Sempat ke Jumpa Makhluk Asing?

Baru sahaja beberapa jam tadi (ditulis pada pukul 8:30 pagi Malaysia pada 14/4/17), penemuan kemungkinan akan kehidupan di Enceladus oleh NASA hangat disebarkan di kebanyakan media barat. Enceladus adalah sebuah bulan untuk planet Zuhal (Saturn), iaitu planet ke-6 dalam sistem suria kita.

Menurut NASA sendiri, Enceladus mempunyai lautan yang ada hampir kesemua elemen yang diperlukan untuk kehidupan di bumi (Karbon, Hidrogen, Nitrogen, Oksigen, Fosforus, dan Sulfur). Jadi, ada kemungkinan untuk kehidupan mikroba dengan keadaan sebegini. Penemuan ini adalah hasil 12 tahun kajian melaui kapal angkasa mereka, Cassini. Tapi menurut mereka lagi, setakat ini Cassini dah pergi sejauh mungkin dan mereka belum ada lagi alatan lain untuk siasat betul-betul akan kewujudan kehidupan di sana.

Sebenarnya penemuan ini semakin rancak semenjak-dua menjak ni. Baru sahaja bulan Februari lepas, NASA pernah umumkan penemuan 7 buah planet yang hampir sama keadaannya dengan bumi. Tapi setahun planet-planet tu tak sama dengan setahun kita. Maksud setahun di sini adalah masa yang digunakan oleh planet tu untuk mengelilingi matahari dia. Setahun untuk planet-planet tu, paling cepat 1 hari setengah dan paling lama pun 20 hari je. Tapi, apa yang membuatkan dia lebih kurang sama dengan bumi adalah saiz, berat jisim, dan tenaga yang diterima daripada matahari dia. Tapi jarak dia dengan bumi adalah 39 tahun cahaya. Satu saat cahaya saja pun jauh dia 300 000 km. Bayangkan kalau 39 tahun? Sangat jauhlah maknanya. Kalau kita berjaya bergerak dengan kelajuan cahaya pun, ia akan ambil masa kita selama 39 tahun untuk sampai ke sana.

Tahun lepas pulak, satu planet yang dinamakan”Earth 2.0” atau lebih saintifiknya, Kepler-452b diumumkan oleh NASA. Satu misi yang dilancarkan oleh NASA dinamakan Misi Kepler akhirnya membawa kepada penemuan planet ni. Planet ni dikatakan sebagai sepupu yang lebih tua dan lebih besar kepada bumi. Sebab, planet ni usianya dah 6 bilion tahun (1.5 bilion tahun lebih tua daripada bumi), dan 60% lebih besar daripada bumi. Tapi, jarak planet ni dengan matahari dia lebih kurang sama dengan jarak bumi dengan matahari kita. Suhu pun lebih kurang sama. Tapi, jarak planet ni dengan bumi kita lagi dahsyat, 1400 tahun cahaya! Sama tempoh antara zaman kita dengan zaman Nabi Muhammad.

“Kenapa kita sendirian di angkasa lepas?” adalah paradoks Fermi, seorang ahli fizik Itali yang pelik kenapa kita tak jumpa-jumpa makhluk asing kat angkasa lepas ni. Tapi, dengan penemuan yang dah ditemui ini, mungkinkah paradoks ini terungkai bahawa masalahnya adalah limitasi jarak dan masa? Semua planet yang berkemungkinan ada hidupan lain tersangat jauh dan oleh kerana kita tidak (belum?) mampu untuk bergerak dengan kelajuan cahaya, untuk pergi dan menyiasat ke sana adalah mustahil?

Tapi berkemungkinan juga dengan perkembangan teknologi pada masa akan datang, dan dengan rancaknya penemuan kewujudan planet-planet yang mungkin ada hidupan yang semakin dekat jaraknya dengan bumi sekarang ini, kita akan mampu untuk melihat bukti-bukti kewujudan hidupan lain di angkasa lepas. Batas kita sekarang ini adalah jarak yang jauh.

Tapi persoalannya, jika makhluk asing benar-benar ada, sempatkah kita bertemu dengan mereka di zaman kita ini?

– Descartes

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit