi jangan terduduk lama sangat.
Nasihatku buat semua pembaca ialah cuba untuk hidup secara sederhana pada zaman ini. Beringat sebelum terkena. Jangan mudah terpengaruh dengan kawan dan kurangkanlah menunjuk di media sosial tentang tempat makan yang hip, air kopi mahal, beli gelang emas yang terkini, pakai mekap skincare yang mahal atau kereta yang high maintenance. Usahlah membazir duit, makanan dan masa. Ingatlah pada orang-orang yang susah. Boleh jadi kawan-kawan kita yang susah hanya mampu terliur atau menangis dalam senyap bila melihat makanan yang sedap atau gelang baru awak. Boleh jadi hari ini awak senang. Esok lusa belum tentu takdir kita sama seperti hari ini. Sesungguhnya, nikmat dunia hanyalah sementara.
Walaupun poketku makin tipis sekarang, tapi aku ingat pesan seseorang supaya amalkan bersedekah walaupun hanya RM1 ataupun sekadar seukir senyuman. Bila kita susah, akan ada orang lain yang lagi susah dan lagi memerlukan pertolongan kita. Ya Allah, luaskan rezekiku semula agar aku dapat menjadi ‘tangan yang dapat memberi lebih banyak’ kepada yang layak menerima.
– Senyuman Pahit
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit