Semakin Hari Semakin Asing Di Rumah Sendiri

Aku nak cerita hal famili. Aku rasa famili aku ni pilih bulu dan bermuka-muka. Makin lama aku tinggal dalam rumah ni makin terserlah sikap mereka terutama mak aku.

Aku dapat rasakan semenjak adik aku (Haidir-bukan nama sebenar) berpindah kerja di bandar dan tinggal semula di rumah ini, sikap mak aku berubah perlahan-lahan.

Mak lebih pentingkan dia berbanding aku. Aku sedar aku bukanlah anak kesukaan mak kerana aku satu-satunya perempuan dalam rumah ini.

Dulu aku kerja biasa-biasa saja bukanlah berpangkat dalam sektor kerajaan. Tak apalah asal aku rasa suka dan selesa dengan kerja aku.

Peduli apa famili nak komen apa. Aku penat dah ikut telunjuk famili. Aku susah bukan adik-adik aku hulur duit. Banyak mereka merendah-rendahkan aku selama ini tapi aku buat pekak walau hati sakit.

Adik beradik aku yang lain semua lelaki. Dari dulu mak suka cari kesalahan aku dan burukkan aku depan anak-anak lelakinya. Terhiris hati aku sewaktu terdengar perbualan mereka. Patutlah adik-beradik aku langsung tidak menghormati apatah lagi ada kasih sayang denganku.

Aku sering diherdik-herdik, dilontar kata-kata kesat yang menyakitkan hati. Pantang ditegur kesalahan mereka pasti dipulangkan paku buah keras.

Mak lah dalang kebencian mereka sehingga mereka memandang aku ini rendah tiada fungsi. Apa jua perbincangan dan keputusan dalam rumah semua diatur oleh adik lelakiku.

Aku sebagai anak sulung tidak berfungsi apa-apa. Aku akur. Jadi semenjak aku sedar kedudukan aku di mana aku tidak lagi berminat berbual apa-apa pun dengan mereka. Aku juga tiada hati nak bertanya apa-apa pun dengan mak.

Aku menderita satu penyakit ini hampir 10 tahun tapi mak aku tak kisah pun. Sebab aku jarang mengeluh sakit merengek-rengek mengadu.

Aku kuat di luar sebab aku tak suka memancing simpati sesiapa. Aku sakit dalaman tapi aku tanggung sendiri. Sakit aku ni kadang bila datang masalah rasa nak gila. Ia menekan mental dan perasaan aku sama. Aku tak minat bercerita lebih kerana mak pun bukan ambil tahu sangat pun.

Yang dia tahu dari luar aku nampak macam sihat, boleh berjalan jadi dia sangka aku tak apa-apa barangkali. Yang dia minat ialah ambil tahu sakit orang lain macam adik iparnya.

Kebetulan adik iparnya juga menghidap penyakit sama denganku. Setiap masa bermesej dan berbual dalam telefon. Sakit anak sendiri dia tak pernah tanya selanjutnya. Tahu-tahu dia bercerita sakit adik iparnya kepada aku pula.

Muncul kisah Haidir mengatakan dia sakit dalam perut, mak lah orang paling risau sekali. Gelabahnya lain macam bila Haidir kata selalu pening kepala, rasa nak pitam, kalau salah makan perut meragam jadi angin naik ke kepala.

Siap suruh Haidir segera pulang ke kampung konon nak bawa berubat kampung takut terkena gangguan jin. Aku sakit hampir 10 tahun ada dia peduli kot nak bawa berubat cara tradisional ke. Selama ini aku usaha sendiri ke beberapa tempat tradisional dengan harapan boleh pulih.

Aku pendam sebab mak aku lebih suka menghukum dan menyalahkan aku kalau aku cakap. Senang cerita responnya akan menyakitkan hati aku.

Keluarga aku ni bab penyakit akan berfikiran sempit. Minda mereka tak mahu terbuka. Mak mungkin fikir sakitku ini tidak bahaya.

Selama aku sakit ini, aku selalu rasa pening melayang, badanku sakit-sakit, aku rasa nak gila bila ia ganggu fikiran, jantung laju, berpeluh-peluh panas, menggeletar tangan, macam-macam lagi.

Ada pernah dia ambil tahu? Tidak…. jadi aku simpan sendiri dan kawan-kawan terdekat saja tahu. Ingat orang keliling ni nak faham ke kalau kita sakit? Mereka sekadar tahu cukup.

Sejak pada itu setiap masa mak menelefon Haidir ambil berat. Risau kalau Haidir pengsan di tempat kerja. Bunyinya macam serius sangat padahal Haidir sengaja bercerita lebih-lebih untuk cari perhatian mak. Dasar anak manja dari kecil suka curi perhatian mak.

Mak minta Haidir tukar kerja di bandar agar boleh tinggal dengan kami semua memandangkan Haidir kerja jauh di negeri lain. Akhirnya dapat pertukaran asbab mak buat solat hajat bagai. Punya sayang dengan anak emasnya.

Aku yang aman damai tinggal di sini mula rasa tidak senang dengan kehadiran Haidir. Selama 2 tahun dia bekerja jauh aku rasa gembira.

Tiada siapa yang menganggu suasana hatiku. Sebenarnya banyak kisah tidak menyenangkan hati antara aku dengan Haidir. Aku banyak makan hati dan sakit hati dengan sikap serta percakapannya. Sejak Haidir di sini hampir 1 tahun, aku sangat perasan mak makin berubah.

Memandangkan aku juga setahun tidak bekerja ekoran sakit, aku terpaksa tinggal di rumah. Duduk di rumah pun aku setiap masa buat kerja-kerja rumah seperti mengemas, mencuci, membersih.

Bukan duduk saja seperti puan besar makan tidur. Adik-adikku sangat pengotor dan pemalas terutama Haidir.

Mak aku tak pernah menegur sikap pemalas Haidir. Hinggakan dia sendiri jadi balaci cuci baju dan seluar dalam Haidir yang sudah dewasa itu.

Baju aku sendiri pun mak tak pernah cuci walaupun aku siap rendam dalam baldi. Aku berbakti melalui tenaga walaupun aku tak mampu lagi hulur duit kepada mak.

Aku bukan seperti Haidir yang membodek mak dengan duit yang banyak. Gajinya juga banyak aku tak hairan pun. Dia belikan mak telefon, beg tangan, kasut, baju.

Aku dulu masa kerja ada juga belikan mak baju tapi dia cerewet dan komen baju tak cantik, jahitan tak lawa. Pada aku mak aku tak hargai pemberianku.

Selepas itu aku tidak lagi belikan dia apa-apa barang. Aku bagi duit sahaja walaupun bukanlah jumlah besar.

Haidir juga kedekut dengan aku tak pernah sekalipun dia hulur duit kepada aku walaupun dia tahu aku sakit dan tak bekerja. Aku minta hutang duit dengan adik bongsu aku pun susah dia enggan bagi.

Berkira sangat. Dengan pakcik dan makcik di kampung, mereka sanggup pula hulur duit sedekah sampai beratus. Dengan kakak sendiri yang mengemas bilik mereka, lipat baju, bersihkan kotoran mereka ini langsung tak pandang. Aku terkilan sekali.

Aku perasan bila aku tanya sesuatu perkara dengan mak, mak jawab ikut mood. Kadang dia buat tak dengar sambil main telefon.

Ada masa dia bentak-bentak macam nak marah jawab pertanyaan aku. Aku tanya baik-baik tapi jawapannya keras dan menyakitkan hati. Contoh aku tanya mak nak tak ikut saya pergi jogging?

Sebab tahun lepas kami selalu pergi riadah pagi-pagi untuk panaskan badan. Kebetulan masa tu mak tak ada kerja untuk dibuat. Mak jawab dengan kasar “kau tak nampak ke aku banyak kerja nak buat??!!”

Sebenarnya boleh saja dia jawab elok-elok kenapa perlu kasar macam tu. Bila adik aku terutama Haidir yang bertanya soalan sama boleh saja dia jawab dengan sopan. Kadang-kadang diam-diam dia ikut Haidir jogging.

Aku nampak dia suka mencebikkan mulut bila aku tanya sesuatu isyarat dia tak sukakan aku. Apa saja masalah dan cerita dia lebih suka kongsi sesama anak lelaki dan anak saudaranya di kampung melalui telefon. Aku yang tinggal serumah ini kadang tak tahu apa-apa.

Contohnya bila mereka anak beranak sedang berborak sesuatu mak akan diam bila aku lalu. Entah kenapa mak jadi begitu. Dulu dia tak begini tapi sejak Haidir di sini mak dah lain sangat. Entah apa yang dia hasut mak. Mak aku memang jelas pilih kasih dari dulu.

Apa saja anak lelaki mahukan dia turutkan seperti beli motor, telefon, duit poket. Aku tak pernah meminta-minta sebab aku takut kena marah. Balik kampung awal tahun hari itu pun diam-diam mak aku pergi merisik kekasih adik aku di rumahnya.

Awalnya kata nak jalan-jalan saja kenal rumah. Dia ajak makcik, pakcik, adik ipar dan anak sepupunya sertai rombongan. Aku langsung tidak diajak. Pandangan nak belikan hadiah apa untuk perempuan itu dan ibunya pun mak asyik minta pandangan adik iparnya.

Macam menggelabah sangat dan teruja betul. Habis kurang RM500 dah mak belikan telekung, baju kurung, kain pasang, al Quran untuk kekasih adik aku.

Hal yang dia belikan cincin emas aku pun tak tahu. Tapi sepupu aku tahu. Memang aku dipinggirkan bab keluarga. Aku tahu aku tak penting. Aku bukan orang penting untuk tahu semua perkara kan.

Kalau Haidir tanya apa-apa seperti mak masak apa tu, mak jawab dengan ceria sahaja. Cuba kalau aku yang tanya. . mak buat tak dengar dan mencebik mulut di dapur. Lepas tu buat-buat sibuk cuci pinggan mangkuk sambil hentak-hentak.

Aku ada perasaan bukan aku budak-budak lagi. Aku dapat tengok perbezaan layanannya dengan anak-anak lelaki lain.

Bulan lepas aku terpaksa buat pembedahan atas penyakit yang aku hidapi ini. Balik rumah, aku juga yang terpaksa cuci baju sendiri.

Mak hanya di mulut saja kata jangan cuci baju biar dia buat tapi dia tak buat pun. Takkan aku nak biarkan baju kotor berlonggok lama-lama dalam bakul.

Aku tak sukakan kekotoran maka aku gagahkan diri juga cuci perlahan-lahan walau badanku lemah sangat. Mak pula aku tengok sibuk cuci baju Haidir dan anak lelaki yang lain. Baju aku?Sedih aku hanya tuhan yang tahu.

Betapa siksa aku nak perah baju sehelai demi sehelai dan masukkan dalam mesin untuk keringkan sehelai demi sehelai sebab aku tak boleh angkat berat. Mak lebih utamakan pakaian anak lelaki pemalas yang tubuh sihat tu.

Hello aku baru lepas pembedahan ok, bukan cabut gigi. Seminggu aku tidur dalam kesakitan hanya tuhan yang tahu tapi mak tak tanya pun keadaan aku dan cuba berborak ambil tahu. Yang dia tahu aku boleh berjalan bermakna aku baik.

Adik-adikku pun hanya diam seribu bahasa tak ambil tahu. Jadi bila mereka semua demam aku pun buat tak tahu sangat. Aku sendiri pun sakit tak hilang lagi. Selepas ini apa pun aku tak mahu bercerita apa-apa kepada mak.

Tak ada guna sebab mak bukan kisah tentang aku. Anak saudara/ipar duai/anak sepupu punya masalah cepat saja dia sibukkan. Sekejap-sekejap mesej dan telefon. Gigih tunjuk ambil berat.

Cuba kalau yang sakit itu Haidir, mak siap urut-urut dan menangis. Nampak Haidir gelisah sakit perut keluar angin sikit terus ke bilik tanya khabar ok ke tidak. Punya sayang kan. Haidir baru terkena penyakit 1 tahun lebih sahaja.

Aku menghidapi penyakit ini 10 tahun. Mak tak rasa apa-apa pun. Dia tak pernah selami apa aku rasakan dan apa aku lalui selama 10 tahun berulang alik ke hospital.

Aku baru tahu sikap sebenar mak sejak kemunculan Haidir. Cemburukah aku? Bukan cemburu tapi lebih kepada rasa disisihkan. Rasa tidak disukai. Aku tawar hati dengan mak dan adik-beradik lain.

Aku sekarang lebih suka buat hal sendiri dalam bilik. Mereka pun tak suka berborak-borak denganku. Aku sedar aku tiada kedudukan di sini, tak kerja, duduk menumpang saja. Habis jasa aku selama ini 10 tahun bekerja hulur duit, bayarkan bil rumah, langsung tak dipandanglah ya.

Ini aku baru sakit sikit terpaksa rehat di rumah dan dah tak mampu hulur duit mak dah berubah. Dari dulu mereka satu famili ni suka merendahkan pekerjaan aku. Kalau aku kerja promoter ke adik aku mesti komen merendahkan aku. Mak diam saja macam sokong.

Sepatutnya sokong sajalah apa jua pekerjaan anak asal gaji halal. Itulah yang aku fikirkan. Bila adik aku junjung mak dengan duit mak jadi tunduk walaupun mereka ada buat salah.

Kalau mak memasak pun dia dah jarang jemput aku makan. Biasanya dia jemput anak-anak lelaki sahaja. Kalau aku memasak pun bukan mereka makan konon tak sedap, jijik. Sebab ajaran mak begitu kepada anak-anak lelakinya.

Suka merendah-rendahkan aku dari segenap segi sama ada urusan pekerjaanku hinggalah urusan dalam rumah. Sekarang aku tak kerja lagilah pandang aku sengkek. Mungkin dalam hati mak meluat sungguh membela anak yang dah tua tapi tak kerja.

Makan pun tumpang hasil dia beli. Akulah orangnya. Semalam pun mak merungut yang dia kena bela/jaga aku lagi sebab aku tak kerja. Aku faham dia rasa jemu.

Entahlah sampai bila aku harus duduk di sini bersama mereka. Hati ini rasa ingin pergi jauh tapi ke mana arah hendakku tuju? Kalau aku sihat, aku bekerja mungkin aku tak tinggal lagi di rumah ini. Aku sendiri dalam proses pemulihan, berjalan pun tak stabil, rasa lemah.

Ini pula jangkit demam dengan adik aku bertambah lemah badan aku. Suruh pakai mask tak nak. Sekarang tekak aku sakit batuk terkokok-kokok. Harapkan ayah aku pun tak guna. Dulu masa aku kerja aku banyak hantar duit kepadanya.

Bila aku sakit, masuk hospital… 1 sen pun dia tak bagi. Mentang-mentang ada isteri baru kena jaga makan minum isteri agaknya. Aku rasa tak berguna semua manusia sekeliling aku.

– Cempaka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *