Selamat Tinggal Sahabat

Terima kasih saya ucapkan kepada pihak admin atas penyiaran confession ini. Maaf juga seandainya penulisan saya ini agak tidak teratur kerana masih dalam luapan emosi yang agak kurang stabil.

Kisahnya lebih kurang begini. Saya mempunyai seorang kawan yang sangat saya sayangi.

Hubungan persahabatan kami bermula ketika menjalani praktikal di tempat kerja dan kami kerap membantu antara satu sama lain sama ada sepanjang sesi praktikal mahupun di luar waktu bertugas.

Pergi makan bersama, balik bersama, beli barang pun bersama. Dan setelah berkhidmat di kawasan masing-masing pun kami masih lagi berhubungan rapat.

Kawan saya ini jika dilihat sekali lalu, ramai orang akan menganggap dirinya seorang yang pendiam dan garang / sombong.

Mungkin ditakdirkan raut wajahnya yang sedemikian ditambah lagi ketika dia serius dalam berfikir atau melakukan sesuatu tugasan, orang akan mudah salah faham menyangka dia seorang yang sukar dijadikan kawan berbicara dan lain-lain.

Tetapi tidak pada pendapat saya. Kerana saya melihat sebenarnya dia merupakan seorang yang lemah-lembut dan sangat warming orangnya.

Maaf saya tak tahu nak translate istilah warming ni, tapi lebih kurang macam seorang yang peramah, mesra, dan sangat berjiwa penyayang.

Mungkin sejak kecil lagi dia tidak begitu dilayan oleh keluarga dan rakan sebaya disebabkan raut wajah yang agak ‘garang / serius’, maka sedikit demi sedikit kehangatan hati dirinya semakin pudar mengikut arus masa.

Saya cukup selesa bergaul dengan dirinya walaupun saya tahu antara kelemahan dirinya adalah dia sangat menjaga hati orang lain. Bagi saya dia lebih mementingkan hati orang lain untuk dijaga berbanding hatinya sendiri.

Dan saya antara orang yang dijadikan tempat dia melampiaskan segala kekecewaan, sakit hati, keserabutan, dan lain-lain permasalahan yang tidak dikongsi hatta ibu bapa dan ahli keluarganya sendiri.

Saya berusaha sedaya mungkin dalam memberi motivasi serta menjadi pendengar yang setia untuk dirinya.

Ada nasihat yang dia terima. Dan ada juga yang tidak diendahkannya. Itu terpulang kepada kemahuannya sendiri.

Apa yang saya lihat pada dirinya adalah dia sememangnya seorang yang masih boleh dibimbing dan dibentuk hatinya yang sangat lembut itu.

Namun itu semua tinggal kenangan yang tak mungkin diputar kembali. Kerana dia telah memilih jalan hidup yang dilaluinya kini.

Mungkin ketika itu disebabkan tekanan kerja di tempat baru serta berjauhan daripada keluarga serta rakan seperjuangan, akhirnya dia terperangkap dengan drama emosi dirinya sendiri.

Saya ketika itu kurang pasti apa sebenarnya yang berlaku kerana dia enggan menceritakan perkara sebenar. Mungkin tabiat lamanya yang terlalu menjaga hati orang lain itu terlalu sebati sebagai karakter hidupnya.

Antara isu hangat yang menjadi perbualan masa itu adalah kisah dirinya yang terlibat dengan isu suami orang.

Khabarnya suami orang tersebut telahpun bercerai dan menjalani proses secara sah serta tidak lagi terikat dengan perhubungan bersama bekas isteri.

Namun, pertelingkahan mula timbul apabila dia dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pasangan bercerai tersebut mengikut pendapat masing-masing.

Si suami orang bercerita begini. Manakala si bekas isteri pula bercerita begitu.

Sebelum berlakunya hal tersebut, saya sendiri berbuih mulut menasihatkan dirinya agar mengambil pendekatan tidak melayan suami orang tersebut walaupun dia telah bercerai.

Namun dia masih menganggap itu semua sekadar rakan sekerja dan tidak mungkin melibatkan isu besar di kenudian hari.

Kini dia telah berpindah tempat kerja namun masih lagi berhubung dengan suami orang yang tidak saya ketahui secara jelas status perceraian.

Mungkin sifat suami orang tersebut yang lebih berpengalaman serta pembawaan diri yang lebih mengambil berat dirinya mungkin antara faktor dia menjadi sedemikian rupa hingga tidak mempedulikan nasihat serta teguran yang ikhlas daripada sahabat yang menyayanginya.

Mungkin takdir persahabatan kita berakhir di sini untuk selamanya dan semoga dia bahagia dengan laluan hidup yang dipilih.

Daripada,

– Pelangi Petang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *