Selepas 10 Tahun Berkahwin

Assalamualaikum semua. Boleh panggil saya Puan Ti sahaja. Seperti tajuk, ya saya dah 10 tahun berkahwin.

Rasa macam tak layak lagi nak bagi nasihat, tapi saya nak berkongsi dengan niat bolehlah dijadikan contoh baik, atau yang buruk dijadikan sempadan. Lebih-lebih lagi di zaman kes cerai yang makin berleluasa.

Sedikit latar belakang, kami dikurniakan 3 cahaya mata semuanya masih bawah 8 tahun, pekerja kakitangan swasta di mana ada turun naiknya dan ada masa dibuang kerja dan sebagainya yang normal dilalui pekerja swasta, dan ya kami berdua bekerja 9am – 6pm.

Jom straight to the point, jadi mudah baca dan harapnya mudah faham.

1 Bincangkan pembahagian tugas semasa fasa awal perkahwinan lagi.

Masa ni semuanya manis, insyaAllah. Jadi elokla berbincang di masa ini sebab masing-masing belum betul-betul selesa lagi, dan masing-masing masih dalam fasa nak selesakan pasangan.

Jadi contoh seperti, saya masak dan awak kemas meja, saya basuh baju dan awak sidai baju dan sebagainya eloklah dibincang pada masa itu

2 Kurangkan betulkan apa salah suami.

Kena tahu, lelaki mahupun perempuan kita ada ego tersendiri. Senang bila berkata, buanglah ego. Hakikatnya susah sebab kita pun manusia biasa.

Bila suami sidai kain atau cuci pinggan, caranya mungkin lain dari kita yang dah biasa buat dari kecik. Takpa, biarkan. Matlamatnya kain tu kering, pinggan dah dibasuh. Biar dia rasa apa dia buat tu membantu.

Kalau kita komen, lama-lama nanti dia akan rasa ‘dah kalau awak tau sangat, awaklah buat’. Sama jugak bila suami dukung/ jaga anak. Lama-lama dia akan datang sendiri tanya ‘eh, apa saya buat ni betul tak?’.

Masa tu boleh lah nasihatkan cara betul sikit-sikit. Buat yang dapat suami yang dah boleh buat semua ni, alhamdulillah tu rezeki awak.

3 Masa dengan kawan-kawan adalah penting juga.

Baik isteri, mahupun suami. Kedua-duanya perlu. Ikut pada kemampuan diri. Macam saya, pertama kali tinggalkan anak untuk jumpa minum petang dengan kawan-kawan memang rasa tak menentu sikit. Tapi saya keraskan hati sebab ianya penting untuk saya pada jangka masa panjang.

Jadi kadang-kala, ada masa saya akan keluar, ada masa suami akan keluar. Masa di rumah bila pasangan tak ada, kami ambik sebagai masa private bonding dengan anak-anak.

4 Jangan ambil tahu terlalu banyak tentang keluarga mentua.

Saya dan suami mempunyai batasan tersendiri. Bila masalah keluarga saya, suami tidak akan masuk campur, dan begitulah sebaliknya. Sebab yang penting adalah kita menjaga silaturrahim.

Jika kita adik-beradik bergaduh, air itu tidak putus. Tapi bila ipar duai masuk campur, melalui observation melalui saudara mara, susah untuk berbaik. Tetapi jika ada masalah, kami akan berbincang untuk tahu pendapat pasangan, tetapi bila sudah tiba di rumah sendiri.

5 Jika bergaduh, biarkan keadaan reda, kemudian barulah berbincang.

Ada kala suami atau saya berada dalam keadaan terlalu marah. Sebagai manusia tak sempurna, ada juga cara kami yang tak betul dimana kami akan ‘meletup’. Tapi pasangan lagi satu cuba untuk menjadi pendengar sahaja.

Proses ni kadang panjang, kadang pendek. Tapi daripada banyak-banyak benda yang dihamburkan masa marah oleh pasangan tu, cubalah hanya ambik 10% sahaja isi utama.

Lain tu, walau sakit, cubalah rasionalkan balik. Pernah suatu ketika suami saya jatuh hukum, ‘kalau awak kerja lagi sibuk seperti ini, mungkin lama-lama ‘kita’ dah tiada ikatan sah’.

Saya menangis, tapi saya cuba faham dari mana dia datang. Sejak saya mengenalinya, kadang kala akalnya pendek bila marah. Dia terlupa implikasi jangka panjang.

Jadi dalam tangis, kami berbincang seeloknya. Kemudian sedar salah masing-masing. Dan memilih untuk tidak memandang pergaduhan ini sebagai penentu kebahagiaan sebab ada beribu lagi benda baik dan manis yang kami boleh hargai.

Sungguhpun begitu, tidaklah kami berjaya mengikis rasa itu dalam masa semalaman. Makan masa, tapi berbaloi mencuba.

6 Rancanglah sebaik mungkin. Baik keluarga, kerjaya ataupun kewangan.

Bak kata lagu Mentera Beradu dari MNasir & Too Phat : Gagal merancang, merancang kegagalan. Bila kami mula berkahwin, saya diuji dengan company’s retrenchment. Jadi saya dibuang kerja.

Dari situ saya dan suami belajar untuk merancang segalanya, supaya kalau apa-apa jadi di masa hadapan, kami sedikit bersedia.

Dan alhamdulillah kami tidak terlalu risau kalau jadi apa-apa. Walaupun kadang-kala ada musim kena ikat perut. Rancanglah bila mampu ada anak, berapa simpanan perlu ada dan bila elok untuk kembangkan kerjaya. Selebihnya, tawakal pada Allah.

7 Doa, usaha dan mencari tuhan haruslah seiring.

Hati masing-masing, Allah yang pegang. Mata kita, hati kita, nafsu kita memang sering diuji syaitan. Dari awal perkahwinan, doa untuk Allah tetapkan hati memang tidak pernah putus. Walaupun kadang ada angin-angin cemburu, tapi doa tak pernah putus.

Suami mahupun isteri, bila ada motivasi dari rumah dari pasangan untuk menjadi yang lebih baik, kita rasa dihargai sangat. Bila suami atau isteri bersiap-siap, berilah habuan seeloknya. Supaya rasa dihargai. Jangan tunggu orang lain yang menghargainya.

8 Jangan tunggu pasangan faham ‘signal’ kita.

Masa awal perkahwinan, letih saya memberi ‘hint’ itu dan ini, suami tak dapat tangkap dan kemudian saya yang kecewa.

Selepas dikurniakan anak pertama, saya tak larat untuk memberi ‘hint’ lagi. Jika saya perlu dihargai semasa Mothers’ Day, saya terus katakan, ‘Awak, esok kita keluar jalan-jalan. Saya nak makan kek dan tak nak masak. Nanti awak belilah bunga ke, tudung ke, untuk saya’.

Saya tiada expectation lebih, tapi selepas beritahu apa saya nak, semuanya ditunaikan sebab bagi suami, mudah.

Jika dia ada rezeki lebih, kadang-kadang lebih yang dia beri saya. Itu saya anggap sebagai surprise.

Untuk suami, awal-awal lagi dia dah cakap ‘Tahun ni, hari jadi saya awak tolong belikan jam. Kalau tak jam pun, kasut futsal baru pun ok’. Jadi saya akan beli antara dua tu.

Masa bukak beg hadiah, dia pulak excited nak tau dapat jam atau kasut. Surprise lah untuk dia kiranya, dan yang penting, dua-dua tu dia suka jadi dapat mana-mana pun dia okay.

Itulah perkongsian sedikit sebanyak dari saya. Nanti kalau panjang lagi, ada yang minta saya lukiskan pulak. Hehehe.

Pergaduhan itu biasa, kadang-kadang ada yang makan masa untuk sembuh, tapi selagi tidak memakan diri, kita cuba bincang cara elok dan elak untuk rasa hanya kita yang betul. Sebagai anak sulung, saya susah nak hilangkan rasa tu, tapi saya cuba amalkan ‘mind over matters’.

Mungkin rezeki saya dikurniakan suami boleh bawak berbincang kadang-kala. Tapi esok lusa, saya tak tahu lagi rezeki hubungan kami macam mana. Setakat ni, kegembiraan, air mata, dan segalanya selama 10 tahun ni amat saya hargai. Doakan berkekalan hingga akhir hayat.

Assalamualaikum…

– Ta Ti Tu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *