Selempang To Ninja

Assalamualaikum. Maaf tak tahu nak letak tajuk apa. Tengah scroll fb suami tiba-tiba keluar post kawan dia beritahu ada seorang artis baru berniqab.

(Lagi seronok baca post di fb suami sebab friends dia ramai. Suami pun tahu saya suka login fb dia. Suami pun tak ada post benda bukan-bukan).

Saya taip ni bukanlah nak membawang apa. Sambil scroll tu, bila baca post daripada ‘sesetengah’ kaum adam ni rasa termalu pula sebagai kaum hawa.

Maka adalah beberapa kaum lelaki post berkaitan Neelofa. Setiap post tu, saya akan baca komen. Ada juga beberapa post daripada media hiburan macam TV3 up berkaitan ni.

Dan macam biasa, saya baca komen. Biasalah ada yang beri nasihat, ada yang pertikai niat, siap ada yang berseloroh nak dijadikan isteri. Haha…

Pelbagai ragam manusia. Ada yang pertikai pemakaian Neelofa daripada mula berhijab sehinggalah isu kontroversi dan yang terbaru berkaitan niqab.

Tersenyum bila baca komen. Kita boleh terus menilai, tangan pantas menaip. Tapi kita lupa setiap yang kita taip, Allah sedang menilai.

Dipendekkan cerita, teringat zaman muda-mudi saya. Zaman sekolah. Kalau bab belajar agama, bila ustaz cakap ini dosa kecil, ini dosa besar, kita terus apply apa kita belajar. Rasa takut nak buat. Hati bersih lagi masa tu.

Kalau tersentuh tangan kawan lelaki, cepat-cepat lap tangan, “weh, berdosa!” Kalau ustaz kata couple tu haram, kita pun ingat pesanan ustaz tu.

Ada sekali tu masa saya darjah 5, sekolah saya jemput pelajar madrasah hadir ke sekolah untuk beri ceramah agama. Saya tak ingat ceramah berkaitan apa.

Bila tengok pelajar berserban dan berjubah, rasa tenang sejukkk mata. Tiba-tiba tak ada hujan, tak ada ribut, terdetik dalam hati saya untuk bertudung labuh. Masa balik sekolah, beria-ia saya beritahu ayah, “Ayah, Potato nak pakai tudung labuh.”

Akak Potato yang masa tu dah tingkatan 2 bersuara, “kau dah kenapa nak pakai tudung labuh?”

Saya pun balas, “Eh, suka hati kitalah nak pakai.”

Niat saya untuk pakai tudung labuh diketawakan. Sedih tau masa tu. Tapi ayah still bawa saya ke kedai cari tudung labuh (1 kedai saja masuk) tapi hampa dan kecewa, tudung tak ada. Monyoklah muncung mulut melayan perasaan. Menangis sedih masa tu.

Bila masuk sekolah menengah, pakaian pun ranggi. Macam biasa tudung selempang, lengan baju senteng. Kalau pergi sekolah pula sibuk pakai tudung singkat (tapi tak adalah singkat sampai tunduk nampak leher nanti cikgu disiplin tahan. Haha).

Sampailah saya masuk asrama penuh masa form 4, masa ni ustaz tegur banyak perkara. Ustaz wajibkan pelajar sekolah pakai stokin, tudung pin depan untuk tutup dada, lengan baju mesti panjang dan jangan gatal-gatal nak senteng lengan baju.

Saya pun ikutlah semua rules tu tanpa bantahan. Kalau langgar rules rasa berdosa besar pula. Nanti kawan-kawan akan pandang semacam kalau kita tak ikut peraturan.

Pernah sekali tu awal-awal masuk sekolah tu, ada merentas desa. Habis saja merentas desa, saya pun lepak tepi dengan kawan. Lengan baju automatik ‘ter’senteng sebab dah ‘habit’.

Tak pasal masa perhimpunan dorm akak senior pesan, “junior, akak nak pesan, kalau pakai baju lengan panjang, jangan senteng baju!”

Tersentaklah hati dan perasaan ni, “Eh, dia ni tuju dekat aku ke?” Terus insaf sekejap lepas tu.

Masa form 4 dan form 5, jadi pelajar yang ikut peraturan. Siap pakej jadi AJK surau lagi (sejuk perut mak).

Sampailah habis SPM, dapat masuk matriks, habis segala peraturan tu melayang entah ke mana. Kiranya saya hanya pakai semua tu masa di asrama saja.

Tamat sekolah, terus hilang ingatan soal tutup aurat dengan sempurna. Pakai baju ketat, tudung selempang, lengan baju kejap-kejap senteng tak pun pakai yang 3 suku punya lengan.

Kawan-kawan masa tu pun berbeza. Masing-masing sibuk berfesyen. Budak baru nak up.

Kalau nampak orang pakai bertutup rasa seronok je tengok tapi diri sendiri tak mampu nak buat. Kalau lalu depan orang yang pakai bertutup ni, automatik kita yang naik malu mengenangkan nasib pakaian kita.

Tengok muka diaorang pun tak berani sebab tahu diri sendiri tengah buat dosa tayang aurat. Cepat-cepat beredar masa tu.

Nampak geng surau lelaki pun sama, cepat-cepat lari daripada dilihat diorang. Tahu pula berdosa. Depan manusia boleh pula malu tapi lupa yang Allah sedang melihat.

Dah masuk U, up lagi perangai tak semenggah. Join kebudayaan. Masa ni U wajibkan junior setiap kolej buat persembahan. Kita yang culture shock dengan budaya U pun volunteer join segala aktiviti.

Membesar dalam bandar tapi perangai perak tu ada. Konon nak dikenali senior. Haha. Semakin bebas hanyut.

Kawan ajak lepak mamak malam-malam, kita pun lepak. Sewa kereta pergi ramai-ramai. Tengok night movie, lepak uptown, karaoke, bowling. Merapu betul zaman tu.

Kalau cuti sem, sibuk libatkan diri dengan program kolej konon kena stay buat kerja untuk siapkan program next sem. Ada waktu aihong.

Itu belum kes senior junior. Ada senior yang tak suka pada saya dan geng-geng sekepala sebab suka melawan senior dan buat kepala sendiri.

Senior yang tak suka tu yang pakai tudung labuh tapi yang suka membawang (bukan semua). Ada ja yang pakai tudung labuh dan baik budi pekerti.

Masa saya dah sem 4, masa awal Ramadan, adalah tergerak nak solat tarawih. Saya pergi surau. Masuk surau kolej, semua jemaah perempuan pandang seolah-olah, “Wau, dia datang surau nak solat tarawih.”

Serius weh, rasa macam pendosa yang betul-betul berdosa memang tak layak pijak lantai surau tu. Dua tiga kali ja saya pergi, lepas tu saya pergi masjid U.

Bila jejak masjid U, orang tak kenal, rasa tenanglah sikit hati ni. Saya bab huru-hara tu huru-hara juga tapi bab solat sebolehnya saya jaga. Jahat macam mana pun, bab solat tu jagalah. Mak ayah saya memang setiap kali pesan untuk jaga solat.

Sampailah dah habis U dan berumahtangga… Suami dah warning siap-siap untuk pakai tudung bila depan bukan mahram. Ikutkan sebelum kahwin kalau balik kampung, depan saudara-mara lelaki saya tak pakai tudung. Tapi suami saya dah tegur siap-siap.

Daripada pakai jeans, saya slow bertukar ke baju kurung. Kemudian perlahan-lahan berstokin dan pakai handsock.

Alhamdulillah tahun berikutnya, Allah rezekikan saya mengandung. Sampai satu tahap, tiba-tiba rasa tak selesa dengan keadaan perut yang membesar.

Saya pun pakailah jubah. Besar pula perut ni. Malu kalau ada lelaki yang pandang perut ni. Terdetik hati saya untuk bertudung labuh. Masa tu suami saya ada program agama selama 3 hari. Kebetulan masa tu adik saya nak daftar masuk U.

Saya pun tumpang sekali. Kakak saya pun ikut (ada lagi makcik ni. Haha)… Lepas dah daftar adik, tinggallah mak, ayah, kakak dan saya pulang ke Selangor. Sebelum tu singgah pasar Rabu nak beli buah tangan.

Terlintas dalam kepala, ‘tudung labuh… Tudung labuh…’ Cepat-cepat saya singgah satu kedai ni. “Akak, ada jual tudung labuh tak?”

“Ada. Nak warna apa?”

Gembira weh masa ni. Terus saya teringat peristiwa masa darjah 5. 11 tahun berlalu waktu tu. Saya pun cuba pakai.

“You should try to wear this tudung one day,” kata ayah bergurau pada mak sambil buat mimik muka. Bukan bergurau perli tapi ayah memang bermaksud untuk suruh mak cuba belajar pakai tudung labuh.

Nasib baik kakak saya tak kata apa tapi ayah pun sakat kakak juga untuk pakai tudung labuh. Hehe.

Bila dah sampai rumah, saya pun basuh tudung, keringkan dan iron. Masa suami nak ambil tu, berdebar-debar rasa sebab tak pernah pakai tudung labuh depan dia.

Iyalah, dia tau betapa huru-hara isteri dia masa zaman U. Tiba-tiba nak pakai tudung labuh. Sampai saja suami di rumah mak saya, dia senyum tengok saya. Malu-malu kucing jugalah tengok suami masa tu.

Beberapa bulan lepas tu, selamatlah saya lahirkan anak. Sampailah anak dah setahun lebih. Terdetik dalam hati untuk berniqab. Zaman ni niqabis tak ramai. Perkataan ‘niqabis’ pun tak wujud lagi rasanya. Haha.

Saya terdetik masa saya mula berjinak dengan majlis ilmu sebab kebanyakan yang hadir majlis tu berniqab. Teringat saya suarakan pada suami, “Awak, kalau saya pakai niqab boleh?”

Suami dengan muka relax dia jawab, “Boleh tapi kena Istiqamah. Tak boleh kejap pakai, kejap buka… Nanti saya cuba tanya kawan saya sebab isteri dia berniqab. Nak tahu pendapat dan pengalaman dia juga berkaitan isteri dia pakai niqab.”

Saya sekadar angguk. Hati berkobar-kobar nak pakai ni. Saya pun teringat untuk buat solat istikharah. Saya berdoa, “Ya Allah, aku nak pakai niqab. Berilah petunjuk padaku sama ada patut ke aku pakai niqab?”

Ada sekali tu saya bermimpi, saya ada di dalam sebuah kenduri. Dalam kenduri tu ramai pasangan pengantin dan pasangan pengantin tu terdiri daripada para ustaz dan ustazah (jangan tanya saya kenal ke tak sebab dah tak ingat muka. Hehe). Yang pasti majlis kenduri tu meriah sangat.

Bila saya bangun tidur, hati rasa tenang dan gembira. Mungkin ini jawapannya.

Beberapa hari lepas tu, suami saya pun beritahu, “Kawan saya kata bila nak berniqab, syaratnya Istiqamah. Walau apa yang terjadi mesti Istiqamah.”

Itu pesanan yang saya ingat. Pesanan mereka sama. ISTIQAMAH…

Saya tak pakai terus. Nak kumpul kekuatan untuk pakai niqab bukan mudah. Sekali dah pakai, tak boleh buka.

Satu hari, suami saya ada urusan selama 40 hari. Maka tinggallah saya bersama anak saya di rumah. Masa tu bulan Ramadan. Tiba-tiba kakak saya mesej, “weh, teman aku pergi bazar. Kita berbuka sekali.”

Saya pun setuju. Terus saya capai niqab dan pakai. Nak cerita bab niqab ni, masa nak beli tu, sempatlah saya belek blog yang jual barang online. Masa tu tak ramai yang jual niqab online macam zaman sekarang. Sempatlah saya beli di MS, AC Boutique.

Niqab dari AC Boutique ni memang selesa. Niqab Yaman tak silap. RM35. Zaman tu RM35 kira mahal juga tu. Saya cuba beli yang biasa dan hidden eye. Selesa sangat.

Lepas dah pakai niqab tu, terasa macam semua orang nak pandang kau. Masa tu saya terpaksa tepis perasaan tu. Tunduk je sambil istighfar. Tapi lama-lama pakai, Alhamdulillah, perasaan tu hilang. Cabaran masa awal-awal pakai tu, fuhhh…

Balik rumah mak, masa mak buka pintu, “Eh, ada ninjalah.”

Haha. Adoii… Nasib mak sekadar melawak. Banyaklah lagi cabaran.

Tapi nak kata perjalanan daripada jahil terus nak pakai bertutup bukanlah perjalanan yang mudah. Nak bina Istiqamah tu bukanlah mudah. Ada saja bisikan syaitan untuk hasut buka niqab. Ni antara nasihat untuk mereka yang ingin berniqab:

1. Betulkan niat.

Tanya semula diri nak pakai kerana apa? Suami? Trend? Fitnah? Keselamatan? Business? Iddah? Kalau ada antara niat seperti yang saya senaraikan, WAIT!

Betulkan semula niat. “Aku pakai niqab kerana ALLAH!”

Bila kita niat kerana Allah, sampai satu tahap kita nak buka sebab dah bosan, ataupun ada yang bergaduh dengan suami lepas tu nak protes buka niqab, cek semula niat kita pakai niqab kerana apa?

Sebab tu sentiasa betulkan niat bila korang pilih untuk berniqab. Muhasabah semula diri mengapa korang berniqab.

2. Belajar dahulu aurat yang paling wajib ditutup.

Ini yang selalu para niqabis terlepas pandang. Pakai niqab, sekali angkat tangan, lengan baju jatuh nampak lengan tangan. Pakai niqab tapi baju ikut bentuk badan. Pakai niqab tapi niqab dan baju jarang. Pakai niqab tapi stokin tak pakai. Pakai niqab tapi tudung singkat.

Pakai niqab, tudung tutup dada tapi bahu tak tutup, belakang badan nampak. Pakai niqab tapi mata berhias. Pakai niqab tapi jari-jemari berinai sehingga menarik perhatian ajnabi. Pakai niqab tapi niqab, tudung dan pakaian sarat dengan perhiasan.

Sebab itu penting belajas asas menutup aurat. Baju longgar, tak nipis, labuh, tudung labuh, pakai handsocks, pakai stokin dll. Belajar asas.

Bab tudung tutup dada tapi tak tutup bahu dan belakang badan, cuba korang tengok beza wanita yang pakai tudung tutup dada termasuk bahu dan belakang badan dengan wanita yang pakai tudung tutup dada tetapi nampak bahu dan belakang badan. Cuma korang buat perbandingan.

3. Belajar adab-adab setelah berniqab.

Yang ni perlu diambil berat. Adab perlu dijaga. Janganlah sudah berniqab kemudian bergelak-tawa mengilai, “Eh, dia berniqab tapi gelak macam langsuir.” Contoh…

Jangan sembang terlalu kuat. Jangan berniqab tetapi beraerobik, jangan buat sesuatu senaman yang boleh timbulkan fitnah sehingga membuatkan orang lain tertarik dengan kita, “Eh tengok dia pakai niqab tapi kenapa tergedik-gedik macam tu?” Contoh…

Adab di luar, adab di sosial media. Semua perlu jaga. Dan… Jangan jadikan niqab sebagai pakaian yang menghalalkan maksiat. Kononnya pakai niqab lepas tu bebas keluar bersama boyfriend sambil berpimpin tangan, kononnya dah halal berkahwin.

Allah Maha Melihat, Allah Maha Mengetahui. Kita dapat tipu manusia tapi kita tak dapat tipu Allah.

4. Usahakan pakai pakaian berwarna hitam seperti gagak hitam.

Pakai pakaian berwarna hitam jika mampu. Ataupun yang berwarna gelap. Jangan tanya saya bab dalil saya tak pandai.

Cuma jika anda lihat beza wanita yang pakai pakaian berwarna hitam dan pakaian berwarna terang, yang mana lebih nampak menonjol? Sebaiknya pilih yang tidak menonjol, yang kelam, yang tidak berlebih-lebihan.

Warna yang cerah itu risau dipakai kerana takut nampak bahagian dalam baju si pemakai. Takut jarang.

5. Pilih kain pakaian yang tebal.

Zaman sekarang wanita suka pilih kain yang beralun. Hati-hati. Bila kain terlalu lembut, bakal menampakkan shape yang tak sepatutnya. Shape seluar dalam, shape baju dalam, shape singlet. Tak tipu tau. Memang berlaku depan mata.

Yang lagi malu bila ada yang pakai jubah tapi tidak memakai pakaian di bahagian dalam jubah. Habis nampak bentuk kaki dan sebagainya bila berjalan.

6. Pakai pakaian lain di dalam jubah.

Ini pun jadi satu masalah. Pakailah pakaian apapun tapi pastikan pakai pakaian lain di bahagian dalam terutama apabila memakai jubah. Sebaiknya pakaian bahagian dalam berseluar besar maksudnya bukan leggings.

Bayangkan korang naik escalator, tiba-tiba hujung jubah masuk dalam escalator. Berhempas-pulas korang tarik nak selamatkan jubah. Habis jubah terkoyak. Sekurang-kurangnya ada backup pakaian di bahagian dalam. Tak adalah terdedah terus aurat.

Bayangkan kalau korang pakai leggings, jubah terkoyak, seksi weh… Atas dah pakai niqab, tapi bawah dah seksi. Sebab tu pakai seluar longgar dan tebal di bahagian dalam.

6. Jagalah pakaian ummul mukminin.

Saya tulis yang ni nanti mulalah ada yang minta dalil. Saya tak pandai bab dalil. Sebaiknya berjumpa terus dengan ustaz dan para ulama untuk bertanya hal ini.

Sebaiknya cari guru agama yang isteri mereka juga berpakaian seperti ini. Dan apabila kita pilih untuk berniqab, jagalah nama baiknya supaya tidak difitnah oleh orang ramai.

“Eleh, orang pakai niqab ni suka rampas lelaki orang.” Saya pernah terbaca statement ni. Berhati-hatilah apabila menaip. Benci pada dosa bukan pada menghina pakaian yang dipakai.

“Eleh, nama ja pakai tudung labuh tapi yang pakai tudung labuh ni selalu kena tangkap basah.” Hati-hati ya apabila korang bertaip macam ni. Memang pernah baca statement ni. Benci pada dosa bukan pada jenis pakaian yang dipakai.

7. Sedaya upaya delete segala gambar lama.

Kalau ada post gambar tak berniqab, sebaiknya delete. Apa-apa gambar yang tak tutup aurat, delete. Jika ada rakan anda post gambar yang ada wajah anda, mesej baik-baik mohon mereka untuk delete.

Saya pernah minta rakan delete gambar saya tak berniqab tapi rakan tersebut marah perli saya. Itu ujian juga tu. Doa banyak-banyak supaya Allah tutup aib kita setelah kita pilih untuk berniqab.

8. Pilih sahabat yang baik.

Ini pun penting. Bukan maksud saya terus buang sahabat yang tidak baik. Kita sendiri yang tahu sahabat kita macam mana. Kalau berkawan dengan dia akan bawa ke arah lebih baik, Alhamdulillah, teruskan berkawan.

Jika sebaliknya, tegur nasihat jika mampu. Jika tidak mampu nasihat, perlahan-lahan undur diri dan jangan lupa sentiasa doa hidayah pada sahabat tersebut. Orang sekeliling pun mempengaruhi perubahan kita.

9. Jaga ikhtilat.

Yang ni pun ikutkan termasuk dalam adab tetapi tetap nak mention. Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan. Bila dah berniqab ni perlu set boundaries antara lelaki dan perempuan. Kita nak elakkan fitnah.

“Eh, dia berniqab tapi selamba tangkap gambar dengan mana-mana lelaki. Dekat pula tu bergesel bahu. Selamba salam tangan dengan lelaki.” Contoh…

“Eh, dia berniqab tapi komen dalam fb dengan lelaki selamba ja.” Contoh…

Jangan rasa rugi untuk hilang kawan lelaki. Percayalah. Nak WhatsApp tanya khabar pun, sebaiknya tak perlulah. Kita nampak macam mustahil nak buat. Percayalah, sedikit demi sedikit benda tu dapat dibuang. Kalau fb pun sebaiknya set untuk wanita saja.

Itu saja rasanya buat masa ni. Oh yang berkaitan atas sekali saya kata malu bila baca post sesetengah lelaki tu, terutama yang dah jadi suami orang, komen ‘bakal isteri’, ‘boleh tambah cawangan’, dan banyak lagilah… Artis tu nak berhijrah, mungkin sebab dia artis, orang kenal.

Tapi… Letaklah hormat korang kepada beliau sebagai seorang Muslimah yang layak dihormati. Bukan jadikan beliau bahan gurauan, bahan sembang poligami apa.

Kalau ibu, isteri, saudara perempuan, anak perempuan yang korang ada dibuat bahan gurauan macam tu, korang suka?

Kalau tak suka, jangan buat macam tu. Tolong hormat beliau dan tolong hormat kami sebagai muslimah. Kami bukan bahan gurauan seperti itu.

Akhir kata, semoga kita sentiasa Istiqamah dalam setiap amalan kita.

– Mrs Potato, yang suka makan Mr Potato masa drive untuk elak mengantuk. Haha. (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *