Tanggal 15 haribulan 3, tahun 2015 merupakan satu detik tragedi yang masih terpahat di dalam memori aku. Nama aku Man (bukan nama sebenar) dan aku seorang Medical Assistant (MA).
Apabila aku melihat salah seorang kawan di facebook aku ni selalu menulis, terus aku DM dia (Ilzanno Sharky) untuk aku kongsikan pengalaman hidup aku yang berharga khusus untuk para pembaca di luar sana memandangkan aku sendiri pun tidak reti mengarang dan menulis. Semoga korang dapat manfaat dan pengajaran daripada kisah ini.
*AMARAN DAN NOTA DARIPADA PENULIS
Sebelum anda meneruskan pembacaan, saya ingin menyatakan terlebih dahulu bahawa apa yang saya tulis ini panjang dan amat tidak sesuai untuk pembaca yang tidak gemar untuk membaca penulisan yang panjang dan meleret-leret. Jika anda masih scroll ke bawah untuk meneruskan pembacaan, ini bermaksud anda sudahpun setuju untuk membaca walaupun panjang. Terima kasih.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Aku berumur 29 tahun dan sudahpun berkahwin 3 tahun lepas. Isteri aku bernama Sheila, juga seorang MA. Apabila aku membawa Sheila berjumpa dengan ibu aku, dia naik hantu dan langsung tidak mahukan Sheila sebagai menantunya yang pertama. Aku tidak faham mengapa, walhal, dia baru sahaja berjumpa Sheila buat kali pertama dan tidak sempat Sheila bertegur mahupun bercakap dengan dia, dia sudahpun mengherdik sekuat-kuat hatinya kepada aku serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Sheila.
Susah nak difahami, tetapi, aku percaya bahawa Ibu aku ni sudahpun membuat perancangan dengan seorang kawan dia, untuk menghawini anaknya semasa itu. Tetapi, apabila dia terlihat akan Sheila walaupun buat kali pertama, dia mulai menengking-nengking Sheila. Pergaduhan sebegini menyebabkan aku terus keluar daripada rumah, dan macamana sekali pun, aku sudah membuat keputusan bahawa aku ingin berkahwin dengan Sheila.
Tak sampai 6 bulan selepas itu, aku bernikah dengannya. Aku tidak memberitahu langsung ahli keluarga aku yang lain kecuali adik aku. Dia memahami aku dan sebenarnya menyokong aku untuk berkahwin sahaja memandangkan dia memang mengenali Sheila sebelum itu lagi. Manakan tidak, adik aku juga bekerja sebagai seorang jururawat daripada hospital yang sama. Perkahwinan aku mirip kahwin koboi.
Rombongan pengantin semuanya disertai oleh kawan-kawan aku sahaja. Satu-satunya ahli keluarga aku yang ke majlis tersebut adalah adik aku. Namun, 2 tahun lepas, iaitu pada bulan Ogos 2014, aku mendapat berita gembirra kerana Sheila sudahpun disahkan mengandung. Pada bulan Mac 2015, semasa Sheila sedang sarat 9 bulan mengandung, aku membawanya pulang untuk berjumpa dengan ibu aku sekali lagi.
Aku tahu, itu bukan keputusan yang baik dan sebenarnya aku tak nak balik pun. Namun, Sheila memberi pujukan kepada aku untuk aku memaafkan sahaja ibu aku itu. Mungkin juga kami boleh berkongsi cerita gembira bersamanya memandangkan dia bakal bergelar atok.
“Anak derhaka! Anak sial! Jangan kau bawa perempuan murahan itu menjejakan kaki ke sini. Ini rumah aku!”
Memang aku dan Sheila terkesima melihatkan sifatnya dan kata-katanya itu. Tak sangka benda ini bertukar menjadi buruk dalam sekelip mata sahaja. Aku ingatkan perkara-perkara sebegini hanya berlaku dalam drama sahaja. Tapi, Sheila tidak mahu berundur. Dia cuba untuk bersalam dan mencium tangan ibu aku untuk mendapatkan restu. Malangnya, bukan restu yang dia dapat, sebaliknya satu sepakan kepada perut dibuat kepadanya.
Aku cuba menghalang perlakuan ibu aku yang seakan-akan ingin memukul Sheila sampai mati. Tindakan aku itu menerima penampar yang sangat kuat. Aku mengangkat Sheila dan terus ke hospital memandangkan dia berasa sangat sakit. Masa itu, aku bertekad sekali lagi, memang sampai mati pun aku tak akan memaafkan ibu aku dan sampai mati pun aku takkan pulang lagi ke kampung halaman aku.
Mujurlah Sheila tidak apa-apa walaupun sepakan yang kuat itu menyebabkan air ketubannya pecah. Para doktor di hospital tersebut berusaha dan syukur, anak lelaki aku dilahirkan tanpa ada apa-apa komplikasi. Memang aku geram, dan memang aku takkan lupakan tragedi yang berlaku itu.
Aku pulang ke rumah aku, dan Sheila berkeras ingin dihantar ke rumahnya yang terletak kira-kira 2 jam perjalanan daripada rumah kami. Dia ingin berpantang, dan pada aku, bukanlah berpantang mengikut apa-apa pemahaman yang ada pun, tetapi hanyalah sekadar untuk meletakkan dia dan anak kami supaya ada orang bolehlah tolong tengok-tengok kan.
Sheila ingin berdamping dengan ibunya semasa waktu ini dan dia faham sangat pekerjaan kami ni yang kadangkala tak menentu. Aku tak boleh tinggalkan dia berseorangan di rumah. Maka, aku membayar ibu Sheila sekali untuk pertolongan yang diberikan. Walaupun ibunya keras menolak, aku bayar juga. Sekurang-kurangnya, duit tersebut bolehlah beli makanan dan barang runcit untuk keperluan mereka semua.
Kini, peristiwa tersebut sudahpun berlaku beberapa tahun lepas. Anak aku, Zafran pun sudah masuk 4 tahun. Tetapi, pada beberapa minggu yang lalu, adik aku membuat panggilan telefon kepada aku, mengajak aku untuk pulang ke kampung halaman.
“Times will heal everything”
Itulah kata-kata yang aku percayai dan aku pegang kerana nak buat keputusan untuk pulang semula ke kampung, memikirkan apa yang diperlakukan oleh Sheila, aku memang rasa tidak mahu. Bukan kali pertama adik aku mengajak aku pulang ke kampung setelah Zafran dah jadi semakin besar, tetapi, berpuluh kali sudah. Adik aku sentiasa mengatakan untuk memberi peluang kepadanya. Bukan kepada ibu aku, tetapi kepada Zafran untuk berjumpa dan berkenalan dengan neneknya.
Tetapi, hari tersebut lain sikit. Aku tidak mahu balik kerana aku pun sedang sibuk bekerja. Entah macamana, jadual tugasan yang dikeluarkan oleh senior aku meletakkan aku dan Sheila cuti selama 3 hari. Macam ada perancangan yang telah disusun rapi oleh Allah, untuk menyuruh aku untuk pulang ke kampung, berjumpa dengan ibu aku.
Melihatkan dahi aku yang berkerut-kerut dan stress memikirkan hal ini, Sheila mula datang dan memujuk aku. Katanya, ibu perlu diutamakan dalam keluarga. Berbuat baiklah dengan ibu sementara masih ada masa katanya lagi.
Jadi, dua hari selepas itu, aku, bersama anak aku dan Sheila bertolak daripada rumah. Dalam hati aku, ada sedikit kerisauan yang ada. Adik aku sudahpun pulang sehari sebelum itu, dan dia kini berada di rumah suaminya di sebuah tempat yang kira-kira mengambil masa sejam. Aku ada beritahu adik aku bahawa aku tidak mahu pulang, dan aku tak beritahu dia bahawa aku sudahpun mengubah keputusan dan kini sedang berada dalam perjalanan ke kampung.
Aku meletakkan kereta dan memberi salam. Daripada tingkap kayu yang terletak di sebelah pintu masuk rumah, mak aku menjengulkan kepalanya. Dia kelihatan serabut, dan tidak terurus.
“Mak! Ooo Mak!”
Dia melihat sahaja wajah aku, wajah isteri aku dan wajah anak aku.
“Kau nak apa! Berambus kau daripada sini!”, ibu aku mengherdik aku sekali lagi. Pada firasat aku, orang tua ini masih benci lagi kepada aku, dan dia akan membenci aku buat selama-lamanya.
Tingkap rumah aku ditutup dengan kasar. Aku melihat wajah Sheila, Zafran pula mula membuat muka cemik, tidak tahu apa yang berlaku, dan tidak pernah mendengar teriakan yang begitu kasar dengan bunyi hempasan tingkap kayu yang begitu kuat.
Aku memegang tangan Shila, dan tangan aku yang satu lagi, mendukung Zafran. Aku melihat muka Sheila, dan dia melihat muka aku kembali. Kami berdua mengangguk, ibarat bersetuju untuk balik sahajalah daripada sini memandangkan dia masih lagi tidak mahu menerima kami.
Aku masuk ke dalam kereta, terus membuat panggilan kepada adik aku.
“Adik, aku dah pergi dah rumah mak tadi, sama je woi. Dia halau aku balik, suruh aku berambus”
“Eh, la, aku ingat ko tak jadi balik kampung. Aduhai, ni ko dekat mana?”
“Aku baru nak gerak balik la, sekarang kat depan rumah ni lagi”
“Ko tahu kedai kopi Abu tak? Jumpa aku kat sana sebelum ko balik”
“Hmm, okay-okay. Aku gerak dulu”
Aku pun menghidupkan enjin, dan mula mengundurkan kereta keluar daripada halaman rumah aku, menuju ke kedai kopi Abu yang terletak lebih kurang 5 kilometer daripada situ. Aku tiba beberapa minit kemudian, dan memesan Nescafe Ais. Sheila dan Zafran juga memesan makanan untuk mengisi perut yang kosong ini. Aku tidak berasa alapar memandangkan otak aku masih ligat untuk berfikir, mengapakah tiba-tiba adik aku nak berjumpa di sini.
Dalam 45 minit kemudia, adik aku, Hazila dan suami dia sampai. Kami duduk semeja, dan apabila adik aku bertanya, apakah yang diperkatakan oleh ibu aku, maka, aku pun ceritakanlah segalanya kepada dia. Adik aku memandang wajah suaminya buat seketika, lepas tu dia menoleh kepada aku dan berkata
“Man, mak tu sebenarnya bukan nak halau kau pun”
“Apa? Dah sah-sah dia suruh aku berambus tadi, apa yang tak halaunya kalau macam tu?”
“Tak, macam ni, dia tu nyanyuk sebenarnya dah kalau kau nak tahu. Dia tak kenal kau dan dia cuma kenal aku dan Mek Lom sahaja”
Mek Lom adalah seorang wanita yang diupah oleh Hazila untuk menjaga ibu aku.
“Macam ni lah Man, jom kita balik semula ke rumah nak?”
Aku bersetuju sahaja ajakan adik aku. Aku tiba di perkarangan rumah, dan apabila ibu kau terlihat sahaja wajah adik aku, dia tersenyum gembira dan membuka pintu masuk. Aku menuruti sahaja Hazila kerana aku tidak pasti nak jangka apa-apa.
“Lama dah Zila kau tak balik. Kau sihat tak ni?”, tanya ibu aku dan disusuli dengan satu lagi soalan yang sedikit menyebabkan aku berasa sakit di dalam dada aku iaitu “Ni siapa yang ikut kau pulang ke rumah ni?”
“Ni Man lah mak, mak tak kenal ke. Ni isteri dia, Sheila dan anak lelaki dia, Zafran” jawab Sheila.
“Mak, ni Man ni, nak salam mak”, aku cuba mendekati dia, dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Mak aku bersalam semula, dan aku mencium tangannya. Ini diikuti dengan Sheila dan Zafran.
“Mak, mak tak ingat Man ke?” aku bertanya.
Dia mendiamkan dirinya sahaja sambil melihat mata aku dalam-dalam. Ibu aku kemudiannya duduk di atas kerusi, dan Mek Lom memberinya segelas air suam. Dia melihat ke sana dan ke sini untuk sementara waktu sebelum meminum air masak tersebut. Jawapan kepada soalan aku itu aku tunggu. Keadaan jadi sedikit janggal sehinggalah ibu aku menolehkan kepalanya semula kepada Hazila seraya berkata
“Lama dah Zila kau tak balik. Kau sihat tak ni?”, dan membuat reaksi ibarat dia terkejut melihatkan Hazila di situ. Dan soalan yang sama diulang-ulang lagi dan lagi.
Aku bangun dan memasuki bilik tempat aku dibesarkan dulu. Hati aku berkecamuk, dan sedih. Manakan tidak, kau bayangkan sahajalah perasaan yang mana ibu kau sendiri sudah tidak ingat kau siapa. Aku terpandang sekeping gambar keluarga aku yang berada di dalam frame bilik tersebut. Ada gambar aku, arwah ayah, ibu dan Hazila.
Aku mengambil gambar tersebut dengan harapan untuk menunjukkan kepada ibu aku, manalah tahu jika dia boleh ingat. Aku membawa frame gambar tersebut sebelum memanggil, “Mak”
Ibu aku menoleh kepada aku, reaksinya terkejut. Terus dia menjerit
“Eh, ni siapa ni! Macamana kau boleh masuk dalam rumah aku ni! Kau ni siapa! Pencuri, pencuri!”
Saat terdengar kata-kata ibu aku itu, frame gambar yang kau pegang jatuh ke atas lantai. Bahagian kaca frame tersebut berkecai, sama seperti berkecainya hati aku semasa itu. Hazila berdiri, menerpa kepada aku sambil menarik tangan Sheila untuk duduk di dalam bilik tersebut semula. Ibu aku ditenangkan semula oleh Mek Lom.
Aku sedih. Sangat sedih. Inilah balasan yang aku dapat kerana mengabaikan ibu aku sepenuhnya. Aku membuat keputusan untuk meninggalkan sahaja rumah tersebut, bukan apa, aku tidak tahan lagi betapa sakitnya emosi aku ketika itu. Aku mencapai kunci kereta dan ingin pulang ke rumah aku. Aku terdengar Hazila bercakap dengan ibu aku
“Mak, ni haaaa, Man ni dia nak minta maaf pada mak”
Ibu aku menoleh kepada aku, melihat aku atas dan bawah. Dia kemudiannya bercakap
“Man, mak maafkan kau….”
Aku terlalu sedih mendengar ayat tersebut. Aku melutut dan cuba memegang tangan ibu aku. Aku menangis dan mencium pipinya dan memeluk seraya berkata “Maafkan Man sebab abaikan mak dulu”. Dia mendiamkan dirinya sahaja, blur dan berasa hairan apakah yang terjadi. Dia tidak kenal aku dan pada aku, dia hanya bercakap mengikut apa yang adik aku cakap sahaja. Namun, menerima kemaafan itu daripada ibu aku sudah cukup baik untuk diri aku.
Namun, begitulah pengakhirannya. Dalam hari-hari berikutnya, aku cuba memberi yang terbaik untuk ibu aku. Perjumpaan dengan doktor mengesahkan bahawa ibu aku sudahpun mengalami penyakit Alzheimer tahap akhir. Dalam hari-hari berikutnya, dia tidak lagi ingat sesiapa pun. Dia tidak tahu nama dia sendiri dan dia sentiasa tidak tahu di mana dia berada.
Dia tidak reti makan dan minum. Dia mulai membuang air merata-rata di rumah hanya kerana dia tidak tahu dan ingat di mana perlu dia buang air. Kadangkala dia menjadi agresif, membaling makanan kepada Mek Long. Banyak kali aku pulang melawatnya, dan tanggal 29 November 2019, dia sudahpun kembali kerahmatullah. Tiada apa lagi yang aku lakukan. Apa yang ada kini hanyalah doa. Ramai orang kata, penyakit nyanyuk atau Alzheimer ini sememangnya meletakkan seseorang itu dalam keadaan sudahpun ‘mati’. Apa yang ada hanyalah jasad dan roh tanpa mempunyai apa-apa pengetahuan dan ingatan terhadap orang lain.
Aku tidak mahu apa yang aku alami ini berlaku kepada orang lain. Aku tak mahu korang menjadi menyesal seperti aku. Perkongsian aku ini aku lakukan supaya korang semua berbakti kepada orang tua korang sementara masih ada masa lagi. Ini sahajalah perkara yang aku boleh lakukan sekarang, memberi kesedaran tentang penyakit ini.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
P/s – Terima kasih atas bacaan anda semua. Saya ringkaskan seringkas mungkin cerita ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan anda kerana pada waktu-waktu sebegini, itulah antara perkara yang saya harapkan. Terima kasih daun keladi.
– Ilzanno Sharky (https://www.facebook.com/drsharky88)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit