Sebuah Nota Cinta Untuk Suamiku

Assalamualaikum suamiku yang ku cintai dan sayangi.

Alhamdulillah untuk 11 tahun pernikahan kita, daku bersyukur memilikimu wahai suamiku.

Sebelum daku meneruskan warkah ini. Daku ingin meminta kemaafaan dan keampunan darimu wahai suamiku andai warkah ini mengguris perasaanmu, membuat hatimu terluka sekali lagi.

Daku juga meminta ampun kerana tidak pernah menjadi zaujah yang sempurna dalam rumahtangga kita.

Daku sebagai isteri tidak kisah tidak dimewahkan dengan harta benda, tidak diberi kejutan hadiah atau layanan istimewa.

Malah daku sanggup berkorban berkongsi bebanan kewangan bersama. Ujian kita mendapat anak di diagnos autisma. Daku membayangkan kita akan mengharunginya bersama-sama.

Daku tahu, daku khilaf mendidik anak-anak kita mengenal Tuhan yang Esa, Daku tidak mengurus rumah sepenuh hati. Membuat dirimu sakit mata dan sakit hati melihat ketidakurusan tersebut.

Suamiku, masihkah kau ingat, awal2 perkhawinan dulu, daku mengurus rumah dengan sebaiknya, daku memasak dengan seadanya. Walau kau tidak pernah hargai namun daku bahagia.

Akan tetapi bila lahirnya yang ke dua dan seterusnya, daku menjadi penat tanpa bantuan darimu. Daku sebagai wanita berkerja yang berada di lapangan fardhu kifayah letihnya hingga terabai segala-galanya. Ampunkan daku suamiku.

Daku khilaf lagi sehingga hatimu pun daku tidak mampu uruskan. Terabai untuk menjaga pandangan dan jiwamu.

Sehingga dirimu mencari keseronakan luar walau daku tidak tahu keseronokan macam mana yang dikau cari. Mungkin dirimu sudah bosan terhadap daku.

Bukan daku tidak pernah menggodamu, namun hatimu tidak tertarik. Saat itu, tidurku hanya berteman air mata. Sedihnya rasa sehingga daku dapat rasakan dikau hanya lah teman serumah yang tiada hubungan batin denganku.

Wahai suamiku,

Dalam keadaan berbolak balik, tahukah dikau bekas kekasihku datang menjelma, membuat nafsuku hura hara.

Tapi hubungan terlarang yang daku sambut ini bertahan seminggu cuma. Kerana daku takut akan dosa sebagai isteri yang hina. Daku takut murka Yang Esa. Daku putuskan tanpa banyak bicara.

Suamiku, wahai kunci syurgaku,

Daku terus bertahan dengan mu, menyesali setiap saat bila memandang wajahmu. Daku cuba pupuk rasa cinta yang makin berkurangan ini.

Namun kurang endahmu membuat daku terluka. Layanan kasar bersama mimik muka buat daku bertambah sayu.

Kata-katamu terhadap daku dan anak-anak tidak lagi mesra. Seolah hilangnya sakinah, mawaddah, warahmah dalam rumah kita.

Daku pendam tanpa balasan, tidak ingin menjadi isteri yang derhaka. Begitu hidupku setiap hari.

Terkadang mengalir air mata yang tidak pernah dirimu cuba menyapunya. Terkadang diriku merajuk tidak dirimu pujuk. Terkadang lelah penatku tidak dirimu kisah.

Terkadang sakit jiwa dan mental tidak dirimu hirau. Apa yang daku nampak dirimu masih lagi tidak boleh melepaskan habit bujangmu.

Daku biarkan dirimu bebas kerana daku risau jika aku menghalang kehendakmu, dirimu akan membenci daku.

Wahai cintaku…

Rupa-rupanya saat aku melepaskan dikau bebas.

Dikau benar-benar merasa bujang.

Dikau benar mencari insan bernama perempuan.

Bila daku ketemu bukti, dikau menafikan sekeras-keras perkataan. Hatiku hancur berderai. Memang 2 tahun lepas sudah terdetik dikau dan dia.

Namun daku tiada bukti untuk mengesahkannya. Hati daku makin hancur dan makin geram bila tahu si perempuan insan kepunyaan bernama suami orang berkerjaya di medan perang.

Makin daku kecewa perempuan itu seorang ustazah yang mengajar membaca, mengira, mengaji kalam Yang Esa untuk anak-anak kecil sebaya anak-anak kita.

Saat ini daku tahu kifarah daku sudah tiba. Air mata tak mampu mengalir lagi. Daku benar-benar jatuh terperosok ke dalam lubang yang dalam.

Tidak mampu bangkit untuk naik merangkak ke atas. Daku redha andai terjadi perpisahan. Setiap hari daku hanya mampu meratap menyesali diri. Mengatakan kelemahan diri menjadi punca dikau mencari insan lain.

Suamiku, redhamu hanya ku pinta.

Selepas terjadi peristiwa sedemikian rupa, sedikit sebanyak daku lihat dirimu cuba memperbaiki hubungan kita walau nampak dirimu seperti terpaksa melayan mesra daku dan anak-anak.

Bila daku duduk berdua berbincang hal kita. Dirimu bersuara sudah ditutup buku cerita lama.

Tidak mahu lagi mengungkit kisah tersebut. Tiada riak kesal di saat dirimu berbicara. Dirimu mengatakan masih lagi menyayangi daku dan anak-anak. Namun mengapa aku dapat rasakan itu hanya dusta semata-mata.

Terutama bila tiba-tiba dirimu mengatakan dirimu tahu hubungan daku yang terlarang lama dahulu bersama bekas kekasihku bersama nada sinis jelingan penuh dendam.

Maka daku tahu dirimu membalas apa yang sudah daku lakukan.

Hatiku kuat mengatakan dikau hanya bertahan perkahwinan ini tanpa rasa cinta seperti dulu kala. Mungkin malu andai berlaku penceraian.

Maka solusinya hanya bertahan.

Wahai Suami sayangku

Sebelum kita bernikah, daku cuba beri amaran. Daku sudah tiada dara bukan akibat zina merata.

Tapi kerana mangsa nafsu serakah bermodal pedofilia 3 insan yang berpenyakit gila. Dirimu terus terang menerima tidak kisah itu semua.

Namun tiadaku sangka, dikau serkap jarang yang tidak mengena. Daku sakit hati dengan itu semua. Tiada lagi daku nampak hala tuju hubungan kita andai berterusan begini jua.

Bertahan tanpa rasa cinta tapi sampai bila.

Aku cuba bertanya, andai aku pergi dahulu meninggal dunia, masih ada redhamu sebagai suami terhadap daku. Tapi jawapanmu, hanyalah ‘bagilah dikau fikir dulu’.

Tahukah suamiku, jawapan itu membuat jiwaku terus tercampak ke dalam ruangan kosong.

Dalam fikirkan daku terus ternampak api neraka untuk para isteri derhaka. Daku begitu takut dan gementar kerana daku tahu, daku bukan isteri solehah.

Oh, suamiku..

Daku tahu,

Ini ujian untuk daku..

Sebesar-besar ujian sepanjang hubungan halal ni.

Allah mahu daku kembali sujud menghadap,berserah, merayu padaNya.. kerana daku manusia yang alpa.

Allah mahu aku meminta denganNya bukan meminta dengan dirimu lagi.

Allah… Daku lelah bercinta di dunia saat manusia bernama suami tidak lagi menuturkan butir bicara rasa cinta.

Kiranya saat ini daku kuat kerana anak-anakku yang setiap hari mengharap senyuman ceria ibubapanya.

Dari hambaNya yang hina.

Isterimu,

– Ma (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *