Sedang Dihujung Kehancuran Keluarga

Hai, nama aku Hanan, umur aku 25 tahun. Aku anak sulung dari 6 beradik. Abi dan Umi aku kedua-duanya guru. Keluarga kami boleh dikatakan keluarga yang beragama, sebab abi guru agama dan umi guru sains MRSM tapi berpenampilan seperti ustazah.

Aku dan 5 orang adik-adikku semua dimasukkan ke sekolah agama. Aku sendiri Alhamdulillah keluaran sebuah Integrasi Tahfiz Sains di sebuah negeri.

Aku baru selesai degree aku tahun lepas dan belum lagi mendapat pekerjaan (Sebab baru sangat balik dari luar negara setelah tamat belajar).

Adik kedua Alhamdulillah sudah bekerja. Adik ketiga sedang dalam fasa belajar di universitinya. Manakala yang lainnya masih bersekolah.

Selesai perkenalan ringkas tentang keluarga aku. Secara ringkas, aku boleh katakan keluarga aku hidup senang (Bukan kaya). Alhamdulillah apa yang aku dan adik-adik ingin, Insya Allah semampunya akan dipenuhi.

Korang mesti ingat kami adik beradik happy sangat kan? Sebenarnya, ada suatu sudut yang kami berenam simpan sama-sama. Apa itu?

Kami sebenarnya ANAK BROKEN HOME.

Kenapa aku kata begitu?

Dari aku kecil, aku dah terbiasa sangat dengar abi umi bertengkar. Masing-masing tinggi suara kepada pasangan. Kadang-kadang, kemarahan mereka terhadap pasangan, dihalakan kepada kami.

Kalau kami pergi bercuti kemana-mana, pasti akan ada pertengkaran hebat dalam kereta yang membuatkan masing-masing akhirnya berdiam diri sampai tiba di destinasi.

Aku hadap situasi ini dari kecil. Bayangkan dari Selangor nak pergi Johor, 6 jam diam dan sepi kereta kami asbab bertengkarnya mereka.

Umi pernah begitu marah dengan adik aku, sampai memukul tanpa belas kasihan. Abi ada disitu, menggendong adik ke 4 yang masih bayi, cuba menenangkan umi. Tapi malah abi yang dipukul bertalu-talu sebab umi turutkan emosi.

Entahlah, kalau kalian dah besar, bila teringat balik peristiwa-peristiwa kena marah dengan mak, pasti rasa lucu kan? Sebab mak pukul atas dasar mendidik.

Tapi umi? Sampai sekarang masih terasa kepedihan dan amarah umi yang macam orang gila bila pukul adik. Aku ingat betul wajah benci umi ketika itu.

Ketika aku masih belajar di luar negara, adik-adik kerap video call aku. Mereka mengadu, umi abi baru selesai bertengkar. Masing-masing peluk tubuh dalam bilik, atau buat tak tahu, atau pakai earphone dengar lagu kuat-kuat.

Ada juga kadang-kadang ketika aku sedang VC dengan adik, tiba-tiba dengar suara tinggi umi di ruang tamu. Macam-macam dipertengkarkan, akhirnya adik-adik pun turut serta kena tempiasnya.

Kami berenam masing-masing pemarah. Tapi yang paling parah ialah adik bongsu aku. Barannya dia sampaikan kalau abang atau kakak yang lain buat salah sikit, terus melenting, jerit-jerit, nangis yang macam disampuk jin.

Selain itu, kami memang jarang sangat diajar oleh umi membersih bilik, menyapu sampah, buang sawang, basuh baju. Sebab? Umi tak pernah pegang penyapu (Ini kiasannya, pandai-pandailah korang paham).

Tapi kenapa rumah boleh kemas dan rapi? Sebab sedari kami kecil, abi yang melakukan semuanya. Abi bangun dari pagi kemas satu rumah, kemudian berpindah ke halaman luar rumah. Semua abi buat. Sementara umi? Duduk atas katil, buka hp baca novel, tidur.

Intinya, semua yang berkaitan rumah tangga kami tak pandai. Aku sendiri belajar menjadi pengemas setelah teruk aku di ‘torture’ senior di sekolah dulu.

Aku penat sangat-sangat nak suruh adik-adik supaya kemas bilik, cuci tandas, kemas dapur. Aku paling serabut kalau bilik bersepah. Kalau waktu aku masih di rumah, akulah yang susun atur semua benda dalam bilik, tapi waktu aku tak ada? Ya Allah bersepah.

Rasa macam akulah emak dalam keluarga ni. Sebab aku yang suruh adik-adik buat itu ini, aku ajar adik-adik itu ini. Malahan adik bongsu aku lebih dengar kata aku dari kata umi.

Kalian tahu? Umi pulang dari mengajar, tak pernah masak. Selalu beli lauk dari luar dan kami tinggal masak nasi di rumah untuk makan tengahari.

Makan malam? Kalau ada lauk lebih tengahari, kami akan makan yang itu. Kalau tiada, makanlah kami nasi goreng bodo. Tapi ini cerita dulu.

Bila aku dah besar, aku belajar masak. Maka akulah yang masakkan setiap kali aku di rumah. Kalau aku tiada, adik kedua dan ketiga akan mengambil alih.

Kalian tahu, istilah ‘air tangan ibu’ tak pernah ada dalam kamus hidup kami. Bukan umi tak pernah masak, tapi jarang sangat untuk beliau memasak di dapur.

Apalah aku tidak memahami kerjaya umi sebagai seorang guru sehingga sanggup aku kritik umi begini? Tidak! Aku tahu umi mengajar orang lain itu suatu ibdah yang mulia. Tapi dosa apa aku sebagai seorang anak? Aku dan adik-adik tidak mendapat kasih sayang yang cukup.

Apakah salah kami, bahawa kami masing-masing menginginkan keluarga yang bahagia sedangkan umi abah sebegini? Apakah salah kami dilahirkan di dunia ini dengan kurangnya perhatian dan kasih sayang dari ibu ayah?

Awalnya, aku terbeban melihat adik-adik yang mula tinggi suara sesama mereka. Tapi akhirnya satu persatu makin sedar perbuatan mereka, dan makin lunak antara mereka serta makin memahami.

Sikap-sikap yang terlahir dari broken home ini, sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan aku. Sampai sekarang aku masih belum berjaya dalam soal percintaan.

Kerana apa? Aku takut aku akan menjadi seperti umi, atau bahkan lebih buruk. Aku sentiasa dihantui bayang-bayang rumah tangga kami sekeluarga.

Sampai sekarang, trauma terbesarku ialah dimarahi oleh mana-mana lelaki yang sama umur dengan abi. Misalnya lelaki tu aku tak kenal sekali pun, tapi kalau aku dengar dia jerit tinggi suara dan marah, aku akan menangis dan ketakutan.

Seiring dengan tumbesaran kami adik beradik, sketsa pertengkaran umi abi tak pernah ada jedanya. Apa yang membuatkan hal ini lebih parah, kerana besarnya ego abi. Abi berpendidikan tinggi, susah sekali tunduk dengan kata orang. Bagi beliau, kata beliaulah yang benar.

Ditambah dengan mulut lancang umi, maka jadilah hidup sehari-harian kami berantakan.

Apa yang aku sedih, ialah umi dan abah dan lama sangat tak tidur sebilik akhir-akhir ini. Aku sebagai orang yang boleh dikatakan dewasa dan ada ilmu agama, aku dah mulai faham.

Dan hari ini kemuncak dari semua itu, umi abi bertengkar sampai umi menangis sepuasnya, mengurung dalam bilik yang berkunci, manakala abi dengan keras menghentak pintu supaya dibuka.

Adik kedua aku yang lelaki, menangis semahunya. Lalu dia capai kunci motor dan keluar dari rumah. Aku cuba hubungi dan pujuk. Katanya dia tak mahu pulang ke rumah lagi. Dia sudah bekerja, maka duit gaji akan digunakan untuk menyewa rumah. Dia dah tak tahan menahan sakit hati.

Aku sebagai anak sulung merasa terbeban memikirkan keadaan ini. Aku tak tahu nak beritahu adik-adik bagaimana. Aku tak tahu nasib adik-adik yang masih bersekolah. Aku tak tahu keadaan aku dan adik-adik kalau mereka MENGAMBIL JALAN UNTUK BERPISAH.

Aku tahu hal ini akan terjadi. Apa persiapan yang perlu aku lakukan? Aku tak tahu. Aku buntu. Aku sedih. Aku keliru. Aku ingin pergi.

Disebabkan hal ini, aku telah beberapa kali melakukan percubaan membunuh diri. Telah beberapa kali dimasukkan ke hospital ketika masih belajar di luar negara.

Tangan aku, tak usah cakap. Banyak kesan kelar. Tali pun dah tersedia untuk aku gantung diri. Aku tak tahan dengan hidup begini.

Sentiasa terngiang kata-kata abi di telinga aku saat beliau begitu kecewa kerna anak-anaknya yang tak pandai mengurus rumah, pemarah, emosi, melawan cakap… “BAIK KORANG SEMUA MATI!!!”

Ya Abi, itulah yang Hanan rasakan. Lebih baik Hanan mati. Daripada harus menanggung siksa dibesarkan dalam keluarga BROKEN HOME.

– Hanan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *