Sekadar Luahan Anak

Assalamualaikum. Maaf aku tak tahu tajuk apakah sesuai untuk cerita aku. Aku buntu, sedih, down sangat. Cerita ni baru berlaku dalam bulan ramadhan ni.

Aku mulakan dulu dengan cerita waktu aku kecil. Aku anak manja mak. Paling rapat dengan mak. Apa yang aku ingin lakukan pasti aku minta izin mak dan aku akan cuba sedaya upaya aku untuk tidak buat mak marah atau sedih.

Apa sahaja permintaan mak, aku cuba turuti. Mak selalu cakap aku anak yang baik bagi mak. Mak selalu doa aku dapat suami yang baik.

Mak aku berpisah dengan ayahku ketika usiaku 8 tahun atas faktor tertentu. Jalan cerita hidup mak aku juga penuh dengan kesedihan yang aku tak patut ceritakan disini.

Ketika usia ku 20, mak aku bernikah. Ayah tiri aku sangat baik. Setiap bulan pasti belikan mak aku hadiah walaupun gajinya kecil.

Hinggalah tiba tahun selepas ayah tiri aku meninggal akibat kemalangan. Mak aku jadi sering marah aku. Apa aku lakukan selalunya salah di mata mak.

Mak sudah tidak nampak segala pengorbanan aku. Aku jadi pelik dengan perubahan sikap mak. Aku fikir mungkin mak sunyi tapi mak minta aku kahwin awal. Mak kata lega jika aku dah kahwin.

Bila aku jumpa pilihan hati, aku pun berkahwin. Namun lagi kerap mak marah dan terasa hati dengan aku bila aku patuh pada suami. Sedangkan suami aku bukanlah menyuruh aku berbuat keburukan.

Setiap 2 bulan suami aku bawa aku pulang ke kampung kerana kekangan waktu kerja. Ada kalanya aku bagitahu mak nak pulang setiap bulan tapi mak tak kasi sebab mak kata buat penat ja balik sekejap sangat. Lebih baik balik jarang2 tapi cuti lama.

Sebelum pkp kami bercadang ingin pulang ke kampug. Namun tiba beberapa hari sebelum tarikh pulang, pkp dilaksanakan. Hingga hari ini sudah 4 bulan aku tidak dapat berjumpa mak aku.

Kami ada seorang anak. Biasalah seorang nenek pastinya rindukan cucu. Aku tidak sabar menunggu habis waktu pkp kerana ingin membawa anakku bertemu neneknya.

Tiba tiba mak aku call beritahu yang dia ingin datang ke rumahku bersama saudara maraku dan atok aku. Mak aku tinggal di kawasan red zone covid 19 dan aku juga di red zone walaupun jauh beratus kilometer jarak rumah kami.

Memikirkan yang suami aku seorang fronliner, dan saudara ku yang ingin membawa mak aku datang juga frontliner, aku minta mak aku tangguhkan dulu hasrat tu.

Walau aku juga sangat rindukan mak. Aku sangat risau keadaan anak aku yang masih kecil serta mak dan atok aku yang sudah uzur jika mereka datang berkumpul.

Aku tidak berniat ingin mengguris hati mak. Aku cuma minta tangguhkan dulu hingga habis waktu pkp kerana aku akan bercuti panjang untuk pulang bertemu mereka. Namun niat aku disalah ertikan. Mak terguris hati dan membuang aku dari hidupnya.

Katanya aku sekeluarga sudah tidak ada dalam hidup mak. Mak aku membenci aku kerana baginya aku terlalu patuh kepada suami sedangkan itu adalah keputusan aku dan suami untuk melindungi orang yang berisiko.

Apalah dosa aku jika benar selama ini aku patuh pada suami? Suami ku bukanlah orang yang memisahkan anak dan ibu tetapi buat masa ini bukanlah waktu untuk berkumpul ahli keluarga. Tambah pula kami dari keluarga frontliner.

Sudah penat aku terangkan sebab yang akan datang jika kita tetap berkumpul tetapi mak aku keras hati sekali untuk memahami. Tetap ingin menyalahkan aku.

Aku jadi tekanan dan rasa seperti anak derhaka. Aku hilang pertimbangan lalu meminta cerai dari suami. Bagi aku jika aku berpisah dengan suami mungkin akan membuat mak bahagia.

Tapi suami aku seorang yang sabar dan positif. Dia menyuruh aku istighfar dan banyak berdoa supaya mak faham. Dia banyak memujuk aku supaya terus positif dengan ujian Allah.

Keadaan sekarang, semua orang sedang menanggung rindu ingin bertemu orang tersayang tapi cubalah kita bersabar demi memerangi wabak ini.

Doktor dan nurse dan semua frontliner tidak sempat bercuti panjang kerana bertarung untuk kita tetapi kita masih degil ingin berkumpul. Orang2 yang susah dan berniaga kecil kecilan juga tidak sabar ingin berniaga semula kerana wang mereka hanya bergantung pada hasil jualan.

Betapa peritnya mereka menanti. Tapi manusia yang degil juga yang menambahkan lagi bilangan kes. Jika kita tetap degil, sampai tahun depan pun kita tidak dapat beraya bersama di kampung.

Tambah perit ujian aku, mak aku mintah rakan karibnya menulis tentang aku di facebook. Dia memburukkan aku dan suami seolah olah kami tiada hati perut tidak membenarkan mak datang. Sedihnya hati ini tatkala membaca. Saya difitnah oleh rakan karib mak.

Sebelum ini juga banyak kejadian mak mengamuk menyalahkan aku menjadi isteri yang patuh pada suami sedangkan aku tahu apa yang suami aku lakukan itu betul tapi tidak bagi mak aku. Apa yang aku buat jika tidak mengikut cakapnya, aku akan dimarahi..

Kadangkala aku pernah dipukul mak dibelakang suami. Aku juga tahu mak menceritakan perihal aku pada semua rakan karibnya.

Bila aku pulang ke kampung, aku perasan mereka sudah tidak layan aku seperti dulu. Aku tahu mak aku suka mengadu kepada rakannya walaupun kesalahan itu punca dari mak.

Aku jadi aneh dengan perubahan mak sejak kematian ayah tiri aku. Mak sudah tidak selembut dulu pada aku. Mak boleh berlembut dengan anak2 yang lain tapi bukan pada aku. Apalah salah aku.

Aku mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus bahawa seorang isteri wajib patuh kepada suami selagi tidak mensyirikkan Allah kerana suamilah yang menanggung dosa isteri. Jika seorang perempuan belum berkahwin, dia wajib patuh kepada ibu dan ayahnya kerana mereka yang menanggung dosanya.

Apa lagi yang harus aku lakukan untuk membuktikan kasih sayang aku pada mak. Aku telah mengajak mak untuk tinggal bersama kami supaya aku dapat menjaga mak tapi mak tolak kerana tidak mahu meninggalkan rumahnya di kampung.

Setiap beberapa bulan aku pasti belikan mak hadiah supaya mak gembira. Tapi gembira mak cuma sebentar. Setiap hari aku call mak untuk bertanya khabar tapi kini mak sudah tidak mahu menjawab panggilan aku.

Mak seolah olah tidak suka aku mempunyai suami. Mak tidak suka aku terikat dengan suami.

Adakah aku dilahirkan di dunia ini untuk dibenci mak sendiri?

Sahabat aku sudah satu tahun tidak dapat pulang ke kampung kerana suaminya seorang doktor yang sangat sibuk. Dia tetap sabar dan patuh pada suami. Emaknya juga seorang yang sabar dan memahami.

Walaupun anak tidak dapat pulang tapi emaknya datang sendiri ke rumah. Tidak pernah emaknya membenci suaminya walaupun tidak benarkan dia pulang ke kampung tanpa ditemani suami.

Tapi aku, bila aku tidak dapat pulang ke kampung tanpa ditemani suami, mak aku menganggap aku anak tidak kenang budi. Sedangkan kami tetap pulang tapi mesti menanti sehingga suamiku dapat cuti.

Terlalu banyak kisah luahan yang ingin aku ceritakan tapi biarlah tersimpan dalam hati. Aku tidak mahu menceritakan kepada sahabat aku kerana bimbang mereka memandang rendah pada mak. Biarlah aku ceritakan disini agar tidak siapa tahu.

Setiap malam aku berdoa Allah melembutkan hati mak dan lindungi mak. Aku bimbang jika mak aku terkena gangguan sesuatu atau hasutan rakan. Atau mak aku mengalami depresi. Aku tidak tahu.

Yang aku mahu Allah ampuni dosaku jika aku melukakan hati mak. Dan Allah mengampuni mak jika mak tidak percaya dengan qada dan qadar.

Aku mohon semua pembaca doakan hubungan aku dengan mak menjadi mesra seperti dulu. Aku rindukan mak aku yang dulu. Terima kasih kerana sudi membaca luahan hati aku.

– Maya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini ->Ā https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *