Terima kasih kerana menyiarkan confession saya dan maafkan saya sekiranya confession ini terlalu panjang buat para pembaca.
Saya tidak tahu mahu bermula dari mana kisah ayahku ini. Bagi orang luar tiada apa yang luar biasa tentang sikap atau personaliti ayahku, tetapi bagi ibu dan diriku, sudah terlalu banyak luka dihati kami dek sikap panas baran beliau. Ayah seorang yang berjawatan tinggi manakala ibuku seorang surirumah. Ayah seorang yang berpelajaran tinggi, berbeza benar dengan ibuku yang tamat tingkatan lima. Namun, bagiku ibu 100% lebih hebat berbanding ayah. ‘BODOH’ dan ‘****’ .
Perkataan itu sudah lali didengar oleh ibuku apabila ayah sesuka hati mengherdik ibu tatkala ibu melakukan kesilapan kecil dalam menguruskan rumahtangga. Bagi ayah kami berdua menumpang kesenangan beliau dan menganggap kami berdua menyusahkannya. Selalu saja kami mendengar ayat “menyusahkan aku je kerja” dilontarkan kepada kami.
Hati anak mana yang tidak pedih apabila setiap hari melihat ibu menangis tersedu sedan ketika ibu berdoa setiap kali selesai solat. Hati anak mana yang tidak pedih melihat ibunya tidak pernah bergelak ketawa dirumah sendiri kerana sikap baran ayah. Perkataan cerai juga selalu meniti dibibir ayah. Seolah-olah ibuku tidak berharga langsung dimatanya. Ayahku seorang heavy smoker dan maaf jika kukatakan yang ayahku mempunya bau badan yang sangat busuk. Mungkin kerana kesan merokok. Tetapi bagi ayah bau busuk itu datang dari ibuku. Selalu memanggil ibuku berbau.
Kami berdua menjadi fobia untuk meminta sebarang pertolongan daripada beliau kerana beliau pasti akan marah dan merungut sepanjang menghulurkan pertolongan. Pernah ibuku pulang kerumah berjalan kaki sepanjang 5km lebih kerana ayahku tidak mahu menjemput ibu. Kadang-kadang ibu menumpang kawan-kawannya jika ada sebarang urusan. Sikap ayah bagiku biadap dan tidak meghormati ibu. Jika ibu bercakap telefon sengaja ayah meninggikan volume tv tanpa menghiraukan ibu yang sedang bercakap telefon kerana baginya perkara itu amat mengganggu dirinya.
Setiap kali selesai makan, ayahku hanya bangun membasuh tangan tanpa sedikitpun ada perasaan untuk membantu. Sekiranya kami lupa untuk menutup tingkap atau kipas, maka tiada bantuan dari ayah untuk melakukannya. Ayah tidak pernah memuji masakan ibu, bahkan selalu saja ayah tidak makan masakan ibu sebaliknya memaksa ibu untuk memasak lauk lain sedangkan ibu baru saja menyiapkan hidangan tadi. Ayah tidak menjaga solatnya dan tidak pernah ku mendengar ayah mengaji seumur hidupku. Ayah mahu dirinya dilayan bak raja, manakala kami ibarat hambanya.
Ayahku juga mempunyai hubungan sulit dengan seorang perempuan muda. Ibu sangat sedih dengan hubungan sulit ayah tetapi setiap kali ibu cuba menghalang, ayah akan ugut untuk ceraikan ibu. Ibu tidak mahu diceraikan kerana tidak mahu diriku membesar tanpa ayah. Ibu selalu berpesan agar aku belajar bersungguh-sungguh, “mar belajar pandai-pandai, jangan jadi macam ibu ni bodoh”. Banyak lagi yang ingin aku luahkan tetapi bagai hilang kata-kataku. Aku cuma bimbang kerana aku mulai untuk membenci ayahku sendiri.
Aku mulai berdoa agar dia cepat hilang dari hidup kami kerana setiap kali ayah keluar bekerja kami berasa tidak tertekan berada dirumah sendiri. Ayah, semoga kau diberi hidayah untuk berubah dipenghujung usiamu nanti. Tuhanku, kembalikan rasa sayangku terhadap ayah,jangan biarkan ku menjadi anak derhaka ya Tuhan. Ibu, kaulah isteri solehah yang tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawabmu walaupun diherdik dan dihina. Syurgalah tempatmu diakhirat nanti ibu.
– Mar
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit