Semakin Hambar

Aku Olive. Surirumah dengan 3 orang anak semuanya di bawah 8 tahun. Si bongsu masih menyusu badan.

Usia menghampiri 40an. Dia suami yang kusayangi sempurna segala. Baik akhlaknya, rajin orangnya, sentiasa membantu urusan rumah, baik juga agamanya.

Hidup sederhana. Mintalah apa saja, dia pasti usaha jika dia mampu. Aku pula bukan jenis meminta-minta pun.

Perkahwinan menjangkau sedekad. Dia agak sibuk dengan kerjaya. Tapi bila petang dia dah ada di rumah. Hp? Sentiasa berbunyi dengan kerja 24-7.

Namun semenjak setahun ini hubungan semakin hambar. Dia masih seperti biasa. Memujiku, merindui diriku, melayani seperti biasa.

Aku yang bermasalah. Aku tidak menginginkan dirinya. Tidak merinduinya. Malah aku tidak mahu dia menyentuhku. Aku terasa sangat tidak selesa.

Pada satu tahap entah kenapa aku berasa jijik saat di menyentuh/ memelukku.

Sejak bila bermula? Aku juga kurang pasti. Seingat aku ketika hari lahir ku pertengahan tahun lepas.

Sudah aku cakap padanya berulang kali, aku inginkan sesuatu yang istimewa pada hari lahir. Dia memang tak pernah meraikannya. Pernah juga dia lupa.

Tapi kali itu aku benar-benar inginkan sesuatu. Akhirnya aku hampa. Berhari-hari aku menangis dan bersedih. Sebab aku ulangkali ingatkan dia.

Aku siap cakap lagi apa aku mahu. Dia memujukku dengan kata jangan pernah putus harapan. Nanti dia bagi.

Ketika anniversary juga hampa. Dia cakap ‘dia ingat benda tu tak penting. Beri ucapan, beri hadiah itu. Lupa katanya’.

Sudahnya aku memujuk hati ku sendiri. Letak jauh-jauh dalam hati segala duka. Nekad semua aku nak, aku akan usaha sendiri. Aku tidak mahu berharap lagi pada dia.

Itukah puncanya? Entahlah. Adakah kami terlalu sibuk dengan anak2? Kami berusaha baiki kehambaran ini dengan pergi melancong, dating berdua-duaan namun kejap saja semuanya baik.

Aku akan kembali punyai rasa tidak suka didampingi dia. Jangan kata sentuh mahupun cium, dia dekat pun aku tidak mahu.

Kekurangan hormon estragon mungkin? Entahnya, tiada pula aku ada info tentang perkaitan perasaan aku dengan hormon.

Aku pernah berjauhan dengan dia hampir sebulan. Jangankan rindu, bertemu dia kembali aku tetap tak rasa apa-apa.

Aku rimas bila bertemu kembali. Rimas bila dia asyik mendekati demi melepaskan kerinduan dia.

Cinta? Entahlah, macam sudah hilang. Jika keluar dari mulutku, ianya benar-benar palsu. Hubungan intim? Sangat teruk.

Aku boleh nampak hatinya terluka. Dia bersedih. Dia pernah menangis bila aku kata aku berasa jijik bila disentuh dia. Seolah lelaki asing menyentuhku.

Itu yang aku rasa. Setiap kali ‘bersama’, hatiku meronta-ronta agar dia tidak menyentuhku.

Aku rasa nak muntah, rasa nak nangis, rasa nak jerit tapi kutahan saja demi kepuasan dia. Habis ‘bersama’, aku masuk tandas, nangis sepuasnya tanpa di tahu.

Dia puas ke ‘bersama’? Memang tidak. Setiap kali dia minta, ada saja alasanku. Bila dah tiada alasan, aku layankan saja.

Tapi itulah hatiku sengsara, dia berduka. Masing-masing tahu kami tidak gembira. Sudahnya kami tidak bercakap. Dia diam, aku diam. Tiada penyelesaian.

Aku sedih. Sangat sedih. Masa menaip ini pun sebak rasa. Kami tak tahu bagaimana nak betulkan hatiku. Indahnya rasa kasih, kemesraan & keghairahan ketika masa bercinta & masa mula-mula kahwin dahulu.

Aku berusaha sikit-sikit solat tahajud, tapi itulah banyak lubang-lubang. Sukar nak istiqamah di saat tidur pun tak terjaga. Masih dalam proses wean off si bongsu.

Aku sayangkan rumahtangga ini. Ingin sekali berkhidmat pada dia. Sebelum terlewat, aku berusaha mencari penyelesaian.

Adakah anda sepertiku? Bolehkah kalian memberi pandangan demi menyelamatkan rumahtanggaku? Ke mana harus aku dirujuk? Kenapa dengan diriku?

– Olive (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *