Kisah ini diceritakan oleh rakan saya yang merupakan rakan dari kecil merangkap jiran saya. Kisah ini mempunyai 2000+ patah perkataan dan mengambil masa selama 8 minit untuk bacaan secara lengkap.
Ini adalah penceritaan semula berdasarkan kisah yang benar-benar berlaku. Nama dan lokasi kejadian ditukar sepenuhnya untuk menjaga privasi pencerita asal.
Pada suatu hujung minggu 3 tahun yang lepas, aku mengikuti kawan aku untuk keluar memancing. Kawan aku ni bernama Fauzan. Dia mempunyai sebuah bot nelayan yang kecil yang mempunyai sebuah enjin. Dia memang seorang kaki pancing dan bot tersebut dibelinya dengan duit gajinya sendiri setelah mengumpul wangnya selama hampir setahun.
Aku banyak kali menolak permintaannya untuk mengajak aku memancing bukan kerana aku tidak minat memancing, tetapi disebabkan aku seorang yang mudah mabuk laut. Namun, setelah beberapa kali dia mengajak aku, maka, atas rasa untuk menjaga hatinya, aku bersetuju sahaja.
Fauzan seorang yang tahu selok belok hal memancing ini. Dia juga pandai berenang. Sebenarnya, tatkala aku melangkah masuk ke dalam bot kecilnya itu, timbul kerisauan dalam diri aku kerana di atas bot tersebut, tiada jaket keselamatan dan aku pula, sudahlah mudah mabuk laut, berenang pun tidak pandai.
Pagi hari berkenaan, cuaca agak panas dan keadaan laut agak beralun. Kami membuat keputusan untuk meletakkan bot di sebuah Kelong dan membuat keputusan untuk memancing di sana. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang satu jam itu sudah cukup untuk membuatkan aku mabuk.
Fauzan yang sememangnya suka bergurau hanya mentertawakan diri aku dan hujungnya, apabila dia melihat aku mulai muntah-muntah, dia terus mempercepatkan lagi perjalanan dan mengarahkan aku untuk turun dari bot tersebut serta melangkah naik di atas kelong. Sekurang-kurangnya, aku boleh berada di tempat yang kurang pergerakannya apabila dilanda ombak.
Aku naik ke atas kelong bersama dia dan membantunya untuk meletakkan beberapa batang joran serta bekas ais untuk menyimpan hasil tangkapan serta umpan. Sampai sahaja di sana, keadaan laut yang beralun mulai menjadi semakin kuat.
Aku tidak begitu fokus mendengar jenaka dan gurauan Fauzan kerana keadaan laut sedemikian memang menjadikan aku rasa nak muntah setiap kali aku cuba bercakap di samping bayu laut mulai memukul kelong tersebut.
Sedang kami berdua mulai leka untuk memasang joran serta mulai melekatkan perambut pada hujung tali pancing, entah bagaimana kami berdua terlihat bot milik Fauzan mulai hanyut dan menjauhi kelong tersebut. Dia mengatakan kepada aku, tali bot yang digunakan untuk menambat bot tersebut boleh tertanggal begitu sahaja.
Dia mengatakan kepada aku untuk duduk di situ sebentar sementara dia terjun ke dalam laut untuk mendapatkan bot nya yang mulai hanyut dan semakin jauh daripada kelong.
Kebiasaannya, kelong ini dipenuhi dengan kaki pancing, tapi pada hari tersebut, hanya aku dan Fauzan sahaja berada di situ. Dia yang memakai T-shirt dan seluar jeans terus terjun ke dalam air setelah memberitahu aku keadaan botnya itu.
“Sekejap, aku rasa tak sedap hati. Tunggu kejap lagi ada orang datang kita minta tolong dia sajalah”, aku berkata kepada dia yang sudah pun berada di dalam air dari atas kelong.
Dia tidak mengendahkan kata-kata aku kerana dia agak yakin dia boleh berenang dan mendapatkan semula bot tersebut, Aku hanya duduk dan melihat sahaja sambil meletakkan joran dan bekas ais di tempat redup yang bakal menjadi ‘port’ aku dan dia untuk memancing.
Aku duduk melihat Fauzan berenang dari kelong dan ketika itu, bot tersebut berada lebih kurang 50 meter dari tempat aku duduk. Bahagian hadapan bot tersebut menghala ke arah diri aku dan sambil itu, aku mula membuka kotak ais tersebut dan mengeluarkan umpan umpun-umpun yang baru dibeli oleh Fauzan.
Aku mengambil gunting untuk memotong bahagian kepala umpan tersebut sambil meletakkan joran aku dan dia bersandar pada sebatang kayu, bersedia untuk membuat casting sebaik sahaja Fauzan naik kembali. Aku meneguk air mineral yang dibawa dan selepas beberapa minit, aku dapati rasa mabuk laut aku itu semakin kurang.
Aku mulai berdiri dan terlihat bot Fauzan berada amat jauh daripada kelong tersebut daripada tadi. Aku menjerit, cuba memanggil Fauzan, namun jeritan aku tidak disahut olehnya, lagipun bunyi air yang menghempas ke kelong berserta angin yang bertiup agak kuat membuatkan jeritan aku tenggelam.
“Hooiii!!”, kedengaran Fauzan menjerit kira-kira 20 meter daripada bot nya sambil melambai-lambaikan tangannya kepada aku. Aku menjerit kembali. Dia kelihatan berkata sesuatu, tetapi aku langsung tidak dengan apa yang dia katakan.
Aku cuba berkali-kali untuk memanggilnya, namun, komunikasi aku dengan dia langsung tidak jelas dan tidak sampai 30 saat selepas itu, ketika dia semakin menghampiri bahagian belakang botnya yang terlindung dari pandangan aku, suasana tiba-tiba menjadi sepi. Jeritan aku tidak lagi disahut.
Aku menunggu kalau-kalau tiba-tiba bot tersebut menjadi semakin dekat dengan kelong dan hati aku berasa lega kerana beberapa minit kemudian, kelihatan botnya semakin menghampiri kelong. Saat itu, bot nya amat dekat dengan kelong, lebih kurang 10 meter sahaja. Aku terus menjerit memanggil namanya, tetapi tidak disahut.
Kelibatnya juga tidak kelihatan di bahagian belakang bot. Ah, ini sudah pasti dia ingin bergurau senda dengan aku. Itulah yang aku fikirkan sewaktu itu memandangkan dia suka sangat bergurau seperti itu. Namun, setelah beberapa kali aku menjerit sehingga tekak aku sakit dan dia masih lagi tidak kelihatan, aku mulai menjadi runsing.
Terdetik dalam hati aku untuk terjun sahaja ke dalam air untuk cuba mencarinya, tetapi aku boleh tahu aku hanya akan mati lemas sahaja sekiranya aku berbuat sedemikian kerana aku tahu aku tidak tahu berenang.
Dalam kekalutan aku, aku mengeluarkan telefon bimbit aku dan Alhamdulillah isyarat telefon ada walaupun lemah. Tanpa membuang masa, aku terus mendail talian kecemasan 999. Panggilan aku di’divert’kan kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Mereka mengarahkan aku untuk tunggu di situ dan jangan cuba untuk berenang mendapatkan Fauzan kerana ianya amat berbahaya.
15 minit kemudian, kelihatan dari jauh 2 buah bot pasukan bomba mula menghampiri kelong dan bolehlah aku katakan bahawa itulah 15 minit yang paling lama aku rasakan dalam hidup aku kerana sepanjang 15 minit itu, pelbagai cara aku cuba untuk mencari Fauzan.
Sebuah bot penyelamat diletakkan di tepi kelong, berdekatan dengan bot milik Fauzan yang masih berada dalam lingkungan 10-15 meter dari situ dan sebuah bot lagi meneruskan pencarian setelah aku menunjukkan arah Fauzan berenang.
Melihatkan wajah aku yang pucat, salah seorang anggota bomba terus bertanya tentang keadaan aku, dan aku hanya mampu mengatakan bahawa aku mabuk laut dan kini, hati aku resah gelisah.
30 minit kemudian, hati aku yang resah gelisah kini benar-benar hancur apabila talian dari bot yang satu lagi memberitahu mereka telah pun menjumpai Fauzan, yang terapung berdekatan dengan kawasan tepi pantai dan badannya sudah pun keras.
Mayatnya dijumpai lebih kurang 200 meter bertentangan daripada tempat terakhir aku melihatnya, bajunya ditanggalkan dan dipegang erat oleh tangan kirinya.
Anggota bomba tersebut memberitahu aku bahawa mungkin dia cuba untuk mendapatkan perhatian aku dengan melambaikan bajunya yang berwarna cerah itu, dan malangnya, posisi dia jadi bertentangan daripada tempat terakhir yang aku cuba cari.
Hal ini adalah disebabkan oleh apa yang dipanggil sebagai ‘undercurrent’. Ianya adalah satu arus air yang bergerak bertentangan dengan arah pergerakan apa-apa objek yang berada di permukaan.
Walaupun bot nya kelihatan semakin mendekati kelong akibat ditolak arus air di permukaan, namun, 1-2 meter di bawah permukaan tersebut, arus dan gelombang air bergerak ke arah bertentangan.
Aku masih ingat lagi betapa sedihnya dan takutnya aku apabila dalam perjalanan pulang di mana aku berada di atas bot yang sama dengan jenazah arwah. Itulah perjalanan yang paling teruk aku dapat rasa dalam diri aku sepanjang 28 tahun aku hidup.
Sampai sahaja di rumah kediaman mangsa, aku tidak boleh menahan kesedihan dan tidak bermaya untuk berkata apa-apa pun. Mereka banyak bertanya kepada aku, namun, aku tidak boleh bercakap.
Suara aku ibarat tersekat di kerongkong sehingga ke tahap salah faham timbul di mana mereka menyangka bahawa aku mabuk di atas bot akibat mengambil minuman beralkohol, walhal aku mabuk laut.
Aku tidak mempertahankan diri aku langsung ketika itu kerana berita seperti ini amat mengejutkan dan mujur pegawai bomba yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat itu terus menerangkan keadaan sebenar.
Aku jadi terlalu trauma apabila teringatkan hal yang berlaku. Aku tidak boleh tidur kerana mimpi buruk yang seringkali datang menerjah aku setiap malam sehingga aku memerlukan rawatan.
Ini adalah satu pukulan terhadap diri aku. Siapa sangka, dalam masa sebegitu singkat, arwah yang suka berjenaka itu tiba-tiba bertukar menjadi jenazah. Aku tidak lagi boleh melihat laut mahupun mendengar bunyi enjin kerana aku akan jadi terlalu gelisah sehingga tidak dapat mengawal diri aku,
Aku hilang selera makan, setiap kali aku tidur, aku akan terbayang apa yang terjadi, juga, kadangkala aku rasa katil yang aku tidur itu beralun ibarat dilanda ombak. Aku akhirnya membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan doktor. Asalnya, diagnosis yang diberikan dipanggil sebagai Acute Stress Disorder.
<Fakta Perubatan Mula>
Untuk pengetahuan anda semua, apabila kita baru sahaja menghadapi sesuatu yang amat tragik di hadapan mata kita seperti kemalangan jalan raya, bencana alam, kematian secara tiba-tiba, peperangan dan lain-lain, gejala-gejala yang muncul merupakan sesuatu yang normal sebagai reaksi minda kita terhadap perkara berkenaan.
Selalunya, untuk 3 hari pertama, sekiranya kita mulai berasa resah gelisah, hilang keupayaan untuk mengawal minda kita, sering ketakutan dan teringat perkara yang membuatkan kita trauma, tidak dapat tidur dan lain-lain, ianya merupakan sesuatu yang normal. Untuk peringkat ini, apa yang kita alami ini dikenali sebagai Acute Stress Reaction.
Selepas 3 hari, sekiranya gejala ini berlarutan sehingga sebulan, ianya berubah menjadi Acute Stress Disorder dan ianya adalah satu jenis penyakit mental.
Gangguan akibat peristiwa tersebut berpotensi merosakkan prestasi pekerjaan, kehilangan keupayaan untuk menjaga kebajikan diri sendiri seperti makan, minum dan self-hygiene, dan merosakkan perhubungan di antara satu sama lain akibat gejala yang hadir.
Untuk peringkat ini, doktor di klinik berbayar atau doktor perubatan tidak perlu merujuk seseorang itu untuk berjumpa dengan pakar psikiatri.
Hal ini adalah untuk memastikan diagnosis yang betul di samping pemberian ubat-ubatan yang hanya layak diberikan oleh doktor pakar psikiatri sahaja, Antara rawatan jangka masa pendek adalah ubat-ubatan untuk menenangkan perasaan dan ubat tidur.
Ianya bersifat jangka masa pendek kerana ubat ini berpotensi untuk menyebabkan ketagihan dan rawatan jangka masa panjang adalah dalam bentuk kaunseling dan terapi berkumpulan.
Sekiranya masalah ini berlarutan melebihi tempoh masa sebulan, maka, diagnosis untuk peringkat ini adalah Post Traumatic Stress Disorder atau lebih dikenali sebagai PTSD.
Dalam kes ini, pakar psikiatri akan memulakan kedua-dua ubat-ubatan untuk jangka masa pendek (seperti dalam kes acute stress disorder) dan juga ubat-ubatan untuk jangka masa panjang. Ianya juga disertakan dengan kaunseling dan psychotherapy.
Pada peringkat ini, gejala yang dialami berkemungkinan tinggi untuk menjadikan seseorang itu berubah dan komplikasinya termasuk penyakit kemurungan memandangkan mereka kehilangan cara untuk mengawal pemikiran mereka dan apabila ianya dibiarkan tanpa rawatan yang betul,
pesakit berpotensi untuk membunuh diri hanya kerana mereka tidak sanggup untuk meneruskan kehidupan dalam ketakutan di samping perasaan untuk menyalahkan diri sendiri atas kematian seseorang itu semakin meningkat.
<Fakta Perubatan tamat>
Hanya setelah beberapa bulan perkara ini berlaku dan setelah aku mendapatkan rawatan psikiatri dan rawatan islam, dan mengamalkan zikir serta potongan ayat Al-Quran yang dicadangkan oleh perawat di pusat rawatan Islam, barulah aku berasa keadaan aku semakin pulih. Juga, aku mendapatkan keberanian untuk berkongsi pengalaman aku ini untuk pengajaran orang ramai.
Dalam usaha aku untuk sihat sepenuhnya, aku memberanikan diri untuk berjumpa dengan keluarga arwah. Mereka menerima kematian itu seadanya, dan aku juga dapat tahu bahawa mereka telah pun menjual bot tersebut kerana ibunya asyik teringatkan arwah.
Aku mulai kurang menyalahkan diri aku sendiri tatkala ayah kepada arwah memberitahu aku Sudah beberapa kali ayahnya memesan untuk membawa jaket keselamatan, namun selalu tidak diendahkan dan aku tidak mungkin boleh membantunya saat dia mulai berenang untuk mendapatkan botnya. Satu nyawa yang hilang masih jauh lebih baik daripada 2 nyawa yang hilang.
Memang suruhan untuk meletakkan jaket keselamatan itu itu tidak lagi mengubah nasib dan takdir serta saat kematian arwah, namun, ianya mungkin menjadi satu pengajaran kepada kita semua yang masih hidup untuk sentiasa berhati-hati.
Beberapa pesanan daripada saya sebagai penulis dan juga seorang rescue diver, sememangnya, dalam beberapa kali saya membuat selaman SCUBA, undercurrent merupakan sesuatu yang langsung tidak kelihatan terutama sekali sekiranya ia berada pada kedalaman yang rendah. Air yang jernih membuatkan kita tidak sedar bahawa kita sedang hanyut dibawa gelombang tersebut.
Sekiranya undercurrent ini berada berdekatan dengan lantai laut, kita akan dapat melihat dengan jelas pergerakan pasir yang begitu deras.
Apa pun, tidak kira bagaimana kita rasakan kita pandai berenang sekalipun, adalah menjadi tanggungjawab tekong bot untuk menyediakan jaket keselamatan dan juga pelampung, terutama sekali apabila membawa orang lain yang tidak berpengalaman dalam perjalanan di laut mahupun sungai.
Samalah seperti pemakaian tali pinggang keledar, satu hari, mungkin perkara-perkara inilah dapat menyelamatkan diri kita dari kehilangan jiwa. Maka, beringatlah sebelum terlambat.
– ILZANNO SHARKY
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit