Sekeping Hati Yang Dilukai

Assalamualaikum. Terima kasih andai confession ini disiarkan. Hanya ingin meluahkan rasa hati. Aku berumur hujung 20-an. Seorang perempuan.

2018, permulaan segalanya. Kenal si dia dari 1 laman sosial. Berkawan hingga timbul bibit kemesraan antara kami dan berterusan hingga masing-masing meluahkan perasaan. Berumur 2 tahun lebih tua dariku, bekerja dalam perkhidmatan awam.

Tak lama selepas itu, satu perkhabaran gembira buat kami, rasa bertambah kuat hubungan ini bila tahu yang selama ini mak mengasuh anak-anak saudara si dia sejak 5-6 tahun sebelum itu lagi. Kecil dunia ini.

Hari demi hari aku mengenali perwatakan si dia. Orangnya lembut bicara dengan orang sekeliling. Tetapi denganku sedikit garang atau tegas.

Hanya disebabkan sedikit tersalah bicara, dia boleh berdiam diri atau merajuk 1-2 hari, seminggu ke dua minggu, dan pernah sebulan dia berdiam.

Hanya aku yang berusaha memujuk dia untuk kembali menghidupkan hubungan kami. Begitulah sehingga menginjak ke tahun ke 2 hubungan kami.

Hubungan jarak jauh negeri pantai timur dan barat. Saling bertukar cerita tentang tempat masing-masing dan perkara rutin harian.

Penghujung 2020 mengubah segalanya. (Dari cerita si dia) Si dia ditugaskan untuk melakukan banci di satu kawasan.

Disebabkan suka membantu orang, si dia mengikut permintaan seorang penternak untuk membantu anak perempuannya membetulkan paip di rumah yang baharu dibeli anaknya.

Sejak dari itu, si dia mula lupa diri, setiap hari ingin makan di rumah itu, abaikan keluarga, sekaligus tinggalkan diriku tanpa sepatah kata. Sepi. Tanpa balasan mesej di Whatsapp dan lain-lain.

Awal Februari 2021, aku dikhabarkan sendiri oleh ibunya bahawa dia akan bernikah tidak lama lagi. Gugur jantung, lembik lutut, menangislah aku di depan kakak, adik, mak.

Hari bawa ke minggu, aku melepet di dalam bilik, di atas sejadah, memohon pada Allah bahawa ini semua hanya mimpi. Tapi inilah realiti yang sedang berlaku.

21 Februari mataku tertancap pada gambar-gambar nikah serba kuning yang disiarkan ibunya di laman facebook.

Menangis lagi hati ini. Allahuakbar. Sampai hari ini setiap muka dan perlakuan di dalam gambar-gambar itu masih bermain dalam fikiran ini.

Minggu berganti bulan, aku semakin pulih. Meneruskan rutin harianku sebagai peniaga online di 1 platform perniagaan.

Penghujung Mei, fokusku terganggung bila nama si dia naik di notifikasi. Follow dan like postku di platform tersebut. Aku gelisah memikirkan.

Tambahan pula sekitar bulan 3/4, aku terperasan yang gambar-gambar pernikahan mereka telah diturunkan dari facebook ibu si dia. Ini menguatkan firasatku bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

Setiap hari ada sahaja usaha dia untuk menarik perhatian ku sehingga satu tahap aku sudah tidak tahan diganggu sebegitu.

Masuklah aku ke ruang chat, bertanya pada si dia apa tujuan si dia muncul semula. Aku tegas mengatakan aku tidak mahu tahu apa-apa. Aku tidak mahu disakiti lagi.

Selepas beberapa perbualan, dia menjelaskan segalanya. Apa yang terjadi pada si dia. Dia dinikahkan dengan seorang janda anak 1.

Selepas bernikah, si isteri itu banyak melebihkan si anak. Tugasnya dirumah adalah untuk membelikan makanan sekiranya si isteri lapar dan membayar bil-bil rumah sahaja.

Semakin hari si dia rasa tidak kena duduk di dalam rumah bersama si isteri. Keluarga si isteri terlalu mempercayai bomoh untuk mengubati segala penyakit. Sehingga satu hari dia tersedar seperti si dia mengikut semua kata si isteri.

Sejak dari itu si dia banyak menghabiskan masa pulang ke rumah ibunya. Bermula dari situ si dia berusah mencariku semula.

Terlalu berlembut hati. Ku terima permohonan maaf darinya atas dasar sayang dan percaya atas penceritaannya. Bermula dari situ, dia berusaha untuk berubat, berkunjung ke ustaz pengubatan Islam beberapa kali.

Aku memberikan moral support pada si dia untuk segera pulih. Rakan-rakan sepejabatnya juga banyak mengatakan penampilannya sangat kusut dalam tempoh awal perkahwinannya dahulu.

Dia meyakinkan aku bahawa dia akan meninggalkan si isteri kerana bukan keinginannya untuk bernikah. Tiada cinta antara mereka. Hari berganti minggu dan bulan.

Dalam tempoh itu sering juga aku bertanya progress untuk urusan perceraian. Wanita mana yang mahu lihat insan yang dicintai masih ada ikatan dengan wanita lain.

Aku juga ada silapnya. Terlalu bertegas. Mana tidaknya, aku disajikan dengan pemandangan gambar si isteri dengan si ibu bergambar bersama. Si isteri itu nampak berusaha memenangi hati si ibu. Aku jadi gelisah.

Aku kerap bertanya pada si dia sehingga dia memarahiku sehingga aku ditinggalkan sekali lagi pada pertengahan Februari 2022. Sepi lagi.

Tiada balasan mesej. Lebih menyakitkan, aku disajikan dengan pemandangan video si dia menghadiakan bouquet bunga pada si isteri sempena ulangtahun pertama di ig si isteri yang baru diwujudkan.

Aku. Menangis sendiri untuk sekian kalinya. Tapi. Aku sedar, ujian ini membawa terlalu banyak hikmahnya.

Diriku kini lebih banyak mendekatkan diri dengan Allah. Solat di awal waktu, setiap malam mata akan terbuka sendiri sekitar 3-4 pagi untuk bertahajjud.

Al-Quran menjadi temanku. Biarpun setiap kali solat, doa dan zikirku bersama linangan air mata, tapi aku tahu, Allah ujiku bersebab. Doakan aku istiqamah.

Tentang si dia, biar Allah saja yang menunjukkan mana kaca dan permata padanya. Terima kasih pada yang sudi membaca, menelusuri kisah hidupku ini. Salam sayang.

– Cik Terbiar Sepi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *