Assalamualaikum. Aku nak share kebaikan selawat tafrijiyah yang aku amalkan. Terima kasih sebab sudi luangkan masa untuk membaca kisah aku.
Sekitar Oktober 2019, aku mengalami tekanan di tempat kerja. Oh ya, aku bekerja sebagai seorang eksekutif (bahagian kualiti) di syarikat swasta selama 5 tahun.
Waktu itu aku tekad nak cari kerja baru sebab tak tahan dengan pihak pengurusan dan bebanan kerja yang bagi aku mengarut. Di sini tiada kenaikan gaji. Tiada bonus.
Waktu perayaan (Aidilfitri & Aidiladha), pandai-pandai simpan duit. Nak harapkan company, memang tak lah. Memang tak ada benefit kerja kat situ. Tapi aku boleh bertahan sebab dapat kawan-kawan ofis yang super baik.
Tak kira melayu, cina or india, kami memang rapat. Itu jelah salah satu sebab untuk aku bertahan selama 5 tahun. Yang lain aku telan bulat-bulat termasuk kes rasuah yang berlaku dalam company.
Ketika itu Covid masih belum ada. Tapi aku tahu bukan senang nak dapat kerja. Banyak company yang inginkan fresh grad sebab tawaran gaji yang lebih rendah.
Tapi aku tekad, aku update resume aku dan apply kat semua tempat yang sesuai dengan kelayakan dan pengalaman aku.
Sebulan lebih dah berlalu, masih belum terima mana-mana tawaran even panggilan interview. Kalau tengok kat jobstreet, ada je company dah review profile aku, tapi satu panggilan pun aku tak terima.
Suatu hari, masa aku tengah scroll facebook, aku ternampak orang share kebaikan selawat tafrijiyah ni.
Jujur waktu tu aku tak pernah dengar langsung pasal selawat ni. Nama pun aku tak pernah dengar. Katanya siapa amalkan selawat ni bertalu rezeki masuk dan pelbagai masalah akan ada jalan keluar.
Aku terus buka youtube dan search selawat tafrijiyah ni. Aku pada asalnya tak hafal pun selawat ni. Tapi aku kerap pasang kat youtube sehingga aku boleh hafal dengan sendirinya.
Waktu buat kerja, pergi balik kerja aku pasang selawat tafrijiyah ni. Sampai satu tahap, aku tak perlu pasang youtube lagi sebab dah hafal.
Waktu aku berselawat dengan selawat tafrijiyah ni, hati aku sentiasa berharap agar Allah murahkan rezeki aku untuk dapat pekerjaan baru. Waktu itu pengharapan aku pada Allah sangat tinggi. Aku memang betul-betul mengharap pada Allah.
Waktu aku duduk sorang-sorang, waktu untuk aku tidur pun mulut aku basah dengan selawat ni. Boleh dikatakan sepanjang masa aku amalkan selawat tafrijiyah ni.
Akhir bulan Disember 2019, ayah aku jatuh sakit akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Ayah aku kena intubated. Betapa luluh hati aku bila doktor kata ayah tak ada harapan untuk sembuh.
Aku dah terbayang ayah akan pergi meninggalkan kami. Waktu itu, makin kerap aku amalkan selawat tafrijiyah ni sebab katanya akan melenyapkan kesedihan dan kesulitan.
Aku sampai terlupa pasal cari kerja baru, yang aku tahu aku nak hati aku tenang. Dan alhamdulillah hati aku tenang. Perasaan tenang tu susah untuk aku huraikan. Aku sedih tapi pada masa yang sama aku tenang. Selawat tafrijiyah sentiasa aku amalkan.
Awal bulan Januari 2020, aku dapat panggilan temuduga daripada salah satu syarikat yang terkemuka di Malaysia. Bukan mudah untuk bekerja di syarikat tersebut, qualification yang sangat strict.
Bila dipanggil untuk temuduga pun aku dah sangat bersyukur. Mengharapkan dapat kerja di situ, jauh sekali. Cukuplah untuk aku dapat pengalaman interview di situ.
Aku hadir ke temuduga tersebut dikala ayah aku sedang tenat di hospital. Walaubagaimanapun, persediaan untuk temuduga aku telah persiapkan.
Sejujurnya aku memang tidak mengharapkan apa-apa. Aku rasa seakan tidak layak untuk bekerja di situ. First stage interview berakhir.
Pegawai HR bagitahu jika layak fisrt interview, akan ada second interview dengan pihak pengurusan tertinggi. 2 minggu aku menanti, selawat tafrijiyah masih tidak aku lupakan. Namun masih tiada panggilan telefon untuk second interview.
Setelah hampir sebulan ayah aku bertarung nyawa, akhirnya ayah pergi jua. Ayah pergi tidak kembali. Allah.. sedihnya aku hanya Dia yang tahu.
Tidak lama selepas menerima khabar ayah telah meninggal dunia daripada hospital, aku menerima panggilan telefon bahawa aku terpilih untuk menghadiri sesi temuduga kedua daripada syarikat tersebut. Dua berita berbeza yang aku terima dalam satu hari.
Dua minggu berlalu, tiba masa untuk sesi temuduga kedua. Di dalam bilik menunggu, terdapat 6 lagi calon yang masing-masing inginkan jawatan yang ditawarkan.
Jika dulu aku tak mengharapkan untuk bekerja di situ, kali ini aku tekad ingin jawatan yang disandarkan. Aku ingin bahagiakan mak aku. Dengan gaji yang lebih tinggi, aku ingin menjaga mak aku, aku ingin bahagiakan mak aku. Aku buat untuk semua untuk mak.
Di dalam bilik meeting yang besar, aku ditemuduga oleh 6 orang pegawai pengurusan tertinggi. Kecut perut bila masuk bilik meeting kena duduk di tengah-tengah berhadapan dengan 6 orang pegawai tersebut.
Alhamdulillah, proses temuduga berjalan lancar. Aku dapat jawab soalan dengan yakin dan pegawai-pegawai tersebut pun seakan-akan berpuas hati dengan jawapan aku. Entah kenapa, hati aku yakin akan dapat kerja tersebut.
Sebulan lebih aku menanti, mengharapkan panggilan telefon daripada syarikat tersebut. Selama itulah aku mengamalkan selawat tafrijiyah, untuk aku dimurahkan rezeki, untuk aku ditenangkan hati.
Awal bulan Mac 2020, aku menerima panggilan yang dinanti-nanti. Alhamdulillah aku diterima bekerja di syarikat tersebut. Syukur ya Allah, semua ini rezeki daripada-Nya!
Aku akhirnya masuk kerja di syarikat tersebut pada Jun 2020 (selepas PKP). Syukur tak terhingga kerana syarikat tersebut masih menerima aku untuk bekerja di sana.
Ada segelintir orang yang dibatalkan tawaran kerja kerana PKP. Aku masih lagi diterima bekerja. Allahu… Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? – Ar Rahman.
Jadi inilah kejadian yang belaku pada diri aku saat aku mengamalkan selawat tafrijiyah ini. Aku harap siapa-siapa yang diluar sana yang ingin dimurahkan rezeki, yang sedang sedih boleh amalkan selawat ni.
Pada masa yang sama solat jangan tinggal, mengaji, banyakkan buat solat dhuha, berdoa bersungguh-sungguh pada Allah.
Jika ingin keluar daripada kesempitan, banyakkan usaha disamping berdoa dan amalkan selawat ini setiap masa. InsyaAllah, doa kita pasti dimakbulkan. Yakinlah dengan pertolongan Allah.
– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit