Assalamualaikum wbt. Awas, post ini panjang. Jangan baca jika anda malas.
Aku sekarang sedang menyambung pengajian dalam ijazah sarjana dalam satu jurusan yang agak sukar untuk difahamkan kepada masyarakat perihal jurusanku. Namun, itu bukanlah isu besar untukku. Isu yang besar bagiku sekarang ialah apabila aku dialu-alukan ke dalam dunia postgrad dengan suasana yang cukup berbeza dari tanggapanku.
Aku sangka, dunia postgrad ini indah. Aku sangka, dunia postgrad ni kita akan ada good bonding dengan rakan-rakan postgrad yang lain. Aku sangka, kita boleh jadi akrab dengan penyelia sehingga boleh dibuat kawan dan gurau-gurau manja.
Aku sebenarnya seorang yang periang, peramah, suka buat lawak, suka bersembang, suka buat baik dengan orang. Namun, dunia postgrad ini telah mengubah aku sehingga wujudnya karakter kedua dalam diri aku. Karakter ini terbentuk saat pertama aku menjengah diri ke dunia postgrad, iaitu karakter pendiam.
Saat pertama aku mengetuk pintu makmal postgrad, aku sangka senior-senior akan mengalu-alukan aku dengan senyuman dan sapaan
“Hai nama apa?”
“Hai welcome to postgrad life!”
Dan aku sangka mereka akan ceritakan kepada aku bagaimana dunia postgrad, berikan tips-tips jadi pelajar bagus, kongsikan tips menawan hati penyelia, ajar aku untuk bertabah dan sebagainya. Itulah sangkaanku.
Tapi ternyata, sangkaan aku meleset 500%. Satu pun tiada yang kena. Tahukah kalian apa yang terjadi kepada aku saat pertama kali aku ketuk pintu makmal postgrad tersebut?
Diam. Sunyi. Aku disambut dengan mimik muka kelat seniors. Seorang pun tidak berminat untuk menyapa aku, sedangkan aku menghulurkan senyuman riang gembira dan tidak sabar untuk berukhuwah, namun lain pula yang aku dapat.
Tak mengapa. Mungkin mereka pemalu dan pendiam. Lagipun aku orang baru. Itulah getus hati aku. Aku cuba bersangka baik.
Lalu aku pun memulakan perbualan. Aku bertanya nama seniors aku. Sepatah aku tanya, sepatah mereka jawab. Semua macam malas nak melayan aku. Aku cuba bertanya tentang apa-apa yang patut aku tahu. Namun tahukah kalian apa jawapan mereka? “Carilah sendiri. Belajarlah sendiri. Dah postgrad kan”…
Fuhh! Diam-diam berisi rupanya. Makan dalam rupanya senior yang nampak pendiam itu. Tak mengapa. Aku sahut cabarannya untuk belajar sendiri semua benda. Jadi, apa yang aku boleh simpulkan, hari pertama postgrad aku sangatlah tidak menarik. Aku tidak bersembang dengan sesiapapun selepas ayat “carilah sendiri……blabla” itu keluar dari mulut senior aku. Aku sedikit terpana (tak berapa nak sedikit jugaklah, sebenarnya banyak jugak) .. sedikit culture shock dengan perangai mereka itu.
Aku hairan. Mengapa mereka jadi sebegitu? Kenapa mereka seakan tidak sukakan aku? Apa salah aku? Ini pertemuan pertama kami. Sepatutnya kami boleh bersembang dan suai kenal.
Masuk hari kedua. Aku cuba lagi untuk merapatkan diri dengan seniors. Namun aku rasa, cubaan aku sia-sia. Seniors kadang-kadang langsung tak jawab pertanyaan aku, malah mereka boleh buat bodoh dengan aku.
Tak mengapa. Aku masih bersangka baik. Mungkin mereka belum boleh suaikan diri dengan aku. Yelah aku budak baru.
Kemudian aku cuba meneroka makmal postgrad tersebut. Banyak instrumen yang aku tidak pernah jumpa. Lagipun, aku sebelum ini dari jurusan lain dan aku menukar jurusanku kepada bidang lain (masih berkaitan). Jadi banyak benda yang aku tidak tahu berkenaan bidang yang aku baru ceburi ini.
Jadi aku pun meramahkan diri dengan seniors tersebut dan bertanya nama-nama instrumen serta fungsi-fungsinya di dalam makmal itu. Namun tahukah kalian apakah jawapan seniors aku?
Ini jawapan mereka
“Carilah sendiri ! Belajarlah sendiri ! Takkan semua benda nak ajar!”
Aku terpana lagi sekali. Tahukah kalian, soalan aku itu ditanya dengan penuh sopan santun. Tapi mereka menjawab soalan aku dengan tengkingan. Jantung aku hampir nak tercabut mendengar dentuman suara mereka.
Aku kemudiannya bertemu penyelia aku. Soalan pertama penyelia aku “how’s your first day here? Is it okey? How’s your seniors? Did they treat you well?”.
Aku hanya jawab dua patah sahaja “emm okey”. Kemudian aku menyambung lagi “cuma.. banyak instrumen yang saya tak pernah tengok..”.
“It’s okey. You’re still new here. Kalau you tak tahu, you jangan malu bertanya. Tanya je senior-senior je dalam makmal tu. Diorang pasti akan tolong you”.
Aku mengangguk. Namun aku masih tertanya-tanya dengan ayat penyelia aku tadi ‘tanya je seniors? Seniors pasti akan tolong aku? Setakat 2 hari aku dalam makmal, tiada satu pun soalan aku berjawab’.
Aku pun mula mengkaji sendiri nama-nama instrumen dan fungsi-fungsinya. Namun ada sedikit kekeliruan dengan tatacara penggunaan instrumen tersebut. Lalu aku bertanya senior A, tapi senior A hanya jawab sepatah sahaja “taktau”. Aku hairan, bagaimana dia boleh tidak tahu tatacara pengguna instrumen A walhal dia setiap hari berada dalam makmal tersebut. Oh, mungkin sebab dia tidak pernah gunakan instrumen tersebut. Jadi aku bertanya senior B, namun tahukah kalian apa jawapannya? Ini jawapannya
“Takkan itu pun tak tahu?! Carilah sendiri. Internet ada kan. Hey macam mana nak jadi postgrad kalau semua benda taktahu ni?! “.
Facepalm. Aku terkena lagi sekali. Kali ini, dia menjawab dengan tengkingan dan juga mata yang membulat tajam. Seolah-olah seperti mahu telan aku. Seniors yang lain pula boleh tersenyum saat aku dimarahi senior B. Hairan aku. Mereka boleh ketawakan aku saat aku dimarahi? Apa jenis senior ini?
Lalu setiap hari aku hadap suasana yang sama. Akhirnya aku jadi pendiam. Aku sudah buntu untuk memulakan bicara. Lalu aku cuba-cuba guna instrumen mengikut prosedur yang aku fahami dan yang tertulis. Lalu senior B datang, “heyy tahu ke guna instrumen ni?”
Aku pun terangkan kepadanya tentang tatacara yang aku faham dari pembacaan. “Hey kau tahu tak cara yang kau baca tu salah? Kau jangan nak buat pandai-pandai ek..before guna tu tanya dulu.. kalau rosak ni sape nak ganti? Kau jangan nak merosakkan makmal ni ek..! ”
Aku betul-betul tidak faham. Bila aku bertanya, aku dimarahi. Bila aku tak bertanya, pun dimarahi juga. Jadi apa yang perlu aku lakukan supaya tidak dimarahi?
Aku bingung sebenarnya. Tak lama kemudian, penyelia aku panggil aku.
“I dapat info you pandai-pandai nak guna instrumen, tapi tak pandai guna. Pastu you ego, you tak tanya pun senior-senior camne nak guna. Jadi postgrad ni kan, tak boleh ego, tak boleh malu bertanya. Kena lah rajin bertanya. Nanti kalau rosak instrumen tu semua i yang susah”.
Aku terkelu. Lalu aku diam membisu. Aku tidak tahu bagaimana mahu jelaskan kepada penyelia. Lalu aku berlalu pergi sambil berlinangan air mata.
‘Aku ego? Aku tak bertanya?’. Aku soal diri aku sendiri. Setibanya aku di dalam makmal. Aku diam. Aku sebenarnya tak faham dengan seniors aku. Bagaimana aku mahu tawan hati mereka? Aku yakin mereka tidak sukakan hati. Tapi kenapa? Aku masih ingin tahu, kenapa mereka tidak sukakan aku.
Akhirnya setelah berminggu-minggu di dalam makmal, akhirnya aku pandai sendiri berkat tunjuk ajar penyelia aku. Seniors? Kami krik krik sahaja.
Satu hari, aku ada buat kesilapan. Kesilapan yang bagi aku, boleh aje dia tegur dengan baik. Tapi kau tahu bagaimana cara tegurannya?
Senior B tadi menjerit sambil menengking aku. Manakala senior A yang memerhati hanya tersenyum sinis dari jauh, mungkin suka melihat aku dimarahi.
Beberapa minit kemudian, penyelia memanggil aku dan memarahi aku kerana melakukan kesilapan. Aku memohon maaf kepada penyelia dan berjanji tidak mengulanginya lagi.
Nampak tidak? Selalu sahaja ada ‘reporter’ dalam makmal aku. Siapa lagi kalau bukan seniors aku.
Hari berlalu seperti biasa. Kadang-kadang aku jadi tawar hati untuk terus belajar. Aku rasa tiada life. Aku seolah-olah hidup bersama musuh. Tiada satu pun yang boleh buat aku rasa bahagia. Aku cuba mengajak mereka bersembang, tapi mereka tidak pedulikan aku. Apa salah aku? Aku hanyalah seorang pendiam. Aku tidak mampu untuk bercakap banyak. Karakter ini, sangatlah bertentangan dengan karakter sebenar aku. Aku terseksa, kerana hidup dalam karakter lain.
Kemudian, muncul senior C. Untuk makluman, aku sebenarnya tidak pernah tahu pun kewujudan senior C. Itu kali pertama aku melihat senior C. Senior C ini hanya muncul di dalam makmal apabila senior A dan B tiada.
Saat pertama bertemu senior C, Senior C memulakan perbualan “kamu nama apa? Student baru ya?”.
Lalu kami pun bersembang. Suka untuk aku ceritakan, aku suka dengan perwatakan senior C. Bila aku bersama dengannya, aku dapat jadi diri aku sendiri. Senior C juga peramah, memang sifatnya sedikit ke “akak-akak” an. Senior C ini matang, helpful dan sangat suka memberikan tips kepada aku.
Suatu hari, aku bertanyakan kepada senior C tentang senior A dan senior B. “Kenapa mereka layan saya macam itu ya?”.
Lalu senior C buka cerita. “Saya sangka saya seorang yang dilayan seperti itu. Rupanya kamu juga sama. Sebenarnya, salah satu sebab saya tak suka duduk dalam makmal ini adalah kerana sikap senior A dan senior B. Dulu saya sangka mereka tidak suka saya kerana saya Non-Muslim. Tapi rupanya dengan kamu pun dia layan seperti itu juga ya. Kasihan kamu. Saya boleh lari dari mereka dan buat makmal di universiti lain. Tapi kamu kesianlah, kamu tak boleh lari dan mesti hadap mereka setiap hari”.
Oh, baru ku tahu. Rupanya senior C juga pernah alami layanan yang sama sepertiku. Syukur, Allah hadirkan senior C untuk menenangkan hati aku. Rupanya aku tidak berseorangan dalam dunia ini. Ya, senior C ini non-Muslim tapi akhlaknya jauh lebih baik dari senior A dan B.
Disebabkan aku ini peramah, aku juga ada berkawan dengan senior-senior dari makmal sebelah dan makmal lain. Syukur, senior makmal lain semuanya baik-baik dan peramah. Apabila aku ada soalan dan bertanyakan tentang dunia postgrad, mereka pasti akan berkongsi kepada aku.
Sungguh, aku selalu menangis apabila berhadapan dengan senior A dan B. Pantang aku buat silap sedikit, pasti aku akan ditengking. Ya, kadang-kadang aku ditengking di hadapan orang lain. Malunya hanya Allah sahaja yang tahu. Aku pula jenis diam sahaja apabila dimarahi. Aku tak menangis di hadapan , tapi aku menangis di belakang. Gara-gara selalu menangis, aku selalu jatuh sakit sebab aku jenis yang menangis lama (susah nak stop).
Suatu hari , pembantu makmal masuk ke makmal aku. Dia sebenarnya pembantu makmal kami dan makmal lain, tapi dia jarang datang ke makmal aku kerana katanya dia tak suka senior A dan B. Aku bertanyakan dia, kenapa? Rupanya pembantu makmal ini memang tidak sukakan sikap senior A dan B kerana baginya, senior B terutamanya agak kurang ajar dan biadap. Kaki reporter, kasar dan macam-macam lagilah. Aku hanya mendengar sahaja, aku tidak berani untuk menambah-nambah dengan cerita aku kerana bagi aku, biarlah kisah aku itu senior C sahaja tahu sebab kami dah rapat.
Kemudian, suatu hari, senior senior makmal lain buka cerita tentang senior A dan B. Jadi sekarang, aku dah tahu bahawa senior A dan B ni memang perangainya macam tu. Senior lain pun ada cakap, ramai student postgrad lain tak suka senior A dan B, tapi bila depan-depan buat buat biasa ajelah. Ohh begitu rupanya. Ada juga senior lain mengaku bahawa mereka sangat annoying dengan senior B terutamanya sebab sikapnya yang suka mengarah, suka marah, suka menengking dan bajet pandai.
Suatu hari, senior B ada marah-marah kan pembantu makmal (cakap belakang). Aku ni tak sampai hati nak dengar berita-berita buruk tentang pembantu makmal tadi. Lalu aku menegur pembantu makmal secara baik melalui aplikasi whatsapp supaya jangan buat sekian, sekian. Aku tak mahu pembantu makmal ini dimarahi oleh penyelia aku kerana penyelia aku ni sememangnya garang dan kalau dia marah, dia akan marah sesiapa sahaja di hadapan orang. Ya, senior B sedikit mewarisi sikap penyelia aku, cuma bagi aku, senior B lebih worst. Jadi aku nasihatkan pembantu makmal tadi supaya tiada lagi isu timbul.
Namun, penyelia makmal ini naik angin pula. Bila aku tegur begitu, terus dia mengadu pada isterinya. Kerana dia memang sudah lama panas hati dan bersabar dengan senior B. Sebab isunya, penyelia aku takkan tahu kalau bukan kerana mulut senior B. Senior B ni memang kaki mengadu. Kemudian isterinya pula serang aku. Aku tertanya ‘salah ke apa yang aku cakap tu?’. Aku sangka isteri dia serang aku je. Rupanya senior B pun isteri dia serang. MasyaAllah. Apalah agaknya isteri dia cakapkan pada senior B. Niat aku ni baik, nak cuba selesaikan masalah dan bantu pembantu makmal. Tapi lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, suatu hari senior B mengamuk di hadapan aku dan menuduh aku yang memburukkannya kepada pembantu makmal. Dia katakan bahawa sebelum ni, dia dan pembantu makmal tak pernah ada isu dan masalah pun. Tapi dia tidak tahu bahawa pembantu makmal itu sangat bencikannya. Cuma dia tidak tahu. Jadi sekarang, senior B tuduh aku sebagai batu api. Nak tahu bagaimana dan apa yang diucapkan oleh senior B sewaktu memarahi aku? Aku tak ingat kesemua ayatnya sebab terlalu pedih untuk aku ingat. Tapi ini adalah antara kata-katanya “kau ni memang dasar hati busuk kan? Jenis batu api? Memang nak burukkan aku depan pembantu makmal. Kau ni memang jahat. Muka nampak je baik tapi jahat. Dahlah muka hodoh, perangai pun jahat… blablabla”.
Aku biarkan sahaja dia sembur kepada aku. Ada juga beberapa kata-kata kesat dilemparkan kepada aku.
Usai disembur sebegitu, aku menangis sepuas hati aku. Kawan baik aku pesan pada aku, “kadang kadang niat kita baik, tapi tak sesuai untuk orang yang tak baik. Cara awak nak tegur pembantu makmal tu, awak tak sangka pun ending dia macam tu kan? Awak mesti fikir pembantu makmal akan berubah dan tiada lagi kutukan kutukan belakang tentang dia kan? Tapi awak silap.”
Kawan aku menambah “kadang-kadang tak semua cara sesuai untuk semua orang. Sekarang awak sedang bermain api. Kemudian awak tambahkan lagi api. Memang berapi-apilah ending dia.”
Kawan aku menambah lagi. “Kadang2 kita tak perlu fikirkan pasal orang pun. Fikirkan tentang diri kita je. Silap awak sebab kesiankan pembantu makmal. Alih2 awak yang kena. Awak yang dikeji.”
Ya. Aku menyesal. Menyesal sebab berniat nak bantu pembantu makmal. Namun aku silap rupanya. Tak ku sangka dia akan meletup.
Sekarang, hubungan aku dengan senior A dan B memang tidak pernah baik. Tapi dengan pembantu makmal, masih baik, cuma kadang2 aku tahu pembantu makmal masih rasa serba salah dengan aku. Tak mengapa, sudah aku maafkan. Cuma yang menyedihkan aku sekarang ialah senior A dan B.
Aku sedikitpun tidak pernah membenci senior A dan B walaupun mereka telah menyakiti hati aku. Aku sentiasa berdoa supaya Allah buka hati mereka dan kami boleh berkawan seperti biasa. Aku juga berdoa supaya senior B ni menutup aurat (sebab senior B ni free hair). Alhamdulillah baru-baru ini senior B dah mula memakai tudung (aku tak pasti lah dia pakai betul-betul atau on off). Tapi yang pasti aku sangat gembira tengok perubahannya menutup aurat. Cuma doa aku supaya senior A dan B berubah dan berakhlak baik kepada semua orang, doa itu masih belum termakbul.
Aku tak henti henti doakan supaya senior A dan B ini berubah dan buat baik dengan semua orang, sebab sejujurnya bukan aku seorang yang mereka lukai, tapi sebenarnya dah banyak hati yang mereka lukai.
Namun, semakin lama aku lihat senior B ni makin teruk. Tak berubah. Masih suka menengking aku. Ada je salah aku yang dicari walaupun sebesar zarah. Dan senior B ni suka memburukkan tentang aku kepada penyelia. Malangnya penyelia percayakan dia. Tak mengapalah, aku memang sudah tidak tahu untuk buat apa -apa lagi. Aku sangka senior B ni perfect, tak pernah buat salah. Tapi rupanya dia pun pernah buat salah. Apa yang aku pernah buat dulu (salah), senior B pun pernah buat. Cuma aku ni malas nak ambil port. Kalau aku jahat, sudah lama aku snap gambar kesalahan dia dan forward kepada penyelia. Tapi aku tahu aku bukan jenis yang begitu.
Senior makmal sebelah juga berpesan pada aku “kalau senior B cakap apa-apa, tengking ke, marah ke.. buat tak tahu je..masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.. dia stress sebenarnya tu, tapi dia taktahu nak lepas kat sape..biar ajelah penyelia percaya cakap dia. Awak tak boleh nak ubah apa-apa sebab dia senior..penyelia pun lebih kenal dia dulu dari awak.. kalau awak cerita benda betul kepada penyelia pun, tak kan dapat ubah apa-apa.. so sekarang ni awak bertabah je..ignore je senior B sebab dia ni memang orang yang negatif.. jangan sampai dia influence diri awak.”
Aku selalu juga stress dengan senior B ni. Kadang-kadang aku depressed dan menangis seharian. Kadang-kadang aku menyorok dalam bilik dan jadi trauma, rasa takut nak jumpa orang. Pernah aku rasa nak quit belajar tapi aku fikir balik, aku belajar sebab aku minat. Takkan kerana senior B aku nak henti kejar cita-cita dan impian aku? Sedangkan di luar sana, aku yakin masih ada ramai orang macam senior B.
Aku sebenarnya baru dapat tahu, sebenarnya senior A dan B tak suka aku sebab penyelia aku ada memuji aku sebelum aku bertemu mereka. Penyelia cakap aku pelajar cemerlang kerana cgpa aku tinggi. Mungkin penyelia ada banding-bandingkan aku dengan mereka. Wallahua’lam. Jadi senior A dan B tak suka dengar penyelia puji aku. Mereka rasa tercabar. Malah penyelia juga pernah memuji aku kerana pandai blabla . Jadi kisahnya, senior A dan B ni memang tak suka dengar cerita-cerita baik tentang aku. Sebab itulah mereka sedaya upaya memburukkan imej aku kepada penyelia supaya penyelia juga tak sukakan aku.
Aku juga percaya, mereka jadi begitu kerana mereka masih belum grad sehingga sekarang. Dah lebih 6 tahun mereka jadi student postgrad, tapi belum juga habis. Mungkin sebab itu mereka stress. Aku fikir, mereka nak aku rasa apa yang mereka rasa dulu. Aku fikir, mereka tak hendak beri aku tunjuk ajar dan sengaja menguji mental aku supaya aku juga lambat grad seperti mereka. Mungkin.. sebab senior B pernah tanya aku “So macam mana? Ada rasa nak quit tak? Mesti stress kan selalu kena marah?”. Soal senior B sambil ketawa sinis.
Sekarang ni, aku hanya meneruskan sahaja hidup aku . Walaupun sakit untuk hadap wajah senior A dan B, tapi aku kentalkan sahaja diri aku. Tolong doakan aku dikuatkan hati dan mental aku untuk berhadapan dengan senior A dan B. Tolong doakan juga supaya senior A dan B ini berubah.
Kadang-kadang aku dah penat doa yang baik-baik untuk senior A dan B, mereka masih lagi tak berubah. Kadang-kadang pernah terdetik dalam hati aku, Aku nak doakan je supaya Allah beri balasan kepada mereka berdua. Hukum karma menanti. Semoga mereka rasa lebih teruk dari apa yang aku rasa sekarang. Tapi aku rasa macam jahat pula kalau doa begitu. Hmm
Aku harap korang janganlah jadi macam senior A dan B. Kalau tak jadi kat korang, mungkin kena dekat anak-anak korang nanti. Semoga beroleh manfaat dari pembacaan ini.
Doakan aku kuat tau
– M
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit