Salam dan hai semua. Terima kasih kepada admin kalau tulisan aku ni disiarkan. Dah lama rasa di hati nak berkongsi kisah tapi kekangan masa membataskan aku menulis.
Ini kisah aku, bukan cerita pasal suami, isteri atau mentua. Kisah aku dan hidup aku bersama keluarga aku. Aku akan cuba habiskan penceritaan aku dalam satu confession ya. Maaf la kalau panjang dan aku hargai sesiapa yang sudi membaca.
Nama aku Yan. Kalau ada yang kenal aku, tak payah la tag aku ya… hehe.. aku sekarang berusia 30an. Kisah bermula sejak aku kecil lagi. Umur 2 tahun. Mak ayah aku bercerai.
Aku ada 4 beradik dan aku yang terakhir. Lepas bercerai, mak bawa kami adik beradik balik kampung. Tinggal bersama datuk dan nenek. Alhamdulillah. Ada yang sudi menjaga kami di saat mak perlu bekerja.
Hidup kami tak sama macam orang lain. Tinggal di kampung. Tapi tak terlalu bebas bermain. Nenek sangat risau sebab kami semua perempuan. Datuk pesara polis. Agak tegas tapi penuh kasih sayang.
Mainan kami tak banyak. Main sahaja apa yang ada. Pakai apa saja yang ada. Masa kecil, aku tak paham lagi. Hanya seronok saja bermain.
Keputusan UPSR aku agak baik. Dapat masuk asrama penuh. Tapi aku tengok mak mcm berat nak benarkan.
Satu hari, kakak sulung datang sembang hati ke hati. Katanya dia dapat tawaran buat diploma di ITM. Anak kampung. Dapat melanjutkan pelajaran merupakan satu yang diidamkan.
Kakak kata, jika aku nak masuk asrama penuh dia akan lepaskan peluang melanjutkan pelajaran. Masa tu baru aku sedar apa yang berlaku. Rupanya mak tak ada duit. Kesudahannya, aku tak pergi pun ke asrama penuh. Aku ke sekolah harian biasa.
Kehidupan aku diteruskan seperti biasa. Aku agak memberontak dan kasar. Tak tahu mengapa.
Untuk pengetahuan, ayah ada kirim duit. Tapi tak la banyak. sebab ayah sendiri dah bernikah lain dan punya anak2 lain. Syukur, nenek dan datuk sangat penyabar melayan kerenah kami adik beradik.
Aku rasa aku sendiri tak mampu kalau didatangkan dengan 4 orang anak perempuan yang banyak kerenah. Pakcik dan makcik juga banyak membantu kami.
Keputusan SPM aku biasa2 sahaja. Dapat melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej bawah MARA. Aku sambung belajar tak jauh dengan negeri tempat ayah aku tinggal.
Ayah selalu ajak ke rumahnya. Tapi akhirnya kami akan gaduh. Ayah ungkit kenapa kami adik beradik tak pernah ucap terima kasih setiap kali ayah bagi duit.
Aku pulak rasa marah kerana duit yang diberi tak banyak dan sebenarnya tak pernah cukup. Lagi nak minta ucapan terima kasih.
Selalu aku pulang ke asrama dengan linangan air mata selepas berperang dengan ayah. Kemudian, aku berpindah ke cawangan baharu kolej. Agak jauh dengan ayah.
Aku tak peduli ayah. Sebab semakin lama semakin benci. Banyak lagi la peristiwa antara ayah dan adik beradik aku yang terjadi. Tapi aku tak mau cerita di sini. tapi, mak aku tak pernah campur apa yang berlaku antara kami dengan ayah.
Hidup aku zaman diploma tak seindah mana. Aku start menyewa di sem2 akhir sebab kolej dah tak bg asrama. Mak tak dapat bagi belanja bulanan yang cukup. Syukur ada duit elaun MARA dan sumbangan kakak ke-2 setiap bulan.
Jadi untuk cukupkan duit belanja harian, aku selalu beli stok telur ayam. Makan tengahari beli lauk dengan kuah yang banyak.
Malam masak nasi, goreng telur dan makan kuah lauk lunch tadi. Aku tumpukan pada pengajian. Tapi keputusan tak sebaik mana. Grad dengan pointer 3++..cukup makan la untuk sambung degree. Result exam mmg tak pernah cantik.
Aku sambung degree tak jauh dengan kampung nenek. Tak dapat asrama. Simpan duit sikit2 untuk ambil lesen dan bayar downpayment motor.
Kakak ke-2 juga bayarkan intsallment bulanan. Aku tambah sikit dengan duit PTPTN. Sebelum tu tumpang kawan2 saja. Masa ni aku agak struggle, aku mula mempersoalkan kenapa jalan hidup aku macam ni.
Ayah pernah bercerita, dia belikan anak2nya kereta untuk ke uni. Nanti lepas mereka dah kerja, mereka akan sambung bayar sendiri.
Aku cemburu. Kawan2 sekuliah pun ramai yang berkereta. Tapi aku ke sana sini naik moto kapcai merah. Banyak kali kemalangan. Syukur Allah panjangkan umur aku. Hati aku yang memang benci ayah, bertambah benci.
Sampai satu hari aku ditegur oleh seorang bapa saudara. Aku masih ingat ayatnya,
“Yan, sejahat mana pun ayah kita, berapa banyak salah dan dosa pun ayah kita, dia tetap ayah kita. Sebagai anak, kita tak boleh jadi hakim dan menghukum ayah kita.
Tugas anak adalah untuk terus hormat ibu dan bapa. Jika ada salah dan silap ayah, itu antara dia dengan ALLAH.”
Aku tersentak. Air mata aku bergenang. Seolah2 baru tersedar. Orang yang aku sangat2 benci tu adalah ayah aku sendiri. Aku benci ayah kerana jalan hidup aku yang susah dan sangat berliku. Beberapa hari aku fikir apa yang bapa saudara aku cakap tu.
Satu hari, aku kuatkan hati untuk hantar mesej kepada ayah. Zaman ni tak da lagi whatsapp semua tu. Ayah tak ada no hp aku. Aku mesej ayah dengan ayat begini bila ayah tanya siapa aku.
“Saya anak yang dah lama rasa kehilangan ayah”..tulisku..
“Kebetulan, saya jugak seorang ayah dah lama rasa kehilangan anak2”.. balas ayahku.
Aku rasa ayah dah boleh agak mesej tu dari salah seorang daripada kami. Air mata aku keluar macam air terjun. Allah.. sesungguhnya aku teramat rindu ayah.
Aku tak pernah rasa kasih sayang seorang ayah sepanjang hidup aku. Aku teruskan mesej dengan memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan aku.
Tapi ayah kata, dia hanya akan maafkan aku jika mencari dia di rumahnya dan memohon maaf. Mungkin tidak. Aku jauh. Aku tak ada duit. Tapi aku hanya katakan in shaa ALLAH. Lupa nak bgtau, aku mesej ayah ni masa aku semester ke-2 degree.
Ok, nak cerita sikit kisah masa sem 1. Aku betul2 insaf. Aku tekad nak belajar rajin2. Ulangkaji dan buku dah mula jadi teman. Tapi hampa. Ada juga satu paper aku fail.
Tapi keajaiban berlaku sejak aku mohon ampun dari ayah. Usaha aku masih sama seperti di semester 1. tapi jalan aku dipermudahkan.
Buat pertama kalinya aku dapat pointer yang bagus (dean list) dan aku terus mendapat dean list sampai la ke semester 6. Lima semester berturut-turut.
Masa ni aku sedar, walaupun ayah kata tak mau maafkan aku selagi aku tak ke rumahnya, aku yakin ayah sebenarnya dah maafkan aku. Dan kerap juga ayah msg aku bercerita tentang perkembangan dirinya.
Syukur, aku grad degree dengan pointer yang membanggakan. Aku apply master. Aku apply scholarship. Syukur Alhamdulillah. Aku dapat kedua2nya.
Sebelum tu aku ada apply juga nak jadi cikgu (DPLI). Aku sebenarnya nak jadi cikgu sejak habis SPM tapi semua permohonan aku ditolak.
Kakak aku kata, mungkin aku silap isi borang. Hahaha.. mungkin juga la kan.. Ok, pendekkan cerita.. aku dah sambung DPLI.. berkobar2 semangat nak jadi cikgu.
Baru mendaftar dalam sebulan, result master n scholarship aku dapat. Terkedu aku. Aku buat istikharah berkali-kali.
Dan seperti biasa, masalah kewangan menghalang. Ya, aku dapat biasiswa..tapi sebelum tu aku kena juga sediakan duit untuk rumah sewa dan yuran (duit biasiswa dapat lambat sikit).
Aku termenung. Tapi kalini aku lebih rasional. Aku dah tak salahkan siapa2 bila jalan hidup aku macam ni. Mak aku nak keluarkan duit tabung haji untuk tolong aku.
Dalam masa tu jugak la komputer (desktop) pemberian makcik aku rosak. Syukur. Nenek sponsor laptop baru. Sayang nenek.
Nenek dan mak bersungguh nak aku sambung master sebab biasiswa yang aku dapat tu dari program Tenaga Pengajar Muda. yang paham, paham la ya. Aku tak mau cerita banyak pasal biasiswa tu.
Aku terima ka? Tak.. tak aku tak terima. Aku teruskan perjalanan aku untuk menjadi guru. Aku menolak peluang untuk menjadi pensyarah. Kenapa? Sebab aku rasa dah sampai masa aku mula memberi kepada nenek, datuk dan mak. Aku tak sanggup lagi menerima daripada mereka.
Hubungan aku dengan ayah macam mana? Alhamdulillah. Dah baik sejak aku minta maaf dulu. Aku juga berjaya bawa kakak2 aku jumpa ayah dan ayah ampunkan kami. Aku pergi ke rumah ayah bila dah ada duit. Sampai sesat aku dengan kawan2.
Kali pertama berjumpa ayah setelah bertahun berpisah, bukan hanya aku menangis, ayah pun sama. Kawan2 aku yang ikut lagi over meraung dari aku.. hehe..
Ayah jugak nikahkan aku. Ini adalah kenangan paling manis antara aku dan ayah. Tapi ayah aku ni tak syahdu macam ayah orang lain. Elok sah saja akad, depan2 tok imam dia bagi double thumbs up kat aku. Menggeleng mak aku.
Majlis kenduri sebelah aku dan suami ayah hadir. Aku terharu sebab majlis nikah, kenduri aku dan kenduri suami berbeza banyak hari.
Ayah hadir ke semua majlis walaupun kami jauh berbeza negeri. Yang lucunya, masa majlis di rumah suami boleh pulak mak aku tersedondon dengan ayah tanpa plan. Kuikui.. alhamdulillah..
Aku rasa dah panjang sangat aku menulis. Aku cuma nak sampaikan pada semua, sayangilah ayah dan ibu kita selagi mereka ada. Restu mereka adalah cahaya untuk perjalanan kita. Aku bertuah. Aku dapat restu dari mak, ayah, nenek dan datuk.
Nenek dan datuk dah lama meninggal. Innalillah. Tolong doakan arwah nenek dan datuk aku ditempatkan bersama para solehin.
Mak dan ayah pun dah hampir 70 tahun. Walaupun tak selalu berjumpa, dalam hati aku, aku sangat sayangkan mak dan ayah. Kisah lama dah lama aku lupakan. Aku berlapang dada.
Dendam tak akan bawa seorang anak ke mana2. Yang ada dalam hati aku sekarang hanya kasih dan sayang buat mak dan ayah sahaja. Semoga Allah berikan kesihatan dan kebahagiaan buat mak dan ayah aku. Aamiin..
– Yan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit