Assalamualaikum. Aku N, seorang perempuan yang sedang berjuang dengan kehidupan sendiri. Aku nak berkongsi perkara yang sedang aku lalui, sebab aku dah kehilangan pendengar setia, yang selalu menjadi tempat aku mengadu. Aku perlukan pendengar, yang boleh dengar cerita aku, yang boleh cakap yang baik-baik, atau diam. Yang tak jaja cerita aku kemudiannya pada orang lain.
Kenapa tak mengadu pada Tuhan? Tak perlulah cakap begitu, sebab lumrah manusia saling perlu kepada diri yang lain.
Aku kira, ini hanyalah ujian-ujian kecil dari Tuhan untuk aku jalani, tinggal lagi aku perlukan suasana yang menyokong, untuk menguatkan aku.
Aku perempuan yang agak menjaga batas pergaulan. Memang tak ramah dengan lelaki. Entah, aku kira tak ada keperluan untuk menjadi ramah, melainkan kawan-kawan sekerja yang memang aku perlu berkomunikasi hari-hari.
Aku ada hala tuju aku sendiri. Aku tahu apa yang aku mahu dan bagaimana yang aku perlu. Hal ini menjadikan aku tak kisah dan tak menjadi masalah bila aku susah nak didekati lelaki. Ya, ada tembok tinggi yang aku cipta.
Aku tak ada masalah bila kawan-kawan seusia aku ramai dah berkahwin, dan dah ada anak pun. Aku tak ada la rasa nak kahwin juga sebab kawan-kawan semua dah kahwin. Soal perkahwinan tak pernah jadi isu yang menarik perhatian aku. Bahkan, jika orang berlebih-lebih, aku yang terasa muak melayan.
Cuma, ada waktu-waktu tertentu, aku rasa kosong yang teramat. Ya, walaupun aku tak ambil kisah soal ini, ada waktunya aku ‘down’, aku rasa tak berguna, ‘loser’ . Susah aku nak ceritakan perasaan aku, terkadang aku sendiri tak faham dengan diri aku.
Seperti yang aku katakan, aku memang susah didekati lelaki. Aku lebih memilih untuk aku yang memulakannya. Aku kenal seorang lelaki yang baik akhlaknya. Tidaklah begitu kenal, tapi aku tahu sedikit sebanyak mengenainya. Selepas aku pertimbangkan baik buruknya dan mohon kekuatan dari Tuhan untuk memulakannya, aku hubungi lelaki tersebut. Ya, aku tak melalui orang tengah. Sebab mulut-mulut manusia selalu katakan akan menyimpan rahsia, tapi kemudiannya kepada orang dekatnya dia cerita. Maaf, aku memang tidak percaya.
Aku mulakan sapaan, dan berkali-kali memohon maaf jika dia merasakan tindakan aku kurang sopan. Aku bertanyakan statusnya terlebih dahulu. Alhamdulillah, dia cukup memahami. Aku nyatakan hasrat aku untuk melamar dia. Selepas sedikit pengenalan diri, aku berikan ruang untuk dia memikirkannya terlebih dahulu.
Beberapa waktu selepas itu, aku terima jawapan darinya, dia menolak dengan baik. Masih ada urusan darinya yang belum dia selesaikan. Masih belum ada kesediaan untuk dia menggalas amanah yang lain. Dia tinggalkan dunia pekerjaan untuk membuka seluasnya ruang kembali menjadi penuntut ilmu.
Keharuan aku mengatasi rasa kecewa kerana lamaran ditolak. Selepas kembali tenang, aku nyatakan lamaran kedua, dan aku berikan seluasnya ruang dan waktu sehingga dia telah benar-benar bersedia. Dan aku tahu, dalam tempoh waktu yang tak tahu bila itu, dia mungkin akan bertemu orang yang lebih cocok dengan dirinya, dan aku nyatakan lapang dada jika dia sudah punya pilihan lain.
Dan masa terus berlalu, kami tak lagi berhubungan. Aku sendiri tak tahu bagaimana khabar dia sekarang. Aku kira memang sudah terputus hubungan kerana dia memang tak aktif di media sosial, bahkan medium komunikasi kami di facebook pun sudah tiada, dia sudah padam akaunnya.
Aku tak tahu bagaimana Tuhan mengaturkan semua ini dan tak pernah tahu kesudahan lamaran ini.
Ketika ini, memang pergantungan sepenuhnya aku panjatkan kepada Tuhan. Moga Tuhan tak bolak-balikkan hati aku, moga Tuhan tak uji aku dengan janji yang aku nyatakan walau janji itu hanya aku yang persetujui. Aku tahu, ‘possibility’ hubungan ini melangkah ke fasa seterusnya amatlah rendah. Aku kira mustahil kami akan bersatu, tapi setiap kali aku berkata begitu, ada yang menjerit kepadaku, hanya Tuhan yang lebih tahu. Dia lebih berkuasa dari sangkaan hati.
Sehingga waktu ini, aku berpegang pada janji. Aku jalani kehidupan seperti tiada apa-apa. Dalam kesibukkan aku saban hari tetap ada masanya aku terdiam, terfikirkan tentang diri. Teragukan hal yang tidak pasti.
Ya, aku hanya perlukan pendengar, yang boleh mendengar luahan aku. Yang hanya cakap yang baik-baik, atau diam. Doakan yang baik-baik untuk aku.
– N
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit