Semoga Aidilfitri Lisa Lebih Bermakna

Assalamualaikum & Salam Aidil Fitri kepada pembaca IIUM Confession. Nama aku Lana (mestilah bukan nama sebenar).

Aku terpanggil untuk share kisah kawan aku ni, memandangkan kebanyakan kita berada dalam fasa kesedihan terpaksa beraya tanpa keluarga tercinta.

Aku perkenalkan kawan aku ni sebagai Lisa. Lisa ni kawan baik dan kawan satu ofis aku. Orangnya nampak garang, sebenarnya sangatlah lembut dan baik hati. Orangnya cantik tapi disebabkan raut yang agak garang, tak ramai yang berani mendekati.

Sebab tu lah kot Lisa masih membujang sampai sekarang. Dan orang mesti beranggapan orang secantik Lisa mesti sudah berpunya. Hakikatnya Lisa sangatlah takut untuk menjalinkan hubungan. Semuanya mungkin dipengaruhi oleh kisah silam Lisa.

Berbalik kepada tajuk, Lisa sebenarnya seorang mualaf. Dilahirkan sebagai seorang kristian, dibesarkan dalam keluarga yang berantakan. Ayah Lisa seorang kaki judi dan pemabuk. Sering kali ibu dan Lisa dijadikan tempat melepaskan kemarahan ketika mabuk.

Ibu ayah Lisa akhirnya bercerai ketika Lisa masih kecil. Ibu dan ayah Lisa kedua-duanya seperti enggan menggalas tanggungjawab membesarkan Lisa kerana ego dan sikap pentingkan diri masing-masing pada masa itu.

Selepas berpisah, ibu Lisa berkahwin lain tetapi ayah tiri Lisa tidak suka akan kehadiran
Lisa dalam keluarga baru mereka. Maka, si ibu pula memilih untuk bertanggungjawab dengan keluarga baru ketika itu.

Syukur masih ada ahli keluarga sebelah ibu Lisa yang berasa kasihan dan rela membesarkan Lisa meskipun keadaan kewangan mereka bukanlah sesenang mana.

Akhirnya Lisa dijaga dan dibesarkan oleh Mak Long sebelah ibu, itupun selepas beberapa kali pertukaran ‘hak penjagaan’ oleh adik beradik ibu Lisa.

Dah macam barang Lisa dibuatnya, terpaksa tinggal secara ‘rotation’ dirumah pakcik makcik sebelah ibu. Ibu Lisa di mana ketika itu? Sibuk dengan keluarga dan adik-adik baru Lisa.

Mak Long Lisa memilih untuk menjaga Lisa pun selepas kejadian cubaan meragut kehormatan Lisa oleh pakcik Lisa sendiri.

Nasib baik Allah masih melindungi Lisa dan Lisa berjaya melarikan diri. Lari seorang diri di tengah malam sunyi, berjalan kaki pulang ke rumah Mak Long yang jauhnya kira-kira 20km sebelum ditemui pihak Polis. N

asib baik juga kadar jenayah pada zaman tu masih rendah dan dikira sedikit selamat berbanding sekarang. Kalau tak, tak taulah apa pula nasib Lisa berseorang di jalanan sebelum ditemui Polis.

Walaupun bukan Lisa yang bersalah, tapi disebabkan Lisa anak buangan, keluarga adik beradik sebelah ibu Lisa tetap menganggap Lisa punca kejadian tersebut berlaku.

Lisa dipandang hina dan dipulaukan oleh seluruh keluarga kerana mendatangkan malu. Lisa yang ketika itu hanya berusia 11 tahun, jadi keliru dan menyesal kerana buka mulut.

Dalam keluarga Mak Long Lisa pula, anak-anak Mak Long kurang menyenangi kehadiran Lisa kerana dianggap menambahkan beban. Keluarga Mak Long boleh dikategorikan golongan berpendapatan rendah yang hidup di bandar.

Oleh sebab itu, Lisa dipulaukan dan tidak dilayan sama sekali. Selalu dibuli dan dicemuh. Nasib baik suami Mak Long, Pak Long sayangkan Lisa. Beliaulah yang sering menyabarkan dan menyebelahi Lisa. Sehingga ke akhir hayat Pak Long tetap sayangkan Lisa macam anak kandung sendiri.

Bayangkan struggle Lisa dari zaman kecil sudah sesukar itu. Lisa akhirnya membesar dengan meminati Islam melalui pergaulan dengan kawan-kawan sekolah.

Setelah berumur 18 tahun, Lisa sendiri pergi ke Majlis Agama Islam untuk memeluk Islam, secara bersendirian. Kuatkan Lisa.

Beliau memilih untuk kembali kepada fitrah dan memilih haluan sendiri meskipun Mak Long sekeluarga masih lagi menganut agama asal mereka. Lisa memeluk dan mengamalkan ajaran Islam secara diam-diam sehinggalah beliau habis belajar.

Disebabkan lahir dan membesar dalam keluarga yang kurang berkemampuan, cita-cita Lisa untuk menyambung pelajaran tidak disokong oleh keluarga Mak Long.

Bagi mereka, cukuplah pendidikan sekadar sekolah menengah saja dan sudah sampai masanya untuk Lisa menyumbang sedikit pendapatan dalam keluarga tersebut.

Tapi impian Lisa membuatkan beliau tetap berkeras dan bertekad untuk menyambung pelajaran walau dengan cara apa sekalipun.

Lisa sendiri yang turun naik bahagian Zakat Negeri untuk membuat permohonan pembiayaan pelajaran. Alhamdulillah, Lisa berjaya mendapatkan zakat dan biasiswa kerajaan negeri.

Tapi, sepanjang pengajian, Lisa tetap perlu melakukan pekerjaan sampingan untuk menampung kos sara hidup seorang pelajar di tengah bandar.

Biasiswa dan zakat hanya cukup-cukup untuk yuran dan sedikit duit tambahan sepanjang semester yang pastinya perlu digunakan untuk melakukan tugasan.

Ketika pelajar lain seronok pulang bercuti ke rumah, Lisa struggle melakukan sehingga dua pekerjaan sekaligus. Ada ketikanya di bulan puasa, Lisa hanya berbuka sekadar meminum air kosong selama beberapa hari. Maggi dan telur pun dicatu.

Majlis konvokesyen Lisa juga tidak dihadiri oleh sesiapa. Semuanya sendirian bermula dari sesi pendaftaran sehinggalah tamat pengajian. (Lisa menangis sungguh-sungguh cerita bab ni )

Berkat kesabaran, akhirnya Lisa berjaya bergelar seorang jurutera dan mendapat pekerjaan yang baik. Lisa mampu membalas jasa Mak Long sekeluarga.

Selepas bergelar jurutera, barulah sedikit demi sedikit kehadiran Lisa diterima dan dilayan baik oleh keluarga besar sebelah ibu. Cuma Lisa mengaku, masih terasa sunyi dan kosong. Mungkin penerimaan mereka hanya kerana status pekerjaan Lisa.

Walaupun mula dipandang dalam keluarga, tapi disebabkan hanya Lisa yang beragama Islam dalam keluarga tersebut, dan hubungan Lisa bersama ahli keluarga yang lain tidak serapat mana.

Lisa menyambut Ramadan dan Aidil Fitri setiap tahun secara bersendirian. Sambutan dan persiapan semuanya sederhana, sama sahaja. Ayat paling pedih yang diucapkan Lisa bila geng kami bersembang pasal Raya PKP tahun ni,

“Aku memang sambut Raya macam ni setiap tahun. Tanpa keluarga, sendirian dan biasa sahaja. Hari Raya sebelum ni pun sekadar pergi ke masjid untuk sembahyang Raya kemudian balik.

Tiada aktiviti ziarah menziarahi kecuali kalau ada kawan-kawan yang tak balik kampung, bolehlah aku pergi beraya. Menumpang kasih keluarga orang lain. Memandangkan tahun ni masjid pun tak boleh pergi, tambah kosonglah Raya aku”.

Bergenang air mata kami yang mendengarnya. Walaupun ucapan Lisa nampak bersahaja, tapi dalam hati kami yakin Lisa menderita. Kuatnya seorang Lisa, yang diuji sedari kecil sehingga sekarang.

Semoga Lisa cepat-cepat dikurniakan jodoh yang mampu menyayangi dan membahagiakan beliau. Dan tak lupa juga, keluarga mertua yang menghargai dan memberikan kasih sayang yang Lisa tak mampu beliau miliki selama ini. Semoga Aidil Fitri Lisa lebih bermakna di tahun akan datang.

Walaupun kita terpaksa beraya dalam PKPB, rasanya Hari Raya kita jauh lebih baik daripada Lisa. Mungkin dengan ujian Covid19 ni, Allah berikan peluang untuk kita menyelami hati golongan seperti Lisa, yang terpaksa beraya tanpa kehadiran keluarga disisi.

Lisa mungkin bukan anak yatim, tapi keadaan menjadikan beliau sama macam anak yatim. Rasa terbuang dan keseorangan.

Kepada Lisa, maafkan aku kerana berkongsi kisah kau tanpa kebenaran. Aku rasa, orang ramai boleh dapat sedikit pengajaran dari perit getir kisah hidup kau.

Dan orang ramai sepatutnya bersyukur dengan apa yang mereka ada, walaupun di tengah kemelut Covid19 ni. Kerana, meskipun menyambut Raya berjauhan, pasti raya mereka jauh lebih baik dari apa yang kau lalui, benar-benar bersendirian di Aidil Fitri.

– Lana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *