Semak Samun Dalam Minda

Assalamualaikum semua. Nama aku Raya. Pelajar akhir Universiti Awam. Umur awal 20-an. Aku nak share pasal perubahan yang berlaku dalam diri aku semenjak pandemik. Untuk makluman, penulisan aku agak panjang dan jalan cerita aku agak pelik.

Sejak aku umur 13 tahun, aku asyik duduk asrama. Balik rumah sekali sekala. Jadi, apa-apa masalah aku banyak pendam atau selesaikan sendiri.. Aku tak pandai nak meluah dekat orang jadi aku simpan dekat sini sajalah secebis memori aku.

Aku ini tak ada bakat, kemahiran mahupun rupa, Cuma dari segi akademik itu aku selalu dapat keputusan yang agak cemerlang. Sejujurnya, aku bukan genius tapi aku tahu cara nak manipulasi sistem untuk score.

Dengan sebab kelebihan itu dari aku tadika sampai masuk universiti aku terjadi pelajar yang boleh dikategorikan sebagai aktif dan cemerlang atas sokongan/desakan orang sekeliling.

Tapi sebenarnya kalau ikutkan hati, aku lebih suka menyendiri dan duduk dalam dunia aku daripada berpenat lelah masuk segala pertandingan atau urus projek.

Antara sebabnya adalah dari kecil, aku memang dah terbiasa main seorang-seorang. Bila kena hantar asrama masa tingkatan satu dulu, aku jadi stress sangat sebab dikelilingi ramai orang setiap masa. Tapi lama-lama aku berjaya juga sesuaikan diri.

Masa aku di universiti, aku terjerat dalam sebuah persatuan pelajar yang perah keringat aku sampai bilik aku jadi tempat salin baju dan tidur saja. Apabila fasa awal PKP dilaksanakan, keinginan aku untuk menyendiri dan tak berpenat-lelah tercapai.

Aku seronok sangat tak payah pergi physical lecture, projek/program batal dan aku boleh berehat-rehat dalam bilik. Roomate aku balik rumah jadi tinggal aku sorang saja yang conquer bilik itu. Tapi keseronokan itu tak lama malah jadi racun.

Lama sangat berkurung, jiran-jiran sekeliling aras aku pakat jadi tak betul dah. Ada yang macam-macam warna rambut dah didye, ada yang segala jenis mukbang dah di makan kedarah, ada juga yang ada kecelaruan emosi (sekejap gelak macam mak lampir, sekejap menangis macam puntianak).

Itu kawan-kawan aku, aku pun tak terkecuali cuma aku jadi kosong. Nak buat assignment malas, nak lepak malas, nak sembang malas, nak buka whatsapp malas dan yang paling teruk nak makan pun malas. Aku duduk bergelap dalam bilik aku. Kalau tak menghadap handphone tengok drama/anime mesti aku terlentang kosong menghadap siling.

Aku keluar bilik untuk guna toilet atau ambll air sembahyang untuk solat saja. Kalau aku period lagi la menjadi-jadi tahap murung aku. Aku siap dengan pakej insomnia lagi lebih dari enam bulan. Aku berjaga sampai Subuh. Habis solat aku tidur sekejap pastu bangun pukul 9 pagi untuk belajar online class.

Tak tahu nak cerita aku punya kosong tu macam mana. Aku rasa macam aku ini ranting patah pastu jatuh kat dalam sungai lepas tu hanyut ja. Pastu aku kadang-kadang akan rasa macam lemas, takut tanpa sebab, macam diperhatikan pun ada. Macam tu la lebih kurang keadaan aku selama satu semester di universiti.

Lepas viral kisah student meninggal sebab pendarahan otak, aku ambik keputusan untuk study online di rumah untuk semester seterusnya untuk kebaikan diri aku.

Dekat rumah keadaan aku jadi lebih baik. Aku makan ikut time. Pastu mak ayah aku juga rajin seru nama aku untuk buat itu & ini. Jadi, aku tak mudah hanyut dalam dunia aku. Cuma insomnia aku tetap berlarutan.

Mak ayah aku tak tahupun yang aku jadi tak betul sebab memang dari dulu lagi mak ayah aku ingat yang aku ini memang jenis budak yang sorang-sorang pun boleh survive. Di rumah, aku dah kurang rasa takut tanpa sebab.

Namun begitu, aku diuji dengan menjadi manusia beruk pula. Aku gatal satu badan sampai berdarah sebab aku asyik bergaru. Habis luka badan aku. Tak sempat sembuh luka, berdarah lagi sebab aku garu.

Paling menyayat hati bila aku bangun tidur, cadar aku ada kesan darah dari luka aku. Aku calit ubat aloe vera lagi pedih pula sakit aku. Masa ini aku rasa aku bukan tak betul tapi dah separuh gila dah. Bukan mental aku ja sakit, badan aku pun sakit. Bila pergi dermatologist rupanya aku ada masalah atopic eczema.

Buat penat ja aku buat operasi pembersihan bilik aku secara besar-besaran. Ingatkan gatal-gatal ini sebab jangkitan bakteria atau virus tapi rupanya sebab masalah immune system. Selalu aku tengok baby dengan budak kecil yang kena eczema, ini tiba-tiba aku yang dah besar gajah ini pun boleh kena eczema juga.

Aku berhabis duit beli macam-macam produk nak serasikan dengan kulit. Sedih betul bila sapu ubat dekat badan. Macam dah kena dera ja. Alhamdulillah lepas beberapa bulan gatal-gatal itu dah tak ada. Cuma yang sedihnya badan aku habis berparut.

Aku psycho ja lah diri aku untuk sedapkan hati dengan cakap dah tak sakit ini pun dah kira nikmat dh. Lepas aku derita sakit kulit itu, aku pun insaf dan mula la jaga diri aku baik-baik sikit.

Aku beli vitamin, oximeter, glucose meter, blood pressure dan segala benda yang direcommend dalam page kesihatan. Konon-konon nak jadi warga negara Malaysia yang peka dengan kesihatan mental, fizikal, rohani dan jasmani.

Dah settle masalah kulit, aku dah boleh tidur lena sikit. Malangnya aku didatangi pula mimpi-mimpi yang aneh. Dalam mimpi itu aku pernah jumpa bayilah, jumpa harimau lah, jumpa orang gualah. Ada 2-3 kali aku mimpi ada lelaki suka kat aku pastu nak ambik aku.

Katanya dia dah lama perhatikan aku. Tapi dalam mimpi itu aku keras hati macam dalam dunia nyata juga. Aku reject ja mentah-mentah.

Disebabkan mimpi itu aneh, aku pun jadi teringat-ingat dalam alam nyata. Lepas tu aku pun berguru dengan tuan guru google. Macam-macam lah jawapan jumpa. Simpton saka ada, simpton gangguan jin asyik la dan banyak lagi. Lepas lama pendam, aku cakap la dengan mak ayah aku pasal mimpi aku.

Mak aku mula-mula ja buat gelabah, overdramatic zoom in, zoom out ala sinetrom, lepas tu esok dia lupa dah. Ayah aku pula suruh aku tak payah fikir/ jangan layan dan suruh lepas tu buat biasa saja. Aku try juga google pusat perubatan islam berhampiran rupanya pusat perubatan islam pun kena tutup juga sebab PKP.

Jadi, aku pun perbanyakkanlah zikir dan doa tertentu yang disyorkan ustaz-ustaz dalam youtube. Dalam ruangan komen itu, banyak juga orang berpengalaman, ahli cendekiawan serta ahli cendawan tumbuh selepas hujan pun ada.

Apa yang aku boleh simpulkan berdasarkan kajian tak semengah aku, simpton penyakit makhluk halus ini kadang-kadang general sangatlah. Macam lenguh, mengantuk, sendawa, terlebih makan, terkurang makan. Aku pun jadi suspicious dengan kesahihan maklumat kadang-kadang. Pastu rawatan sekarang pun macam-macam.

Buat benda pelik-pelik pastu tambah ayat islamik sikit pastu jadilah rawatan islam. Aku pun sampai keliru nak tahu rawatan islam yang mana yang betul. Pastu macam tak logik pula satu minyak wangi boleh sembuh semua penyakit.

Akhirnya, aku pun berpegang dengan ayat tokoh-tokoh perawat hebat, yang bunyinya macam ayat cikgu pesan dekat student yang nak exam.

Cikgu hanya bantu kamu 15-20% selebihnya kamu yang kena usaha. Akhirnya, aku masih terperap kat rumah tanpa terima sebarang rawatan.

Alhamdulillah, Aku dah lama tak mimpi aneh-aneh. Tak sangka nasihat ayah aku yang suruh buat biasa-biasa ja tu menjadi jugak. Aku pun move on la daripada teringatkan mimpi-mimpi aneh itu dan berhenti taksub buat kajian mistiik tak bertauliah aku dekat internet.

Sekarang aku dah masuk semester baru dan dah jadi pelajar final year. Tak rancak la kalau tak ada konflik baru yang menyemak dekat kepala aku. Dalam semester ini aku banyak fikir tentang masa depan. Aku fikir nak kerja apalah zaman covid-covid ini nanti. Siapalah nak ambik aku kerja.

Atau aku ini nak kena sahut gagasan universiti & negara, jadi mahasiswa yang berkecimpung dalam industri 4.0. Jadi job creator giteww. Haihhh, job creator apalah aku nak jadi kalau asyik hanyut macam mat jenin. LEMAH! Bak kata millennial kepada generasi aku. Bahang pressure tu dah rasa walaupun still tengah study.

Aku adalah ambik Ujian Dass Online KKM saja-saja. Keputusan aku teruk juga sampai kaunselor klinik daerah telefon. Padahal aku rasa biasa saja. Keadaan aku sekarang pada aku jauh lagi baik jika nak bandingkan masa aku mereput dalam bilik universiti dengan masa aku jadi gila tahan sakit kulit.

Lepas berborak dengan kaunselor itu selama sejam, kaunselor itu kata aku ok saja cuma normallah ada kebimbangan pasal kerja tu. Cuma dia pesan kalau rajin nak datang klinik, datanglah. Aku lega sikitlah sebab sebelum ini aku ingat aku ini dah tak betul. Mungkin zaman sekarang ini masalah mental ini dah jadi norma baharu jugak lah kot.

Dalam aku pulun berjuang menyelesaikan tugasan di tahun akhir aku, aku telah terkena penyakit gila bayang pulak. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba aku jadi teringat dekat seorang pensyarah di zaman pre-degree aku.

Sungguh tak masuk akal macam mana aku boleh terangau dekat pensyarah tu di tengah-tengah aku kelam kabut nak habiskan assignment aku yang bergunung. Dahla aku tak berapa suka pun dekat pensyarah tu dulu. Garang nak mampus. Tua dua kali ganda pulak daripada umur aku.

Serius tak ada sebab pon kenapa aku nak ingat dia. Ya aku hargai ilmu yang dia beri selama 6 bulan tu. Tapi aku tak adalah sampai tahap nk suka-suka bagai. Pensyarah tu pensyarah ja lah. Dah kenapa la pulak dengan otak aku. Celaka betul masa aku nak buat kerja, boleh pulak terthrow back masa dalam kelas dia dulu.

Tiba –tiba teringat masa dia jerkah aku dalam first class. Garang gila dia masa awal semester. Asyik nak marah ja. Masa tiba –tiba pertengahan semester tu dia jadi berubah baik pulak. Cakap lembut, tolong buka pintu bagai pastu try hard buat lawak.

Dan yang tak boleh blah sekali aku teringat kenapa ya dulu dia asyik guna nama aku ja dalam kelas nak buat contoh. Masa tu aku perasan jugak kenapa dia suka guna nama aku tapi aku tak adalah excited ka apa masa tu. Aku assume nama aku ni senang sebut la. Tu yang dia rajin mention tu.

Sumpah aku cringey gila dengan diri aku sekarang. Dah la benda dah basi, 3-4 tahun lama lepas. Dah kenapa syok sendiri ni. Dulu aku tak adalah menaruh hati pon. Siap buat lawak dengan kawan aku cakap yang pensyarah tu masa awal semester baru putus cinta, masa tengah semester dah jumpa orang baru tu yang mood dia bertukar baik tu.

Tak adalah pulak cubaan nak ngorat ka apa. Aku respect boundary pensyarah -pelajar. Bila aku fikir balik, daripada aku dok terkenang pensyarah yang dah 40-an dan workaholic tu baik aku cari boyfriend dalam kalangan member aku ja. Tapi tu lah dh nama pun gila bayang kan.

Aku tak tahulah kenapa jadi macam ni. Kadang tu aku syak aku kena manderam. Tapi bila fikir balik buat apa lah pensyarah tu nak guna-gunakan aku. Pada dia manderamkan aku, buat benda syirik, baik dia ngorat student yang ada depan mata dia yang dia tengah ajar sekarang.

Entah-entah aku ni pon dia tak tahu pun pernah wujud. Lagipun pensyarah tu,garang-garang dia pun dia pernah bagi ilmu kat aku. Busuk betul hati aku tuduh dia manderamkan aku. Aku penatlah fikir ketaklogikan yang berlaku kat aku ni. Dugaan belajar jenis apa la ini.

Boleh plak setan ni gila bayangkan aku entah dengan siapa-siapa. Tak buat homework ka setan ni. Harap aku boleh atasi sakit gila bayang ni dan grad dengan jayanya. Aku juga berdoa lepas fasa gila bayang ni aku dah tak kena benda-benda pelik yang lain pulak di masa hadapan.

Aamiin. Sekian saja perkongsian aku.

– Raya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *