Aku Intan. Umur 20. Anak ketiga dari 4 beradik.Ada kakak dua orang yang sudah bekerja dengan pekerjaan yang baik (ada degree dan master). Aku masih belajar di peringkat diploma. Ada adik seorang di tingkatan 3.
Aku walaupun masih belajar, tapi Allah rezekikan aku dengan bijak berniaga online. Memang lebih dari cukup untuk perbelanjaan aku.
Aku mahu cerita tentang mama aku. Mama berusia 48 tahun. Masih cantik untuk wanita seusianya. Dia bekerja di bidang profesional dengan gaji yang lumayan. Jika dicampur elaun, hampir mencecah 10k.
Mama cakap, gajinya bukanlah terus besar tiba-tiba macam sekarang. Di awal tahun 1990-an dahulu, gaji mama cumalah seribu lebih. Memang hidup sempit dengan anak kecil, makan minum, bayar pengasuh, segala bil, kereta lagi. Memang hidup berjimat.
Gaji mama naik seiring dgn peredaran masa dan kenaikan pangkat. Ayah? Dulu ayah ada, tapi perbelanjaan keluarga memang mama yang tanggung kerana gaji ayah jauh lebih kecil. Dan sering bertukar kerja. Sekejap bekerja, sekejap berhenti konon-konon tak suka diarah-arah.
Mama tidak berkira, yang penting keluarga cukup makan pakai.
Aku tak mahu bercerita panjang tentang ayah. Sebab kebanyakan kisah sama sahaja. Kecurangan, pengkhianatan, tidak menghargai isteri, hidup atas titik peluh isteri. Sangat biasa. Sudah muak dan jemu.
Ketika kami sudah besar (kakak-kakak sudah bekerja), ayah masih dengan perangainya. Malah makin teruk pula. Sudah mula memukul bantai mama jika tidak diberi duit. Duit minyak untuk dia pergi ke rumah isteri terbarunya pun diminta dengan mama.
Mama sangat makan hati. Kami tahu mama sayangkan keluarga yang lengkap pada pandangan orang. Mama takut orang pandang buruk pada keluarga jika bercerai berai lebih-lebih di usia sudah menginjak senja.
Setelah berbincang, mama setuju untuk tuntut fasakh. Kami adik beradik bawa mama buka fail di pejabat peguam, sebagai tanda sokongan yang tak berbelah bahagi.
Dan bermulalah hidup mama dengan kes-kes mahkamah (fasakh, hadanah, harta sepencarian) yang menelan kos amat banyak sehingga 5 angka kerana memakan masa yang sangat lama.
Ayah sudah bertahun tidak balik ke rumah (sejak mama tuntut fasakh). Kami yakin mama akan menang dalam semua kes, kerana bukti cukup lengkap.
Aku nak highlightkan di sini tentang perubahan mama sejak berpisah dengan ayah.
Memang pada awalnya mama seperti sedih, merana apabila mengingatkan segala pengkhianatan dan kecurangan ayah. Sedangkan mama berkorban segala-galanya untuk keluarga.
Tetapi lama kelamaan, dengan adanya kami di setiap duka lara, mama semakin happy.
Alhamdulillah, kami berlima tidak berenggang. Mama betul-betul dapat melepaskan segala bebanan yang dia tanggung selama berpuluh tahun hidup dengan ayah.
Duit gaji mama tidak perlu lagi bagi kat ayah. Jika sebelum ini, beribu sudah pasti kena transfer ke akaun ayah atas alasan macam-macam yang ayah beri. Dan mama juga sudah tidak mahu fikir tentang ayah.
Mama juga sudah tidak perlu risau dengan perempuan mana ayah tidur, tidak perlu cemburu setiap kali gambar ayah kahwin lain dikirim orang, tidak perlu sakit hati mengenang kebahagiaan ayah dan perempuan-perempuan lain yang dibina dari airmata mama.
Mama betul-betul sembuh dari kelukaan yang amat parah rupanya. Maha Baik Engkau Ya Allah kerana memberi kekuatan kepada mama kami.
Mama kata tak perlu kita susah-susah nak balas dendam ke apa, Allah ada.
Mama kata, bila kita dah tak ada rasa sayang pada seseorang, maka rasa sakit hati, rasa cemburu, rasa marah juga turut hilang.
Kami pernah tanya mama kenapa sanggup hidup dengan ayah begitu lama. Kenapa dari dulu tak minta cerai.
Mama jawab, “Dulu anak-anak mama kecik lagi, kamu belum faham kenapa perceraian perlu terjadi. Mama takut hujung-hujung cerita kamu salahkan mama. Ni kamu dah besar, dah pandai nilai sendiri siapa salah siapa betul.
Lagipun, kalau masa kamu kecik dulu, kamu belum hebat seperti sekarang memberi sokongan dan semangat pada mama. Mama perlukan sokongan anak-anak dalam setiap tindakan. Kalian adalah penguat mama. ”
Para pembaca semua, ketahuilah hidup tanpa manusia toksik adalah pelangi yang benar-benar indah selepas ribut taufan.
Ibarat kata mama “Mama rasa seronoknya hidup mama sekarang, mama bagaikan berlari-lari di padang hijau yang cantik sambil berpusing-pusing ketawa kegirangan. Lapangnya dada mama, seluas padang hijau yang tiada hujung.”
Ya, pilihan untuk hidup lapang, lega, aman, damai dan tenang itu di tangan kita.
Mama, kami semua sayangkan mama. Sangat.
– Intan Terpileh. (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit