Sekadar Luahan

Assalamualaikum semua. Niat aku untuk menulis confession ini cuma untuk meluahkan perasaan. Kerana aku tiada tempat untuk meluah. Semoga confession ini dapat disiarkan oleh admin.

Sebelum tu perkenalkan nama aku Wafa (bukan nama sebenar). Aku pelajar di salah sebuah maahad dalam negara dan aku juga merupakan penghidap bipolar disorder type 2.

Penyakit aku ni bukan saja menyerang minda tapi juga memberi kesan kepada fizikal. Contohnya aku pernah tidak boleh berjalan selama sebulan. Kesannya juga membuatkan aku terpaksa solat dalam keadaan duduk selama 2 tahun.

Sebelum ni aku pelajar di universiti (dalam negara juga). Ambil diploma lepas dari SPM. Tapi malangnya diuji dengan sakit sehinggalah aku terpaksa berhenti dari study.

Pada tahun 2019, aku memohon maahad di negeri tempat aku menetap. Tetapi pada masa tu aku tidak diterima kerana tidak melepasi ujian temuduga.

Aku ingat lagi pernah sempat meluah dengan pelajar maahad yang juga merupakan bekas kawan di sekolah lama tentang kesukaran untuk aku duduk bersila. Itulah hikmahnya aku tak dapat juga sebab masa tu kesihatan belum mengizinkan.

Alhamdulillah di rumah aku start untuk join kelas² online. Contohnya Kelas Bahasa Arab, kelas tadabbur, kelas tasmi’ online, kelas tajwid di FB serta join kelas bisnes.

Dalam tempoh tu juga aku dapat pengalaman untuk berbisnes dengan jual buku, simkad, produk kecantikan, topup dan cod makanan area daerah tempat aku menetap.

Hasilnya aku dapat kumpul sedikit wang untuk aku. Tapi hakikat yang aku tidak boleh nafikan yang sakit aku ni ada fasa manic dan depressed. Pada fasa manic aku boleh belanjakan duit aku tanpa fikir apa akan jadi pada masa akan datang.

Kiranya boleh boros tanpa sedar. Jadi kesannya duit aku sedikit demi sedikit habis macam tu saja tanpa pemantauan oleh sesiapa.

Sebelum aku melanjutkan, aku nak pesan kepada penghidap bipolar. Sekiranya anda penghidap penyakit ni, cuba untuk melakukan penyimpanan serta merta atau minta keluarga simpankan.

Sebab kita sendiri yang penghidap ni tidak boleh berfikir secara waras ke mana duit tu hendak dilaburkan. Ini sekadar pesanan dari aku.

Tapi alhamdulillah, aku dapat juga beli sebuah kereta kancil hasil perniagaan tu. Tapi malangnya sampai sekarang tidak berani untuk memandu. Impianku ingin membawa mama jalan-jalan. Aku yang pandu suatu hari nanti. Aamiin ya Rabb.

Tahun 2019 banyak yang berlaku. Tahun ini juga bapa pergi buat selama-lamanya. Tapi aku bersyukur sebab Allah beri kesempatan untuk aku bermanja dengan bapa di hari-hari terakhirnya.

Nyanyian bapa di corong telefon semasa aku sakit awal tahun 2019 itu masih terimbau di ingatan. Sungguh pada masa itu aku benar-benar merasa kasih sayang seorang ayah.

Sehinggalah bapa meninggal 2 hari selepas tarikh ulang tahun kelahiran aku yaitu 28 Jun 2019.

Maka pada tahun 2021 aku terpilih untuk masuk ke maahad. Masa tu aku bersyukur sangat sebab Allah pilih aku masuk ke medan yang aku betul-betul hendak pergi. Aku bertemu sahabat-sahabat dan pensyarah-pensyarah yang baik.

Di sini kehidupan aku sedikit berubah. Daripada seorang yang boleh dikatakan tak boleh berkomunikasi dengan orang lain, alhamdulillah aku kikis secara perlahan.

Aku sendiri pun tidak tahu dari mana kekuatan itu datang. Benarlah Allah akan bantu hamba-Nya. Aku bersyukur sangat.

Cumanya overthinking yang aku alami sedikit sebanyak mengganggu kehidupan aku sebagai seorang pelajar. Rasa down dan mood berubah secara mendadak disebabkan perkara-perkara remeh mengganggu prestasi aku.

Sepanjang satu sem belajar online aku selalu merasa tertekan. Aku belum jumpa tune untuk aku menghafal. Sampai sekarang pun aku masih tercari-cari tune menghafal tu. Walaupun bermacam tips aku cuba tapi tetap tidak berjaya.

Bagi aku kebahagiaan bila aku sudah dapat tune tu. Doakan aku ya. Bila masuk belajar secara berdepan lain pula cabarannya. Di sana aku asyik mahu tidur disebabkan faktor ubat. Badan rasa terlalu lemas. Aku bukan malas.

Aku cuma sedang berlawan dengan diri aku. Aku merasa sangat cemburu dengan kawan-kawan yang lain. Ada yang masyi pastu rajin mengulang. Sangat janggal untuk seorang insan seperti aku yang tiada apa-apa ni untuk berada di sini bersama-sama dengan mereka.

Di maahad juga aku dikelilingi sahabat-sahabat yang baik. Walaupun aku terpaksa berlawan dengan diri sendiri.

Kerana aku sangat sensitive dengan riak wajah orang, menyebabkan aku selalu depressed. Tapi Hakikatnya memang macam tu. Aku belajar untuk menerima bahawa itu cuma sangkaan aku semata-mata.

Kerana setiap orang ada personaliti masing-masing. Aku pula tidak boleh kalau lihat kawan aku bermurung atau tidak senyum dengan aku.

Perkara tu boleh buat aku fikir mereka benci aku atau marah aku. Kadang-kadang kalau kawan aku senyum pun aku boleh tahu itu senyuman ikhlas ataupun tidak.

Aku pun tidak pasti topik penceritaan aku ni ke arah mana.

Mohon yang membaca ni bersabar ya. Ini sekadar luahan dari aku. Sebab sekarang ni aku tengah berlawan dengan perasaan.

Aku sekarang sedang melalui fasa down yang teramat ditambah lagi tekanan muqorror yang belum habis serta tahriri yang belum siap-siap. Ya Allah permudahkanlah segalanya.

Aku sebenarnya tidak ramai kawan. Dulu masa sekolah menengah, form 4 dan form 5 aku selalu alami anxiety. Anxiety aku agak teruk juga tetapi malangnya pada masa tu tiada rawatan untuk aku. Aku selalu berdebar. Badan berpeluh-peluh. Setiap hari menangis.

Aku alami rasa keinginan untuk bersahabat dengan kawan-kawan sekelas tetapi aku sendiri tidak pandai bersahabat dengan mereka. Menyebabkan mereka menjauh. Mungkin mereka berfikiran aku ni sombong atau seumpamanya.

Tahun ni juga anxiety aku pernah datang. Aku pernah merasa seolah-olah Allah hendak tarik nyawa aku. Aku tidak boleh kawal diri aku.

Perasaan ingin mencederakan diri membuak-buak. Aku tidak mahu perkara itu berlaku. Sebab aku takut melaluinya. Aku seperti mayat hidup yang berjalan di muka bumi. Muka aku sembab dengan tangisan.

Di maahad aku selalu minum ubat lebih dari dos yang aku disarankan. Tapi belum sampai aku overdose. Aku tahu mencederakan diri itu berdosa. Dulu masa dimasukkan ke hospital aku sempat mencederakan lidah aku.

Tangan dan kaki aku lebam disebabkan selalu tumbuk dinding. Sungguh aku tidak mahu melalui fasa itu lagi. Sebab aku mahu sembuh.

Sekali lagi aku minta maaf sekiranya sebelum ni aku pernah post yang mengguriskan hati. Aku mahu betulkan. Semuanya prasangka aku.

Tiada orang pun yang bersalah. Semuanya salah aku sebab selalu bersangka negatif dengan orang lain. Aku harap yang membaca ni tidak melabel orang seperti aku sebagai seorang yang lemah.

Kami pun mahu berjaya juga. Kami masih berjuang hidup dengan mood normal macam orang lain. Tapi kami tidak boleh kawal mood kami yang terkadang terlalu bahagia dan terkadang terlalu depressed. Episod tu sentiasa berulang.

Aku harap yang membaca ni, kalau ada kawan yang melalui penyakit seperti aku bimbinglah mereka.

Berilah sokongan. Kalau tidak mampu berkata apa-apa cukuplah menjadi pendengar setia buat mereka. Percayalah mereka sangat menghargai orang yang sudi mendengar kisah mereka dan sudi ada di saat mereka sedih.

– Wafa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *