Sedih Dengan Hidup Sekarang

Saya ibu kepada tiga anak. Berkahwin dan tinggal berjauhan dengan suami. Saya bekerja dan urus anak berseorangan. Manakala suami bekerja sendiri di tempat lain.

Asalnya suami bekerja dengan sebuah syarikat, tapi terikut sangat kehendak hati untuk berniaga sendiri. Dia meletakkan jawatan dan berniaga yang agak jauh dari tempat kerja saya.

Semua perihal keluarga kami diletakkan atas bahu saya. Makan pakai saya dan anak, tempat tinggal, bil, kereta semua saya lunaskan.

Ye dia bantu dari segi kewangan, tapi setiap kali dia bagi saya duit untuk belanja dapur. Selang berapa minggu dia akan minta bantu dia beli rokok, kadang seluar atau baju, kadang bil telefon dia. Bukanlah berkira. Dengan gaji yang saya ada, duduk pula di bandar. Gaji hanya cukup makan.

Saya tak tahan bila dia suka keluarkan ayat ugutan walau dia kata niat cuma bergurau. Tapi ayat dia sangat menyakitkan hati. “Awak nak masuk neraka ke? Hahaha” dia selalu cakap sambil gelak, tapi saya malas nak sambung.

Dulu setiap kali dia ungkap ayat tu, saya akan tempik jerit dan sambung marah. Tapi sekarang, saya biar je. Sebab dah terlalu sakit hati.

Saya tunai hak dia, sebagai isteri setiap kali dia pulang saya belikan lauk kegemaran, saya masakkan. Saya sediakan tempat tidur selesa, pakaian dia saya cuci, kemaskan. Bedak dan minyak wangi untuk dia pun saya belikan. Termasuk hal batin semua saya cukupkan.

Yelah, sayang punya pasal. Kahwin pun atas dasar cinta. Tapi jangankan duit, tenaga untuk bantu saya uruskan keluarga pun kedekut. Pernah saya minta tolong uruskan anak semasa pengasuh bercuti.

Setiap apa yang dia bantu saya, semua dia ungkitkan. Tengking minta saya siapkan anak sebelum pergi kerja, pastikan makanan ada. Kalau dia tak tengking, dia telefon sambil perli.

Saya ni kerja melibatkan frontline. Perlu dengan customer sepanjang masa. Letih saya. Kadang malu saya depan kawan kawan bila dia telefon. Belum pula cerita hal dirumah. Yang sepanjang masa sama ada tidur, bangun untuk makan, main telefon, atau berkurung dalam bilik.

Pernah dulu masa saya susah. Dia pakai telefon saya untuk urusan dia. Sehingga saya sendiri tak ada telefon. Ketika itu dia makan gaji, tapi dia hanya gunakan gaji untuk diri dia sahaja. Saya banyak keluarkan duit untuk keluarga.

Bukanlah saya berkira, tapi siapa tahan. Asal ada masalah, saya kena tanggung dulu. Dari mula kahwin sehingga sekarang.

Saya ni kadang rasa berdosa sebab saya selalu bersyukur bila dia duduk jauh. Selalu berdoa biarlah dia jangan balik rumah, sebab saya tak tahan. Duit sering tak cukup bila dia balik. Emosi saya selalu tak stabil bila dia ada.

Hal balik kampung pun jadi isu. Rumah mertua agak jauh, jadi jarang berkesempatan nak balik. Tapi dia suka malukan saya dengan gurauan depan mertua saya “dia tak suka balik rumah kita, mama”.

Untuk saya, saya faham dia ungkap ayat tu dalam nada bergurau. Tapi pada mertua saya, mereka anggap semua ayat tu betul. Saya tak pernah sebut hal tak suka atau tak selesa. Sedih betul rasa, bila orang yang kita sayang dan kita anggap boleh faham dan bantu kita. Hakikatnya sekadar tunggul dalam rumahtangga.

Niat saya berkongsi hanya sekadar meluah perasaan. Mungkin ada yang merasakan kisah ni normal dalam perkahwinan yang masih baru. Tapi hakikatnya, membiarkan isteri tanggung semua urusan rumahtangga dari segi emosi, tenaga dan wang bukanlah perkara yang bagus.

Untuk yang belum berkahwin, atau sedang merancang perkahwinan. Beringatlah, pastikan lelaki yang bakal jadi suami tu adalah bertanggungjawab. Kadang kadang, pada mak bapa dan adik beradik mereka memang mereka jalankan tanggungjawab. Tapi terhadap kita, dan kedua ibubapa kita. Orang yang baru dalam kehidupan, mereka abai.

Bila dah kahwin dan ada anak, kalau boleh cerai adalah jalan paling hujung sekiranya tak jumpa juga jalan penyelesaian. Seeloknya dari awal, persiapkan mental diri dan bakal suami. Didik atau buat perjanjian supaya kemudian hari tak menyesal.

Jangan lupa, sediakan simpanan sendiri yang suami tak tahu pun. Andai perlu, angkat kaki dari rumahtangga sekarang. Pergilah. Rumahtangga dibina dengan kasih sayang dan persefahaman. Apalagi nak ditunggu kalau keduanya pun dah takde.

– Sedih (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *