Sebuah Perjalanan Untuk Kembali

Aku menulis ini dengan hati yang berat, kerana aku tahu aku bukan insan yang layak berbicara tentang ibadah, apatah lagi tentang kebaikan dan keindahan solat tahajjud dan taubat.

Tetapi, inilah satu-satunya cara untuk aku meluahkan rasa, rasa yang terpendam lama, rasa yang menjerut jiwa setiap kali aku teringat dosa-dosa besar yang pernah aku lakukan.

Ya, aku pernah melakukan dosa besar. Dosa yang aku tahu sangat dimurkai Allah, dosa yang membuatkan aku merasa hina dan kecil setiap kali aku mengingatinya.

Kadang-kadang aku tertanya-tanya, bagaimana aku boleh membiarkan diriku jatuh sejauh itu? Mengapa aku tidak kuat menahan diri?

Lebih menyedihkan, ada saatnya aku tewas lagi melakukan dosa yang sama, walaupun aku telah berjanji kepada diriku sendiri untuk tidak mengulanginya.

Setiap kali aku jatuh, aku rasa seolah-olah aku tidak layak untuk memohon keampunan. Malu. Hina. Tidak berguna. Itulah yang aku rasakan.

Namun, di sebalik rasa malu itu, ada satu harapan kecil yang terus menyala.

Harapan bahawa Allah masih mahu menerima aku, bahawa pintu rahmat-Nya tidak pernah tertutup, walaupun aku sering kali kembali dengan hati yang penuh dosa.

Aku teringat satu hadis yang sangat menyentuh hati:

“Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat seorang hamba-Nya daripada kegembiraan seseorang yang menemukan kembali untanya yang hilang di padang pasir.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini membuatkan aku menangis. Betapa Allah Maha Penyayang, sedangkan aku sering kali melupakan-Nya. Dari situlah aku mula mencari jalan untuk kembali kepada-Nya, walaupun dengan langkah yang perlahan dan penuh ketidaksempurnaan.

Aku memulakan dengan solat tahajjud. Malam pertama aku bangun, hati aku berbelah bagi. Ada rasa berat, ada rasa malu.

Aku terfikir, “Layakkah aku berdiri di hadapan Allah, memohon sesuatu, sedangkan aku penuh dengan dosa?”

Tetapi entah bagaimana, aku kuatkan hati. Aku mengambil wudhu, membentangkan sejadah, dan mula bersolat. Aku tidak tahu apa yang aku baca. Aku hanya menangis, meluahkan segalanya kepada Allah.

Aku mengaku segala dosa-dosa aku, aku mohon supaya Dia memaafkan aku, aku minta supaya Dia kuatkan aku untuk melawan hawa nafsu yang sering kali menewaskan aku.

Setiap malam tahajjud menjadi ruang untuk aku bertaubat. Aku belajar bahawa taubat bukan hanya sekadar mengucapkan istighfar, tetapi juga melibatkan hati yang benar-benar menyesal, keazaman untuk tidak mengulangi dosa, dan usaha untuk memperbaiki diri.

Namun, aku akui, jalan ini tidak mudah. Ada hari aku rasa kuat, tetapi ada hari aku rasa lemah. Ada hari aku mampu melawan godaan, tetapi ada hari aku jatuh lagi.

Setiap kali aku jatuh, aku rasa seperti aku menghancurkan peluang yang Allah berikan kepada aku. Tetapi aku teringat firman Allah:

“Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Az-Zumar, 39:53)

Ayat ini menjadi penguat untuk aku terus bangkit. Aku sedar, selagi aku hidup, selagi aku bernyawa, pintu taubat masih terbuka.

Mungkin aku akan jatuh lagi, mungkin aku akan menangis lagi di sejadah, tetapi aku tidak akan berhenti memohon keampunan. Aku percaya, Allah tidak pernah melihat kepada jumlah dosa kita, tetapi kepada usaha kita untuk kembali kepada-Nya.

Aku menulis ini untuk sesiapa yang mungkin berada dalam situasi yang sama, merasa hina, malu, dan tidak layak untuk memohon keampunan.

Ketahuilah, perasaan itu adalah tanda bahawa hati kita masih hidup, bahawa kita masih punya peluang untuk kembali. Jangan pernah berputus asa. Bangkitlah malam ini, walau hanya untuk dua rakaat. Luahkan segala rasa kepada Allah.

Berdoalah agar Dia menguatkan kita, memaafkan kita, dan memberi kita peluang untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

Aku tahu aku masih jauh dari sempurna, dan mungkin aku akan jatuh lagi. Tetapi aku berjanji kepada diriku sendiri, aku tidak akan berhenti berusaha. Kerana aku tahu, di sebalik setiap tangisan dan doa di sejadah, ada cinta Allah yang sentiasa menunggu.

– Hamba yang Hina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *