Aku terbaca pasal nak jadi solehah. Sesak balik dada aku. Mata pun dah berair. Semua dosa-dosa aku pernah buat, tertayang satu-satu. Allah, ampunkan aku.
Aku teringat beberapa tahun yang lepas. Sepanjang Ramadhan aku menangis dalam sujud aku. Dalam munajat aku. Aku minta satu je masa tu. Ya Allah, tolonglah kurniakan aku perkahwinan sebab aku betul-betul dah tak nak bergelumang dengan zina lagi.
Hanya orang yang lalui je faham. Bukan tak cuba. Ada orang akan cakap, bertaubat buat balik, bertaubat buat balik. Kau ni biar betul. Sungguh, Allah je tahu macam mana aku mencuba. Sampaikan aku kawal pergaulan aku dengan lelaki. Jauhkan diri dari lelaki. Sampai kawan-kawan aku pula risau masa tu tengok aku asyik tolak bila lelaki mendekat.
Aku benci couple. Tapi aku nak kahwin. Sebab background keluarga aku tak cantik, aku tak tau macam mana nak cari suami dengan cara yang aku impikan. Iaitu melalui orang-orang baik.
Satu langkah tersilap, habis rosak semua hidup aku. Sebab tu aku selalu pesan kat keluarga dan kawan-kawan aku, jangan sesekali mulakan. Walau sekadar nak cuba, walau sekadar nak main-main. Jangan sampai diuji dengan godaan nafsu sebegitu.
Aku selalu doa, untuk mereka kat luar sana yang sedang berusaha, semoga Allah bantu mereka macam Allah bantu aku. Tak kisahlah melalui apa jalan pun. Dan, cubalah bangun dan lawan nafsu tu. Susah, aku tau susah. Lawan jugak, kalau jatuh, bangun dan lawan balik. Tolong jangan putus asa. Ingatlah Allah tak pernah berpaling dari kita. Cubalah semua cara yang boleh. Bukan melalui perkahwinan sahaja. Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk kita, minta lah Allah tunjukkan jalan yang terbaik.
Yang penting kita usaha, dan minta Allah tolong dan bagi kekuatan. Satu benda yang buat aku selalu menangis bila baca confession macam tu adalah sebab Allah jawab doa aku. Allah selamatkan aku walau aku banyak dosa. Ingat tak malu ke dengan Allah. Minta ampun, menangis beria-ia. Jaga ibadah berbulan-bulan tapi dalam 11 bulan aku jaga diri aku, aku pasti tersangkut sebulan. Sampaikan aku merayu kat Allah kenapa kitaran hidup aku sama je setiap tahun. Aku benci diri aku sangat-sangat.
Ada orang cakap kalau kahwin sebab nafsu tak ada makna. Tapi aku anggap aku kahwin sebab aku nak selamatkan agama aku, iman aku, dan diri aku dari terus hancur. Sebab bertahun-tahun dah bermacam cara aku buat. Semua gagal.
Mesti ada yang fikir aku gadis liar suka berpeleseran sana sini. Tak. Aku sangat tak suka bercouple tapi Allah uji aku walaupun seminggu aku kenal seorang lelaki. Aku boleh rebah. Aku benci bersentuh-sentuh. Aku benci dekat-dekat dengan lelaki. Aku cuba jaga ikhtilat aku. Tapi bila dah bertahun terjebak, nafsu aku dah jadi kuat sangat-sangat untuk tepis.
Kenapa aku taip confession ni? Sebab aku nak bagi sokongan kat mereka yang memerlukan. Aku faham korang tapi cubalah. Aku takut kalau aku mati dalam keadaan aku buat dosa. Sebab tu aku nak berubah. Aku juga malu sebab Allah selalu jaga aku, lindungi aku tapi aku masih buat dosa besar.
Semoga hati kita terbuka nak bertaubat nasuha. Semoga Allah tak masukkan kita dalam golongan orang yang dimurkaiNya. Semoga Allah lindungi zuriat dan keturunan kita dari zina.
Dan untuk auntie uncle semua, tak perlulah sibuk nak kecam orang-orang yang buat dosa ni. Aku pernah je kenal lelaki yang dari hari pertama dah berani sentuh aku. Tapi mak nya selalu anggap anak dia tu suci. Pls mem. Zina ni salah dua-dua pihak. Lelaki dan perempuan. Auntie tak tahu, tak semestinya anak auntie tak buat. Doa lah semoga mereka terlindung dari zina.
Aku betul-betul harap mak ayah kat luar sana tak pandang enteng isu zina ni. Rosak masyarakat, rosak umat Islam, rosak agama Islam. Tolonglah kawal anak-anak korang. Aku dulu bawa lelaki masuk rumah pun bagi alasan nak buat kerja rumah (pertama sekali aku terjebak), takda orang pun nak tegur aku, pukul aku, marah aku. Bila aku balik lewat pun, mak ayah aku tak risau. Semua sibuk hal masing-masing, hal nak bercerai lah apa, hal mak aku ada pakwe, hal bapak aku gila talak sampaikan mereka lupa hal ehwal anak mereka.
Aku cerita pasal aku kena cabul masa kecil dengan kawan mak aku pun, mak aku senyap je. Ayah aku tengok je kalau kawan-kawan dia dok kacau-kacau aku. Mungkin perkara kecil bagi sesetengah orang, tapi itu ujian aku, bahagian aku. Semoga Allah bimbing aku dengan mak ayah aku ke jalan yang benar.
Btw, aku tak salahkan sesiapa. Aku sedar aku dah besar, aku patut tahu bezakan dosa pahala. Aku bukannya tak tahu agama. Aku rasa jijik sangat bila fikir dulu check in hotel lepastu solat sama-sama. Dia macam kau solat dalam keadaan badan kau penuh dengan lumpur, kotor. Allah, ampunkan aku.
Semoga baik-baik je untuk kita semua. Aku takut, aku banyak dosa. Boleh ke aku jadi seorang ibu yang baik?
– Solehah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit