Semoga Pengakhiran Mereka Husnul Khatimah

Hai, maaf jika penceritaan aku tunggang langgang, aku cuma ingin bercerita.

Aku M, datang dari keluarga T20. Family aku memang senang, ibu ayah kerja bagus. Hidup aku tak pernah tak cukup. Serba serbi lengkap. Nak apa, semua aku dapat. Hidup mewah. Aku tak pernah hidup susah dari aku kecil.

Lepas habis belajar, aku berkahwin dengan seorang ustaz yang aku kenal masa di universiti. Dah 5 tahun kami berkahwin, awal kahwin aku bekerja tapi kemudian ada masalah yang sangat tidak boleh dielakkan, aku tidak lagi bekerja.

Status aku yang datang dari keluarga T20, berubah ke status B40. Suami aku sendiri dari keluarga B40. Hidup aku berubah, tak semua yang aku nak aku boleh dapat. Barang mahal, makanan mewah, pakaian ratusan ringgit. Semua tak ada lagi.

Tapi percaya tak aku cakap aku sangat bahagia dengan keluarga kecil aku ni walaupun takda lagi material mahal?

Sebab selepas kahwin, pertama kali seumur hidup aku sosok lelaki yang halal, imamkan solat aku. Aku tak pernah merasa semua tu dengan keluarga aku. Ayah tak pernah imamkan solat. Tak pernah sekali pun kami sekeluarga berjemaah.

Sepanjang tempoh aku membesar, sangat jarang dan boleh kira pakai jari ayah dan ibu solat berapa kali. Aku mengimpikan kami solat berjemaah bersama sama, bersalaman selepas habis solat tapi aku tak pernah dapat.

Aku nak harta aku dapat, aku nak jam RM300-400 aku dapat, aku nak handbag berjenama aku dapat, tapi solat berjemaah tak pernah aku dapat.

Ayah pula tak pandai mengaji. Pernah sekali semasa bacaan yassin di rumah saudara, aku nampak ayah cuma mumbling je sambil pegang buku yassin. Orang lain baca tapi ayah terkumat kamit yang bukan bacaan yassin. Lama aku perati ayah masa tu.

Tertampar rasanya rupanya ayah tak boleh mengaji. Sebab tu ayah tak pernah imamkan solat kami. Sebab tu ayah tak pernah mahu bila diajak pergi umrah.

Kami sekeluarga dah travel jauh, ke mana je kami tak pergi tapi setiap kali aku atau ibu ajak pergi umrah, ayah akan menolak. Ayah tak mahu. Dia akan cipta beribu alasan. Aku tak pernah faham sampai lah kejadiaan bacaan yassin tu.

Tapi selepas kahwin, pertama kali seumur hidup aku diajar mengaji oleh suami. Merangkak aku baca satu persatu dibetulkan suami.

Pertama kali aku menangis depan suami, sebak tak tahu nak cakap. Aku dah lama teringin diajar mengaji oleh man figure dalam keluarga aku tapi akhirnya aku dapat merasa semua tu dgn suami aku.

Dulu aku tak pernah rasakan keluarga yang sakinah mawaddah dengan ibu ayah. Aku selalu rasa kosong dengan mereka, rasa tak cukup. Bahagia dengan harta benda tapi tetap kosong dan tak tenang.

Tapi dengan suami aku, bahagia tu lain dan tak sama macam dgn ibu ayah, aku tak lagi rasa kosong rasa sunyi rasa tak cukup. Suamiku betul betul hidupkan keluarga kami dengan Al-Quran dan Sunnah.

Aku tak pernah rindukan kekayaan keluarga aku dulu. Hanya ini keluarga yang aku dambakan selama aku membesar.

Keluarga yang sakinah, keluarga yang Allah berkati dan dikurniakan pula pasangan yang buat aku makin cinta dengan agama, makin berlumba lumba untuk beribadah.

Ayah sediakan harta dan kekayaan untuk aku tapi tak pernah sediakan agama di rumah. Aku sendiri perlu mencari. Kami semua perlu mencari agama itu. Adik beradik aku tak solat tak mengaji sampai sekarang.

Aku pula pada asalnya juga begitu tapi akhirnya terima hidayah semasa di universiti. Aku mula solat, mengaji walaupun merangkak dan rajin ke masjid universiti untuk solat berjemaah. Masa itu lah aku bertemu dengan suami aku.

Sejak berkenalan dengan dia, aku mula kenal agama dengan lebih mendalam. Dan lepas aku habis belajar dia terus masuk meminang dan kami berkahwin.

Ibu ayah walaupun T20 tapi mereka jenis terbuka. Mereka sangat setuju aku berkahwin walaupun bukan sekufu. Tapi mereka terima suami aku, layan seperti anak sendiri.

Selepas berkahwin, aku ingat ayah akan berubah sebab terima menantu seorang ustaz. Rupanya makin hanyut dan terbuai dengan dunia.

Ayah aku usia hampir 70 tahun tapi masih kuat dan gagah. Orang takkan sangka umurnya hampir 70 tahun. Hobi dia berbasikal tapi hardcore.

Hardcore sampai tinggal isteri seorang diri di rumah, anak anak sangat jarang jumpa sebab boleh dikatakan setiap hari akan pergi berbasikal dengan group dia. Pergi bermacam negeri. Sebulan boleh jumpa dia mungkin 5-6 kali sahaja.

Dia habis berpuluh ribu sebab beli basikal bermacam jenama. Hubungan dengan isteri dan anak pun makin renggang. Aku tak lagi rasa rindu ayah. Sebab sangat jarang jumpa dia seolah dia langsung tak ada.

Kalau aku balik kampung setiap minggu, aku cuma rindukan ibu. Ayah dengan dunia dia seolah umur makin muda, hidup seolah takkan pernah mati.

Di usia dia sepatutnya sudah ke masjid, ke majlis ilmu. Macam ibu dan bapa mertua aku. Mereka orang alim. Sentiasa berdua ke masjid, ke majlis ilmu, bermacam aktiviti di masjid, di rumah sering mengaji bersama. Tapi ibu ayah aku tak begitu.

Aku sebagai anak mengimpikan ibu dan ayah aku sama macam ibu dan bapa mertuaku. Habiskan sisa umur dengan mendalami agama, dengan bersama berdua ke masjid. Usia dah lanjut tapi masih tiada perubahan.

Aku setiap hari tak pernah putus doa, aku rajin bangun solat tahajjud dan solat hajat mendoakan mereka dikurniakan hidayah sebab aku takut dan aku taknak mereka diazab, aku taknak api neraka menyentuh mereka.

Selalu aku menangis merintih mengadu pada Allah tentang ibu ayahku.

Alhamdulillah berkat doa aku, aku tengok sejak akhir ni ibu aku sudah mula dirikan solat. Sudah mula buka Al-Quran.

Walaupun ayah belum lagi ikut jejak langkah ibu, tapi aku akan tetap doakan ayah. Ayah seorang bapa yang baik cuma hanyut dengan dunia.

Doakan ayah terima hidayah sebelum dia dipanggil Allah. Aku ingin dia kembali kepada penciptanya dalam keadaan dia bersedia. Semoga pengakhiran ibu dan ayahku husnul khatimah.

– M (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *