Selamat Hari Ibu

Assalamualaikum. Sedikit pengenalan diri, aku seorang surirumah dengan 5 orang anak, aku juga merupakan anak sulung dari 4 beradik. Dapat agak tak sedikit sebanyak keadaan hidup aku? Hehe.

Dari kecik tak pernah lari dari tanggungjawab terhadap nyawa lain sampai aku lupa macamana rasanya untuk berhenti berfikir mengenai manusia lain selain diri sendiri.

Hari ini hari ibu dan aku rasa sangat overwhelmed. Penat, burnout, stress, kosong. Paling parah, aku dah tak dapat menangis. Dah tak dapat nak luahkan emosi aku secara sihat.

Nak bercerita dengan orang lain pun aku tak pandai, nak meluahkan dengan cara menangis pun aku tak pandai. Nak doa pun aku dah hilang kata kata.

Aku cuma doa, ya Allah, kau tahu apa ada dalam hati aku, betapa kacau bilaunya jiwa aku, kau sembuhkanlah. Kau berilah aku peluang untuk bahagia dan gembira. Jujur, ini doa aku semalam. Di saat aku benar benar lelah dan hilang.

Aku ni tak ramai kawan. Dari kecil, hidup aku memang berkisar mengenai keluarga. Aku berkawan hanya di sekolah. Balik rumah, aku kena tukar topi jadi ‘pembantu ibubapa’ atau second parent pada adik adik.

Ironinya, mak aku sakit. Sakit tenat. Ditambah pula dengan masalah depresi mak, aku lah yang berperanan sebagai ibu dalam keluarga pada waktu itu. Ayah aku, biasalah watak ayah ayah zaman 80an, ayah ayah old school. Apa pun tak boleh buat, semua kena terhidang. Lambat sikit, marah, maki, herdik.

Aku membesar dengan merawat luka sendiri. Aku tak pandai mintak tolong walaupun hakikatnya aku betul betul penat. Zaman nak ambil periksa besar seperti UPSR, PMR dan SPM aku kena pandai pandai curi masa untuk ulangkaji.

Tapi kadang aku dah penat sangat uruskan keluarga, sampai aku tak mampu lagi dah nak ulangkaji. Aku dah pakai ‘topi surirumah’ seawal usia belasan tahun. Mana nak menjaga ibu yang terlantar lagi, mana nak uruskan hal sekolah adik2 lagi, mana nak mengemas, membasuh, memasak lagi.

Ya, di saat remaja lain boleh keluar melepak, bercinta monyet, berkampung di cyber cafe dan sebagainya, aku, hanya terkurung di rumah dengan tanggungjawab yang sepatutnya bukan tugas aku.

Korang mesti ingat aku orang susah kan? Tak. Aku tak susah. Mak ayah aku engineer. Bekerja di syarikat multinasional dengan pendapatan mencecah puluhan ribu sebulan. Tapi, mak ayah aku ni juga anak sulung dari keluarga susah. Jadi segala pendapatan mereka memang ‘didedikasikan’ untuk adik beradik dan ibu ayah mereka.

Mereka provider untuk keluarga besar mereka (read: ibu ayah dan adik beradik mak ayah aku). Pernah dengar sandwich family? Itulah ibubapa aku. Tak perlu aku cerita lebih lanjut, korang pun akan terkejut dengan cerita aku. Mereka menanggung hutang hasil dari loan adik beradik yang tak mampu tapi nak hidup mewah.

Dan ya, mak ayah aku ni tak boleh dan tak pernah cakap ‘tidak’ kepada ibubapa dan adik beradik mereka. Adik beradik mak ayah aku ditatang. Manakala kami, anak anak mereka, dipaksa hidup berdikari.

Kawan kawan aku juga punya ibubapa dengan jawatan dan pendapatan yang sama dengan ibubapa aku, tapi hidup mereka jauh lebih senang dan mewah. Itu rezeki mereka, aku tak pernah cemburu.

Cuma dulu, sewaktu kecil, aku selalu tertanya tanya, kenapa hidup kami sangat sederhana walaupun hakikatnya ibubapa aku ada pendapatan yang agak lumayan. Bila dah makin dewasa ni, aku dah faham. Itulah punca masalah mereka, sandwich family.

Mak aku sakit, tapi tak pernah dapat rawatan yang sepatutnya. Kalau ikutkan pendapatan ayah aku, mereka sebenarnya mampu untuk mengupah bibik dan private nurse untuk mak. Tapi entahlah, ayah tak nak tanggung semua tu. Katanya, mak menyusahkan. Dah sakit, nak kena keluar duit lagi.

Mak aku pula, bila diajak ke hospital dengan biaya dari insurans syarikat dan Socso, dia tolak. Mak cakap, mak tunggu mati saja. Takde apa lagi mak nak dalam hidup ni. Walhal pada masa tu, kami adik beradik masih dalam usia muda, sekolah menengah dan rendah.

Aku selalu menangis, mak tak nak fight untuk terus sihat, terus hidup untuk kami, anak anak mak ke? Mak tak sayang kami ke? Dan sekarang aku sedar, mak jadi begitu kerana depression.

Ayah pula tidak bertindak untuk menjadi pendukung emosi mak pada waktu itu. Ayah dan mak hari hari bergaduh. Kami adik beradik terpaksa membatu di hadapan mereka ketika masing masing sedang sibuk memaki dan menghina satu sama lain.

Aku penat. Sumpah aku penat dengan semua tu. Oleh sebab itu, aku jadi seorang yang sangat berdikari. Sebab adik adik sentiasa bergantung kepada aku, mak ayah pulak sentiasa melepaskan semua tanggungjawab mereka pada aku, kononnya aku anak sulung, kena belajar jadi orang bertanggungjawab. Haha.. kelakar kan?

Di saat aku, seorang remaja dituntut menjadi seorang yang bertanggungjawab, ada pakcik makcik aku yang ditatang, yang tak pernah belajar bertanggungjawab atas kesalahan diri sendiri. Semua mak ayah aku korbankan untuk adik beradik mereka sampaikan mak ayah aku takde simpanan. Langsung!

Dan hari ini, aku juga telah dewasa. Aku juga seorang ibu. Aku nekad tak nak anak anak aku lalui jalan yg sama seperti aku dulu. Taknak anak anak aku rasa peritnya terpaksa memikul tanggungjawab ibubapa yang dysfunction. Tak nak anak anak aku rasa peritnya jadi manusia yang tak didengari.

Tapi aku lupa, aku juga manusia. Aku terbawa bawa dengan luka emosi aku yang sampai sekarang masih belum sembuh. Aku jadi orang yang terlalu berdikari sampai perkara itu ‘merosakkan’ aku. Aku tak pandai meminta tolong waima dengan suami sendiri. I kept pushing him away whenever aku rasa penat. Aku beremosi.

Aku lupa yang sepatutnya dalam perkahwinan, beban emosi dipikul bersama. Aku jadi orang yang sangat ‘tertutup’. Aku tutup masalah aku, aku tutup ‘kepenatan’ aku. Sampai 1 tahap, aku ‘hilang’ dalam kepenatan aku.

Saat tu aku sedar, apa yang aku buat ni tak betul. Aku masih belum pulih dari childhood trauma aku. Aku tak boleh terus terusan menolak orang yang sudi untuk hidup bersama dengan aku. I have to share, to let it out. Aku kena delegate task dengan suami aku.

Suami aku, he’s a good husband cuma dia sama seperti lelaki lain, agak clueless on what to do. Tapi alhamdulillah, setiap kali aku minta tolong, dia takkan hampakan aku. Cuma aku, aku yang penat dan takut nak minta tolong. Rasa seperti menyusahkan. Akibat daripada pengalaman waktu membesar.

Panjang dah coretan aku ni. Mungkin korang faham, mungkin ada yang tak faham dan banyak persoalan dengan coretan aku ni. Mungkin juga ada yang melalui jalan yang sama. Mungkin ada yang menilai dengan sinis. Mungkin ada yang tak percaya wujudnya kisah sebegini dalam dunia kita. Hakikatnya this is my story.

And I’m sharing this, untuk mereka yang juga melalui pengalaman sama, you know what, belajar untuk ‘membuka diri’ kalian. Belajar untuk membenarkan pasangan kalian menjadi pelindung dan membantu kalian dalam saat2 yang sukar.

Kita tak perlu selamanya jadi kuat. Ajarlah diri untuk rehat ketika penat. Lepaskan lelah yang terbuku. Semoga kita sihat2 selalu dan sentiasa gembira dalam melayari hidup ini. Semoga bahagia juga akhirnya milik kita. Aamiin.

– Ibu Gajah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *