Assalamualaikum semua. Saya selalu baca confession-confession di sini, dan hari ini saya tergerak untuk menulis tentang pentingnya kita bersyukur selepas saya membaca confession ini, (https://iiumc.com/mungkin-hanya-perlu-bersyukur/).
Saya M, seorang wanita 30-an yang sudah berkeluarga. Saya menyokong tulisan confessor di atas bahawa kita hanya perlu bersyukur untuk bahagia dalam kehidupan kita.
Tetapi ramainya kita (termasuk saya dulu) yang kurang bersyukur dengan apa yang kita ada kerana kita selalu membandingkan apa yang kita tiada dengan apa yang orang ada.
Saya rasa ramai dari kita yang pernah dengar pepatah Bahasa Inggeris ‘The grass is always greener on the other side’ kan?
Saya dulu pun begitu, sehingga kejadian yang menimpa kawan baik saya membuat saya tersedar.
Saya mempunyai dua orang kawan baik sejak dari zaman universiti. Kami bertiga selalu bersama ke mana sahaja semasa kami di universiti dulu, sehingga ada yang memanggil kami geng trio. Hehe.
Kawan baik saya ni saya namakan mereka N dan A. N bijak dan petah berbicara. Dia juga datang dari keluarga berada. A pula bijak, cantik dan humble, tetapi pemalu, terutamanya dengan lelaki.
Kisah ini tentang A. A selalu menjadi perhatian lelaki dari batch kami dan juga dari senior-senior. Tapi sebab dia pemalu dengan lelaki,
Ada sorang budak lelaki batch kami yang akan selalu jadi perantara untuk sampaikan niat lelaki-lelaki yang nak kenal A. Tapi sorang pun A tak layan. Dia kata dia belum terbuka hati untuk couple dan sebagainya.
Tapi okayla dia tolak cara baik dan tak bagi harapan palsu pada mereka. Masa tu saya berfikir untungnya A, dia ada segalanya. A beauty with brain. Mesti senang dapat kerja dan dapat jodoh lepas grad nanti.
Kami bertiga teruskan kuliah macam biasa. Saya dan N akhirnya jumpa jodoh kami (suami kitorang sekarang) dan A akhirnya berjumpa dengan Mr. Right dia pada tahun akhir pengajian.
Kami sangat gembira untuk dia. Serius mereka macam pinang dibelah dua, sama cantik sama padan.
Lepas grad, kami tetap saling berhubung dan setiap kali ada waktu terluang kami akan mengambil cuti untuk berjumpa.
Maklumlah masing-masing sudah ada komitmen keluarga dan kerja masing-masing. Semuanya baik-baik sahaja sehingga tujuh tahun lepas.
A sukar dihubungi untuk beberapa bulan. Group whatsapp kami tidak berbalas. Telefon tidak diangkat.
Saya dan N berfikir mungkin dia memerlukan masa bersendirian kerana dia keguguran sebulan sebelumnya. A belum dikurniakan zuriat walaupun telah beberapa tahun berkahwin.
Kami tahu dia sangat menantikan hari kelahiran anak yang dikandungnya, jadi keguguran tersebut mesti membuatkan dia sangat sedih.
Kami sentiasa menghantar kata-kata semangat di dalam group whatsapp dengan harapan A membacanya, namun hampa.
Tidak lama kemudian, kami dapat tahu A sakit teruk. Ibu A menghubungi saya dan N untuk menziarahi A kerana A seperti telah patah semangat untuk hidup.
Maka saya dan N sepakat pergi menziarahi A di rumah orang tuanya. Masa kami sampai, kami sangat terkejut tengok keadaan A.
Dia kurus cengkung, rambutnya tidak terurus. Dia kelihatan seperti orang yang berbeza. Rupanya A terkena buatan orang.
Ibunya memberitahu sebenarnya A mula dirawat sejak tahun akhir pengajian kami lagi, tetapi untuk kelancaran rawatan, dia tidak memberitahu sesiapa kecuali keluarga terdekat.
Pada ketika itu, ibunya menceritakan serba sedikit tentang apa yang dihadapi A selama bertahun-tahun. Allahuu kami berlinangan air mata masa tu. Sedihnya bila tahu. Dia dah lama menderita rupanya.
Saya rasa bersalah sangat sebab A terpaksa tanggung sorang-sorang dan saya sebagai kawan baik dia tak dapat membantu walau sedikit pun.
Walaupun ianya telah berlalu dan A telah pulih sepenuhnya, apa yang terjadi pada A memberi peringatan kepada kami untuk lebih berhati-hati dengan orang di sekeliling kami.
Persahabatan kami juga semakin akrab sejak hari itu kerana kami saling mendukung satu sama lain terutamanya A apabila dia memerlukan kami.
Kami juga banyak berkongsi masalah dan lebih berterus-terang untuk menasihati dan memberi pendapat apabila salah seorang dari kami memerlukannya.
Doakan persahabatan kami kekal selamanya InsyaAllah.
Lepas peristiwa tersebut, ia memberi tamparan besar kepada saya untuk lebih bersyukur dengan apa yang saya ada. Jangan rasa iri dengan apa yang orang ada kerana kita tidak tahu ujian dia disebaliknya.
A dikurniakan kecantikan tetapi dia juga diuji kerananya. Semua orang ada ujian masing-masing dalam hidup, tetapi apabila kita bersyukur, kita akan merasa cukup.
Kebahagiaan akan datang bukan apabila kita memiliki segalanya, tetapi apabila kita bersyukur dan menghargai apa yang kita ada.
– M (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit