Hi semua. Nama aku Cahaya. Aku memilih ruangan ini sekadar untuk melegakan rasa. Mungkin, selepas luahan ini aku bakal semakin lega.
Dan andainya ada yang membacanya, dan mahu memberi komen, aku berharap sangat komentar tersebut adalah suatu yang positif dan yang membangkitkan. (Bukan komen menghina sebab aku mudah koyak & terluka kalau ada yang menghina keluarga aku)
Aku lahir dalam keluarga yang sederhana tapi bukanlah yang beragama. Menjadi anak perempuan tunggal merupakan suatu yang agak membahagiakan.
Namun, di sebalik kebahagiaan kecil itu, hidup kami diliputi kesusahan dan kesengsaraan kerana ayahku adalah seorang bekas penagih.
Dan keluarga kami sentiasa mendapat pandangan serong masyarakat menyebabkan aku menjadi gadis yang tegar. Begitu juga dengan setiap dari ahli keluarga kami. Hidup kami juga sering berpindah randah.
Long story short, segala pahit getir hidup itu berjaya kami sekeluarga harungi. Dan segalanya menjadi normal kembali. Namun, senormal apapun, parut, luka dan kesan kesan masa lalu tetap ada.
Dalam kegetiran itu, aku berjaya faham agama, solat dan melaksanakan fardhu ain, melanjutkan pelajaran ke Universiti. Dan mendapat pekerjaan yang baik.
Abangku juga pernah terlibat dengan narkoba namun masih di peringkat awal dan berjaya ditepis. Hidupnya sangat terumbang ambing dan menemui jalan buntu.
Namun, berjaya diselamatkan berkat kasih sayang dan penerimaan kami sekeluarga. Dan perlahan lahan nasibnya berubah sehingga berjaya menemukan pasangan hidup yang baik di samping mendapat hidup yang lebih stabil.
Adikku juga sama. Zaman remajanya penuh pancaroba. Terlibat dengan masalah sosial dan sentiasa mendapat masalah di sekolah. Suka hidup berpeleseran dengan kawan, bawa motosikal dengan laju dan sebagainya
Namun, dia akhirnya insaf, dan berjaya menjadi manusia, menjaga solat serta berkahwin dengan pasangan yang baik.
Sebagai seorang anak perempuan tunggal, sepanjang tempoh “kecelaruan hidup” mereka itu. Akulah yang paling banyak menangis dan menyulam sabar.
Urusan rumah seperti mencuci, mengemas, memasak, mengutip, menyusun pakaian yang mereka pakai yang disepuk merata – rata, semuanya aku lakukan. Tanpa merungut. Sebab aku memilih untuk gembira dengan kerja kerja tersebut.
Cuma, kadangkala, sikap mereka membuatkan aku menangis sendiri. Habis nangis, aku cepat cepat sapu air mata dan menjalani hidup seperti biasa (gembira walau kadang berpura – pura).
Bukan sengaja mahu menyimpan rasa, tapi aku memang jenis begitu. Tak pandai meluah rasa sebenar, dan tak pernah menangis kerana mereka di hadapan mereka.
Nak ceritanya di sini, macam macamlah aku hadap dan tanggung sepanjang tempoh mereka jadi manusia bermasalah dulu!! Tapi aku sabar dan setiap waktu mendoakan mereka.
Sehinggalah, segalanya menjadi tenang dan stabil, dan mereka pun meninggalkan rumah kerana sudah berkahwin dan hidup dengan harmoni, tiba masa aku pula diuji.
Pertama, urusan pemilihan jodoh. Ada seorang lelaki yang baik mahu memperisterikan aku. Namun ditentang. Kalau mahu kahwin, hantaran RM30K. Alasan, lelaki itu adalah bukan Melayu, dan kerjanya biasa biasa. Dan aku pun putus dengan lelaki itu.
Kalau ada yang berani jentik soal jodoh memang merekalah yang akan aku persalahkan. Jadi, tidak seorang pun yang berani sebut walaupun usia aku sudah melebihi 30 tahun.
Kedua, aku diuji dengan kehilangan pekerjaan. Aku ada memohon ratusan pekerjaan dan mendapat banyak interview, namun semuanya gagal.
Aku berniaga online dan sebagainya namun, customer adalah, beberapa orang saja yang membeli. Usaha untuk aku mendapat pendapatan, sangat banyak. Semua aplikasi dan jawatan kosong aku mohon, namun bukan rezekiku.
Kini, aku adalah yang paling rendah martabat dari segi kehidupan berbanding mereka. Aku tinggal dengan ibu ayah kerana cuma aku yang belum bernikah. Namun, aku dipandang sepi. (Aku mahu merantau, namun terfikir ayah ibu yang cuma tinggal berdua)
Sepanjang aku menjadi penganggur dan tinggal dengan ibu ayah, tak ada seorang pun yang sudi hulur walaupun RM20.
Aku tidak meminta, namun tidak terfikirkah mereka, yang aku adalah saudara perempuan yang berada di bawah tanggungjawab mereka? Komitmen bulanan ku yang hampir 1K yang aku terpaksa abaikan, tidak ada seorang pun yang bertanya.
Mereka berbelanja ke sana sini dengan keluarga kecil mereka. Sesekali pulang ke kampung hulur pada ibu. Kadang, mereka mengeluarkan kos makan dan berbelanja untuk mereka. Tidak terfikirkah mereka tentang aku walau sedikit?
Ayah? Ibu?
Layanan ibu terutamanya, jelas berbeza. (Inilah yang paling membuatkan aku banyak menangis).
Ketika mereka pulang, ibu melayani mereka dengan suara lembut dan senyuman mesra. Ibu mengidangkan makanan bagaikan tetamu dari kayangan. (Sedangkan rumah ibu ayah ,kan? Anak sendiri yang balik kampung kan? Perlu kah menganggap mereka sebagai tetamu!!?)
Dengan aku, ibu suka bercakap kasar dan banyak menjeling. Ibu tak pernah selembut dan semesra itu ketika dengan aku.
Bila mereka pulang Kampung ,ibu masak tidak berhenti, lepas satu, satu makanan terhidang!
Bila mereka kembali ke rumah masing masing, ibu tak pernah memasakkan untukku sebegitu. (Aku tidak kisah kalau ibu tak mahu melakukan apa apa untukku, tapi bagi aku, tak perlulah melebih lebih melayan mereka sehingga terlihat ketara sekali perbezaan dengan cara ibu menyantuni aku)
Hal ini membuatkan aku sakit dan menangis sendiri. Aku rasa jauh dan terasing. Aku tak tahu sama ada aku cemburu atau apa (aku tidak mahu ada rasa ini), tapi tak perlulah tunjuk sangat kalaupun tak sayangkan aku.
Ayah?
Dulu aku adalah kesayangan ayah. Tapi sekarang tidak lagi. Kadang bila di rumah, aku meminta sepuluh ringgit pun ayah marah marah dan berat hati untuk bagi (ayah masih bekerja).
Aku cuma mahu membeli keperluan penting (simpananku sudah habis langsung kerana sudah lama tidak bekerja).
Aku okay kalau ayah tak ada duit, tapi ayah menghantar wang yang banyak pada adikku. Malah, adikku yang sudah berkahwin dan bekerja, dan isterinya juga bekerja sambilan, ayahku akan hulur dengan banyak.
Aku terkejut dan cuma menelan air liur setiap kali melihat keadaan ini. Namun, aku tak pernah menunjukkan rasa itu pada mereka semua. Aku malah ceria saja.
Hujungnya, aku cuma menangis.
Entahlah, salahkah aku diuji sebegini?
Salahkah menjadi miskin sedangkan masa lalu mereka juga lebih dahsyat dari aku.
Sekarang, aku betul betul merasa terhina dan berduka cita , atas layanan mereka. Aku juga struggle untuk diri sendiri.
Setiap hari aku memujuk hati untuk berjuang dan tetap bertahan. Kalaulah mereka, yang dipanggil keluarga ini sudi memahami.
Paling2 pun sebagai ibu bapa,
Perlukah aku ke Kuala Lumpur dan memulakan hidup baru di sana. Adakah ketika aku sudah tidak tinggal bersama mereka akan lebih sayang pada aku?
Aku sayang mereka, cuba aku meluahkan rasa terkilan di sini.
Korang, boleh tak, aku nak minta doa semoga dilancarkan rezeki aku. Aku nak bayar hutang, dan nak hidup dengan berjaya untuk diri sendiri.
Aku tahu, ujian sekarang ni mungkin atas dosa dosa semalam. Tapi, aku nak minta doa korang yang mungkin terus tertembak ke langit, doakan aku cekal dan dipermudahkan rezeki. Banyak hutang aku nak bayar.
Dan semoga, orang yang sama situasi macam aku, akan dipermudah segala urusan dan dapat keluar dari kesusahan ni. Keep it up guys!
Oh ya!
Pengajaran besar, siapa pun korang dalam keluarga, pertama, jadilah mak ayah yang adil. Kalaupun korang sayang anak tu lebih dari anak yang lain, paling2 pun jangan tunjuk. Siapa pun mereka, mereka anak kita.
Kalau korang adalah seorang wali, carikanlah suami untuk perempuan perempuan korang kerana itu adalah tanggungjawab wali. Ya, zaman sekarang memang orang cari sendiri. Tapi jangan lupa IA ADALAH TANGGUNGJAWAB WALI.
Kalau korang ada darah daging yang sedang dalam susah, tanyalah khabar, santuni mereka. Hulurlah walau RM10 kalau ada, itupun cukup besar untuk orang yang tiada berpendapatan. Ataupun, belikanlah tuala wanita, shaver dan keperluan asas lain untuk mereka.
Bersyukurlah, sekurang kurangnya mereka tidak menjadi gila atau hilang kewarasan kerana keadaan!
– Cahaya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Semoga dipermudah segala urusan, dimurahkan rezeki dan cepat dpt jodoh yg baik utk awak ye Aamiin..
Semoga Allah mudahkan segala urusan awak.
Semoga semuanya dipermudahkan..boleh dah berhijrah ketempat lain..mulakan hidup baru sendiri..