Senarai “Jangan” Dalam Hidup Ini

Assalamualaikum semua pembaca. Terima kasih IIUM Confession sebab siarkan confession saya ni.

Sepanjang hidup ni, banyak betul kesilapan saya dah buat. Selalunya memang saya belajar sesuatu dari pengalaman. Bila sudah silap, jadi saya mula faham kenapa tidak boleh begitu dan begini.

Harini rasanya nak menulis beberapa “jangan” dalam hidup ni. Tak kira la dalam perkahwinan, dalam berkawan, atau dalam apa saja situasi. Kalau nasihat ini baik, ambillah.

1. Jangan sesekali percaya mereka yang suka bercakap buruk tentang orang lain. Kalau hari ini dia datang memburukkan orang lain, esok lusa tak mustahil dia burukkan awak pula.

Dan bila awak pula menokok tambah perisa, esok lusa dia terus cakap awak yang mulakan semua dan dalang menjaja cerita.

2. Jangan percayakan orang luar dengan mudah kalau selagi tak kenal hati budi dia. Berhati-hati bila berkawan. Jangan terlalu mudah kongsikan apa saja kelemahan diri, maklumat diri. Esok lusa makan diri sendiri.

3. Jangan bercakap perkara tak penting. Bila terlalu banyak bercakap kita pasti akan buat silap.Di media sosial ni lagilah. Tak ada benda baik nak ditulis, baiklah kita diam.

Bila tak tahu hujung pangkal, pilihlah untuk diam. Jangan diulas apa apa.Teringat peribahasa dikulum menjadi manikam, dimuntahkan menjadi sekam. Begitulah maksudnya.

Kemudian, bergurau terlebih, pun boleh buat orang terasa. Jadi berpada-padalah. Sekarang ni dosa semua dihujung jari saja. Tanpa kita sedar malaikat juga pantas mencatit semua kesalahan kita.

4. Hidup kita ni biar pandai, tapi jangan memandai-mandai. Kalau tak tahu sesuatu perkara, belajarlah sampai pandai. Tuhan jadikan kita dalam hidup ni bukan suka-suka dan semata hidup ini untuk diri kita saja.

Selain tahu apa tujuan kita di dunia ini,

Belajarlah,

Belajar menghormati diri sendiri.

Belajar menghormati orang lain.

Belajar menghormati alam ni.

Belajar supaya kita tahu bawa diri mana saja kita pergi.

Dan bila tak tahu, jangan pura-pura tahu.Jangan malu untuk kata tak tahu dari kita buat buat tahu.

5. Jangan perlekehkan cara orang lain. Kalau cara kalian lain, maka hormati saja cara orang lain. Kalau cara kita didik anak begini, jangan rasa cara kita paling terbaik.

Setiap keluarga tak sama environment mereka. Support system mereka. Akhirnya semua dari kita mahukan yang terbaik untuk keluarga kita. Matlamat sama, cara sedikit berbeza. Maka hormati saja semua.

6. Jangan terlalu sombong bila kita di atas. Esok lusa boleh saja tersembam ke bumi.

Hidup orang sombong ni umpama orang yang berdiri di atas gunung. Dia sentiasa lihat orang lain jauh lebih kecil,sedangkan dia lupa orang yang dibawah tadi, juga melihat dia sangat kecil.

7. Jangan bebal tak dengar nasihat. Bila dilarang makin dibuat. Bila buat kalau tak menyusahkan orang lain tak apa juga. Ini habis terpalit semuanya, ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua.

Ok itu jelah nak tulis kalini.

Pesanan buat diri saya juga.

– Syahirah Omar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *