Pengalaman hidup mampu mendewasakan seseorang. Berikut adalah sebuah Al-kisah yang mampu menzahirkan sepicis keinsafan serta kesedaran buat Sang Penulis khususnya.
Kejadian yang pernah berlaku didepan mata kepalaku sendiri sudah cukup membuktikan bahawa dunia fana ini hanyalah bersifat sementara lagikan kecil.
Sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Memberi. Jika Dia berkehendak untuk menyampaikan rezeki kepada mana-mana hambaNya, In Sha Allah pasti ia akan berlaku.
Permulaan al-kisah mengambil tempat ketika Sang Penulis (iaitu aku) yang sedang menempuh alam persekolahan di sebuah desa bersama seorang sahabat karibku yang bernama Mustafa.
Titik persamaan diantara kami hanyalah kami dibesarkan sebagai anak kampung sejak awal kelahiran ku di dunia ini.
Membesar di kampung. Menimba ilmu persekolahan juga di kawasan kampung. Namun dari segi sudut lain diantara aku dan Mustafa, aku dibesarkan dalam keluarga yang bersederhana serta hidup dalam serba mencukupi.
Manakala Mustafa pula dibesarkan dalam keadaan yang serba kurang. Dia juga merupakan anak yatim piatu dan seorang anak tunggal sejak berusia 5 tahun. Mustafa dibesarkan oleh kedua tok ki (atuk) & tok mek (nenek) beliau.
Sepanjang tempoh aku mengenali Mustafa, boleh dikatakan beliau tidak sama sekali pernah berpeluang untuk memiliki sepasang baju & seluar sekolah baharu seperti kebanyakan pelajar-pelajar sekolah lain.
Apatah lagi ingin memiliki wang saku kurang-kurang seperti aku untuk buat belanja makan di kantin sekolah. Ada lah juga aku belanja Mustafa sekali-sekala makan di kantin atas dasar keprihatinan sahabat sejagat.
Dalam erti kata lain, beliau hanya mampu hidup dengan apa yang beliau miliki sahaja tanpa dapat merasa kesenangan seperti kebanyakan pelajar.
Namun kekurangan dari segi harta dan kedudukan bukanlah menjadi batu penghalang buat Mustafa kerana beliau sebaliknya dikurniakan Allah dengan kelebihan kecerdasan akal, selain mendapat kepujian yang cemerlang dalam pelajaran.
Hinggakan nama Mustafa sendiri senantiasa meniti di sekolah dan juga sebilangan para guru, diatas pernah bergelar sebagai pelajar akedemik yang paling cemerlang di kalangan batch kami.
Seingat aku, Mustafa pernah bercerita kepadaku bahawa beliau pernah meminta RM10 daripada Tok Ki nya bagi mendapatkan sebuah buku latihan Matematik.
Iltizamnya adalah kerana beliau ingin menimba ilmu bersungguh-sungguh. Supaya beliau dapat mengubah nasibnya menjadi orang yang bekerjaya bagus di suatu masa nanti.
Aku sebagai sahabat karibnya sekadar memberi sokongan serta dorongan yang tiada putusnya. Mudah-mudahan dengan keberkatan yang diberi ini, beliau mampu mengubah hidup keluarganya.
Tahun demi tahun berlalu. Aku dan Mustafa akhirnya berjaya menamatkan pengajian kami di sekolah menengah dengan jayanya. Mustafa sekali lagi memperoleh keputusan yang cemerlang didalam SPM (10 A).
Lantaran itu, kami berdua mula membawa haluan masing-masing didalam hidup kami sejurus tamat alam persekolahan.
Namun sejauh mana kami melangkah, tali persahabatan tetap kami jaga. Mustafa berpeluang melanjutkan pelajaran ke UM dalam bidang doktor.
Setelah bertahun lamanya menempuh alam pengajian di menara gading, akhirnya Mustafa telah berjaya memulakan kerjayanya sebagai seorang doktor di sebuah Hospital Kerajaan.
Beliau kemudiannya berjaya membina sebuah kehidupan yang selesa di Kuala Lumpur. Alhamdulillah. Manakala aku pula bekerjaya sebagai seorang technian di Kilang Elektronik Shah Alam.
Walaupun kami berdua telah mengecapi kehidupan masing-masing, kami tetap kerap berhubung bertanya khabar sekali-sekala.
Maha suci Allah yang membuka pintu hatiku ini. Pada suatu hari, aku dan Mustafa berkesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan Syawal bersama keluarga yang tercinta.
Nak dijadikan cerita, sekembalinya aku ke kampung halaman, aku bertandang ke rumah Mustafa untuk beraya dengan keluarga beliau. Atuk & nenek Mustafa masih lagi ada dan Alhamdulillah sihat Wal Afiat.
Rasa yang amat gembira menyelubungi hatiku apabila dapat bertemu dengan Mustafa setelah setahun lebih takbersua. Kami beraya bersama dalam keadaan yang bersederhana serta riang ria.
Hari itu merupakan hari yang menjadi saksi akan keinsafan yang menusuk di kalbu ku. Seusai menjamah juadah hari raya, aku lantas berbual-bual dengan Mustafa dan neneknya.
Dalam pada kami berbual, aku sempat bercerita dengan nenek Mustafa tentang lembaran hidup kami berdua sewaktu di bangku persekolahan dahulu.
Nenek Mustafa seakan-akan mengerti apa yang kami berdua pernah lalui. Neneknya juga ada memaklumkan bagaimana dia pernah menghulurkan RM10 kepada Mustafa untuk membeli buku latihan Matematik.
Mustafa yang sedang duduk disebelah ku hanya tersenyum kecil sambil membalas perbualanku.
Beliau mula bercerita kepadaku pula bagaimana beliau berjaya membalas segala jasa yang pernah ditabur oleh kedua atuk neneknya. Kemudian pula dia berkata sesuatu yang aku akan ingat sehingga bila-bila.
“Awang, setakat rezeki yang aku berkongsi pada tok & nenek aku ni cuma sikit je. Apalah sangat berbanding nikmat yang Allah kurniakan kepadaku sebelumnya. Aku ni cuma sekadar membalas jasa penjagaku saja, Awang.
Dulu, kalau tok nenek aku pernah bagi aku sepuluh ringgit, aku pulangkan semula sepuluh ringgit kepada mereka. Nak tau apa aku kata pada mereka?
Kalaulah seandainya RM10 yang aku berikan kembali pada Tok Nenek aku adalah sebuah mahar untuk aku bersama dengan mereka hingga ke Jannatul, demi Allah aku sanggup merelakannya.
Aku harap dengan pemberian ini mampu menjadi saksi di Padang Mahsyar, supaya aku dapat bersama dengan tok nenek ku di syurga esok.”
Berjurai air mata aku tatkala mendengan ucapan Mustafa. Hatiku menjadi pilu. Betapa terasa kerdilnya diriku ini jika dibandingkan dengan nikmat kurniaan yang Allah berikan pada Mustafa. Sungguh murni hati anak ini.
Walaupun dah jauh melangkah kedepan, namun beliau masih lagi mengingati tanggungjawabnya sebagai seorang anak dan cucu kepada kedua penjaganya. Sesungguhnya kisah ini amat memberi keinsafan yang mendalam.
Seolah-olah Allah ingin memberi peringatan kepadaku supaya terus berbakti kepada orang tua selagi masih berkesempatan hingga ke nafas yang terakhir.
– Awang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit